Memperjualbelikan Kucing
Soalan: Untuk pengetahuan abis Pehin, kaola berminat menternak kucing jenis baka baik dan sebahagiannya didatangkan dari luar negeri dengan tujuan semua ini untuk dijual kepada orang yang berminat memelihara kucing. Apakah hukumnya memakan wang hasil daripada jualan ternakan tersebut?
Jawapan: Jual beli dalam Islam mempunyai rukun-rukunnya yang tertentu dan jika ia cukup, maka sah jual beli itu. Salah satu rukun jual beli itu ialah barang yang akan diperjualbelikan boleh dijadikan akad. Keharusan barang yang diperjualbelikan itu pula mempunyai lima syarat:
(i) Barang itu hendaklah suci. (ii) Barang itu hendaklah dapat dimanfaatkan. (iii) Barang itu hendaklah dimiliki oleh orang yang berakad. (iv) Berkuasa menyerahkan barang itu. (v) Barang itu dapat diketahui.
Jika syarat-syarat ini telah terpenuhi, sah akadnya.
Syarat ‘suci’ mengecualikan barang najis. Tidak sah menjual arak, bangkai, babi, anjing atau berhala, berdasarkan sabda Nabi Muhamamd Shallallhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Ta‘ala mengharamkan memperjualbelikan arak, bangkai, babi dan berhala.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Telah sabit bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang makan harta hasil penjualan anjing.
Cara menggunakan dalil ini, bahawa di dalam empat perkara tersebut masing-masing mempunyai manfaatnya. Arak dapat memadamkan api. Bangkai boleh dijadikan makanan binatang pemburu, lemaknya boleh dijadikan minyak lampu dan minyak bangkai boleh dijadikan pengecat perahu agar tidak bocor. Anjing boleh digunakan untuk memburu, menjaga rumah atau sawah. Oleh kerana barang-barang tersebut ada manfaatnya. maka keharamannya itu adalah dengan ‘illât (sebab) najis.
Adapun benda yang terkena najis, apabila dapat disucikan seperti pakaian dan sebagainya, sah memperjualbelikannya kerana pada dasarnya benda itu suci. Apabila ia tidak dapat disucikan, seperti madu, susu dan sebagainya, tidak sah memperjualbelikan kerana barang-barang tersebut akan rosak jika dicuci dan juga kerana ada najisnya.
Imam Nawawi menukil di dalam Syarh Al-Muhadzdzab bahawa ijmâ‘ mengenai larangan jual beli pada barang najis. Adapun minyak yang terkena najis, seperti minyak makan dan seumpamanya, apakah boleh disucikan? Dalam hal ini ada dua wajh. Wajh yang ashah, tidak boleh sebab pernah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ditanya berkenaan tikus yang mati di dalam minyak samîn, lalu Baginda bersabda:
Maksudnya: “Apabila minyak samînnya padat (beku), buanglah tikus itu dan samîn yang ada di sekitarnya. Dan apabila minyak samînnya cair, tumpahkanlah semuanya!” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)
Tentu saja jika minyak samîn tersebut boleh disucikan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak mungkin menyuruh menumpahkan semuanya. Sebab hal itu bererti menyia-nyiakan harta sedangkan menyia-nyiakan harta itu dilarang oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam seperti dalam hadisnya.
Bolehkah menghibahkan (menghadiahkan) atau menyedekahkan minyak yang terkena najis atau seumpamanya? Apa yang dinukil daripada Al-Qadhi Abu Al-Thayyib, beliau melarangnya. Imam Rafi‘e berkata: “Boleh diserupakan khilâf yang terdapat pada masalah ‘menghibahkan anjing” yang juga terdapat pada masalah menghibahkan minyak najis ini.” Imam Nawawi berkata: “Sebaiknya dipastikan sahnya bersedekah minyak yang terkena najis untuk digunakan pada lampu dan lain sebagainya.” Al-Mutawalli telah memastikan bolehnya memindahkan hak terhadap minyak yang terkena najis tersebut dengan jalan wasiat dan lain sebagainya.
Syarat yang kedua pula ialah barang itu hendaklah dapat dimanfaatkan atau ada manfaatnya pada syara‘. Tidak sah memperjualbelikan barang yang tidak berguna dengan sebab terlalu sedikit seperti sebiji atau dua biji gandum, kismis dan seumpamanya yang tidak bernilai pada kebiasaannya, sekalipun haram merampasnya dan wajib dikembalikan. Jika rosak atau dirosakkan tidaklah digantirugi (dhaman).
Syarat yang kedua ini, mengecualikan barang yang tidak ada manfaatnya. Barang yang tidak ada manfaatnya ini tidak sah dijual dan tidak sah dibeli. Mengambil harta daripada hasil penjualan barang yang tidak ada manfaatnya yang tersebut itu, termasuk memakan harta orang lain dengan jalan yang tidak benar (bâthil). Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah melarang memakan harta orang lain dengan jalan yang bâthil.
Termasuk menjual barang yang tidak ada manfaatnya ialah menjual serangga kecil yang melata di bumi seperti kumbang, ular, kala jengking, tikus dan semut. Syara‘ tidak memandang sebagai ada manfaat pada serangga-serangga tersebut.
Tidak sah diperjualbelikan setiap binatang buas seperti singa, serigala atau burung yang tidak boleh dimanfaatkan seperti burung rajawali dan burung gagak, iaitu binatang atau burung yang tidak boleh dimakan.
Adapun binatang atau burung yang boleh dimanfaatkan sah diperjualbelikan seperti harimau bintang digunakan untuk memburu, gajah untuk berperang, monyet untuk memetik buah-buahan atau menjaga, lebah untuk diambil madunya, burung ‘andalîb (bulbul/murai) untuk berseronok-seronok dengan suaranya, burung merak untuk berseronok-seronok dengan bulunya dan lintah untuk menghisap darah orang sakit. (Lihat Mughnî Al-Muhtâj 2/15-16 dan Kifâyah Al-Akhyâr 234-235)
Khas mengenai kucing, menurut Yusuf Al-Ardibili di dalam Al-Anwâr li Al-A‘mâl Al-Abrâr 1/213-214, mengatakan:
Ertinya: “Sah jual beli binatang ternakan, kuda, baghal, keldai, kijang, anak kijang, burung helang (bazah), rajawali, gajah, harimau bintang, monyet, kucing, merpati, burung-burung, lintah, ulat sutera, binatang yang gunanya untuk hiburan kerana warnanya seperti burung merak, atau kerana suaranya seperti zurzûr (burung tiung), ‘andalîb (bulbul/murai) dan burung kakak tua.”
Maka berdasarkan nash kitab Al-Anwâr di atas adalah sah diperjualbelikan binatang kucing peliharaan, tetapi bukan kucing hutan atau kucing liar.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8226
