Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Doa Selamat Sempena Menyambut Awal Tahun Masihi 2000

Soalan: Dengan hormat dan sukacita memohonkan Fatwa daripada Yang Dimuliakan Pehin mengenai bacaan doa untuk menyambut awal tahun Masihi 2000. Untuk makluman Yang Dimuliakan Pehin, Jabatan Hal Ehwal Masjid biasanya hanya menghantar pembaca doa bagi menyambut awal tahun Hijrah sahaja.

Jawapan: Awal tahun yang masyhur dan dikenali secara meluas di kalangan masyarakat antarabangsa hanya dua, iaitu awal tahun Hijrah dan awal tahun Masihi.

Awal tahun Hijrah secara khusus hanya terkenal dalam masyarakat Islam kerana ia dikaitkan dengan Islam dan bulan-bulan Islam. Kaitan ini berlaku sejak zaman Sayyidina Umar bin Al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu.

Semenjak daripada pengisytiharan Sayyidina Umar tentang awal tahun bagi umat Islam, maka awal tahun Hijrah telah dimasukkan di dalam salah satu syiar yang disambut secara khusus oleh umat Islam setiap kali ia menjelang dengan sambutan yang bercorak keagamaan dengan berbagai-bagai acara, semata-mata untuk menghidupkan semangat hijrah bagi Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Di antara sambutan-sambutan itu ialah mengadakan majlis-majlis sambutan awal tahun Hijrah yang diisi dengan acara-acara seperti memberi penghargaan kepada orang-orang yang berjasa terhadap agama dan ummah, ucapan, syarahan, bahkan dengan mengadakan majlis membaca doa akhir tahun dan awal tahun Hijrah yang dikaitkan dengan peristiwa tersebut yang kesemuanya berbentuk kebajikan yang boleh membawa kepada mendapatkan pahala.

Perkara menyambut awal tahun Hijrah di negara kita bukanlah suatu yang asing. Sambutan yang sama juga dibuat oleh masyarakat Islam, khasnya di kawasan Asia Tenggara dengan cara yang tersendiri.

Kemudian, awal tahun Hijrah ini dikira bermula daripada malam 1hb. Muharram selepas berakhir pusingan dua belas bulan Islam. Bulan yang terakhir ialah Zulhijjah.

Di dalam Islam hanya bulan-bulan inilah yang dinamakan bulan-bulan Islam dan yang diiktiraf oleh Allah Ta‘ala sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi...” (Surah Al-Taubah: 36)

Adapun awal tahun Masihi, ianya memang dikenali oleh masyarakat antarabangsa. Bagi orang-orang Kristian pula, ianya turut dikaitkan dengan hari-hari kebesaran mereka.

Berdasarkan kepada kenyataan dan kejadian yang lazim menyambut ketibaan awal tahun Masihi itu hanyalah dilakukan oleh orang-orang bukan Islam, khasnya orang-orang Kristian sekalipun tidak dinafikan terdapat juga sebahagian orang Islam yang terikut-ikut dengan mereka.

Sambutan ini pada kebiasaannya akan sampai di puncaknya pada jam 12.01 tengah malam 1hb. Januari pada setiap tahun, dengan sorak-sorai, pekikan, tarian dan nyanyian, dan campur gaul antara lelaki dan perempuan dan lain-lain acara lagi yang pada umumnya dianggap oleh Islam sebagai kemungkaran dan perbuatan maksiat. Minuman arak sudah tentu tidak terkecuali menghias dan memeriahkan lagi sambutan ini.

Inilah di antara tradisi yang berlaku yang dapat disaksikan pada setiap tahun orang menyambut awal tahun Masihi itu. Orang-orang Islam tidak kurang terikut-ikut seperti itu juga.

Sekarang, Radio Televisyen Brunei sedang merancang untuk menyambut tahun baru Masihi (alaf baru tahun 2000) yang akan diadakan tepat jam 12.00 tengah malam (selepas 31 Disember 1999), di mana salah satu acaranya ialah doa.

