Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Kemasukan Daging Babi Dari Luar Negeri, Penjualannya Di Pasar-Pasar Raya Dan Perkongsian Dengan Orang Islam

Soalan: Baru-baru ini telah timbul masalah penjualan daging babi baik secara terang-terangan atau bersembunyi dan juga yang bercampur dengan daging atau barang-barang halal bagi makanan orang-orang Islam. Dalam hubungan ini, kaola sukacita mendapatkan pandangan atau fatwa Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin mengenai perkara-perkara berikut:

i) Apakah hukumnya bagi sebuah negara Islam seperti Negara Brunei Darussalam yang penduduk Islamnya melebihi lapan puluh peratus (80%) mengharamkan sama sekali penyembelihan dan kemasukan daging babi ke negara ini?

ii) Apakah hukumnya kedai atau sebarang pusat perniagaan kepunyaan orang-orang Islam yang dijaga atau diuruskan oleh orang-orang bukan Islam dengan menjual daging babi di dalamnya? Atau kedai atau sebarang pusat perniagaan kepunyaan orang Islam bersama-sama dengan orang bukan Islam (berkongsi) dengan menjual daging babi di dalamnya?

Mudah-mudahan dengan penerangan, nasihat dan fatwa yang akan Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin berikan itu nanti akan memudahkan lagi kerja-kerja Badan Pengeluar Permit Import Daging Halal, Kementerian Hal Ehwal Ugama ini dalam usaha memelihara agama dan ibadat rakyat serta penduduk yang berada di negara ini sebagaimana yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam, dalam titah baginda sempena hari keputeraan baginda yang ke 51 tahun.

Jawapan: (i) Pada dasarnya kerajaan Islam tidaklah melarang penyembelihan babi atau penjualan daging babi untuk menjadi makanan orang-orang bukan Islam, melainkan ada sebab-sebab lain ia patut ditegah berbuat demikian seperti penyembelihan atau penjualan babi itu dilakukan secara berterang-terangan di hadapan orang-orang Islam, atau orang-orang bukan Islam itu menampakkan hal-hal babi yang disebutkan di atas.

Tegahan orang-orang bukan Islam menampakkan babi itu telah disebut oleh Imam Nawawi dalam kitabnya Al-Minhâj:

Ertinya: “Ditegah orang kafir memperdengarkan perkara-perkara syirik kepada orang-orang Islam, kata-kata mereka mengenai Nabi ‘Uzair dan Al-Masîh (Nabi Isa) ‘Alaihimassalam, menampakkan arak, khinzîr (babi), loceng sembahyang dan hari perayaan mereka.” (Mughnî Al-Muhtâj 4/322)

Pengarang Al-Anwâr li A‘mâl Al-Abrâr pula ketika membicarakan persyaratan kafir dzimmi di negeri Islam berkata:

Ertinya: “Mereka mesti menahan lidah mereka daripada memperdengarkan kepada orang-orang Islam tentang kemusyrikan mereka, aqidah tuhan tiga dalam satu, aqidah mereka terhadap Nabi Isa dan Nabi ‘Uzair ‘Alaihimassalam, menzahirkan arak, khinzîr, loceng gereja, hari-hari raya mereka, bacaan Taurat dan Injil secara nyaring dan membangun gereja dalam negeri kita.................” (Al-Anwâr 2/366)

Berdasarkan nash ini, orang-orang bukan Islam ketika menjual babi juga hendaklah secara terasing dan tidak dilihat oleh orang-orang Islam.

Dengan mengamati kenyataan penanya bahawa: “Baru-baru ini timbul pula masalah penjualan daging babi baik secara terang-terangan atau bersembunyi dan juga yang bercampur dengan daging atau barang-barang halal bagi makanan orang-orang Islam,” keadaan ini pada hakikatnya dirujukkan kepada penjualan daging babi di pasar raya di negara ini.

