Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Penggunaan Wang Tabung Kebajikan Masjid

Soalan: Kaola ingin mengemukakan beberapa kemusykilan berhubung Tabung Kebajikan Masjid di sebuah kampung. Tabung Kebajikan Masjid ini tidak sama dengan tabung masjid, di mana penggunaannya agak meluas dan ini menimbulkan beberapa kekeliruan yang perlu dirujuk kepada Pehin. Sumber kewangan tabung kebajikan ini adalah daripada:

1. Lebihan derma penduduk kampung khusus untuk: a. Majlis Doa Arwah Sekampung. b. Majlis Khatam Al-Qur’an. c. Majlis Doa Selamat Pergi/Balik Haji.

2. Hasil sewa kem: Kem ini adalah pemberian seorang hamba Allah untuk disewakan kepada orang-orang kampung ini sahaja dan hasil sewaan itu dimasukkan ke dalam tabung ini.

3. Sadaq: Hasil yang dikutip semasa Sembahyang Hari Raya Puasa/Haji.

4. Derma perseorangan khusus untuk tabung ini.

Kemusykilan abis kaola ialah:

1. Di antara empat sumber kewangan itu, yang manakah tidak boleh djadikan sumber kewangan tabung ini? Apakah ketidakbolehannya itu membawa kepada haram atau bagaimana kerana wang-wang tersebut digunakan untuk perkara-perkara kebajikan?

2. Apakah boleh lebihan derma itu tadi (khusus untuk perkara 1) diubah menjadi wang Tabung Kebajikan Masjid atas persetujuan orang-orang kampung?

3. Memandangkan penggunaannya agak meluas, timbullah kekeliruan. Ada yang mengatakan penggunaannya sama seperti tabung masjid, sedangkan di pihak yang lain, ianya boleh digunakan asalkan pada perkara kebajikan seperti untuk mangsa kebakaran atau majlis hari guru.

Kaola mohon nasihat dan cadangan daripada Pehin demi kebaikan Tabung Kebajikan Masjid ini.

Jawapan: Setiap derma yang hendak digunakan atau dibelanjakan oleh pemegang amanah derma hendaklah mengikut niat orang yang berderma atau tujuan derma itu dilakukan.

Jika derma itu diniatkan atau ditujukan untuk sesuatu perkara yang tertentu seperti derma untuk membaiki masjid, biasiswa pelajaran anak-anak yatim atau pembinaan sekolah, maka hendaklah pemegang amanah derma itu menyalurkan derma itu menurut niat penderma itu.

Daripada Abu Musa Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya seorang penyimpan Muslim lagi amanah yang melaksanakan (mungkin juga Baginda bersabda: “Memberikan) apa yang diperintahkan kepadanya, maka dia (penyimpan) itu memberikan secara sempurna dan mencukupi (dengan) jiwa yang baik dan seterusnya menyerahkannya kepada orang yang diperintahkan untuk diberi, baginya (penyimpan) dengan perkara itu (adalah termasuk) salah seorang daripada dua orang yang bersedekah.” (Hadis riwayat Muslim)

Berkata Imam Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala di dalam kitabnya Shahîh Muslim dalam mensyarah dan menghuraikan hadis yang tersebut di atas:

“Ketahuilah sesungguhnya (untuk mendapatkan pahala tersebut) si pekerja iaitu penyimpan (dan yang seumpamanya seperti) isteri dan hamba hendaklah mendapat keizinan daripada pemiliknya. Jika dari mula lagi tidak ada keizinan, maka tidak ada pahala yang diperolehi oleh mereka, bahkan ke atas mereka dosa kerana membelanjakan harta orang lain tanpa mendapat keizinannya. Keizinan itu ada dua bahagian:

1. Keizinan yang terang dalam perkara nafkah dan sedekah.

2. Keizinan yang dapat difahami daripada hukum umum ‘urf dan adat kebiasaan seperti memberi kepada peminta sedekah sekerat, secebis, sepotong sesuatu dan seumpamanya yang biasa berlaku pada adat dan hukum ‘urfnya yang diketahui akan mendapat keizinan suami dan pemiliknya.

