Permainan ‘The Bridge’
Soalan: ‘Brunei Contract Bridge Association’ yang menganjurkan ‘The 1999 CCC’ akan mengadakan satu perlawanan yang dipanggil ‘The Bridge’. The Bridge adalah satu permainan yang menggunakan daun terup.
Maka dengan ini dihadapkan salinan brochure ‘The 1999 CCC’ ini untuk sebarang pandangan mengenai kesesuaian permainan tersebut di kalangan ahli-ahli yang beragama Islam. Dengan adanya fatwa dari Jabatan Mufti itu nanti, ianya akan dapat dijadikan sebagai garispandu sekiranya perkara yang serupa berlaku.
Jawapan: Penanya mengatakan bahawa permainan ‘bridge’ itu bukan permainan judi. Bahkan permainan tersebut adalah permainan kemahiran dan taktik yang memerlukan tumpuan minda yang mendalam.
Maksud judi telah diketahui umum, namun supaya pemahaman mengenai pengertian judi itu sama dengan apa yang dimaksudkan oleh syara‘, maka elok juga dibawakan apa dia permainan judi itu.
Judi ialah sama ada ia suatu permainan yang menggunakan wang sebagai taruhan, atau setiap permainan yang disyaratkan padanya seseorang yang menang akan memperolehi sesuatu daripada yang kalah atau suatu bentuk permainan yang mengandungi unsur sebarang taruhan dan orang yang menang dalam permainan itu berhak mendapat taruhan tersebut. Judi itu disebut dalam bahasa Arab sebagai ُ سَرحاملَي.
Dalam Al-Qur’an, perkataan al-maisir disebutkan sebanyak tiga kali, iaitu dalam surah Al-Baqarah, ayat 219:
Tafsirnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.”
Surah Al-Mâ’idah ayat 90 dan 91:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”
Ketiga-tiga ayat ini menyebutkan beberapa kebiasaan buruk yang sangat luas berkembang di masa jahiliah, iaitu al-khamr (minuman keras), al-maisir (judi), al-anshâb (berkorban untuk berhala), dan al-azlâm (mengundi nasib dengan menggunakan panah). Dalam surah Al-Baqarah, ayat 219, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjelaskan bahawa al-khamr dan al-maisir mengandungi dosa besar dan juga beberapa manfaat bagi manusia. Akan tetapi, dosanya lebih besar daripada manfaatnya. Manfaat al-maisir misalnya ialah manfaat yang dinikmati oleh pihak yang menang.
Penegasan yang dikemukakan pada surah Al-Baqarah, ayat 219 bahawa dosa akibat daripada al-maisir lebih besar daripada manfaatnya memperjelas akibat buruk yang ditimbulkannya.
Di antara dosa atau risiko yang ditimbulkan oleh al-maisir tersebut dijelaskan dalam surah Al-Mâidah, ayat 90-91. Kedua-dua ayat tersebut memandang al-maisir sebagai perbuatan syaitan yang wajib dijauhi oleh orang-orang yang beriman. Di samping itu, al-maisir juga dipergunakan oleh syaitan sebagai alat untuk menumbuhkan permusuhan dan kebencian di antara manusia, terutama pihak-pihak yang terlibat, serta menghalang dan melalaikan pelakunya daripada mengingat Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan menunaikan sembahyang.
Jumhûr ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafi‘e dan Hanbali berpendapat bahawa unsur penting dalam al-maisir itu ialah taruhan. Dalam pandangan mereka, adanya taruhan ini merupakan illah (sebab) bagi haramnya al-maisir itu. Oleh sebab itu, setiap permainan yang mengandungi unsur taruhan, seperti loteri dan bertaruh dalam permainan dadu, catur dan permainan daun terup adalah ia benar-benar al-maisir dan hukum melakukannya haram.
Menurut penanya: “Permainan ‘Bridge’ bukannya judi.” Jadi jika bukan judi, hukumnya ialah harus.
Tetapi bagaimanapun, kita perlu ingat, bahawa sejauh manakah sesuatu permainan yang dikatakan bukan judi itu akan tetap kekal di dalam keharusannya, adalah ia tertakluk dan bergantung pula kepada sejauh mana ia boleh kekal dalam keadaannya yang tetap sunyi dan bersih daripada segala unsur yang dilarang dan dibenci oleh syara‘, seperti kerananya akan menyebabkan seseorang itu berpaling daripada tanggungjawabnya, membuang masa, lalai daripada mengingati Allah, menyebabkan tertinggal ibadat sembahyang dan lain-lain perkara yang wajib.
