Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Membina Bangunan Yang Mempunyai Surau Di Tanah Yang Diwakafkan Untuk Surau Semata-Mata

Soalan: Dengan hormat sukacita dimaklumkan bahawa Majlis Ugama Islam ada memiliki sekeping tanah wakaf. Tanah wakaf tersebut adalah wakaf daripada Dayang Polanah yang berkeluasan sebanyak 0.5 ekar bagi maksud semata-mata untuk mendirikan surau di atasnya.

Disebabkan kedudukan tanah wakaf tersebut terletak di tengah-tengah kawasan perniagaan, maka tapak tanah tersebut memanglah berpotensi dimajukan bagi tujuan perniagaan bagi hasrat melaksanakan sebahagian daripada rancangan pelaburan Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam.

Bagi melaksanakan maksud di perenggan (1) dan (2) di atas, adalah dipohonkan fatwa mengenai perkara berikut:

“Di samping melaksanakan pembinaan surau di atas tanah tersebut sebagaimana kehendak orang yang berwakaf, adakah boleh dibina bangunan-bangunan atau ruang-ruang lain di atas bagi tujuan-tujuan perniagaan. Misalnya di tingkat bawah didirikan surau manakala di tingkat atas pula didirikan ruang-ruang kedai, pejabat dan tempat tinggal?”

Jawapan: Seorang yang berwakaf sekeping tanah bagi maksud semata-mata untuk mendirikan surau di atas tanah itu, maka mestilah diikuti niat pewakaf itu dan dengan segala syarat-syaratnya selama mana syarat-syarat itu memenuhi kehendak syara‘ atau tidak bercanggah dengan syara‘. Perkara ini ditegaskan oleh pengarang Fath Al-Mu‘în.

Ertinya: “Apabila disyaratkan oleh pewakaf dengan sesuatu syarat yang dia maksudkan, seperti mensyaratkan untuk tidak disewakan secara mutlak, atau melainkan sekian: seperti setahun, atau mensyaratkan dengan diberi keutamaan kepada sebahagian daripada orang yang diwakafkan (mauqûf ‘alaihi) lebih daripada yang lain, atau mensyaratkan memberi keutamaan kepada perempuan lebih daripada lelaki, atau mensyaratkan disama-ratakan (pembahagian) di kalangan mereka atau disyaratkan pengkhususan terhadap masjid, seperti (masjid) ialah madrasah, tanah perkuburan bagi golongan tertentu seperti penganut mazhab Syafi‘e, hendaklah diikuti (atau dipatuhi) syarat-syarat pewakaf itu - bukan dalam keadaan darurat - demikian juga syarat-syarat lainnya yang tidak bertentangan dengan syara‘.” (I‘ânah Al-Thâlibîn 3/199-200)

Menurut Imam Nawawi mengenai kewajipan mengikut syarat-syarat pewakaf katanya:

Ertinya: “Menurut qaul al-ashah bahawasanya, jika seseorang berwakaf dengan bersyarat supaya tidak disewakan, maka hendaklah diikuti syaratnya itu. Dan sesungguhnya jika seseorang mensyaratkan wakaf masjid khusus kepada golongan pengikut-pengikut mazhab Syafi‘e, maka hendaklah dipatuhi (syarat) pengkhususan itu seperti (pengkhususan untuk) sekolah dan asrama.” (Mughnî Al-Muhtâj 2/522)

Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz, Mufti Kerajaan Brunei, apabila ditanya mengenai:

“ (1) Dalam kawasan Masjid Sengkurong ada didirikan sebuah bangunan dekat bangunan masjid itu. Bangunan tersebut di antaranya digunakan untuk tempat berjamu, seperti berjamu sesudah bertadarus. Bolehkah bangunan itu dijadikan tempat belajar agama yakni untuk kanak-kanak belajar seperti sekolah agama?

(2) Penduduk sebuah kampung memerlukan supaya kanak-kanak mereka belajar agama dan tiada ada tempat untuk itu kerana bangunan sekolah Melayu yang biasa digunakan sebagai sekolah agama telah tidak ada kosong lagi dan ada satu cadangan untuk mendirikan bangunan dalam kawasan masjid di kampung itu bagi maksud tempat belajar agama yakni untuk kanak-kanak belajar seperti sekolah agama dan juga kegunaan-kegunaan masjid seperti di ceraian (1) di atas. Bagaimanakah kedudukan perkara tersebut?”

Allahyarham memfatwakan:

“Jika bangunan itu tiada dinamakan masjid, maka ia bukan masjid, sekalipun ia diwaqafkan untuk maslahat masjid.

Adapun jika bangunan itu waqaf bagi maslahat masjid, kemudian hendak dijadikan dia sebagai sekolah dengan mempunyai bilik-bilik atau bangku-bangku dan meja-meja jadi rupa dan keadaan sekolah, sudah tentu mengubah tujuan bagi mendirikan bangunan itu kerana sesuatu waqaf mestilah mengikut syarat-syarat waqaf yang ada padanya.

Jika kiranya bangunan itu, bangunan bagi maslahat masjid dan bukan ia waqaf maka zahirnya juga berkehendakkan kebenaran daripada orang yang berderma itu pada menukarkan tujuan daripada maslahat masjid kepada tujuan menjadikan dia sekolah.

Adapun belajar mengaji Qur’an dan ilmu agama dalam bangunan itu adalah harus kiranya tiada mengacau dan mengharu lain orang pada menggunakan dia dengan menyempitkan dia dengan perkakas sekolah.

........ derma sesuatu atau membuat sesuatu mestilah ia mengikut niat yang menderma atau yang membuatnya. Dan syarat-syarat waqaf mestilah dipatuhi dan masjid atau bangunan dalam soal ini boleh digunakan tempat mengaji dan mengajar.

Jika tanah itu waqaf masjid, maka tanah itu adalah ia masjid, sekalipun tiada ada bangunan masjid di atasnya. Dan tiadalah dapat dijadikan lain daripada masjid.

Adapun jika tanah itu waqaf bagi masjid dan maslahat masjid, maka tiadalah dapat didirikan sekolah di atas tanah masjid itu kerana sekolah bukan masjid dan bukan maslahat masjid.

(2) Jika tanah itu bukan waqaf dan tanah itu diuntukkan masjid dan maslahat masjid, maka tiada juga boleh didirikan sekolah di atas tanah itu kerana sekolah bukan ia maslahat masjid.

........... maka sekolah bukan dari maslahat masjid kerana dia tiada ada hubungan dengan bangunan masjid atau tiada ada hubungan dengan meriahkan masjid dan ihya’ akannya, wallahu a‘lam.” (Siri Fatwa 44/75)

Jika melihat kepada qaul-qaul ulama di atas, maka tidaklah harus membina selain yang dimaksudkan oleh pewakaf, seperti membina bangunan-bangunan lain dengan tujuan, umpamanya di tingkat bawah ialah surau manakala di tingkat atas dijadikan ruang-ruang kedai, pejabat dan tempat tinggal kerana tingkat mana satu pun yang akan digunakan bagi tujuan yang lain itu selain daripada tujuan dan maslahat untuk surau, adalah ianya masih tetap terkandung dan terletak di atas tanah wakaf (tapak bagi surau), kecuali kiranya ia terkandung dalam syarat yang dipersyaratkan oleh pewakaf itu sendiri.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8096