Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Hukum Menerima Kereta Jenazah Hadiah Daripada Orang Bukan Islam

Soalan: Dengan hormat dan sukacita dihadapkan kepada Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin mengenai orang kafir mendermakan kereta jenazah untuk kegunaan orang Islam.

Jawapan: Prinsip agama Islam tentang hubungan baik dengan orang- orang bukan Islam sangat jelas. Perkara ini ditegaskan melalui beberapa ayat Al-Qur’an, bahkan kehidupan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mencerminkan perkara yang sedemikian.

Allah telah memerintahkan supaya berbuat baik, melakukan ihsan bagi seluruh manusia serta bertolong-tolongan di antara umat mengenai perkara-perkara taat, demikian juga bagaimana hendak menegakkan mashlahat bersama.

Di antara ayat Al-Qur’an supaya berbuat baik kepada orang-orang bukan Islam sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: “Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” anah: 8)hMumta-(Surah Al

Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat Baginda pernah hidup bersama-sama dengan orang-orang musyrik Makkah. Mereka berurusniaga dan lain-lain urusan hidup seperti berjual beli, mengambil upah dan lain-lain tanpa memandang sumber pendapatan orang-orang musyrik itu sama ada halal atau haram.

Demikian juga Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan sahabat-sahabat Baginda sewaktu di Madinah pernah hidup bersama-sama dengan orang-orang bukan Islam, khasnya orang-orang Yahudi yang tinggal di Kota Madinah dan sekitarnya pada masa itu. Orang-orang Islam juga berurusan dengan orang-orang bukan Islam dalam banyak hal seperti memberi dan menerima barang-barang, hutang piutang, jual beli bahkan menerima hadiah tanpa melihat sumber kemasukan dan pendapatan orang-orang bukan Islam itu, padahal diketahui umum sejak sekian lama lagi bahawa orang-orang Yahudi itu ahli riba.

Telah sabit daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa Baginda pernah menerima makanan yang diberikan orang Yahudi, lalu Baginda memakannya.

Demikian juga Baginda pernah menerima hadiah-hadiah daripada orang bukan Islam sebagaimana diriwayatkan dalam hadis. Telah sabit daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa Baginda menerima hadiah baghal (binatang hasil daripada pengawanan antara kuda betina dengan keldai jantan) putih dan burdan (kain bergaris untuk dibuat selimut) daripada Raja Ailah. (Al-Muhalla - Ibnu Hazm 9/159)

Telah sabit juga bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada menerima hadiah daripada Muqawqis (Al-Maquqas atau Al-Muqauqas) Amir Mesir bagi pihak Qaisar. Sewaktu membalas surat yang dikirim oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada Muqawqis, Al-Muqawqis menjawab:

Kepada Muhammad bin Abdullah Daripada Al-Muqawqis, Pembesar Kopti, Salam sejahtera kepada Tuan.

Kemudian daripada itu; Saya telah membaca surat Tuan dan memahami apa yang Tuan sebutkan di dalamnya dan apa yang Tuan serukan itu.

Sebenarnya saya telahpun mengetahui bahawa seorang Nabi masih ada lagi (akan dibangkitkan) dan selama ini saya menyangka Nabi berkenaan akan dibangkitkan di negeri Syam.

Saya telah memuliakan utusan Tuan, dan bersama ini saya kirimkan (sebagai hadiah) kepada Tuan dua orang jâriyah yang mempunyai kedudukan tinggi di dalam suku Kopti dan juga beberapa helai pakaian.

Saya juga menghadiahkan seekor baghal kepada Tuan untuk Tuan tunggangi. Wassalam.” (Muhammad Al-Khudari, Nûr Al-Yaqîn h. 216)

Inilah di antara dalil yang menunjukkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menerima hadiah daripada kalangan yang bukan Islam.

Perkara penerimaan makanan lebih berat berbanding dengan penerimaan barang. Menurut nash-nash mazhab yang empat adalah harus orang-orang Islam berurusniaga, bekerjasama dan bergaul dengan orang-orang bukan Islam seperti menerima hadiah atau wasiat sehingga dalam perkara membangun masjid.

Secara umumnya penjelasan perkara ini adalah seperti berikut:

“Dasar umum dalam Islam menghendaki supaya urusan-urusan kewangan dan kontrak-kontrak (akad-akad) dan semua peraturan-peraturan bukanlah suatu larangan. Oleh yang demikian adalah harus orang-orang bukan Islam berkongsi niaga, dalam mudhârabah, bercucuk tanam, mengairi tanaman dan lain-lain.”