Keinginan Radio Televisyen Brunei untuk menjadikan doa sebagai salah satu acara itu adalah dipuji. Akan tetapi, menghubungkannya dengan sambutan awal tahun Masihi tidaklah kena.

Sebenarnya, doa memang boleh dibaca pada bila-bila masa tanpa terikat dengan hari atau waktu, termasuk berdoa di awal tahun Hijrah atau awal tahun Masihi. Bahkan ada hari-hari atau waktu-waktu tertentu di dalam Islam yang digalakkan benar-benar orang berdoa, seperti:

1) Pada malam Lailatulqadar.

2) Pada hari ‘Arafah.

3) Di satu pertiga waktu malam dan selepas menunaikan sembahyang fardhu.

4) Di sepanjang bulan Ramadhan.

5) Pada hari dan malam Jumaat.

6) Di antara azan dan iqâmah.

7) Ketika berhadapan dengan musuh dalam peperangan.

8) Ketika sujud dalam sembahyang.

9) Ketika mendengar kokokan ayam.

10) Ketika hujan.

11) Ketika minum air Zamzam.

12) Ketika membaca Al-Qur’an terutama apabila khatam.

13) Di tempat-tempat yang mulia kerana keberkatan dan kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah seperti di Masjid Al-Haram, Masjid Al-Nabawi dan Masjid Al-Aqsa. Para ulama berpendapat bahawa berdoa di tempat-tempat ini adalah mustajâb kerana melihat kepada keberkatan dan kemuliaannya di samping rahmat Allah yang luas di tempat-tempat tersebut.

Perkara di atas disebut dengan terperinci dalam kitab-kitab Fadhâ’il Al-A‘mâl.

Membaca doa pada tengah malam awal tahun Masihi atau alaf baru tahun 2000 tidaklah mengapa, lebih-lebih lagi pada masa itu kebetulan tengah malam bulan Ramadhan, bulan yang penuh berkat. Akan tetapi menghubungkannya dengan sambutan tahun baru Masihi, yakni menyempenakannya dengan sambutan itulah yang tidak kena, lebih-lebih lagi jika terdapat juga acara lain yang tidak bersesuaian dengan ajaran dan kehendak agama.

Kita mestilah ingat, bahawa 1 Januari itu biasanya dihubungkan dengan hari kebesaran orang-orang Kristian. Pada malam ini mereka akan berpesta menyambutnya dengan cara yang berlebih-lebihan, dan lebih istimewa lagi tahun ini, tentu saja sambutan itu akan lebih besar dan hebat lagi kerana ianya dikaitkan dengan permulaan alaf baru abad ke 21. Apakah kita orang-orang Islam juga mahu merayakannya, sama betul-betul seperti orang lain merayakannya dengan semangat, perasaan dan tujuan yang khusus semata-mata untuk membesarkan tahun baru ini?

Sayugia diingat, bahawa menyambut tahun baru Masihi itu bukanlah daripada budaya orang-orang Islam. Ia tiada kena mengena dengan Islam. Ia hanya sambutan suka-suka yang dipelopori oleh orang-orang di luar Islam. Sebab itulah kita mendapatinya sungguh meluas di negara-negara barat dan juga negara-negara lain yang menirunya.

Islam tidak merestui sambutan-sambutan seperti itu, lebih-lebih lagi jika ia bercorak keagamaan yang lain daripada Islam. Oleh kerana itu orang Islam tidaklah sayugia turut membesar-besarkannya seperti orang lain membesarkannya, kerana yang demikian itu dikhuatiri akan membawa tasyabbuh (menyerupai) orang yang beragama lain itu. Perkara ini sungguh-sungguh dilarang oleh Islam, sehingga Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memberi amaran mengenainya, sabda Baginda:

Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai satu-satu kaum, maka tergolonglah dia daripada kalangan mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Hal ini sebanding dengan yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr:

Maksudnya: “Barangsiapa berdiam di negeri kaum musyrikin mengadakan upacara Nairuz dan festival seperti mereka dan meyerupai (meniru) mereka hingga dia meninggal dunia, maka dia akan dikumpulkan bersama mereka pada Hari Kiamat.” (Muhaqqiq berkata: Diriwayatkan oleh Baihaqi dalam Al-Sunnah Al-Kubrâ 9/234)

Sejauh mana penglibatan kita menyerupai mereka, maka hukumnya adalah sesuai dengan kadar penyerupaan atau peniruan itu.

