Membeli Peralatan Daripada Bahagian Ashnâf Amil
Soalan: Dengan hormatnya, sukacita dimaklumkan bahawa Majlis Ugama Islam pada setiap tahun melantik amil-amil bagi mengutip zakat dan fitrah. Amil-amil yang dilantik ini termasuklah juga pegawai-pegawai Pejabat Majlis Ugama Islam. Di samping mengutip zakat dan fitrah amil-amil juga ditugaskan membuat penyiasatan terhadap fakir dan miskin. Tugas seperti ini juga dilaksanakan oleh amil-amil daripada pegawai Pejabat Majlis Ugama Islam di mana mereka akan membuat penyiasatan terhadap fakir miskin dan muallaf yang memohon bantuan sara hidup, membina rumah dan lain-lain. Oleh kerana segala hasil laporan penyiasatan yang telah dibuat itu akan dihadapkan kepada Jawatankuasa Mengeluarkan Zakat, maka kerja-kerja penyiasatan yang dibuat perlulah diteliti dan sempurna dan memerlukan peralatan-peralatan yang boleh membantu memudahkan penyiasatan berkenaan seperti kamera, komputer, alat-alat tulis dan lain-lain. Oleh yang demikian dipohonkan fatwa berikut:
Bolehkah baki bahagian amil yang tidak habis diberikan kepada amil digunakan membeli peralatan tersebut bagi kepentingan amil sendiri?
Jawapan: Dalam urutan ashnâf yang berhak menerima zakat yang disebutkan oleh Al- Qur’an selepas fakir miskin ialah amil.
Siapakah amil? Amil itu ialah orang yang dilantik oleh raja kerana memungut dan membahagikan zakat. Oleh sebab itu adalah wajib bagi kepala negara mengutus orang-orang yang akan memungut atau menerima zakat. Termasuk yang dimaksudkan dengan amil ialah:
(i) Kâtib iaitu orang yang menulis nama pemberi zakat dan apa-apa (harta) yang dibayar kepada orang yang berhak menerimanya.
(ii) Qâsim iaitu orang yang membahagikan zakat kepada orang yang berhak menerimanya.
(iii) Hâsyir iaitu orang yang menghimpunkan mereka yang wajib berzakat (mempunyai harta) atau orang-orang yang berhak menerima zakat.
(iv) ‘Arif iaitu orang yang mengenal pasti akan orang yang berhak menerima zakat.
(v) Hâsib iaitu orang yang menghitung harta zakat.
(vi) Hâfizh iaitu orang yang memelihara harta zakat.
(vii) Jundi iaitu orang yang mengawal harta zakat (askar).
(viii) Jadbi iaitu orang yang memaksa pada mengeluarkan zakat.
Jika melihat kepada nama-nama fungsi petugas zakat, nyatalah bahawa amil itu sangat penting. Banyak hadis-hadis yang menceritakan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengutus para sahabat Baginda ke daerah-daerah jauh di luar Kota Madinah untuk memungut zakat. Ini disebabkan di antara penduduknya terdapat orang kaya tetapi tidak mengetahui kadar yang wajib dizakat atau tidak mengetahui jenis-jenis yang wajib dizakat. Di samping itu ada pula orang kaya yang mengetahui hukum kewajipan berzakat, akan tetapi bakhil. Oleh sebab itu wajib adanya amil yang akan bertugas memungut zakat dan mengagihkan zakat itu kepada orang-orang yang berhak.
Zaman sekarang tugas memungut zakat semakin bertambah rumit, yang menjadikan tugas amil semakin berbagai-bagai dan bermacam-macam yang meliputi bagaimana cara mengumpul zakat.
Malah yang paling rumit ialah mengagihkan atau membahagi-bahagikan zakat. Pengagihan itu akan meliputi cara-cara yang terbaik untuk mengetahui orang-orang yang berhak menerima zakat, jumlah yang mencukupi bagi tiap-tiap penerima zakat berdasarkan keperluan masing-masing dan lain-lain.
Umpamanya keperluan orang miskin menurut Imam Nawawi dalam Raudhah Al- Thâlibîn 2/311:
Ertinya: “Yang mu‘tabar menurut pendapat kita yang dapat memenuhi keperluan miskin itu ialah kecukupan dan hajatnya yang meliputi makanan, minuman, pakaian, rumah dan lain-lain keperluan yang mesti berdasarkan yang selayaknya baginya pada waktu itu dengan tidak melakukan pembaziran dan tidak juga terlalu kecil, (keperluan itu) bagi dirinya dan bagi sesiapa yang di bawah tanggungannya.”
