Menerima Sumbangan Daripada Syarikat Dan Bank Konvensional
Soalan: Alhamdulillah dengan hormatnya dimaklumkan bahawa pada lazimnya hari-hari kebesaran Islam seperti Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, Awal Tahun Hijrah, Nuzul Al-Qur’an dan Isra’ dan Mi‘raj serta Musâbaqah Membaca Al- Qur’an diadakan dan disambut secara meriah dan menggalakkan di negara ini.
Untuk mengadakan majlis Musâbaqah Membaca Al-Qur’an dan sambutan hari-hari kebesaran Islam itu tentulah memerlukan perbelanjaan yang banyak. Biasanya perbelanjaan itu sebahagian besarnya dibiayai oleh pihak kerajaan seperti untuk hadiah, sagu hati, cenderamata dan jamuan. Sebahagian perbelanjaan pula diperolehi melalui bantuan sumbangan derma daripada orang perseorangan, syarikat-syarikat perniagaan, bank-bank kewangan konvensional dan syarikat kewangan Islam.
Berhubungan dengan perkara di atas, kaola dengan hormatnya memohonkan fatwa Pehin mengenai dengan bantuan sumbangan derma kewangan, cenderamata atau seumpamanya yang diperolehi daripada syarikat/bank konvensional (mengamalkan riba dalam urusniaganya).
Jawapan: Bank-bank konvensional pada lazimnya tidak sunyi daripada bermuamalah secara riba, terutama dalam soal pinjam-meminjam. Riba itu haram dalam Islam berdasarkan Al-Qur’an dan hadis. Namun demikian bank konvensional ada juga bermuamalah dengan perkara-perkara yang dibenarkan oleh syara‘ seperti mengendalikan tukaran wang asing, perkhidmatan pengiriman wang, upah menyimpan harta benda dan lain-lain seumpamanya.
Apabila kedudukan sesebuah bank konvensional seperti di atas, bermakna bank memiliki harta yang bercampur-campur daripada sumber yang haram dan daripada yang halal. Mungkin susah untuk membezakan di antara keduanya.
Mengenai harta yang haram, para jumhûr ulama mengharuskan wang haram dibelanjakan bagi maslahat umat Islam berdasarkan hadis yang dibawakan oleh Al-Ghazali dalam kitabnya Ihyâ’ Ulûm Al-Dîn di bawah tajuk “Halal Haram” dan Al-Iraqi telah mengeluarkan hadis daripada Al-Imam Ahmad dengan sanadnya yang bagus, daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dihadiahkan seekor kambing panggang. Aku (‘Aisyah) mengatakan kepada Baginda, bahawa daging itu haram, Nabi pun tidak memakannya, (sebaliknya) memerintahkannya supaya diberikan. Baginda bersabda: “Beri makan kambing panggang itu kepada orang-orang tawanan.” (Hadis riwayat Ahmad )
Menurut Al-Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihyâ’ Ulûm Al-Dîn: “Jika bercampur benda-benda halal yang tidak terbatas dengan benda-benda haram yang tidak terbatas, seperti mana harta-harta yang ada pada masa kini, maka tidak haram mengambil sesuatu daripadanya walaupun ia mengandungi benda-benda halal dan haram itu, melainkan ada bukti yang menunjukkan benda-benda itu haram. Kalau tidak ada pada benda itu sesuatu tanda yang menunjukkan ianya haram, meninggalkannya adalah warâ‘ dan mengambilnya adalah halal yang tidak akan menjadi fâsiq memakannya.
Telah dimaklumi di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para Khulafa Al-Rasyidin dan sesudahnya bahawa ada harga-harga arak dan dirham-dirham riba daripada tangan kafir dzimmi (kafir yang dijamin keselamatannya oleh pemerintah Islam) bercampur-baur dengan harta-harta lain, dan begitu juga harta-harta yang diambil daripada harta rampasan perang.
Dan daripada waktu di mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengharamkan riba di musim haji Wada‘ tidaklah semua manusia meninggalkan riba seluruhnya, sebagaimana mereka tidak meninggalkan minuman arak dan maksiat-maksiat yang lain, sehingga diriwayatkan bahawa setengah sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menjual arak, lalu berkata ‘Umar Radhiallahu ‘anhu: “Dikutuk Allah kiranya si polan yang menjadi orang pertama yang menjalankan penjualan arak kerana dia tidak memahami bahawa pengharaman arak itu adalah (termasuk juga) pengharaman harganya.”
Di samping itu pula beberapa orang sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mendapat akan amîr-amîr yang zalim, dan tidak seorangpun daripada para sahabat itu melarang berjual beli di pasar disebabkan adanya perompakan di Kota Madinah, sedang Kota Madinah itu telah dirompak oleh kawan-kawan Yazid selama tiga hari lamanya.
Adapun orang-orang yang enggan berjual beli daripada harta-harta (yang bercampur itu) hanyalah menunjukkan sifat warâ‘, sedangkan banyak ulama tidakpun menegah berjual beli dengan harta-harta yang bercampur-campur itu padahal banyak harta-harta dirompak pada masa-masa pemerintahan orang-orang yang zalim.”
Berdasarkan pandangan Al-Ghazali di atas adalah harus membeli atau mengambil barang-barang yang bercampur-aduk di antara halal dan haram.
Oleh yang demikian, perkara mendapat bantuan sama ada sumbangan berupa kewangan, cenderamata atau yang seumpamanya daripada syarikat-syarikat atau bank konvensional adalah tidak mengapa diterima daripada pihak-pihak itu.
Bagaimanapun, menurut Al-Ghazali sendiri tentang benda-benda halal dan haram yang bercampur-baur dengan tidak terbatas, jika pada benda-benda itu tiada terdapat suatu tanda yang menunjukkan haramnya, maka meninggalkannya adalah warâ‘, dan mengambilnya pula dibolehkan tiada menjadi fâsiq.
Apakah makna warâ‘? Menurut daripada Mu‘jam Lughah Al-Fuqahâ’, ialah:
Ertinya: “Menjauhi segala syubhah kerana takut terjatuh dalam haram”.
Makna yang lain:
Ertinya: “Melazimkan membuat pekerjaan-pekerjaan yang terpuji dan meninggalkan pekerjaan-pekerjaan yang buruk dan keji.”
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8105
