Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Menangguhkan Menunaikan Ibadat Haji

Soalan: Dengan penuh hormat dan takzim sukacita dipohonkan fatwa mengenai Penangguhan Menunaikan Haji untuk bahan rujukan dan sandaran di Kementerian Pertahanan.

Jawapan: Melaksanakan ibadat haji merupakan salah satu rukun Islam dan ia wajib dilakukan sekali seumur hidup, kecuali sekiranya dinazarkan. Dalil wajib haji itu termasuk juga umrah seperti firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan ‘umrah kerana Allah.” (Surah Al-Baqarah: 196) FirmanNya lagi:

Tafsirnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” (Surah Ali‘Imran: 97) Adapun dalil tentang kewajipan menunaikan haji hanya sekali dalam seumur hidup telah disebutkan dalam hadis:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah berkhutbah kepada kami. Sabdanya: “Wahai manusia, sesungguhnya Allah telah mewajibkan haji ke atas kamu, oleh sebab itu kerjakanlah haji itu.” Seorang lelaki bertanya: “Adakah tiap-tiap tahun wahai Rasulullah?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam diam tidak menjawab, sehingga lelaki itu mengulang-ulang pertanyaannya sebanyak tiga kali. Selepas itu barulah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Jikalau aku menjawab “ya”, nescaya wajiblah ianya (setiap tahun) dan kamu tidak akan berupaya melakukannya.” Seterusnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda lagi: “Biarkanlah aku (jangan kamu tanya) tentang apa yang aku tinggalkan (yang tidak aku sebutkan) kepada kamu. Sesungguhnya telah binasa orang-orang yang sebelum kamu adalah dengan sebab banyaknya pertanyaan-pertanyaan dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka. Maka apabila aku menyuruh kamu dengan satu-satu perintah itu, kamu laksanakanlah sesuai dengan keupayaan kamu dan apabila aku melarang kamu daripada (mengerjakan) sesuatu, maka kamu tinggalkanlah ianya.” (Hadis riwayat Muslim)

Walau bagaimanapun kewajipan ini tertakluk kepada syarat-syarat yang diperlukan iaitu: Islam, mukallaf, merdeka dan berkeupayaan (Istithâ‘ah).

Mengikut Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali, apabila syarat-syarat wajib haji sudah sempurna pada diri seseorang, maka wajiblah dia terus pergi melaksanakan haji tanpa melengah-lengahkannya atau tanpa bertangguh-tangguh.

Namun menurut mazhab kita Syafi‘e, ia wajib dilakukan dengan secara tarâkhi (yakni boleh ditangguhkan). Jika ditangguhkan daripada tahun yang dia upaya ke tahun yang lain, maka tidaklah dia derhaka (berdosa) dengan sebab penangguhan itu, akan tetap tertakluk dengan dua syarat:

Pertama: Tidak ditakuti luput haji, sama ada disebabkan usia sudah lanjut dan tidak lagi berupaya melakukannya, atau sama ada wang perbelanjaannya itu akan habis.

Maka jika ditakuti haji tidak dapat dilakukan disebabkan usia sudah lanjut dan tidak berupaya lagi mengerjakannya, atau perbelanjaan yang sudah sedia ada akan habis sekiranya ditangguhkan, maka tidak lagi boleh ditangguhkan, bahkan wajiblah dilakukan dengan bersegera. Melewatkan atau menangguhkan dalam keadaan yang demikian adalah berdosa.

Kedua: Hendaklah berazam akan melakukan haji itu sekiranya ia ditangguhkan dengan ada syarat yang pertama. Sekiranya tidak ada azam ini, maka berdosalah membuat penangguhan itu.

Berkata Imam Nawawi:

Ertinya: “Apabila sudah diperolehi syarat-syarat wajib haji, maka wajiblah ia secara tarâkhi, dan orang berkenaan boleh menangguhkannya selama dia tidak takut mati (sebelum melakukannya), tetapi sekiranya dia khuatir dia akan mati sebelum sempat melakukannya atau peruntukan perbelanjaan untuk haji akan habis, maka haramlah keatasnya menangguhkannya mengikut pendapat yang ashah. Inilah mazhab kita.” (Al-Idhâh h. 104)

Tersebut di dalam kitab I‘ânah Al-Thâlibîn bahawa haji dan umrah itu sekali dalam seumur hidup, boleh ditangguh atau dikemudiankan atau tidak dengan segera. Mengenai dengan penangguhan sebagaimana nashnya:

Ertinya: “Sesungguhnya harus dikemudiankan mengerjakan haji itu dengan syarat mestilah ada azam hendak menunaikan haji atau umrah itu pada masa akan datang, dan tidak berlaku kesuntukan (sempit) masa haji atau umrah itu dengan adanya nazar haji, atau qadha haji atau takut lemah badan untuk pergi berhaji atau binasa harta untuk haji dengan ada tanda-tanda sedemikian itu sekalipun tanda-tanda itu lemah.” (I‘ânah Al-Thâlibîn 2/321-322).

Dengan hal yang demikian, maka syarat boleh menangguhkan haji bagi orang yang sudah cukup syarat-syarat wajib haji itu, adalah berkisar pada beberapa faktor berpandukan tanda-tanda yang zahir, seperti badannya masih sihat, umur belum lanjut dan tidak sering-sering sakit, di mana dengan berat sangka apabila ditangguhkannya dia masih akan hidup pada tahun berikutnya atau perbelanjaan yang sudah cukup itu akan masih tetap ada dan mencukupi, tidak habis atau hilang. Di samping juga disyaratkan mesti ada azam untuk menunaikannya.

Mengenai kedudukan azam ini, Al-Imam Al-Ghazali Rahimahullah menjelaskan:

Ertinya: “Melaksanakan perintah tidak boleh dilambat-lambatkan melainkan dengan syarat ada azam (akan melakukannya dalam waktunya). Dan tidak boleh pula membuat azam untuk menangguhkan kewajiban itu melainkan dia bersangka kuat bahawa dia masih akan hidup sehingga habis masa tuntutan perintah. Seperti dia melambatkan sembahyang dari satu saat ke saat lain, menangguhkan puasa (ganti) dari satu hari ke hari lain yang disertai azam akan melakukannya pada bila-bila masa saja, dan begitu juga menangguhkan haji dari satu tahun ke tahun lain.” (Al-Mustashfâ 1/71)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8101