Lihatlah jika inilah keadaannya atau kedudukan daging babi telah bercampur-campur dengan daging halal atau dengan lain-lain barang yang halal, maka menjual daging babi bersama-sama dengan barang-barang halal di satu tempat atau bangunan yang sama itu adalah sangat-sangat ditegah dan tiada harus sama sekali. Ini kerana penjualan daging babi di setengah pasar raya sekarang di negara ini, sungguhpun dikatakan ianya ditempatkan di bilik khas yang terasing dan tidak bercampur dengan daging-daging bukan babi dan tidak dapat dilihat oleh orang-orang Islam, namun pasar raya itu juga masih turut menjual lain-lain barangan yang boleh dibeli oleh orang-orang Islam, iaitu dalam keadaan semua itu masih satu bangunan juga dan bahkan satu pengurusan. Perkara dan keadaan begini tidak sekali-kali dapat menjamin bahawa babi dan lain-lain barang itu tidak akan bercampur-aduk kerana sebelum ia (daging babi) dimasukkan di tempatnya yang khas itu, tentulah terlebih dahulu ia dibawa melalui cara yang sama dengan menggunakan bekas dan alat-alat yang sama pula, seperti bakul, troli, pisau, mesin pemotong daging dan lain-lain sebagainya.

Dalam erti kata lain, adalah sudah pasti tidak selamat jika penempatan penjualan daging babi dibuat dalam satu bangunan, apatah lagi jika pekerjanya terdiri daripada orang-orang bukan Islam yang memang tidak kenal mana halal dan mana haram, mana suci dan mana pula najis.

Berdasarkan pendapat Imam Nawawi dengan pengarang kitab Al-Anwâr di atas, maka tidaklah bagi pemerintah Islam itu menegah penyembelihan babi atau membawa masuk daging babi kerana harus bagi pemerintahan Islam mengambil jizyah daripada harga arak dan babi itu. Dalam kitab Al-Amwâl oleh Al-Imam Al-‘Azim Al-Hafiz Al-Hujjah Abu ‘Ubaid Al-Qasim bin Salam (yang meninggal dunia pada 224H.) ada menyebutkan

hukum ‘ ُذحأَخِيَةحا ْلحِزر’ِحر ِ وَا ْلحِنحزِيحمِن َ ا ْلحَم (mengambil jizyah daripada khamar dan khinzîr [babi]).

Al-Imam itu meriwayatkan, di antara lain:

Maksudnya: “Daripada Suwaid bin Ghafalah, katanya: “Dilaporkan kepada ‘Umar bin Al-Khaththab: “Sesungguhnya ada orang-orang Islam mengambil jizyah daripada binatang khinzîr (babi),” lantas Bilal bangun lalu berkata: “Sesungguhnya mereka (orang-orang Islam) itu benar-benar melakukannya (menjual khinzîr).” Jawab ‘Umar: “Jangan kamu lakukan (menjual khinzîr), beri kuasa mereka menjualnya, biarkan mereka - ahli dzimmah - dengan diberi kuasa menjual binatang khinzîr itu, kemudian ahli dzimmah itu menyerahkan jizyah kepada kamu dengan harga binatang khinzîr, bukan kamu mengambil alih menjual binatang khinzîr itu.” (Hadis riwayat Abu ‘Ubaid)

Maksudnya: “Daripada Suwaid bin Ghafalah: “Bilal berkata kepada ‘Umar bin Al- Khaththab: “Sesungguhnya pegawai-pegawai tuan telah mengambil arak dan binatang-binatang khinzir untuk membayar cukai tanah (خَرَاجَ), lalu ‘Umar berkata: “Jangan kamu ambil (arak dan binatang khinzîr) daripada ahli dzimmah, akan tetapi kamu beri kuasa menjualnya, kemudian kamu ambil harganya.” (Hadis riwayat Abu ‘Ubaid)

Berkata Abu ‘Ubaid (pengarang kitab Al-Amwâl, sebagai memberi ulasan kepada peristiwa ini) maksudnya: “Bahawa orang-orang Islam mengambil nilai atau harga arak dan binatang babi sebagai bayaran jizyah kepala dan cukai tanah ahli dzimmah, kemudian orang-orang bukan Islam melaksanakan jualan arak dan binatang babi itu. Inilah yang diingkari oleh Bilal dan larangan oleh ‘Umar, kemudian ‘Umar memberi kelonggaran kepada pegawai-pegawainya mengambil hasil jualan arak dan binatang babi itu, dengan syarat ahli dzimmahlah yang melaksanakan penjualannya kerana arak dan binatang khinzîr itu menjadi harta kepada ahli dzimmah dan tidak boleh menjadi harta bagi orang-orang Islam (Al-Amwâl li Abi ‘Ubaid m.s 63).

