Mafqûd (Orang Hilang)
Soalan: Seorang nelayan telah didapati hilang di laut pada 18hb. Julai, 1998 sewaktu kejadian perahu yang digunakan untuk memancing telah karam di laut. Sehingga kini penama belum ditemui dan tidak dapat disahkan sama ada nelayan itu masih hidup atau telah meninggal dunia.
Dalam konteks penyiasatan polis kejadian tersebut dirumuskan sebagai kemalangan dan tidak ada berlakunya sebarang perbuatan jahat.
Sehubungan dengan itu isteri nelayan itu telah menghadapkan permohonannya kepada jabatan yang berkenaan bagi menuntut harta nelayan tersebut, akan tetapi permohonannya belum dapat diluluskan melainkan mendapat pengesahan yang menyatakan suaminya telah meninggal dunia.
Ke arah ini dipohonkan pandangan dan nasihat Yang Dimuliakan Pehin mengenai permasalahan yang dihadapi bagi membolehkan isteri nelayan berkenaan menuntut harta yang dimaksudkan.
Jawapan: Dalam bahasa Arab orang yang hilang itu disebut sebagai mafqûd. Dia adalah seorang yang menghilangkan diri dari negerinya dan tiada siapa yang dapat mengesannya untuk sekian lama dan tiada siapa yang tahu sama ada dia masih hidup atau mati. Untuk mengkategorikan orang hilang (mafqûd) kerana tidak diketahui keadaannya sama ada hidup atau mati tidaklah bergantung kepada mengetahui tempatnya atau tidak.
Andainya tempatnya itu diketahui akan tetapi tidak diketahui hidupnya atau matinya maka dikatakan juga sebagai mafqûd (orang hilang).
Contohnya:
1. Nelayan telah hilang di laut (pada 18 Julai, 1998) pada waktu kejadian itu perahu yang digunakan untuk memancing telah karam. Sehingga kini belum ditemui dan tidak dapat disahkan sama ada masih hidup atau mati.
2. Seseorang yang merantau ke negeri orang dan dalam waktu yang cukup lama tidak diketahui secara pasti tentang di mana dia berada dan sama ada masih hidup atau mati.
Orang Hilang Dan Kesan Terhadap Hartanya
Telah sepakat para ulama mazhab yang empat bahawa orang hilang itu masih dianggap hidup sepanjang yang berkaitan dengan harta yang menjadi miliknya, dan dalam hak-haknya yang lain, sehingga ada bukti keterangan atas kematiannya. Atau diputuskan oleh hakim tentang kematiannya. Setelah diputuskan dia sudah mati, barulah harta berkenaan boleh dibahagi-bahagikan kepada ahli waris yang mewarisinya ketika keputusan itu dibuat. Di dalam kitab Mughni Al-Muhtâj 3/26-27, Imam Nawawi berkata:
Ertinya: “Dan sesiapa yang tertawan atau hilang atau terputus beritanya, maka harta bendanya hendaklah dibiarkan saja dahulu sehinggalah ada bukti kematiannya, atau sehinggalah berlalu satu tempoh masa yang menurut dugaan kuat dia tidak lagi hidup melebihi daripada tempoh masa itu. (Perkiraan tempoh masa ini dimulai daripada tarikh dia lahir), maka pada ketika itu barulah qadhi berijtihâd memutuskan orang itu sudah mati. Kemudian harta bendanya itupun diberikanlah kepada ahli warisnya semasa jatuhnya keputusan qadhi itu.”
Adapun yang dimaksudkan dengan “orang yang hilang itu dianggap tidak boleh hidup setelah berlalu suatu tempoh masa tertentu” adalah dikira sejak hari kelahirannya. Menurut qaul yang shahîh di dalam mazhab Syafi‘e kadar tersebut tidak ditentukan. Walau bagaimanapun dalam menentukan kematian berdasarkan kepada kadar hayat orang yang hilang itu, mestilah disertai dengan ketetapan hakim atau qadhi melalui ijtihâdnya, kerana pada dasarnya orang hilang itu tetap dianggap masih hidup sehinggalah terdapat bukti yang menunjukkan dia sudah mati. Hartanya dibekukan (mauqûf), tidak boleh diwariskan melainkan dengan yakin dia sudah mati. Antara jalan yang meyakinkan itu ialah adanya penetapan daripada hakim atau qadhi mengenainya. Itupun setelah berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam mencari dan mendapatkan berita sama ada dia hidup atau mati.
Jika ternyata dia telah mati dengan bukti keterangan menurut syara‘, maka dikira dia telah mati pada waktu disahkan kematiannya itu dan hartanya diwarisi oleh ahli-ahli warisnya yang ada pada waktu itu. Jika kematiannya diputuskan oleh hakim, maka kematiannya adalah dikira pada tarikh (waktu) pensabitan hakim itu. Maka hartanya diwarisi oleh ahli-ahli warisnya yang hidup pada waktu pensabitan itu sahaja.
Dalam hubungan ini, pada dasarnya orang hilang tetap dianggap masih hidup sehingga nyata sebaliknya (sudah mati). Oleh sebab itu, hartanya belumlah boleh diwarisi kerana syarat sah penerimaan harta-harta waris itu ialah apabila telah sabit kematian orang yang empunya harta yang akan diwarisi itu.
Dengan demikian harta orang yang hilang belumlah boleh dibahagi-bahagikan kepada ahli-ahli waris kecuali setelah ada bukti atau ketetapan hakim tentang kematiannya. Walau bagaimanapun hakim boleh menentukan kadar yang perlu daripada harta orang hilang berkenaan untuk belanja isterinya dan orang-orang yang di bawah tanggungannya. Nafkah (perbelanjaan) mereka itu menjadi kewajipan ke atasnya semasa dia ada bersama-sama dengan mereka atau sebaliknya dan tidaklah batal segala akad-akadnya (kontreknya).
Kesimpulannya bahawa mafqûd (seperti yang diminta fatwa) adalah dianggap masih hidup sehinggalah dibuktikan bahawa dia telah meninggal dunia, atau diputuskan oleh hakim tentang kematiannya. Oleh itu selama mana belum ada penentuan atau ketetapan tentang kematiannya, sama ada melalui bukti atau keputusan hakim, maka hubungan orang yang hilang itu dengan isterinya adalah masih suami isteri yang sah mengikut hukum syara‘. Wajib nafkah isteri itu ditanggung oleh pihak suami. Dalam keadaan suami tidak diketahui hidup atau matinya, hartanya adalah dibekukan (mauqûf). Jika isteri tersebut tetap bersabar, maka bolehlah si isteri menyara hidupnya daripada hartanya. Jika isteri tidak sabar atau tidak mempunyai harta, maka si isteri berhak mendapatkan sebahagian daripada harta suaminya yang dibekukan iaitu pada kadar yang perlu (kadar hajat) untuk menyara hidupnya dan anak-anaknya melalui proses mahkamah. Dia (isteri) belum berhak menuntut sebagai pusaka harta suaminya kecuali setelah suaminya itu disahkan mati sebagaimana prosedur yang tersebut di atas.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8207