Keizinannya dalam perkara yang sedemikian tetap ada walaupun tanpa berkata-kata. Perkara ini boleh, apabila diketahui keredhaannya berdasarkan hukum umum ‘urf dan diketahui bahawa jiwanya sama seperti jiwa kebanyakan manusia dalam memberikan tolak ansur dan keizinan. Tetapi jika tidak dapat dipastikan dalam ‘urf dan diragui untuk mendapatkan keredhaannya atau dia adalah seorang yang kikir dan dimaklumi dia berkeadaan sedemikian ataupun timbul keraguan padanya, tidaklah harus bagi seorang isteri dan sesiapa saja yang lain bersedekah dengan menggunakan hartanya melainkan dengan ada keizinannya yang terang.” (Lihat Syarh Shahîh Muslim 4/120)

Hendaklah diingat oleh pentadbir-pentadbir masjid agar membutirkan dengan jelas tujuan tabung-tabung dalam masjid diadakan dan ke manakah hendak dibelanjakan derma itu agar diketahui oleh setiap orang yang hendak menderma kepada tabung itu, supaya pemegang amanah iaitu jawantankuasa masjid boleh membelanjakan baki atau lebihan derma itu kepada lain-lain tujuan yang berkaitan dengan masjid seperti penta‘mîran masjid atau apa saja menurut kebijaksanaan jawantankuasa masjid tanpa merujukkan atau meminta izin semula kepada penderma-penderma.

Jika tiada diketahui niat dan tujuan orang yang berderma itu dengan jelas, maka hendaklah dilihat dari segi adat kebiasaan (‘urf) ketika membelanjakan derma-derma itu. Jika sekiranya derma itu pada kebiasaannya dibelanjakan kerana kemashlahatan masjid seperti membeli perkakas-perkakas masjid atau untuk mashlahat para jemaah masjid seperti membuat jamuan bagi ahli jemaah masjid yang datang ke masjid itu kerana masjlis-majlis ta‘lîm atau pengajian yang dihubungkan dengan hari-hari kebesaran Islam, maka bolehlah dibelanjakan derma itu ke arah tujuan tersebut.

Adapun baki atau lebihan derma daripada satu-satu derma khas yang dibuat seperti lebihan derma Majlis Doa Arwah Sekampung, Majlis Khatam Al-Qur’an dan Majlis Doa Selamat Pergi/Balik Haji bolehlah disimpan dan dianjakkan derma tersebut kepada majlis yang serupa di masa yang akan datang.

Jika hendak disalurkan juga baki atau lebihan derma tersebut kepada tabung masjid atau kepada satu tabung derma khas yang lain, hendaklah diminta keizinan terlebih dahulu daripada orang-orang yang berderma.

Adapun hasil sedekah atau derma daripada yang dikutip semasa sembahyang Hari Raya Puasa/Haji menurut kebiasaanya, sedekah orang ramai pada hari itu adalah diniatkan kepada tabung masjid, maka sedekah itu adalah hak tabung masjid kecuali ada dikhaskan tabung-tabung lain pada waktu Hari Raya Puasa/Haji itu yang menyatakan khusus bagi suatu tujuan selain tabung masjid.

Mengenai dengan hasil sewa kem dan derma perseorangan khusus untuk tabung tersebut, itu adalah jelas boleh dijadikan sumber kewangan tabung.

Adapun disegi penggunaan tabung kebajikan tersebut, bolehlah dilihat dari segi adat kebiasaan (‘urf) penggunaan tabung-tabung kebajikan. Jika kebajikan tersebut terkeluar daripada adat kebiasaan penggunaan tabung-tabung kebajikan, hendaklah terlebih dahulu mendapatkan keizinan daripada pihak-pihak yang berderma.

Sebagai saranan berhubung dengan perkara tabung ini, sekiranya ia berkaitan langsung dengan perkara masjid, yakni untuk kebajikan dan mashlahat masjid semata-mata, maka elok dan sesuai jika ianya dinamakan “Tabung Masjid” ataupun “Tabung Kebajikan Masjid”. Sementara bagi tujuan-tujuan umum yang berbagai-bagai seperti untuk Majlis Doa Arwah, Majlis Khatam Al-Qur’an, majlis meraikan orang-orang pergi dan balik haji dan lain-lain yang tidak ada kena mengena dengan kebajikan dan mashlahat masjid, maka eloklah atau lebih tepat lagi jika ia dinamakan “Tabung Kebajikan”, atau “Tabung Suka-Duka Penduduk Kampung …” atau lain-lain nama yang difikirkan lebih sesuai tanpa menyebutkan perkataan “masjid”. Di samping itu untuk lebih jelas lagi kepada mereka yang ingin berderma atau bersedekah melalui tabung ini, maka baguslah juga dituliskan atau dijelaskan tujuan untuk apa hasil tabung ini akan digunakan. Ini akan menjadi panduan kepada penderma-penderma menentukan tujuan dan niat mereka berderma itu, di samping juga bagi pengendali tabung tidak akan ragu-ragu lagi menggunakan hasil derma tersebut sebagaimana tujuan yang telah dijelaskan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8250