Fadhilat Sembahyang Tarawih
Soalan: Unit Kajian Dan Penyelidikan, Bahagian Kajian Dan Penerbitan, Pusat Da’wah Islamiah sedang menjalankan kajian mengenai dengan hadis fadhilat sembahyang Tarawih, kitab Durrah Al-Nâshihîn (terbitan Mesir tahun 1949), diriwayatkan oleh Ali bin Abu Thalib.
Hadis tersebut sangat popular di kalangan masyarakat di negara ini kerana sejak 10 tahun yang lalu penerbitan-penerbitan buku (risalah) mengenai hadis tersebut telah dijalankan dan hadis-hadis berkenaan juga disiarkan melalui Radio Televisyen Brunei dalam bentuk promo bagi maksud mentarghîb masyarakat supaya mendirikan sembahyang Tarawih dengan teratur.
Sepanjang tempoh tersebut, kitani tidak pernah mempersoalkan tentang sanad atau sumber hadis tersebut. Bagaimanapun, Berita Harian (Malaysia) keluaran 31hb. Disember, 1998, 1hb. Januari, 1999 dan 16hb. Januari, 1999 telah mempersoalkan keshahîhan hadis tersebut sehingga sampai kepada kesimpulan bahawa hadis tersebut adalah hadis maudhû‘.
Sukacita abis kaola menghadapkan isu mengenai hadis ini kepada Pehin bagi mendapatkan fatwa dan ketentuan tentang kedudukan hadis-hadis berkenaan untuk dijadikan pegangan dan menghindari keraguan di kalangan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.
Jawapan: Hadis mengenai fadhilat sembahyang Tarawih yang disebutkan dalam kitab Durrah Al-Nâshihîn bermaksud: “Daripada Ali bin Abu Thalib Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah ditanya tentang keutamaan-keutamaan Tarawih di bulan Ramadhan. Maka Baginda bersabda: “Orang mukmin keluar daripada dosanya pada:
Malam pertama: Seperti saat dia dilahirkan ibunya.
Malam kedua: Dia diampuni, juga kedua orang tuanya, jika keduanya mukmin.
Malam ketiga: Malaikat berseru dari bawah ‘Arasy: “Mulailah beramal, semoga Allah mengampuni dosamu yang telah lalu.” Malam keempat: Dia memperolehi pahala seperti pahala membaca Taurat, Injil, Zabur dan Al-Furqan. Malam kelima: Allah Ta‘ala memberinya pahala seperti pahala orang yang sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsha. Malam keenam: Allah Ta‘ala memberinya pahala orang yang bertawaf di Makmur dan dipohonkan ampun oleh setiap batu dan cadas (lapisan tanah yang keras). Malam ketujuh: Seolah-olah dia mencapai darjat Nabi Musa ‘Alaihissalam dan kemenangannya atas Fir‘aun dan Haman. Malam kelapan: Allah Ta‘ala memberinya apa yang pernah Dia berikan kepada Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam. Malam kesembilan: Seolah-olah dia menyembah Allah Ta‘ala sebagaimana ibadat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Malam kesepuluh: Allah Ta‘ala mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat. Malam kesebelas: Dia keluar dari dunia seperti saat dia dilahirkan dari perut ibunya. Malam kedua belas: Dia datang pada Hari Kiamat sedang wajahnya bagaikan bulan di malam purnama. Malam ketiga belas: Dia datang pada Hari Kiamat dalam keadaan aman daripada setiap keburukan. Malam keempat belas: Para malaikat datang seraya memberi kesaksian untuknya, bahawa dia telah melakukan sembahyang Tarawih, maka Allah tidak menghisâbnya pada Hari Kiamat. Malam kelima belas: Dia didoakan oleh para malaikat dan para penanggung ‘Arasy dan Kursi. Malam keenam belas: Allah menetapkan baginya kebebasan untuk selamat dari neraka dan kebebasan masuk ke dalam syurga. Malam ketujuh belas: Dia diberi pahala seperti pahala para nabi.