Dalam hal ini, tidaklah perlu diadakan doa selamat jika doa itu disempenakan dengan sambutan awal tahun Masihi semata-mata.

Apalagi jika acara doa selamat itu hanya berupa rancangan yang ‘dilakonkan’, kerana doa itu sebagaimana yang disebutkan adalah ibadat. Sebagai ibadat hendaklah ditempatkan pada keadaan dan kedudukannya yang wajar.

Sekiranya diteruskan melakukannya, berkemungkinan akan timbul pelbagai perkara yang tidak diingini, seperti di samping acara berdoa akan ada juga acara maksiat yang memang sudah menjadi tradisi orang-orang Kristian ketika menyambut awal tahun Masihi. Adalah dikhuatiri lambat-laun sambutan ini akan dijadikan tradisi pula oleh orang-orang Islam dengan anggapan bahawa ia sama kedudukannya dengan sambutan awal tahun Hijrah.

Ada lebih baik dan sesuai jika doa itu diadakan bukan atas nama sambutan awal tahun 2000 ataupun sambutan alaf baru Masihi, tetapi ialah semata-mata doa kerana memohonkan supaya negara kita terlepas daripada segala kesusahan dan kesulitan. Doa seperti ini adalah lebih tepat dan wajar jika ianya dapat diudarakan mendahului tahun 2000, supaya tidaklah akan terjadi kesamaran sehingga ianya dianggap sebagai satu acara menyambut tahun baru itu. Doa ini boleh saja mengandungi permohonan supaya kita terlepas daripada bahaya Y2K yang diramalkan itu (jika benar ianya akan menyulitkan kita dan negara). Doa ini tiada kaitannya dengan menyambut atau merayakan tahun 2000. Doa yang dibacakan melalui radio dan tv itu merupakan satu daripada syi‘ar agama. Oleh itu ia tidaklah wajar dikaitkan dengan perayaan tahun 2000 Masihi itu. Bukankah kita telah didedahkan kepada berita-berita awal tentang persiapan-persiapan yang sedang dibuat oleh seluruh dunia, terutamanya di negara-negara barat akan merayakannya secara besar-besaran dengan acara-acara keagamaan dan hiburan yang paling istimewa dan unik mengandungi perkara-perkara pertunjukan yang tidak senonoh, yang sangat dilarang oleh agama Islam? Di manapun perayaan itu diadakan, tujuannya tetaplah sama, iaitu merayakan kedatangan tahun Masihi 2000. Walaupun isi dan kandungan acaranya mungkin berlain-lainan, namun nama dan tujuannya sama saja, tidak berbeza. Kulitnya mungkin berbeza, tetapi isi dan dasarnya adalah sama. Bagi orang-orang Islam, kulit dan isi itu sama-sama dijaga dan dipelihara. Kulit adalah cermin atau gambaran apa yang ada di dalam. Kerana itulah, syi‘ar (perkara kulit) itu sangat-sangat turut dijaga dan dihormati oleh Islam. Masjid umpamanya ialah salah satu syi‘ar (tanda) Islam. Maka begitulah juga dengan doa, orang berdoa, orang membaca Al-Qur’an dan sebagainya itu, adalah syi‘ar Islam, wajib dan mesti dihormati semuanya.

Oleh itu tanggapan tentang doa ini mestilah benar-benar tepat di sisi syara‘; masanya, tempatnya dan keadaannya mestilah betul-betul sesuai. Oleh itu sangat tidak kena berdoa pada masa atau tempat atau keadaan di mana orang tidak menghormati agama, membelakangi agama, atau melupakan agama, atau terdapat campur aduk di antara ingat dan lupakan agama. Apatah lagi di dalam perayaan, perkumpulan atau majlis menentang agama, yang berlawanan dan bercanggah dengan agama, maka lebih baiklah tiada doa di situ, kerana doa adalah perkara besar, perkara di antara hamba dengan Allah Ta‘ala, bukan perkara main-main, seperti perkara menyanyi, tari-menari, sukan-sukan atau olahraga yang dicampurkan dengan perkara-perkara derhaka kepada Allah dan lain-lain lagi. Ini semua patutlah kita memahaminya serta mengambil perhatian yang mendalam.