Berdasarkan apa yang dapat difahami daripada pendapat Imam Nawawi itu para amil akan mencatat segala keperluan orang-orang yang berhak menerima zakat daripada makanan, pakaian, tempat tinggal serta lain-lain keperluan sesuai dengan kedudukan atau status seseorang itu.
Lebih-lebih lagi zakat apabila sudah memenuhi syarat-syaratnya hendaklah diserahkan kepada ashnâf-ashnâf yang berhak dengan serta merta, kecuali bagi tujuan untuk menjaga daripada kerosakan. Ini jelas sebagaimana pendapat pengarang I‘ânah
Al-Thâlibîn:
Ertinya: “Wajib mengeluarkan zakat serta-merta sekalipun dia mempunyai hutang yang menghabiskan zakat yang mesti dijelaskan tanpa bertangguh, baik hutang itu kerana Allah atau kerana manusia, maka hutang ini tidak boleh menggugurkan kewajipan zakat - menurut qaul al-azhhar sekalipun zakat harta kanak-kanak kecil atau orang gila kerana hajat mustahiqqin (orang-orang yang berhak menerima zakat) terhadap zakat tersebut telah ada, dengan adanya kemungkinan dia boleh mengeluarkannya. Apabila menunda atau melewatkan pembayaran zakat itu, maka hukumnya berdosa dan dia menanggung (mengganti rugi) jika berlaku kerosakan setelah adanya kemungkinan boleh membayarnya (mengeluarkannya). Akan tetapi jikalau menunda atau melewatkan kerana menunggu kerabat, jiran, orang yang lebih memerlukan atau orang yang lebih utama, maka tidaklah dia berdosa, akan tetapi dia akan tetap menanggung (mengganti rugi) jika berlaku kerosakan.”
Untuk memastikan orang-orang yang berhak menerima zakat atau yang ditolak permohonannya, sudah tentu mempunyai data-data atau keterangan-keterangan mengenai diri masing-masing. Kerja-kerja ini dengan sendirinya memerlukan penyelidikan mengenai diri pemohon. Selain daripada memerlukan kecekapan petugas-petugas atau amil-amil, maka di zaman sekarang ini, keberkesanan pengurusan akan dibantu oleh alat-alat dan lain-lain kemudahan. Penggunaan teknologi tidak syak lagi boleh membantu mencapai sistem pengurusan yang cekap dan teratur. Ini dengan sendirinya menjadi faktor penting dalam urusan pentadbiran, termasuk urusan pungutan dan pengagihan zakat.
Oleh hal yang demikian, jika alat-alat seperti komputer, kamera dan lain-lain seumpamanya merupakan keperluan dalam pengurusan pengutipan dan pengagihan zakat yang sangat berkesan bagi mencapai kesempurnaan dan kecekapan pengurusan zakat, adalah harus alat-alat itu dibeli daripada bahagian ashnâf amil atau Baitulmal.
Namun demikian, oleh kerana masalah keperluan membeli alat-alat tersebut adalah subjektif dan terlepas daripada menggunakan harta zakat dengan tidak memenuhi syarat-syaratnya, maka pembelian itu hendaklah benar-benar memenuhi keperluan yang berkaitan dengan kesempurnaan dan kecekapan pengutipan atau pengagihan zakat. Dalam erti kata yang lain, ketiadaan alat-alat tersebut akan menjejaskan maksud kesempurnaan dan kecekapan itu.
Untuk memastikan sama ada alat-alat yang dimaksudkan boleh dibeli daripada bahagian ashnâf amil, maka para pegawai amil sesuai dengan jawatan mereka itu hendaklah sentiasa jujur serta memahami hukum-hukum fiqh zakat dan hendaklah mengambil kira pembelian daripada lebihan bahagian ashnâf amil setelah memerhati kaedah-kaedah fiqhiyyah seperti:
Ertinya: “Kesukaran mendatangkan kemudahan.”
Ertinya: “Jikalau sempit suatu urusan akan menjadi luas.”
Ertinya: “Hajat menempati darurat.”
Keharusan membeli alat-alat seperti komputer dan kamera yang dimaksudkan hendaklah mengambil ingatan bahawa keperluannya ada kaitan dengan tugas-tugas kesempurnaan dan kecekapan pengurusan zakat yang meliputi pengumpulan dan pengagihan. Ketiadaan alat-alat tersebut pula akan menjejaskan urusan-urusan zakat yang dimaksudkan, bahkan disedari sebahagian daripada alat-alat itu termasuklah kertas, alat-alat tulis, borang-borang permohonan zakat dan lain-lain seumpamanya. Dengan ketiadaan barang-barang itu, data-data atau keterangan pemberi dan penerima-penerima zakat dan lain-lain urusan yang berkaitan dengannya tidak akan dapat dicatat. Jika ini berlaku wajiblah diadakan barang-barang tersebut, sesuai dengan kaedah ushûliyyah:
Ertinya: “Sesuatu perkara tidak akan sempurna melainkan dengan mengadakan perkara itu, maka mengadakan perkara itu menjadi wajib.”