Memang tidak dinafikan bahawa ada pengecualian-pengecualian dalam urusan-urusan tertentu yang terlarang dalam Islam seperti larangan dalam jual beli khinzîr, arak dan lain-lain sebagaimana perkara itu disebut dengan terperinci dalam kitab-kitab fiqh.

Dalam mazhab Syafi‘e wasiat dan wakaf itu sebahagian daripada akad (kontrak) tabarru‘ (seperti derma atau pemberian) dan hubungan sesama manusia adalah harus hukumnya selama ianya bukan kerana tujuan maksiat.

Menurut nash Al-Imam Al-Syafi‘e dengan terang menyatakan adalah harus orang bukan Islam berwasiat membina masjid untuk orang-orang Islam. Al-Imam itu juga mengharuskan orang bukan Islam berwakaf sekalipun untuk masjid.

Berkata Al-Imam Al-Nawawi dalam Raudhah Al-Thâlibîn 6/98:

Ertinya: “Sah wasiat orang kafir dengan sesuatu yang boleh dijadikan harta atau

boleh dimiliki. Dan tidak sah wasiat dengan arak dan khinz îr sama ada wasiat itu

untuk orang Islam atau orang dzimmi, dan tidak juga bagi tujuan maksiat seperti menta‘mîr gereja atau membangunnya atau mencetak kitab Taurat dan Injil atau membaca kedua-kedua kitab itu dan lain-lain seumpamanya.”

Katanya lagi:

Ertinya: “Harus bagi orang Islam dan orang dzimmi berwasiat untuk menta‘mîr Masjid Al-Aqsha dan lain-lain masjid, menta‘mîr perkuburan nabi-nabi, ulama-ulama dan orang-orang salih kerana dengan penta‘mîran ini tujuannya menghidupkan orang-orang ziarah dan untuk memperolehi tabarruk.”

Pengarang Al-Sirâj Al-Wahhâb iaitu Muhammad Al-Zuhri Al-Ghamrawi sewaktu menghuraikan Matn Al-Minhâj bagi Al-Nawawi tentang ‘Apa yang harus dalam jual beli harus pula menghibahkannya.” Menurut pengarang ini bahawa:

Ertinya: “Setiap apa yang harus jualbelikan, harus pula menghibahkannya, dan apa yang tidak harus diperjualbelikan, seperti barang yang tidak diketahui, yang dirampas, yang hilang, maka tidak harus dihibahkan.” (h. 308)

Dengan ini jelaslah bahawa orang-orang Islam boleh berurusniaga dengan orang-orang bukan Islam, kecuali yang dilarang oleh Islam seperti khinzîr dan arak. Oleh kerana kereta atau seumpamanya di antara barang-barang boleh diperniagakan, maka menghadiahkan kereta oleh orang bukan Islam kepada orang Islam adalah termasuk dalam kaedah yang disebutkan oleh Al-Imam Nawawi di atas.

Menurut kitab Kifâyah Al-Akhyâr fî Hilli Ghâyah Al-Ikhtishâr katanya:

Ertinya: “Dan sekiranya yang mewakafkan itu seorang dzimmi, lalu dia berhukum kepada kita dalam perkara yang sedemikian itu (mewakafkan sesuatu harta kepada rumah berhala, gereja, kitab-kitab Taurat dan Injil) boleh kita batalkan wakafnya itu, sekiranya wakaf itu kepada sudut dalam hal-hal yang dilarang oleh orang Islam.”

Oleh kerana kereta dan seumpamanya itu bukanlah barang yang dilarang oleh Islam, maka orang Islam boleh sebagai barang hadiah, jikapun yang memberi itu orang bukan Islam.

Maka berdasarkan nash-nash di atas adalah harus bagi orang Islam menerima dan menggunakan kereta jenazah atau apa-apa juga barang yang didermakan, atau diberikan atau dihibahkan oleh orang bukan Islam itu selama ia tiada bercanggah dengan nash dan kaedah di atas.

Adapun mengenai dengan maksud hadis yang mengatakan bahawa: “Allah itu Thayyib (baik atau bagus) tidak akan menerima melainkan yang baik juga”, tidaklah termasuk dalam persoalan ini, kerana maksud penerimaan Allah hanya yang baik-baik itu ialah yang berkaitan dengan pemberian ganjaran pahala, sedangkan pahala itu tiada diberikan kepada orang bukan Islam.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8203