Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Perkahwinan Orang Bukan Islam Dan Kedudukan Anak-Anak Daripada Nikah Fâsid

Soalan: Seorang ibu bukan Islam telah melahirkan 2 orang cahaya mata iaitu anak sulung (perempuan) dilahirkan hasil perhubungan yang tidak sah (berdasarkan surat beranak tidak tercatat nama bapanya). Manakala anak kedua (lelaki) dilahirkan hasil perhubungan yang sah (berdasarkan surat beranak tercatat nama bapanya). Kedua-dua anak tersebut telah diangkat oleh orang Islam (orang yang sama) dan kemudian setelah baligh dan mengucapkan kalimah syahadat maka mereka disahkan sebagai beragama Islam. Anak yang sulung (perempuan) telahpun bernikah dengan seorang lelaki Islam yang diwalikan oleh adiknya (anak kedua). Hasil pernikahan tersebut telah dikurniakan beberapa orang anak kandung. Ibu dan suami ibunya sehingga kini belum lagi beragama Islam. Mengikut pengakuan di mahkamah yang dibuat oleh suami ibunya bahawa anak sulung (perempuan) tersebut adalah anaknya dan mereka telah bercerai semasa anak sulung tersebut dilahirkan. Pengakuan ini dibuat lebih awal daripada tarikh pernikahan anak sulung (perempuan) tersebut.

1. Adakah kelahiran anak sulung di atas, sama istilahnya sebagai anak luar nikah?

2. Adakah sah pernikahan anak sulung (perempuan) tersebut itu yang mana diwalikan oleh adiknya itu?

3. Bagaimana pula kedudukan anak-anak kepada perempuan (anak sulung) tersebut jika pernikahannya tidak sah?

4. Apakah pengakuan suami ibunya di atas diakui Islam?

5. Perkahwinan-perkahwinan (bukan Islam) macam manakah yang diakui oleh agama Islam dan bagaimana pula kedudukan perkahwinan-perkahwinan yang sedemikian itu? Iaitu:-

5.1 Perkahwinan yang disahkan oleh sebarang dokumen tetapi pada hakikatnya tidak benar?

5.2 Perkahwinan itu hanya diakui secara lisan sahaja tanpa sebarang dokumen tetapi sesungguhnya benar?

5.3 Sengaja membuat pengakuan perkahwinan bagi tujuan tertentu padahal mereka bukan suami isteri yang sah?

Jawapan: Dalam memperakui perkahwinan orang bukan Islam, agama Islam tidak menentukan sebarang syarat khusus mengenainya. Mana-mana pernikahan atau perkahwinan orang bukan Islam yang dilakukan mengikut agama, adat atau kebiasaan mereka adalah diiktiraf oleh Islam sebagai pernikahan yang sah. Apabila kedua orang yang bernikah atau berkahwin itu memeluk agama Islam, pernikahan mereka adalah kekal dan mereka tidak dikehendaki membaharui pernikahan tersebut, walaupun pernikahan itu tanpa wali atau saksi, kecuali pernikahan itu adalah pernikahan yang diharamkan Islam seperti pernikahan senasab atau sesusuan atau mushâharah dan sebagainya.

Demikianlah yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada mereka yang memeluk Islam di zaman Baginda. Baginda mengakui pernikahan itu tanpa bertanyakan syarat-syarat yang ada pada pernikahan mereka. (Lihat Al-Majmû‘ 17/480)

Berkata Imam Al-Nawawi Rahimahullah dalam Minhâj Al-Thâlibîn, dalam bab Nikâh Al-Musyrik:

Ertinya: “Dan pernikahan orang-orang kafir itu (dihukumkan) sah menurut (pendapat) yang shahîh.”