Memang amil itu ialah petugas yang diberi upah sesuai dengan pekerjaannya, tidak terlalu kecil dan tidak juga berlebihan. Upah itu tidaklah sama di antara seorang amil dengan seorang amil yang lain, bergantung kepada berat atau ringan pekerjaan amil itu. Umpamanya amil yang menyampaikan zakat kepada penerima yang tinggal jauh, tidak sama dengan yang tinggal dekat. Susah dan senang bagi amil sewaktu menjalankan tugasnya akan mempengaruhi jumlah upah yang patut diterima oleh amil termasuk juga kenderaan atau alat-alat yang digunakan kerana menyampaikan atau mengendalikan zakat itu.
Oleh kerana itu, dalam keharusan menggunakan bahagian ashnâf amil bagi tujuan-tujuan membeli alat-alat seperti komputer tersebut, maka para amil mengambil ingatan terhadap amaran-amaran yang disebutkan oleh hadis-hadis mengenai penggunaan zakat supaya tidak terambil atau digunakan harta zakat itu bukan kerana tujuan zakat itu sendiri. Di antara hadis-hadis itu ialah:
Suatu hadis daripada ‘Adiy bin ‘Amirah Al-Kindiy, ia berkata:
Maksudnya: “Saya dengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengatakan, bahawa barangsiapa di antara kamu kami angkat jadi amil zakat, lalu dia gelapkan sebatang jarum atau lebih, maka pada Hari Kiamat dia akan datang sebagai pengkhianat.” Lalu berdirilah seorang hitam daripada kalangan Anshar, nampaknya saya pernah melihatnya. Dia berkata: “Wahai Rasulullah, jelaskan kepadaku pekerjaan yang engkau maksudkan itu.” Nabi bersabda: “Ada apa denganmu?” Dia berkata: “Saya dengar engkau katakan begini, begini”. Maka Nabi bersabda: “Baiklah saya katakan sekarang. Barangsiapa di antara kamu aku angkat jadi pelaksana suatu pekerjaan, hendaklah dia laporkan hasil kerjanya, baik dia peroleh sedikit ataupun banyak.” Lalu dia mengambil apa yang aku berikan, dan yang aku larang tidak dia ambil.” (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan yang lain)
Maksudnya: “Daripada Abu Rafi’, katanya: “Suatu ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila selesai sembahyang Asar, Baginda pergi ke Bani Abd Al-Asyhal, dan bercakap-cakap bersama mereka sehingga Baginda beredar untuk menunaikan sembahyang Maghrib.” Abu Rafi’ berkata lagi: “Ketika Baginda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berjalan dengan bersegera untuk menunaikan sembahyang Maghrib, kami berlalu di kawasan Baqi’, lalu Baginda bersabda: “Celaka bagimu, celaka bagimu.” Abu Rafi’ berkata: “Maka kata-kata Baginda terasa berat bagiku dan aku pun berjalan perlahan dan aku beranggapan bahawa kata-kata itu ditujukan Baginda kepadaku.” Baginda bersabda: “Apa yang terjadi padamu, berjalanlah!” Aku berkata: “Adakah aku melakukan sesuatu?” Baginda bertanya: “Apa dia?” Aku berkata: “Tuan mencela saya?” Baginda bersabda: “Tidak, akan tetapi si polan ini aku kirim memungut zakat ke bani (polan), lalu dia gelapkan sehelai kain lurik daripada bulu, maka sekarang dia dipakaikan yang seumpamanya daripada api neraka.” (Hadis riwayat Nasa’i)
Kesimpulannya sungguhpun harus menggunakan bahagian ashnâf amil untuk membeli peralatan seperti komputer dan lain-lain bagi tujuan pengurusan yang cekap dan teratur dalam pengutipan dan pengagihan zakat di mana ketiadaannya akan menjejaskan kelancaran dalam urusan berkenaan, tetapi hendaklah diingat bahawa penggunaan itu mestilah sekadar yang benar-benar perlu sahaja dengan pengendalian yang penuh tanggungjawab serta amanah dan tidak ada sedikitpun penggunaan itu membazir atau sia-sia.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8089
