Kedudukan Bi’r Ali Dengan Kota Madinah
Soalan: Dengan hormatnya sukacita Jabatan Urusan Haji ingin menghadapkan kemusykilan haji seperti berikut:
Setelah berada di Madinah selama 8 hari, kebiasaannya jemaah haji akan bertolak ke Makkah untuk mengerjakan umrah haji dengan bermiqat di Bi’r Ali. Semasa berada di sana, setengah jemaah melakukan sembahyang qashar dan jama‘ mengikut masanya, mereka beralasan bahawa Bi’r Ali adalah luar kota Madinah dan setengah jemaah yang lain pula melakukan sembahyang tamâm dengan beralasan Bi’r Ali adalah masih termasuk dalam kawasan kota Madinah. Kekeliruan ini telah timbul di kalangan jemaah haji. Adakah dibolehkan jama‘ dan qashar sembahyang di Bi’r Ali? Bagaimana kedudukan Bi’r Ali?
Jawapan: Secara umumnya, permulaan bagi orang yang musafir boleh melakukan sembahyang qashar dan jama‘ apabila dia telah melewati perbatasan atau sempadan sesebuah kampung atau kota yang didiaminya. Selagi dia belum melewatinya, maka tidaklah diharuskan baginya mengerjakan sembahyang qashar dan jama‘ kerana dia dikira belum lagi memulakan perjalanannya.
Bi’r Ali atau terkenal juga dengan nama Dzulhulaifah adalah mîqât bagi penduduk Madinah dan orang-orang yang datang melaluinya. Adapun kedudukan Bi’r Ali (Dzulhulaifah) terletak di luar Kota Madinah berdasarkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan sembahyang qashar di Dzulhulaifah (Bi’r Ali) ketika Baginda musafir dari Madinah menuju ke Makkah bagi mengerjakan Haji Wida‘ sebagaimana di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu berkata:
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang Zuhur di Madinah empat rakaat dan bersembahyang Asar di Dzulhulaifah dua rakaat (qashar).” (Hadis riwayat Muslim)
Maka dengan ini, adalah harus mengerjakan sembahyang qashar atau jama‘ di Bi’r Ali (Dzulhulaifah) bagi persoalan yang dikemukakan kerana Bi’r Ali (Dzulhulaifah) itu terletak di luar Kota Madinah dan tidak termasuk di dalam kawasan Kota Madinah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8052
