Makanan Atau Minuman Yang Dicampur Dengan Alkohol
Soalan: Sukacita memaklumkan bahawa berdasarkan keputusan kajian dan penganalisaan yang telah dijalankan oleh Makmal Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan, Negara Brunei Darussalam didapati bahawa beberapa jenis makanan/minuman yang ada di pasaran negara ini adalah mengandungi alkohol. Sehubungan dengan itu dipohonkan kerjasama pihak tuan bagi memberikan fatwa dan pandangan mengenai perkara ini. Bersama-sama ini disertakan salinan keputusan berkenaan untuk rujukan tuan. Contoh Keputusan Negeri Asal Kilang Pengeluar Cherry cider: Alcohol analysis - 4.8% Orange crush: Alcohol analysis - 0.1% Malaysia, 876, Kg Rancha- Cream Soda: Alcohol analysis - 8.7% Rancha, Labuan. Pineapple: Alcohol analysis - 5.8% Lemon: Alcohol analysis - 6.4% Sarsaparilla: Alcohol analysis - 7.2%
Jawapan: Hubungan Alkohol Dengan Khamr Mula-mula sekali yang hendak dihuraikan ialah apa itu alkohol dan hubungannya dengan khamr. Alkohol adalah di antara bahan-bahan yang terdapat dalam minuman arak (khamr). Bahan inilah yang menyebabkan khamr menjadi cecair yang memabukkan. Alkohol itu boleh dikeluarkan, dihasilkan atau boleh diperolehi melalui dua cara pemprosesan. Pertama ialah cara penapaian (fermentation) iaitu suatu proses khas untuk menghasilkan arak; dan yang kedua adalah proses melalui bahan kimia iaitu suatu proses bagi menghasilkan alkohol daripada minyak tanah.
Walaupun alkohol itu boleh dihasilkan melalui dua proses yang berlainan sebagaimana yang disebutkan, namun setiap jenis alkohol yang terhasil melalui mana-mana jua daripada salah satu proses berkenaan adalah hukumnya haram diminum.
Perbezaan Minuman Mengandungi Alkohol Dengan Minuman Dicampur Alkohol
Ada perbezaan hukum di antara makanan atau minuman yang senghaja dicampur dengan alkohol dengan makanan atau minuman yang telah sedia ada mengandungi alkohol melalui proses penapaian (fermentation). Walaupun alkohol telah wujud di situ (dalam makanan seperti tapai umpamanya), namun selagi kandungan alkohol di dalam tapai tersebut belum sampai kepada tahap yang memabukkan, maka tapai tersebut tidaklah haram dimakan.
Demikian juga mengenai minuman yang diperbuat daripada rendaman atau perahan anggur atau lain-lain bijirin, proses pewujudan alkohol menerusi penapaian (fermentation) akan tergantung kepada sejauh mana cecair itu mengandungi alkohol yang boleh memabukkan atau tidak. Ertinya jika rendaman atau perahan anggur itu belum sampai kepada tahap mengandungi alkohol yang boleh memabukkan, maka ianya masih lagi harus diminum (tiada haram), padahal alkohol sudah wujud di situ. Ini ialah, kerana rendaman atau perahan itu belum lagi menjadi arak dan alkohol yang terwujud dengan sendirinya di situ belum lagi berfungsi menyebabkan mabuk. Perkara ini dapat dilihat dengan terang dan jelas seperti riwayat-riwayat di bawah ini:
Maksudnya: “Daripada Yahya bin ‘Ubaid, Abu Umar Al-Bahraniy, dia berkata: “Aku mendengar Ibnu Abbas berkata: “Biasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dibuatkan nabîdz pada permulaan malam dan Baginda meminumnya di waktu pagi, hari itu dan malamnya, pada pagi (esoknya) dan malam berikutnya, serta keesokannya lagi sampailah Asar. Jika masih berbaki, maka Baginda berikan kepada khadam (pelayan) atau Baginda suruh membuangnya.” (Hadis riwayat Muslim)
Maksudnya: “Daripada Yahya Al-Bahraniy, dia berkata: “Orang-orang menyebut-nyebut tentang nabîdz di hadapan Ibnu Abbas. Lalu Ibnu Abbas berkata: “Biasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dibuatkan nabîdz dalam gereba (wadah daripada kulit). Syu‘bah berkata: “Iaitu mulai daripada malam Isnin, lalu Baginda meminumnya pada hari Isnin dan hari Selasa sehinggalah waktu ‘Ashar. Jika masih berbaki, Baginda berikan kepada khadam atau membuangnya.” (Hadis riwayat Muslim)