Jika ada atau terdapat perkara-perkara dan keadaan-keadaan seperti ini, maka sesuatu permainan yang dikatakan harus itu akan bertukar menjadi tidak harus lagi, disebabkan telah wujud illah yang tidak mengharuskan itu ke atasnya.
Oleh kerana penanya membawakan contoh ‘permainan bridge’ itu sama seperti permainan catur, maka elok di sini kita mengetahui apakah hukum permainan catur itu.
Menurut Al-Imam Al-Syirazi, seorang ulama dalam mazhab Al-Syafi‘e, bahawa hukum bermain catur adalah makruh dalam mazhab Al-Syafi‘e, kerana ia suatu permainan yang tidak mendatangkan faedah kepada urusan agama dan tiada keperluan terhadapnya. Yang lebih utama ialah meninggalkannya. Akan tetapi tiadalah haram hukumnya. (Al-Muhadzdzab 5/601)
Sungguhpun hukum catur itu makruh sahaja dalam mazhab Al-Syafi‘e, namun apabila ia disertai dengan perkara judi atau lain-lain perbuatan keji seperti menyebabkan seseorang itu, dengan senghaja, tidak menunaikan sembahyang, maka ditolak kesaksian orang itu dengan sebab-sebab tersebut. (Al-Raudhah 11/225)
Adapun menurut jumhûr ulama selain mazhab Al-Syafi‘e pula, permainan catur itu adalah haram hukumnya. (Al-Fiqh Al-Islâmi wa Adillatuhu h. 573)
Maka berdasarkan qaul-qaul ulama di atas, permainan catur paling rendah hukumnya ialah makruh, bukan harus.
Permainan ‘bridge’ dianggap harus selama mana ia tidak disertai dengan pertaruhan, dicampur dengan perkara mungkar dan maksiat atau menyebabkan seseorang lalai atau lupa akan kewajipan dan tanggungjawabnya.
Perlu benar-benar diingat, bahawa permainan ‘Bridge’ atau apa saja bentuk permainan seperti ini turut terdedah kepada berbagai perkara negatif yang akan mengiringinya. Ia boleh saja bertukar menjadi perjudian pada bila-bila masa dan ketika, tertakluk kepada pelaku dan bagaimana ia dikendalikan. Adakah pelaku-pelaku atau pengendali-pengendalinya boleh bertahan SELAMA-LAMANYA mampu dan dapat menghindari perkara-perkara negatif yang mungkin dihubungkan dengannya, seperti pertaruhan, terabai kewajipan, terlalai daripada mengingati Allah, terjejas pula ibadat kepadaNya, dan di’sapak’ pula dengan lain-lain maksiat seperti minum arak, bercampur-gaul antara lelaki dan perempuan, membuka aurat, permainan muzik yang dilarang oleh syara‘ dan lain-lain.
Semua ini adalah persoalan penting dan besar untuk direnungkan.
Oleh itu sangatlah wajar dan sesuai kita kembali atau balik kepada pertunjuk Allah ini, firmanNya:
Tafsirnya: “Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan; dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?” (Surah Al-An‘âm: 32)
Tafsirnya: “Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu…”
(Surah Al-Hadîd: 20)
Ayat ini jelas menyebutkan bahawa kehidupan dunia itu adalah umpama permainan yang sifatnya melalaikan lagi tidak kekal. Manusia sangat suka permainan itu berubah-ubah, jika tidak, mereka akan merasa bosan. Kerana itu tidaklah hairan, jika dalam permainan dan hiburan itu sering saja terdapat perubahan atau perkara baru, dari satu permainan kepada satu permainan yang lain, yang sesuai dengan selera dan naluri manusia yang menggemari perubahan itu.
Apabila manusia sedang berseronok dengan berbagai permainan, maka pada lazimnya mereka menjadi lalai. Inilah yang menjerumuskan orang-orang tidak beriman kepada keseronokan hidup semata-mata. Sementara jika dia orang Islam pula, dia akan terbuai menjadi leka sehingga menjejaskan kewajipan-kewajipan asasi, terutamanya kewajipan-kewajipannya terhadap Allah Ta‘ala.
