Membelanjakan Wang Riba Bank Bagi Kepentingan Orang Islam
Soalan: Jawatankuasa Sambutan Maulud Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam peringkat Daerah Belait mempunyai sejumlah wang simpanan yang besar di dalam sebuah bank konvensional. Setelah penubuhan Bank Islam di negara ini, pihak Jawatankuasa telah bersetuju membuka akaun baru di Bank Islam berkenaan dan menutup akaun di bank yang mengamalkan konsep riba. Wang yang disimpan ini adalah hasil daripada kutipan derma seluruh penduduk dan rakyat Daerah Belait kepada jawatankuasa sambutan sebagai pemegang amanah mentadbir acara sambutan tersebut pada setiap tahun.
Akibat daripada penutupan akaun di bank berkenaan, sejumlah keuntungan yang dimaklumi kadarnya berupa wang (yang disebut sebagai wang faedah atau interest) telah dimasukkan ke dalam akaun tersebut iaitu hasil daripada simpanan yang dibuat bertahun-tahun di dalam bank yang bukan berlandaskan konsep Islam. Ini mengakibatkan wang simpanan bertambah daripada jumlah wang simpanan asal.
Persoalannya, adakah Jawatankuasa ini berhak selaku pemegang amanah menjalankan dan menggunakan wang tersebut (wang interest) yang diberikan oleh pihak bank yang mengamalkan konsep riba ini bagi tujuan kebajikan khususnya Majlis Sambutan Maulud Nabi atau adakah ianya dikira sebagai wang bâthil yang dianggap sebagai wang yang tiada diketahui tuan empunyanya yang sewajibnya diserahkan kepada pihak Baitulmal?
Jawapan: Wang ‘interest’ atau wang bunga yang diberikan oleh bank konvensional kepada penyimpannya adalah wang riba. Wang riba adalah haram dan wajib diserahkan kepada Baitulmal.
Adapun wang Baitulmal itu dibelanjakan bagi mashlahat atau kepentingan umat Islam mengikut yang selayaknya. Penyimpan seperti Jawatankuasa Sambutan Maulud Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam Daerah Belait tidak boleh membelanjakan wang riba itu sama ada bagi tujuan kebajikan secara umum atau khusus seperti kerana sambutan Maulud Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini adalah kerana ia bukanlah daripada atau sebahagian daripada wang derma itu sendiri, tetapi merupakan bunga atau ‘interest’, sedangkan bunga atau ‘interest’ tiada diketahui siapa tuannya.
Oleh itu, untuk menentukan dengan tepat pengagihan atau penggunaan wang riba itu, hendaklah ia diserahkan kepada Baitulmal sesuai dengan sifatnya sebagai pentadbir am harta umat Islam seperti wang riba bank, yang menurut ulama adalah wang yang tidak diketahui tuannya. Setiap wang yang tidak bertuan hendaklah diserahkan kepada Baitulmal selaku pentadbir am harta umat Islam itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8214
