Membin/Membintikan Anak Angkat Kepada Nama Abdul Rahman
Soalan: Dengan penuh hormat sukacita pihak kami memohon fatwa mengenai pemberian nama keluarga (nasab) bagi anak-anak pungut yang tidak diketahui asal usul keluarga mereka.
Fatwa ini diharapkan akan dapat menyelesaikan kemusykilan yang dihadapi oleh pihak kami memandangkan anak pungut yang terakhir dirujuk ke Kementerian Hal Ehwal Ugama adalah bernasabkan kepada Abdul Rahman sedangkan anak-anak pungut sebelum ini adalah bernasabkan kepada Abdullah.
Jawapan: Adalah harus membin atau membintikan anak pungut yang tidak diketahui nasabnya (keturunan) yang akan dijadikan anak angkat dengan nama Abdul Rahman atau lain-lain nama daripada Al-Asmâ’ Al-Husna seperti Abdullah, Abdul Rahim, Abdul Jalil, dengan syarat orang yang bakal mengangkat anak pungut tersebut bukan bernama Abdul Rahman bagi mengelakkan kesamaran di antara bapa angkat (Abdul Rahman) dengan Abdul Rahman yang berasal daripada nama Allah iaitu Al-Rahman yang dipakaikan untuk membinkan atau membintikan anak angkat itu. Ini adalah supaya anak angkat yang tidak diketahui nasabnya itu tidak dianggap oleh orang lain yang tidak mengetahuinya sebagai anaknya yang sebenar atau bagi mengelakkan kekeliruan di kemudian hari jika berbangkit soal wali nikah atau pusaka, kerana kedua-dua perkara ini berkaitan dengan nasab.
Ini berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Ahzâb, ayat 5:
Tafsirnya: “Panggillah anak-anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai ‘maulâ-maulâ’ kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani).”
Al-Mawardi ketika mentafsir ayat:
Tafsirnya: “Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu.”
Menyebutkan antara lain:
1) Hendaklah menasabkan mereka itu kepada nama-nama saudara kamu dan mawâli (bekas tuan yang memerdekakan hamba) seumpama nama Abdullah, ‘Ubaidullah, Abdul Rahman, Abdul Rahim atau Abdul Aziz. Inilah pendapat Maqatil bin Hayyan.
2) Diriwayatkan oleh Muhammad bin Al-Munkadir, katanya: “Sewaktu duduk sekumpulan daripada sahabat-sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di antaranya Jabir bin Abdullah Al-Anshari, mereka berbangga-bangga dengan keturunan bapa-bapa mereka, setiap orang menyebut-nyebut bahawa “aku polan bin polan” sehinggalah sampai kepada giliran Salman (Al-Farisi), beliau berkata: “saya Salman bin Al-Islam.”
Kemudian disampaikan perkara itu kepada Umar bin Al-Khaththab, maka katanya (Umar): “Benar kata-kata Salman itu.” (Kemudian Umar berkata): “Adalah saya Umar bin Al-Islam.”
Yang demikian itu adalah firman Allah:
Tafsirnya: “Maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama.” (Al-Nukat wa Al-‘Uyûn Tafsîr Al-Maradi 4/372)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8218