Berdasarkan riwayat ini arak dan babi itu adalah harus dalam negara Islam. Hanyasanya penjualan oleh orang-orang bukan Islam kepada sesama mereka hendaklah ia tertakluk kepada perkara-perkara yang dipersyaratkan iaitu antaranya, tiada dinampakkan kepada orang-orang Islam, hendaklah ianya berasingan yakni tiada dijual dalam satu tempat, umpamanya dalam sebuah pasar raya bersama-sama dengan barang-barang lain yang halal yang boleh dibeli oleh orang-orang Islam, atau ianya berasingan dari segi bangunan tetapi lokasinya di tengah-tengah tempat kediaman seperti di perkampungan-perkampungan yang terdapat orang Islam, atau tempat-tempat itu menjadi tumpuan orang ramai seperti bandar-bandar dan pekan-pekan dan seumpamanya.

(ii) Apabila orang Islam menjalankan urusan perniagaan, sama ada dia sendiri menguruskan perniagaan itu atau orang lain bagi pihaknya, maka ia tertakluk kepada syarat-syarat jual beli dalam Islam. Di antaranya, barang-barang yang didagangkan atau dijual itu hendaklah bersih ‘ainnya. Oleh yang demikian tidak sah jual beli benda atau barang yang najis ‘ainnya.

Imam Nawawi ketika membentangkan syarat-syarat bagi benda-benda yang hendak dijual menyatakan:

Ertinya: “Bagi barang-barang yang hendak dijual mempunyai syarat-syarat, bersih ‘ainnya, tidak sah menjual anjing, arak dan barang-barang yang kena najis yang tidak boleh dibersihkan seperti cuka (yang kena najis) dan susu, demikian juga minyak, menurut qaul yang ‘ashah’.”

Adapun sandaran pengharaman ini ialah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan RasulNya mengharamkan penjualan arak, bangkai, khinzîr (babi) dan patung-patung.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis di atas, maka haram ke atas orang Islam menjual daging babi sama ada secara langsung atau tidak, yakni sama ada dia sendiri yang menjualnya atau orang lain bagi pihaknya atau orang Islam itu berkongsi dengan orang bukan Islam.

Sayugialah diingat oleh orang Islam apabila menjalankan perniagaan, dia sebenarnya mengharapkan kurnia Allah:

Tafsirnya: “Mereka mencari sebahagian daripada kurnia Allah.” (Surah Al-Muzzammil: 20)

Hendaklah diingat juga bahawa peniaga yang benar dan amanah itu bersama para nabi, para shiddiqqîn dan para syuhadâ’. Maka di antara sifat para nabi dan shiddiqqîn itu ialah taqwa. Atas dasar taqwa itulah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memperingatkan para peniaga:

Maksudnya: “Sesungguhnya para peniaga akan dibangkitkan pada Hari Kiamat dalam keadaan berdosa, melainkan orang yang bertaqwa kepada Allah, membuat kebajikan dan bercakap benar.” (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim)

Di antara etika perniagaan dalam Islam, ialah barang-barang yang diperniagakan itu hendaklah halal dan bukan yang diharamkan oleh syara‘. Perkara ini jelas menurut sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Ertinya: “Allah telah melaknat orang-orang Yahudi, sesungguhnya Allah telah mengharamkan lemak ke atas mereka, lalu mereka menjualnya, kemudian memakan hasil harga jualannya. Dan sesungguhnya apabila Allah telah mengharamkan memakan sesuatu ke atas satu-satu kaum, maka Dia juga mengharamkan harganya ke atas mereka.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud daripada Ibnu ‘Abbas)

Kaedah fiqhhiyyah juga menyebutkan tentang haram mengambil hasil barang jualan yang haram:

Ertinya: “Setiap yang tidak dibolehkan memakannya atau meminumnya daripada makanan dan minuman itu, tidaklah dibolehkan menjualnya dan tidak halal memakan hasil harga jualannya.”

Kaedah ini antara lain didasarkan kepada hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Bahawa Baginda telah didatangi oleh seorang yang bersamanya bekas menyimpan (air) daripada kulit yang penuh dengan arak untuk dihadiahkannya kepada Nabi. Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada orang itu: “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan arak.” Sahut orang itu: “Kalau begitu aku jual sahaja arak tersebut.” Sabda Baginda: “Haram meminumnya, maka haram pula menjualnya.” Jawab orang itu lagi: “Kalau begitu, akan aku hadiahkan kepada orang Yahudi sebagai tanda persahabatan.” Sabda Baginda lagi: “Haram menjual dan meminumnya, haram pula menghadiahkannya kepada orang Yahudi.” Kata orang itu: “Apakah yang hendak saya lakukan dengan arak itu?” Sabda Baginda: “Pergilah dan jiruskan ke jalan.” (Hadis riwayat Al-Humaidi dalam Musnadnya)

