Mempercayai ‘Pungsu’ Membawa Tuah Dan Hubungannya Dengan Iman
Soalan: Dalam masyarakat Islam, terdapat sebahagian daripada orang-orang yang mempercayai ‘pungsu’. Amalan dan kepercayaan yang terdapat di kalangan sebilangan orang Islam terhadap ‘pungsu’ atau busut adalah seperti berikut:
i. Memelihara ‘pungsu’ di dalam rumah atau di kawasan-kawasan rumah.
ii. Memuja ‘pungsu’ dengan memberikan kain kuning dan setanggi setiap malam Jumaat, memberikan topi hijau dan sebagainya.
iii. Mempercayai adanya kuasa daripada ‘pungsu’ tersebut seperti percaya ia boleh membawa tuah atau menambah rezeki dan sebagainya.
iv. Percaya adanya penjaga dan menggelarkannya sebagai ‘datuk’.
Sehubungan dengan itu, dipohonkan fatwa mengenai perkara tersebut.
Jawapan: Apabila seseorang memuja suatu benda seperti ‘pungsu’ (busut), keris, cincin dan seumpamanya dengan memakaikan kain kuning kepada benda-benda itu serta membakar kemenyan setiap malam Jumaat dengan mempercayai bahawa benda-benda tersebut mempunyai kuasa yang boleh membawa tuah, menambah rezeki dan lain-lain lagi, maka pemujaan-pemujaan serta kepercayaan seperti ini sudah boleh dianggap menyamai dengan aqidah terhadap Allah.
Sayugia diingat bahawa perkara aqidah itu adalah perkara yang sangat sensitif, yang apabila tersilap ia boleh membawa kepada kekufuran, sama ada yang menyalahi itu dengan perbuatan, perkataan atau dengan niat.
Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asy‘ari Radhiallahu ‘anhu beliau mengatakan:
Maksudnya: “Pada suatu hari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyampaikan khutbah kepada kami: “Wahai manusia, takutlah kamu mengenai syirik, kerana syirik itu lebih tersembunyi daripada rangkakan perjalanan semut”. Abu Musa berkata kepada Baginda - barangsiapa dengan kehendak Allah akan berkata: “Bagaimana kita menjauhi syirik dalam keadaan ia lebih tersembunyi daripada rangkakan perjalanan semut?” Sabda Baginda: “Kamu ucapkan:
dengan Engkau daripada sesuatu yang boleh menyekutukanMu sedangkan kami tidak mengetahuinya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Thabarani dengan isnâd yang baik)
Telah diriwayatkan juga oleh Abu Ya‘la hadis yang seumpamanya daripada hadis Hudzaifah, cuma dalam hadis Hudzaifah itu beliau berkata: “ يقول كل يوم ثالث مرات (seseorang itu mengucapkan setiap hari tiga kali).”
Hadis di atas menjelaskan betapa khuatirnya para ulama tentang perbuatan syirik itu kerana ianya adalah dosa paling besar sehingga orang-orang yang melakukannya tidak ada harapan untuk mendapat keampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. FirmanNya:
Tafsirnya: “Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan suatu yang lain) maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.” (Surah Al-Nisâ’: 48)
Tafsirnya: “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.” (Surah Luqman: 13)
Semua dosa ada harapan diampunkan oleh Allah melainkan dosa menyekutukan Allah, adalah muktamad tidak ada keampunanNya. Ini ditegaskan sendiri oleh Allah dengan firmanNya:
Tafsirnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua) dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya) dan sesiapa yang menyekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.” (Surah Al-Nisâ’: 48)
Selain tidak diampuni dosa-dosa orang yang berlaku syirik itu, dia juga diharamkan daripada memasuki syurga. Firman Allah:
Tafsirnya: “Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga.” (Surah Al-Mâ’idah: 72)
Syirik bermaksud menyekutukan Allah pada zatNya, sifatNya atau perbuatanNya. Allah itu bersifat Maha Esa (Tunggal) tiada sekutu bagiNya pada zat, sifat dan perbuatan. FirmanNya:
Tafsirnya: “Tiada suatupun yang sebanding dengan zatNya, sifat-sifatNya dan pentadbiranNya), dan Dialah yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Syûra: 11)
Awal ayat ini merupakan tanzîh (penafian), manakala di hujungnya pula merupakan itsbât (penetapan). Ayat ini dengan tegas menjelaskan bahawa tiada bandingan bagi Allah, baik pada zat atau sifat atau perbuatanNya. Dari itu, tidak ada sesuatu yang mempengaruhi atau menyamai apatah lagi menandingi kuasa Allah.
Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: “Daripada Abu Abdullah bin Abbas Radhiallahu ‘anhuma katanya: “Pada suatu hari adalah aku di belakang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Baginda bersabda: “Hai anak! Aku akan mengajar engkau beberapa perkara: Peliharalah Allah, nescaya Allah memelihara engkau. Peliharalah Allah nescaya engkau mendapatinya di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka mintalah kepada Allah dan apabila engkau memohon pertolongan, maka pohonlah pertolongan itu dengan Allah. Dan Ketahuilah! Sesungguhnya umat itu kalaupun mereka berkumpul untuk memberi manfaat kepada engkau dengan sesuatu, tidaklah mereka dapat memberikannya kepada engkau kecuali dengan sesuatu yang sudah dituliskan oleh Allah atas engkau. Dan jika mereka berkumpul untuk membahayakanmu dengan sesuatu, tidaklah mereka dapat memudaratkanmu kecuali dengan sesuatu yang telah dituliskan oleh Allah atas engkau. Dan telah diangkatkan segala pena dan juga telah kering segala buku.” (Hadis riwayat Tirmidzi dan katanya hadis hasan shahîh)
Pada riwayat selain Tirmidzi pula - ada disebut -:“Peliharalah Allah, nescaya engkau mendapati Allah di hadapanmu. Kenallah kepada Allah pada masa lapang, nescaya Dia kenal engkau pada masa susah. Dan ketahuilah! Sesungguhnya apa-apa yang (ditakdirkan) tidak datang kepada engkau, tidaklah ia mengenaimu. Tetapi apa-apa yang mengenaimu tidaklah ia tersalah kena padamu, dan ketahuilah! Sesungguhnya kemenangan itu beserta kesabaran, dan sesungguhnya kelapangan pula beserta kesusahan dan sesungguhnya beserta dengan susah itu ada senang.”