Dalam Al-Qur’an juga terdapat beberapa ayat yang jelas mengiktiraf perkahwinan orang bukan Islam yang dilakukan menurut adat atau agama mereka itu. Perempuan yang mereka nikahi disebut sebagai isteri mereka walaupun perkahwinan tersebut tidak dilakukan mengikut kehendak Islam. Contohnya isteri Firaun yang disebutkan dalam firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan (tatkala melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: “(Semoga dia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu.” (Surah Al-Qashash: 9)

Dalam surah Al-Lahab juga Allah berfirman:

Tafsirnya: “Dan juga isterinya (isteri Abu Lahab) seorang perempuan pemunggah kayu api.” (Surah Al-Lahab: 4)

Keadaan ini diperjelaskan lagi dengan hadis berhubung dengan seorang sahabat bernama Ghailan yang memeluk Islam, pada waktu itu dia mempunyai lebih daripada empat orang isteri, maka Nabi memerintahkan kepadanya supaya dia mengekalkan bersamanya empat orang sahaja. Jika pernikahannya yang dahulu itu tidak sah nescaya Nabi tidak memerintahkannya supaya dia kekal bersama dengan empat orang isterinya dan tidak pula Nabi bertanya kepadanya bagi tujuan menyelidiki tentang nikahnya yang dahulu.

Maka dengan itu, tiadalah wajib bagi kita menyelidiki syarat-syarat pernikahan orang bukan Islam, kerana mengikut hukum asal pernikahan mereka sesama mereka adalah sah seperti pernikahan orang Islam sebagai rukhshah. (Lihat Mughni Al-Muhtâj 3/248, I‘ânah Al-Thâlibîn 3/341)

Dengan demikian, mana-mana anak yang lahir daripada perkahwinan yang dilakukan oleh orang bukan Islam mengikut agama, adat atau kebiasaan mereka adalah diiktiraf oleh Islam sebagai anak yang sah. Maka apabila mereka memeluk agama Islam, berjalanlah segala hukum yang berhubung dengan nasab antara anak dan ibu bapanya seperti waris, wali dan sebagainya.

Maka bagi menjawab permasalahan yang ditimbulkan di atas, jika kedua ibu bapa kepada perempuan berkenaan (anak sulung) benar-benar bernikah atau berkahwin mengikut adat atau agama mereka dan perempuan berkenaan diyakini hasil daripada perkahwinan tersebut, maka perempuan itu adalah anak mereka yang sah dan sabit nasabnya kepada mereka sekalipun ia dilahirkan selepas mereka bercerai mengikut agama, adat atau kebiasaan mereka. Adik perempuan berkenaan juga adalah sah nasabnya kepada bapanya jika dia diyakini hasil daripada perkahwinan antara keduanya. Dia adalah adik beradik seibu sebapa jika suami berkenaan adalah lelaki yang sama.

Dengan demikian, dalam keadaan perempuan dan adiknya telah memeluk agama Islam dan ibu bapanya belum Islam, maka adik lelakinya adalah wali nikah yang sah kepada perempuan berkenaan kecuali ada halangan-halangan yang ditentukan oleh hukum syara‘ seperti wali masih kecil atau tidak siuman dan sebagainya. Anak-anak yang lahir hasil daripada pernikahan perempuan dengan berwalikan adik lelakinya itu juga adalah anak-anak yang sah nasabnya kepada suami perempuan.

Jika tidak berlaku pernikahan atau perkahwinan mengikut agama, adat atau kebiasaan mereka sehingga anak tersebut tidak dianggap anak yang sah pada mereka, maka menurut hukum syara‘ perempuan tersebut tidak sabit nasabnya kepada mana-mana orang kecuali kepada ibunya sahaja. Begitu juga jika anak lelaki yang lahir selepas itu hasil daripada perkahwinan ibunya dengan lelaki lain daripada suaminya yang pertama, maka menurut hukum syara‘ nikah yang dijalankan adalah tidak sah kerana berwalikan kepada adik seibu dan nikah tersebut diperbaharui dengan segera sebaik sahaja ia diketahui.

Walaupun pernikahan tersebut tidak sah, tetapi anak yang lahir melalui pernikahan berkenaan sebelum diketahui bahawa pernikahan tersebut fâsid, maka anak mereka adalah anak yang sah dinasabkan kepada kedua ibu bapanya kerana ia adalah hasil daripada wathi’ (persetubuhan) yang syubhah. Mereka tidak disebut sebagai anak zina.

Sehubungan dengan itu, memandangkan isu yang Awang persoalkan adalah berkaitan dengan perlaksanaan pernikahan, maka Awang adalah dinasihatkan untuk mendapatkan pengesahan segera mengenainya dengan merujukkan kes tersebut kepada Qadhi Daerah di mana berkenaan. Pengesahan tersebut adalah perlu kerana jika pernikahan tersebut tidak betul ia perlu diperbaharui dengan segera.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8253