Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المواريث

Harta Yang Diperolehi Melalui Warisan

Soalan: Isteri telah diberi tanah waris daripada ayahnya (tanah sudah berpecah). Adakah harta tanah waris itu milik isteri yang mutlak?

Jawapan: Pengertian milik ialah kepunyaan sendiri yang menyebabkan orang lain tidak berhak untuk mentasharruf (memperlakukannya) sesuka hati kecuali yang empunya sahaja dalam batas-batas yang tertentu. (Al-Fiqh Al-Islâmi 4/57) Milik itu terbahagi dua: Pertama: Milik tâm (ملك َتم ) atau milik yang sempurna, dengan pengertian bahawa sesuatu itu dimiliki sepenuhnya termasuk manfaat dan penggunaannya, di mana semua hak yang dibenarkan hanya sabit di tangan si pemilik itu. Kedua: Milik nâqish ( ملك َّنقص ) atau milik yang tidak sempurna, dengan pengertian bahawa pemilikan terhadap sesuatu itu hanya dari sudut manfaat sahaja, bukan bendanya.(Al-Fiqh Al-Islâmi 4/57-58) Pemilikan terhadap sesuatu secara tâm (sempurna) mengikut syara‘ adalah terjadi melalui salah satu daripada empat perkara iaitu: i) Melalui penguasaan secara mubâh (harus) seperti binatang buruan, kayu dan pohon di hutan rimba. ii) Melalui akad, seperti jual beli, hibah, wasiat. iii) Melalui warisan, seperti harta waris (pusaka). iv) Melalui pertambahan sesuatu yang telah dimiliki, seperti hasil pelaburan atau anak binatang yang dimiliki. Maka dengan hal yang demikian itu tanah waris isteri yang diwarisinya daripada bapanya, adalah itu miliknya secara sah dan pemilikannya ini dinamakan pemilikan secara tâm (sempurna) atau mutlak kerana dia memperolehi atau memilikinya melalui salah satu daripada perkara tersebut di atas, iaitu melalui warisan, dan dengan ini juga orang lain tidaklah berhak mentasharruf atau memperlakukannya sesuka hati, termasuk memanfaatkannya, kecuali ada izin daripada si pemilik (isteri) itu sendiri.

Dengan adanya hak milik secara tâm terhadap sesuatu itu, maka adalah menjadi hak pula bagi pemilik untuk memberi persetujuan atau tidak kepada orang lain untuk memiliki atau memanfaatkannya, atau untuk berkongsi kuasa memilikinya dan lain-lain sebagainya, sesuai dengan akad yang dibenarkan oleh syara‘ berdasarkan redha (kerelaan), bukan paksaan.

Hak pemilikan ini mestilah dihormati. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Tiap-tiap orang Islam ke atas seseorang Islam adalah haram (mencemari atau menceroboh) harta, kehormatan dan darahnya.” (Hadis riwayat Abu Daud daripada Abu Hurairah)

Si pemilik wajib mempertahankan haknya. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, katanya: “Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu berkata: “Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat Tuan jika orang lain datang hendak mengambil harta saya?” Nabi menjawab: “Jangan berikan hartamu kepadanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Melanggar hak dan kehormatan seseorang muslim, menghina atau melayan dan memperlakukannya dengan buruk diharamkan oleh Islam. Hak dan kehormatan itu adalah lebih kuat dan lebih teguh lagi nisbah kepada wanita-wanita muslimah kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah berwasiat supaya melayan dan memperlakukan wanita itu dengan baik.

Sabda Baginda:

Maksudnya: “Dan berilah wasiat yang baik kepada isteri-isteri.” (Hadis riwayat Bukhari)

Sabdanya lagi:

Maksudnya: “Hendaklah berlaku lemah lembut dengan perempuan.” (Hadis riwayat Ahmad)

Tindakan kasar terhadap perempuan, melanggar hak mereka, memaksa mereka bukan dalam perkara amr ma‘arûf, adalah sangat bertentangan dan tidak selari dengan kehendak pesanan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang disebutkan. Dengan sebab itu, adalah ceroboh dan zalim namanya tindakan sesetengah orang memaksa isteri memasukkan nama suami ke dalam geran tanahnya.

Sesuai dengan konsep musyâwarah dan muafakat, jalan paling baik bagi suami ialah mengadakan perbincangan dan musyâwarah dengan isteri tentang apa sahaja perkara yang melibatkan hak-hak peribadi masing-masing dan perbincangan itu hendaklah berdasarkan keikhlasan dan kemashlahatan keluarga serta masa depan. Janganlah sekali-kali ia didasari oleh hawa nafsu kerakusan terhadap harta dan lebih-lebih lagi jangan ia bertujuan untuk mengambil hak isteri, kemudian setelah hal itu dapat diambil, isteri akan diceraikan. Tindakan berdasarkan keikhlasan serta bertujuan baik itu insyâ’ Allah diberkati oleh Allah tetapi jika sebaliknya yakni jika berdasarkan hawa nafsu dan kerakusan terhadap harta akan membawa bencana dan petaka di kemudian hari. (Al-Mufashshal 4/198)

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka.” (Surah Al-Syûra: 38)

Musyâwarah ini termasuk salah satu tuntutan agama dan ia dilakukan bagi tujuan supaya orang-orang Islam merasa lega dengan kebebasan berfikir. (Al-Mufasshal 4/211)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8198