Segala sesuatu yang ada di alam ini semuanya itu dijadikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan kuasaNya sendiri bukan dengan kuasa yang lain. Hal ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:
Tafsirnya: “Demikian ialah Allah, Tuhan kamu yang menciptakan tiap-tiap sesuatu itu (daripada tiada kepada ada), tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia.” (Surah Ghâfir: 62)
Demikian juga halnya dalam urusan memberi rezeki. Tidak ada satu kuasapun yang dapat memberikan rezeki kecuali kuasa Allah. Firman Allah dalam surah Hûd, ayat 6:
Tafsirnya: “Dan tiadalah sesuatupun daripada makhluk- makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediaman dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersebut dalam kitab (Laûh Al-Mahfûzh) yang nyata (kepada malaikat-malaikat berkenaan).”
Jadinya memohon sesuatu kepada yang lain daripada Allah seperti ‘pungsu’ itu, adalah ia suatu dosa besar. Ini telah dijelaskan oleh Allah:
Tafsirnya: “Dan siapa yang menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah, dengan tidak berdasarkan sebarang keterangan mengenainya, maka sesungguhnya hitungannya (dan balasan amalan yang jahat itu) disediakan di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu tidak akan berjaya.” (Surah Al-Mu’minûn: 117)
Firman Allah lagi:
Tafsirnya: “Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain daripada Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu jadilah engkau daripada orang-orang yang berlaku zalim terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu.” (Surah Yunus: 106)
Berdasarkan ayat dan dan hadis di atas, maka memelihara ‘pungsu’ dengan memujanya serta memberikan pakaian kepadanya dengan kepercayaan ia ada kuasa, boleh membawa tuah dan memberi rezeki, maka adalah ia suatu perbuatan syirik dan hukum syirik itu sangat jelas sebagai suatu dosa besar. Kita dibolehkan bahkan dituntut supaya banyak meminta tetapi meminta kepada Allah, bukan kepada yang lain-lain, seperti hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ini:
Maksudnya: “Apabila engkau meminta, maka pintalah kepada Allah, dan apabila engkau memohonkan pertolongan, maka pohonlah pertolongan itu dengan Allah.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Meminta atau memohon kepada Allah adalah merupakan doa, dan doa itu pula suatu ibadat. Ibadat tidak boleh dilakukan melainkan kepada Allah semata-mata, bukan kepada yang lain-lain yang terdiri daripada makhluk Allah, lebih-lebih lagi jika benda-benda yang tidak bernyawa seperti batu, kayu, ‘pungsu’ dan lain-lain yang tidak dapat memberi manfaat atau mudarat, sebagaimana patung-patung tidak dapat memberi manfaat atau mudarat. Kepercayaan kepada benda-benda seperti ini adalah karut dan wajib ditolak.
Wajib pula diketahui bahawa meminta atau memohon pertolongan kepada Allah atau berdoa kepada Allah itu mestilah dengan cara langsung. Terus menerus kepadaNya, bukan melalui sesiapa, seperti melalui manusia, ‘pungsu’, batu atau kayu. Maka barangsiapa yang berbuat demikian itu, maka dia telah berbuat bid’ah dalam agama dan tidak mengikut jalan orang yang beriman, bahkan ditakuti mati dalam keadaan syirik jika dia tidak bertaubat.
Oleh yang demikian memuja ‘pungsu’ dengan memberikan pakaian kuning dan memakaikannya dengan topi serta mendupa dengan setanggi pada tiap-tiap malam Jumaat dengan kepercayaan bahawa ‘pungsu’ itu mempunyai kuasa yang boleh membawa tuah atau menambahkan rezeki dan sebagainya, adalah perbuatan sesat yang boleh membawa syirik kerana ia menafikan kuasa Allah yang Maha Pengurnia, sebaliknya mempercayai ‘pungsu’ sebagai mempunyai kuasa tersebut.
Satu perkara penting yang wajib dijaga serta dipelihara dalam mencari kesenangan hidup di dunia ini ialah segala usaha kita ke arah itu mestilah tidak bersalahan dengan ajaran agama Islam. Kita mesti menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan syirik atau melafazkan perkataan yang boleh membawa kepada syirik. Perlumbaan mencari kesenangan kadang-kadang menjadi fitnah jika ianya tidak disertai dengan iman yang kuat kerana iman yang lemah akan mudah dipengaruhi walaupun dengan hanya sedikit kesenangan yang diperolehi. Ini dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Bersegeralah kamu mengerjakan amal-amal (yang berkebajikan) sebelum muncul pelbagai fitnah yang bagaikan bahagian-bahagian malam yang gelap gelita, di mana pada waktu pagi seseorang itu beriman, tetapi pada waktu petangnya dia menjadi kafir, atau pada waktu petang dia beriman tetapi pada waktu paginya dia menjadi kafir, dia menjual agamanya dengan harta benda dunia.” (Hadis riwayat Muslim)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8222