Malam kelapan belas: Malaikat menyeru: “Wahai Hamba Allah, sesungguhnya Allah redha kepadamu dan kepada ibu bapamu.”
Malam kesembilan belas: Allah mengangkat darjat-darjatnya dalam syurga Firdaus.
Malam kedua puluh: Allah memberi pahala para syuhada’ dan shâlihin.
Malam kedua puluh satu: Allah membangun untuknya sebuah gedung daripada cahaya.
Malam kedua puluh dua: Dia datang pada Hari Kiamat dalam keadaan aman daripada setiap kesedihan dan kesusahan.
Malam kedua puluh tiga: Allah membangun untuknya sebuah kota dalam syurga.
Malam kedua puluh empat: Dia memperolehi dua puluh empat doa yang dikabulkan.
Malam kedua puluh lima: Allah Ta‘ala menghapuskan daripadanya azab kubur.
Malam kedua puluh enam: Allah mengangkat pahalanya selama empat puluh tahun.
Malam kedua puluh tujuh: Dia dapat melewati Shirâth pada Hari Kiamat, bagaikan kilat yang menyambar.
Malam kedua puluh lapan: Allah mengangkat baginya seribu darjat dalam syurga.
Malam kedua puluh sembilan: Allah memberinya pahala seribu haji yang diterima.
Malam ketiga puluh: Allah berfirman: “Hai HambaKu, makanlah buah-buahan syurga, mandilah daripada air Salsabîl dan minumlah dari Kautsar. Akulah Tuhanmu, dan engkau hambaKu.” (Majalis)
Setelah merujuk kepada kitab-kitab hadis yang muktabar di kalangan Ahli Sunnah wal Jama‘ah, termasuk kitab-kitab yang menjadi sandaran dalam pencarian hadis-hadis, sehingga setakat ini tidak dijumpai hadis-hadis yang khusus menyebutkan tentang kelebihan sembahyang Tarawih dengan menyatakan ganjaran yang diperolehi pada setiap malam Ramadhan sepertimana yang ditanyakan. Apa yang telah ditemui setakat ini, hanyalah riwayat-riwayat yang hampir sama dengannya dan dihubungkan sanadnya kepada Sayyidina Ali bin Abu Thalib iaitu tersebut dalam kitab Bihâr Al- Anwâr karangan Al-Shiekh Muhammad Baqir Al-Majlisi, salah seorang ulama besar Syiah dalam bab Nawâfil Syahr Ramadhan dan kitab Wasâ’il Al-Syî‘ah karangan Al-Shiekh Muhammad bin Al-Hasan Al-Har Al-‘Amili dalam bab Istihâb Al-Shalâh Al-Makhshûshah Kulla Lailah min Syahr Ramadhân wa Awwal Yaum Minh.
Maka sehubungan itu, oleh kerana hadis yang ditanyakan itu tidak diketahui sumbernya yang boleh dii’timâd, maka ia mestilah dihentikan daripada dipromokan melalui radio ataupun televisyen. Sekiranya Pusat Da’wah Islamiah ingin menggalakkan orang ramai supaya rajin dan bersungguh-sungguh mengerjakan sembahyang Tarawih, adalah lebih baik hadis-hadis yang dipromokan itu diambil daripada kitab-kitab yang muktabar.
Fadhilat sembahyang Tarawih yang ada disebut dalam hadis-hadis yang terkandung dalam kitab-kitab sunan yang muktabar hanyalah secara umum sahaja tanpa menyebut fadhilat 30 malam Ramadhan itu. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Sesiapa yang mendirikan sembahyang di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharapkan (pahala daripada Allah), diampunkan baginya dosa-dosanya yang terdahulu.”
Hadis seumpama ini turut diriwayatkan oleh Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, Imam Ahmad dan lainnya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8195