Adapun niat yang baik untuk berdoa itu memanglah patut diberi pujian, kerana ia merupakan suatu kebajikan. Tetapi sebelum melakukannya, kita perlu turut melihat terlebih dahulu, apa tujuan dan di mana serta di dalam keadaan yang bagaimana ia diucapkan.

Menyebut tentang bahaya yang diramalkan dalam Y2K, kita boleh saja berdoa supaya di jauh dan diselisihkan daripada bahaya tersebut. Doa memanglah salah satu dasar untuk menolak bala.

Maksudnya: “Doa itu menolak bala”. (Hadis riwayat Abu Al-Syeikh)

Maka dalam hal ini, Radio Televisyen Brunei boleh saja berperanan menyiarkan doa-doa tolak bala dalam rancangannya yang difikirkan munasabah, termasuklah dalam rancangan doa penutup siaran, iaitu selain daripada institusi kerajaan yang berkaitan langsung seperti Jabatan Hal Ehwal Masjid. Bahkan penyertaan orang ramai juga dialu-alukan. Mudah-mudahan dengan itu, bala dan kesusahan dijauhkan.

Sudah sedia dimaklumi bahawa berdoa itu adalah disuruh oleh agama, dan malah salah satu jenis ibadat.

Allah Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa kamu itu.” (Surah Al-Mu’min: 60)

Doa Dan Zikir Menghadapi Bahaya, Kesusahan, Kesulitan Dan Perkara- Perkara Berat.

Di bawah ini dicatatkan sebahagian daripada doa dan zikir ketika menghadapi bahaya, kesusahan, kesulitan dan perkara-perkara yang berat:

Maksudnya: “Ketika ada bahaya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sering membaca: “Tiada tuhan melainkan Allah, Zat Yang Maha Besar lagi Maha Sabar; Tiada Tuhan melainkan Allah, Tuhan yang Mengatur ‘Arasy Yang Maha Besar; tiada tuhan melainkan Allah, Tuhan yang Mengatur langit dan bumi, dan Tuhan yang Mengatur ‘Arasy Yang Maha Mulia.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Maksudnya: “Daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesungguhnya Baginda apabila dihadapkan dengan sesuatu persoalan yang besar, Baginda membaca: “Wahai Zat Yang Maha Hidup, wahai Zat Yang Maha Berdiri Sendiri. Dengan rahmatMulah aku minta tolong.” (Dikeluarkan oleh Tirmidzi)

Maksudnya: “Dan daripada Abu Bakrah Radhiallahu ‘anhu: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Doa-doa orang yang sedang dirundung itu ialah: “Ya Allah, ya Tuhanku! RahmatMulah yang kuharapkan. Oleh kerana itu jangan Engkau bebankan (kesulitan) itu kepadaku biar pun hanya sekejap mata, dan bereskanlah urusanku ini seluruhnya kerana tiada Tuhan melainkan Engkau.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bertanya kepada Asma’ binti Umais: “Mahukah engkau ku ajar beberapa kalimat yang (baik sekali) engkau baca ketika menghadapi kesulitan? Iaitu kalimat (Allah, Allah adalah Tuhanku, aku tiada menyekutukan Dia dengan sesuatu). Dalam satu riwayat dikatakan: “Bahawa kalimat-kalimat itu diucapkan sebanyak tujuh kali.” (Dikeluarkan oleh Abu Daud)

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Doanya Dzu Al- Nûn (Nabi Yunus) dikala Baginda berada dalam perut ikan iaitu: “Tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku ini tergolong daripada orang-orang yang bersalah.” Tidak meninggalkan doa ini seorang muslim pun, dalam menghadapi sesuatu, melainkan Allah akan mengabulkannya.” (Dikeluarkan oleh Tirmidzi)