Maksudnya: “Daripada Ibnu Abbas, beliau berkata: “Biasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam direndamkan untuk Baginda anggur kering (kismis), lalu Baginda meminumnya pada hari itu, keesokan harinya dan besoknya lagi hingga petang hari ketiga. Kemudian Baginda menyuruh berikan kepada orang lain atau dibuang.” (Hadis riwayat Muslim)
Maksudnya: “Daripada Ibnu Abbas, beliau berkata: “Biasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dibuatkan nabîdz kismis dalam gereba, lalu Baginda meminumnya pada hari itu, keesokan harinya dan besoknya lagi. Pada waktu petang hari ketiga, Baginda meminumnya dan memberikannya kepada orang lain. Jika masih ada berbaki, Baginda membuangnya.” (Hadis riwayat Muslim)
Maksudnya: “Daripada Yahya Abu ‘Umar Al-Nakha‘iy berkata: “Ada satu golongan bertanya kepada Ibnu Abbas tentang memperjualbeli dan memperdagangkan khamar.” Ibnu Abbas bertanya: “Apakah kalian orang-orang Islam?” Mereka menjawab: “Ya!” Ibnu Abbas berkata: “Tidak boleh memperjualbeli dan memperdagangkannya.” Mereka bertanya lagi tentang nabîdz. Ibnu Abbas menjawab: “Pernah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar dalam suatu perjalanan. Ketika Baginda pulang, ada beberapa orang sahabat Baginda telah memproses dan menyimpan nabîdz dalam tempayan-tempayan, kayu-kayu yang dilubangi dan wadah daripada kulit labu. Lalu Baginda menyuruh menumpahkannya. Kemudian Baginda meminta gereba (bekas air dibuat daripada kulit), lalu di dalamnya diletakkan kismis dan air. Rendaman kismis itu dibiarkan semalam. Baginda meminumnya pada keesokan harinya dan malamnya, serta besoknya lagi sampai petang. Baginda minum dan memberikannya kepada orang lain. Ketika datang pagi berikutnya, sisa rendaman kismis itupun dibuang.” (Hadis riwayat Muslim)
Maksudnya: “Daripada Tsamamah (yakni Ibnu Hazn Al-Qusyairiy): “Aku bertemu ‘Aisyah, lalu aku bertanya kepada beliau tentang nabîdz. ‘Aisyah memanggil seorang jâriyah (budak perempuan) Habsyi dan berkata: “Tanyalah kepada orang ini kerana dialah yang biasa membuatkan nabîdz untuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.” Jâriyah itu berkata: “Aku biasa membuatkan nabîdz untuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam gereba (bekas air daripada kulit) di malam hari. Lalu gereba itu aku ikat dan aku gantungkan. Keesokan harinya, barulah Baginda minum nabîdz itu.” (Hadis riwayat Muslim)
Maksudnya: “Daripada ‘Aisyah, beliau berkata: “Biasanya kami membuatkan nabîdz untuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam gereba (bekas air daripada kulit) yang diikat bahagian atasnya dan gereba itu mempunyai mulut. Kami membuat nabîdz di pagi hari, lalu Baginda meminumnya di waktu ‘Isya’. Kalau kami membuatnya di waktu ‘Isya’, Baginda meminumnya di pagi hari.” (Hadis riwayat Muslim)
Al-Imam Al-Nawawi sewaktu menghuraikan hadis-hadis tersebut, berkata:
Ertinya: “Di dalam hadis-hadis ini terdapat petunjuk tentang keharusan melakukan (merendam seperti kismis, kurma, gandum), dan harus meminum air rendaman nabîdz itu selama mana ianya masih manis tidak berubah dan tidak menggelegak. Perkara ini harus hukumnya dengan ijmâ‘ ulama.
Adapun sebab Nabi memberikannya minum kepada khadam dan menumpahkannya/membuangnya selepas tiga hari, kerana tiada merasa selamat akan perubahannya selepas tiga hari dan adalah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menjauhi nabîdz selepas tiga hari.
Adapun maksud perkataannya (diberikannya minum kepada khadam atau ditumpahkannya/dibuangnya) ertinya kadang-kadang Baginda memberikannya minum kepada khadam dan kadang-kadang Baginda menumpahkannya. Hal ini terjadi kerana keadaan nabîdz itu berbeza-beza dan berubah-ubah.