Inilah makanya agama Islam itu telah memberi ingatan dengan cukup jelas, betapa kehidupan dunia yang amat singkat lagi tidak kekal ini, hendaklah sentiasa dihias dan diisi dengan amalan-amalan yang boleh menjadi bekal ke akhirat. Ibarat orang musafir, janganlah sekali-kali dilupakan bekalan itu. Bekalan ke akhirat, tidak boleh lain, kecuali semata-mata “kebajikan” saja. Maksiat dan segala macam perkara yang sia-sia tidak boleh menjadi bekalan ke akhirat, Allah tidak terima. Ini adalah pasti.
Oleh itu, orang Islam yang benar-benar sedar, tidak akan membiarkan dirinya terjerumus kepada perkara-perkara yang boleh melalaikan, apatah lagi untuk membuang masa dengan sia-sia. Orang beriman sifatnya aktif, bukan pasif. Orang beriman kerjanya ialah asyik berlumba mencari kebajikan, bukannya tahan-tahan ataupun undur ke belakang. Mereka itu amat bersemangat menyahut panggilan Allah seperti terungkap dalam dua surah, Al-Baqarah dan Al-Mâ’idah:
Tafsirnya: “Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (dengan beriman dan beramal salih).” (Surah Al-Baqarah: 148)
Apabila pihak yang bertanya mahu tahu tentang kesesuaian permainan tersebut di kalangan ahli-ahli yang beragama Islam, maka dapatlah dikatakan begini: Sungguhpun ia bukan judi (jika betul seperti yang diberitahukan oleh pihak penanya sendiri), namun dari segi “kesesuaiannya” kepada orang-orang Islam, adalah maksud “kesesuaian” itu sungguh realatif atau subjektif. Dari segi apakah ia akan diakui sesuai? Adakah dari segi ia boleh melatih minda? Apa benarkah begitu? Rasanya tidak ada dalil ataupun qaul ulama mengatakannya demikian. Malahan sebaliknya, dengan menceburinya, ia boleh menjejaskan masa, melalai dan melekakan orang.
Oleh itu, berdasarkan alasan agama yang melarang membuang masa dan menjauhi kelalaian, maka jelaslah benar-benar ia tidak sesuai untuk orang-orang Islam. Kedua, sebagai langkberhati-hati menjauhi apa saja yang menyerupai maksiat, atau yang boleh mendorong kepada maksiat yang sebenar-benarnya, ialah dengan mengambil ingatan bahawa daun terup itu pada lazimnya adalah digunakan untuk berjudi dan menilik nasib. Orang berjudi dan menilik nasib menggunakan daun terup. Jarang atau tidak pernah kita mendengar atau mengetahui orang mencari kebajikan dengan daun terup.
Jadi atas asas dan kenyataan ini, maka daun terup itu tidaklah boleh dielak atau disangkal daripada memiliki imej sebagai alat, atau sekurang-kurangnya, sebagai simbol dan lambang judi.
Jika inilah hakikatnya, maka orang-orang Islam itu wajarlah jangan mendekatinya, sama juga seperti lain-lain lambang atau tanda maksiat yang lain. Tegasnya, orang-orang Islam tidaklah terlibat dengannya, tidak manis dan tidak layak terlibat dengannya.
Orang-orang Islam itu mestilah mencari keelokan bagi agamanya, iaitu dengan memilih dan mengambil hanya perkara-perkara yang baik dan berguna belaka, serta meninggalkan atau menjauhi yang sebaliknya, sebagaimana telah diisyaratkan oleh hadis ini:
Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya: “Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Dari keelokkan Islam seseorang itu ialah meninggalkan apa-apa yang tidak ada kena mengena atau tidak berguna kepadanya.” (Hadis hasan diriwayatkan oleh Tirmizi dan lainnya)
Setelah mengamati huraian-huraian di atas, maka jelas kiranya maksud ‘kesesuaian’ itu.
Akhirnya elok juga diingat, bahawa apapun permainan yang harus, boleh bertukar menjadi terlarang atau haram sekiranya ia menjadi sebab terabai kewajipan, seperti kerananya sehingga tidak melakukan sembahyang atau meninggalkan sembahyang pada waktunya, ataupun terdapat dan berlaku di dalamnya perkara-perkara yang ditegah oleh syara‘, seperti membuka aurat, bercampur gaul lelaki perempuan bukan mahram dan lain-lain lagi.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8258
