Kedudukan ‘Jaringan Keemasan’ (Golden Goal) Dalam Liga Perdana
Soalan: Dalam Liga Perdana pada masa ini di mana pasukan Brunei Darussalam ikut serta, ada dijual buku majalah setiap kali perlawanan. Buku ini dijual dengan harga $3.00 senaskhah.
Dari itu dipohonkan fatwa mengenai meneka “Golden Goal” ini sama ada dikira sebagai judi kerana peneka-peneka juga akan diundi untuk memilih siapa yang menang. Bolehlah dikatakan kuiz atau tekaan ini sebagai ‘game of chance’ bukan ‘game of skill’.
Dari itu dipohonkan jawapan dengan segera sebelum pusingan kedua bermula pada penghujung bulan September, 1998 demi menjaga kepentingan orang Islam kerana buku bola sepak ini diusahakan oleh seorang yang berbangsa Eropah bukan beragama Islam tetapi hanya mahu mengaut keuntungan.
Jawapan: Persoalan yang hendak dihuraikan apakah ‘Golden Goal’ (Jaringan Keemasan) itu judi, dan apakah pula judi itu?
Berdasarkan Kamus Dewan, perkataan judi itu ertinya permainan dengan memakai wang sebagai taruhan.
Dalam kontek “Golden Goal” pihak penganjur memberikan maksud “Golden Goal” itu seperti berikut:
“Masa anda untuk jaringan yang pertama pada malam ini ada dicatat di ruang bawah di dalam muka surat ini. Penjaga rasmi masa akan mengumumkan masa kemenangan selepas saja jaringan dibuat. Keputusan penjaga masa adalah muktamad. Jika sekiranya tidak ada jaringan dibuat, tiada ada hadiah akan diberikan.
Jaringan pertama dalam perlawanan dijaringkan selepas 22 minit dan 17 saat. Masa kemenangan ialah (22x60) + 17 = 1337 saat. Hanya angka yang tepat di dalam kiraan saat akan memenangi “Jaringan Keemasan” ini.
Sekiranya anda memenangi pertandingan “Jaringan Keemasan” secara percuma ini, sila ambil hadiah anda di kedai LFC & MUFC Souvenir (di pintu masuk 3) tidak lebih daripada 20 minit selepas wisel pertama dibunyikan. Nombor buku majalah anda hendaklah dibawa bersama untuk mengambil hadiah yang berupa alat replika sukan, buku tandatangan bola sepak dan ‘boucher RSH’ yang bernilai B$250. Semoga berjaya, dan kita berharap jaringan yang pertama dimasukkan ke dalam gawang pasukan lawan.”
(Peringatan: Maksud atau keterangan mengenai “Golden Goal” di atas adalah terjemahan daripada bahasa Inggeris yang disertakan oleh penyoal).
Berdasarkan keterangan di atas, “Golden Goal” itu suatu permainan ‘game of chance’ (permainan mengadu nasib) kerana tidak siapa yang dapat mengetahui bilakah gol (jaringan) itu akan masuk ke gawang pasukan mana. Cuba perhatikan dan amati contoh yang disebut sebagai jaringan keemasan itu. Contoh: Jaringan pertama dalam perlawanan dijaringkan selepas 22 minit dan 17 saat. Masa kemenangan ialah (22x60) + 17 = 1337 saat. Hanya angka yang tepat di dalam kiraan saat akan memenangi “Jaringan Keemasan” ini.
Apa jua permainan mengandungi unsur taruhan disebut judi, sama ada memakai wang atau lain-lain sebagai taruhannya.
Di antara unsur judi itu juga ialah apabila suatu permainan itu terhenti di atas menggunakan teka, agak-agak, bimbang dan takut-takut.
Bagaimana kedudukan niat pembeli buku majalah yang berharga $3.00 (tiga ringgit) yang di dalamnya menawarkan beberapa hadiah termasuk wang $250/= itu?
(i) Membeli buku majalah semata-mata mengharapkan kalau-kalau masa jaringan pertama sama dengan apa yang tercatat dalam buku majalah yang dibeli itu, bererti pembeli telah mempertaruhkan $3.00 untuk memperolehi barang-barang lain atau sejumlah wang ‘besar’ yang dijanjikan oleh penganjur. Unsur taruhan barang-barang dan wang itu tidak syak lagi meletakkan permainan tersebut sebagai judi kerana di dalamnya terhenti teka-teki atau agak-agak dan ‘nasib-nasiban’. Buku majalah itu hanyalah helah atau alat semata-mata, sedang hakikatnya si pembeli telah mempertaruhkan suatu harga untuk mendapatkan kemenangan barang-barang atau sejumlah wang yang lebih besar sekiranya ada nasib.
(ii) Jika seseorang hanya semata-mata membeli buku majalah itu, tanpa menghiraukan atau mengharapkan apa-apa keuntungan yang ditawarkan, sekiranyapun dia memenanginya, maka itu tidaklah menjadi judi baginya kerana tujuannya hanyalah membeli buku majalah itu semata-mata, dengan tiada tujuan lain selain meraikan, mempersetujui atau menyokong pertaruhan itu.
Perkara ini kita dasarkan kepada kedudukan niat ataupun tujuan. Dengan niat atau tujuan itu suatu hukum terjadi, sebagaimana kaedah fiqh:
Ertinya: “Segala perkara/urusan tergantung kepada niat atau tujuan.”
Kaedah ini berasal daripada sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang dia niatkan. Maka barangsiapa hijrahnya kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa hijrahnya bagi dunia yang dia akan memperolehinya atau perempuan yang dia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang dia berhijrah kepadanya itu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Apakah niat itu? Niat ialah qashd atau tujuan hati dan irâdah (kehendak hati). Dengan niat dapat membezakan antara amal jenis ibadat dengan pekerjaan adat (kebiasaan) atau antara jenis ibadat itu sendiri. Contohnya: Duduk di dalam masjid sama ada bagi tujuan beri‘tikâf atau tanpa tujuan, kedua-dua keadaan duduk itu adalah sama, yang membezakannya adalah niat. Demikian juga mandi merupakan kewajipan syara‘, sama ada mandi wajib, mandi sunat atau mandi kerana kebiasaan. Keadaan mandi ini sama sahaja, tetapi yang membezakannya ialah niat.
Begitulah halnya dengan membeli buku majalah itu, janganlah ada yang membelinya kerana mengharapkan hadiah sejumlah wang yang ditawarkan, atau tujuan selain membeli itu ada juga niat yang lain atau niat sampingan untuk mendapatkan hadiah itu. Kedua-dua niat ini membawa makna mempertaruhkan wang untuk mendapatkan sesuatu. Ini namanya termasuk judi dan judi itu haram sebagaimana firman Allah:
Tafsirnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.”
(Surah Al-Baqarah: 219)
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji), daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)? (Surah Al-Mâ’idah: 90-91)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8048