Jika tidak nyata perubahan pada air rendaman nabîdz itu dan lain-lain seumpamanya daripada unsur-unsur yang memabukkan, Baginda memberikannya kepada khadam dan tidak menumpahkannya kerana ia dikira harta yang haram membuangnya dan Baginda tidak meminumnya hanyalah sebagai mententeramkan hati sahaja.
Tetapi jika telah nyata padanya ada sesuatu daripada unsur-unsur yang memabukkan dan perubahan, Baginda menumpahkannya, kerana apabila ia memabukkan maka jadilah ia haram dan najis, lalu ia ditumpahkan dan tidak diberi minum kepada khadam kerana yang memabukkan itu tidak harus diminum oleh khadam sebagaimana juga tidak harus Baginda sendiri meminumnya.
Adapun Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam meminumnya sebelum tiga hari itu adalah kerana belum ada perubahan, dan tidak ada unsur-unsur perubahan dan pada asalnya ia tiada diragui, wallahu a‘lam.
Adapun maksud perkataan dalam hadis ‘Aisyah: (Baginda merendamnya di waktu siang lalu meminumnya di waktu malam dan Baginda merendamnya di waktu malam, kemudian meminumnya di waktu siang) tidaklah berlawanan dengan hadis Ibnu Abbas mengenai meminumnya sehingga masuk hari ketiga kerana meminumnya dalam waktu satu hari tidak bermakna ditegah lebih daripada itu. Setengah ulama hadis pula berkata: “Kemungkinan hadis ‘Aisyah itu ialah di musim panas, kerana pada musim ini ditakuti akan rosak jika lebih daripada satu hari, manakala hadis Ibnu Abbas pula di musim yang mana pada musim tersebut terjamin selamat daripada perubahan sebelum tiga hari. Ada juga yang berpendapat bahawa: “Hadis ‘Aisyah merujuk kepada air rendaman nabîdz yang sedikit yang boleh dihabiskan dalam masa sehari dan hadis Ibnu Abbas pula merujuk kepada air rendaman nabîdz yang banyak yang tidak boleh dihabiskan dalam masa sehari. Wallahu a‘lam.” (Shahîh Muslim dengan Syarah Al-Nawawi 7/147)
Begitulah beberapa riwayat yang kira-kira dapat menjelaskan kedudukan perkara alkohol dalam makanan atau minuman daripada perahan-perahan atau rendaman-rendaman buah atau bijirin.
Sekarang tentang Khamr
Umum mungkin beranggapan bahawa alkohol itu ialah khamr dan khamr pula ialah alkohol. Sebenarnya ada perbezaan di antara keduanya itu, sekurang-kurangnya dari segi bahawa dalam khamr terdapat alkohol sementara alkohol yang tulen yang tidak bercampur dengan lain-lain cecair adalah racun. Barangsiapa yang meminumnya dalam kadar tertentu boleh membawa mudarat atau kematian.
Adapun khamr atau arak itu ialah minuman yang memabukkan. Dalam Islam hukum meminum arak adalah haram dan perbuatan meminumnya termasuk dosa besar yang boleh dihukum dengan hukuman hadd iaitu mendera si peminumnya dengan 40 kali sebatan.
Dalam masyarakat hari ini, minuman yang memabukkan itu selain namanya khamr dikenali juga dengan berbagai-bagai nama lain yang disesuaikan dengan kehendak, citarasa dan kepentingan pihak-pihak tertentu, sama ada untuk mengelirukan umat Islam atau bagi tujuan promosi untuk mencari keuntungan dalam dunia perniagaan mereka.