Sesungguhynya bidang perniagaan sangatlah disukai oleh syara‘ dan ianya merupakan salah satu sumber rezeki kepada individu dan negara. Mencari rezeki dengan jalan perniagaan adalah mencari sebahagian daripada kurnia Allah. Lihat ayat dalam surah Al-Muzzammil di atas dan ayat-ayat berikut:

Maksudnya: “Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia daripada Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan haji).” (Surah Al-Baqarah: 198)

Tafsirnya: “Apabila telah ditunaikan sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah.” (Surah Al-Jumu‘ah: 10)

Namun sewaktu mengendalikan perniagaan atau bermuamalah dalam perniagaan, orang-orang Islam hendaklah mengikut etika perniagaan dalam Islam, terutamanya dalam perkara halal haram, najis dan tidak najisnya sesuatu yang diperniagakan itu dan lain-lain sebagaimana yang digariskan oleh ulama-ulama Islam mengenainya. Menjual barang-barang yang najis atau apa saja yang ditegah oleh syara‘ bukanlah sifat orang Islam yang bertaqwa. Ketiadaan sifat taqwa ini dengan sendirinya menjauhkan peniaga Islam daripada bersama-sama dengan para nabi, para shiddiqqîn dan para syuhadâ’, bahkan sebaliknya mereka akan dibangkitkan dalam keadaan berdosa.

Berkongsi niaga dengan orang bukan Islam tidaklah dilarang. Akan tetapi orang Islam hendaklah mengambil kira semua persoalan hukum halal haram, sebagaimana ketika dia berniaga secara bersendirian tanpa rakan kongsi dengan orang bukan Islam.

Peniaga Islam juga adalah terdedah kepada banyak hal yang mendorong kepada dosa, seperti memakan riba, berdusta, bersumpah, menipu, membelit, mengelirukan, mengurangi timbangan, mengurangi sukatan, menyorok barang-barang (untuk tujuan memonopoli).

Supaya peniaga-peniaga Islam itu tidak terjebak kepada hal-hal yang mendorong kepada dosa ini, sama ada secara disedari atau tidak, maka wajib mereka mempelajari hukum-hakam yang berkaitan dengan hukum jual beli. Inilah yang diperingatkan oleh pengarang kitab: Al-Nashâ‘ih Al-Dîniyyah wa Al-Washâyâ Al-خmâmiyyah yang juga membawakan nasihat Sayyidina ‘Umar Al-Khaththab: “Jika anda seorang pedagang yang berjual beli, maka wajib atasmu meninggalkan semua muamalah (berjual beli) yang tidak sah atau muamalah yang haram dan makruh. Untuk membezakan semua ini, hendaklah anda mempelajari hukum syara‘ dan melengkapkan diri dengan ilmu fiqh yang menentukan syarat-syarat berjual beli di dalam hukum Islam. Hal ini adalah wajib, tidak boleh diabaikan oleh setiap pedagang mukmin.

Berkata Sayyidina ‘Umar Ibnu Al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu: “Tidak boleh menjual atau membeli di pasar, melainkan orang itu telah terlebih dahulu mengetahui hukum berjual beli yang ditentukan oleh ilmu fiqh. Siapa yang tidak memenuhi syarat ini, dikhuatiri akan memakan riba sedang dia tiada mengetahui.”

Demikian pesanan Sayyidina ‘Umar Ibnu Al-Khaththab kepada sekalian pedagang muslimin. Memang apa yang dikatakan oleh beliau itu adalah benar dan sering berlaku kepada kebanyakan pedagang muslimin, sedang mereka tiada menyedari.

Apa yang dapat kita rumuskan dengan kedua-dua soalan ini ialah apabila peniaga Islam sendiri sama ada secara sedar atau tidak, telah menjual daging babi di gedung-gedung perniagaannya, atau peniaga-peniaga bukan Islam menjual daging babi di gedung-gedung perniagaannya, walaupun dikatakan telah terpisah di ruang yang terasing, tetapi masih di bangunan yang sama, maka keadaan itu menjadikan tiada jaminan bagi barang-barang jualan itu tidak akan bercampur-campur, sama ada percampuran itu melalui alat-alat kegunaan atau cara-cara pengendalian dan sebagainya. Oleh itu sayugia ia dilarang dan dielakkan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8056