Maksudnya: “Daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda: “Tidak seorang pun yang ditimpa kepedihan dan kesusahan, lalu dia membaca doa: “Ya Allah, ya Tuhanku! Sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak hambaMu dan anak perempuan hambaMu yang ubun-ubunku berada di tanganMu, hukumMu berlaku pada diriku, keputusanMu selalu lurus pada diriku! Kini aku minta kepadaMu dengan seluruh nama yang Engkau sendiri menamakan diriMu dengan nama itu, atau nama yang Engkau turunkan dalam kitabMu atau nama yang Engkau ajarkannya kepada seseorang daripada makhlukMu, atau dengan nama yang sangat berpengaruh di sisiMu dalam mengetahui yang ghaib, kiranya jadikan Al-Qur’an itu sebagai pelipur hatiku, sebagai cahaya penerang dadaku, sebagai pelepas kesedihanku dan sebagai penawar kepedihanku”, melainkan Allah akan menghilangkan kepedihan dan kesusahannya, serta menggantikannya dengan tempat yang menyenangkan.” (Dikeluarkan oleh Ahmad dan Ibnu Hibban)

Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah ditanya tentang ‘anggapan sial’, lalu Baginda bersabda: “Yang paling benarnya ialah al-fa’l (sempena baik) dan ia tidak akan membuat seseorang Islam itu menjadi ragu-ragu. Apabila kamu melihat ada anggapan sial pada sesuatu yang tidak kamu sukai maka ucapkanlah: “Wahai Allah, tidak ada yang mendatangkan kebaikan melainkan menerusi Engkau dan tidak ada sesiapa yang berupaya menghilangkan kejahatan melainkan Engkau. Dan tidak ada upaya dan kekuatan melainkan dengan Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Sunni)

Maka berdasarkan keterangan-keterangan di atas, nyatalah Islam dan umat Islam tidak ada kena mengena dengan sambutan atau upacara mengalu-alukan kedatangan awal tahun baru Masihi sama ada kerana tujuan menyambut alaf baru atau bukan. Ia adalah budaya orang-orang Kristian yang dihubungkaitkan dengan agama atau syi‘ar agama mereka yang menyusup masuk ke dalam kehidupan orang-orang Islam, sama ada ianya disedari ataupun tidak, dan sehinggalah orang-orang Islam itu disebabkan kerana leka ataupun kurang pengetahuan, mereka pun sendiri turut pula bersama-sama dengan orang lain merayu dan mengagungkan awal tahun Masihi itu. Sepatutnya orang-orang Islam itu lebih bermegah, lebih komited serta lebih kuat semangat mereka kepada kalendar Hijrah, kerana ia adalah kepunyaan mereka. Itulah yang patut kita rayakan. Di dalamnya ada falsafah, ada pengajaran dan bahkan ada sejarah gemilang. Jadi mengapa ia harus diletak di belakang dan kurang dipakai?

Marilah sejenak kita bertanya kepada diri kita sendiri: Apakah tanggapan orang lain terhadap kalendar Hijrah orang-orang Islam? Adakah mereka mahu memakainya sebagaimana kita orang Islam memakai kalendar Masihi di dalam kehidupan kita? Dan yang lebih jauh lagi, pernahkah kita mendengar atau berjumpa orang lain merayakan awal tahun Hijrah kita?

Jadi kita berpendapat, tidaklah berbangkit doa kerana merayakan awal tahun Masihi itu, apatah lagi jika di dalamnya (dalam sambutan kerana merayakannya) itu terdapat acara-acara yang tidak sesuai dengan kehendak syara‘. Bagaimanapun, di segi semata-mata berdoa, maka berdoalah, walaupun seberapa banyak manapun dan sepanjang-panjang mana, di waktu-waktu apa saja termasuk juga di awal tahun Masihi itu, tetapi, bukanlah ianya khusus kerana menyambut awal tahun Masihi, sebagai satu daripada acara khas mengenainya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8191