Hal ini pernah dijelaskan oleh Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sebuah hadis Baginda yang berbunyi:
Maksudnya: “Pasti benar-benar akan ada orang-orang daripada umatku yang meminum khamr, mereka itu menamakannya dengan nama lain.” (Hadis riwayat Ahmad)
Apapun nama yang diberikan kepada khamr, jumhûr ulama telah ijmâ‘ mengatakan, bahawa khamr tetap haram sekalipun ia diminum dalam jumlah yang sedikit, atau sama ada meminumnya itu menyebabkan mabuk atau tidak.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: “Tiap-tiap sesuatu jika diminum banyak boleh memabukkan, maka yang sedikitpun hukumnya haram.” (Hadis riwayat Nasa’i dan Abu Daud)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: “Setiap yang memabukkan itu khamr dan setiap yang memabukkan (hukumnya) haram.” (Hadis riwayat Muslim)
Kedudukan arak dalam Islam dan kerosakan-kerosakan yang ditimbulkan oleh arak serta peminumnya telah ditegaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam Al- Qur’an dengan begitu jelas sebagaimana firmanNya yang berbunyi:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah Al-Mâ’idah: 90)
Firman Allah lagi:
Tafsirnya: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?” (Surah Al-Mâidah: 91)
Hukum Makan Atau Minum Yang Beralkohol
Jika kewujudan alkohol itu berlaku dalam makanan atau minuman dengan cara mencampurnya atau menaruh atau memasukkan atau seumpamanya, sama ada alkohol itu dihasilkan melalui proses penapaian (fermentation) atau melalui proses kimia, maka barang-barang (makanan atau minuman) yang beralkohol itu menjadi najis. Dalam erti kata lain, minuman atau makanan yang bercampur alkohol itu adalah haram digunakan, diminum atau dimakan. Hukum haram ini jelas berdasarkan ayat dan hadis-hadis di atas iaitu dengan ijmâ‘ ulama padanya. Kerana dalam makanan atau minuman yang bercampur itu terdapat molekul khamr. (Al-Fiqh Al- Islâmi wa Adillatuh 3/537)
Oleh hal yang demikian, minuman berjenama yang dikatakan bercampur dengan alkohol dalam jumlah peratusnya seperti disebutkan oleh penanya: Cherry cider (4.8%), Orange crush (0.1%), Cream soda (8.7%), Pineapple (5.8%), Lemon (6.4%) dan Sarsaparilla (7.2%) adalah jika benar ianya dicampur dengan alkohol, walaupun sedikit, kesemua jenis minuman itu hukumnya najis dan haram diminum oleh orang Islam.
Jika alkohol itu terjadi sendirinya melalui proses penapaian (fermentation) di dalam minuman-minuman yang berkaitan itu, maka kadar peratus alkohol, kecuali bagi orange crush (0.1%), nampak-nampaknya telah sampai ke tahap arak (khamr). Menurut maklumat para pengkaji bahawa kadar peratus alkohol yang dianggap mencapai ke tahap arak atau khamr itu ialah 2 – 8% (jenis beer).
Maka berdasarkan ini, nyatalah kesemua produk itu yang sedang beredar di pasaran dalam negara ini mestilah ditiadakan atau diberhentikan pengedarannya, selaras dengan dasar dan peraturan negara yang sedang berjalan pada masa ini, kerana minuman-minuman itu sudahpun dikenalpasti mengandungi alkohol, sedang alkohol itu adalah najis hukumnya. Sementara kadar alkohol campurannya itu pula telahpun mencapai ke tahap arak sebagaimana maklumat oleh ahli mengenainya. Hatta orange crush (0.1%) juga termasuk yang dilarang (sekalipun belum sampai ketahap arak) sekiranya ia (alkohol itu) dicampur kemudian ke dalam minuman, yakni bukan terjadi dengan sendirinya melalui proses penapaian seperti pada perahan anggur atau air rendaman kismis sebelum ianya sampai kepada masa dan tahap yang dilarang sebagaimana (sila rujuk semula) hadis-hadis atau riwayat yang telah disebutkan terdahulu.
Bahaya Memakan Atau Meminum Yang Haram Agama Islam telah memberi ingat akan bahaya meminum atau memakan benda-benda haram itu sebagaimana hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam banyak menyebutkannya, antara lain:
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:
Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga daging yang tumbuh daripada yang haram.” (Hadis riwayat Ahmad)
Sebuah hadis lagi yang diriwayatkan oleh Al-Thabarani, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka api neraka lebih layak dengannya.” (Hadis riwayat Thabarani)
Menurut sebuah riwayat yang dikeluarkan oleh Al-Thabarani daripada Ibnu Abbas katanya: “Pernah aku membaca di hadapan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam ayat ini, iaitu:
Tafsirnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah barang yang halal, yang baik daripada apa yang ada di bumi.”
Maka Sa‘ad bin Waqqas pun berdiri seraya berkata: “Ya Rasulullah! Aku bermohon kepada Allah supaya aku dijadikan orang yang diperkenankan doanya. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya: “Wahai Sa‘ad! Baguskanlah makananmu, nescaya engkau adalah orang yang diperkenankan permintaan, dan demi (Allah) yang diri Muhammad di tanganNya, sesungguhnya seorang hamba yang memasukkan sesuap makanan haram ke perutnya, tiada diterima Allah amal daripadanya empat puluh hari. Dan seseorang hamba yang tumbuh dagingnya daripada yang haram, maka api neraka lebih layak dengannya.”
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8210
