Pertandingan Bina Badan
Soalan: Persatuan Angkat Berat dan Kesihatan akan mengadakan Pertandingan Bina Badan “MR BRUNEI 99”.
Dalam pertandingan ini nanti para lelaki yang bertanding akan hanya memakai seluar ‘katak’, yang sekira-kira hanya menutup daerah kehormatan dan punggung mereka sahaja. Sementara anggota yang lain terbuka dan terdedah untuk penilaian hakim dan tontonan orang ramai.
Dapatkah hasil kutipan pertandingan tersebut didermakan dan digunakan untuk suatu kegiatan kebajikan bagi Persatuan Anak-Anak Cacat?
Jawapan: Sebagaimana yang diterangkan oleh penanya bahawa dalam pertandingan ini nanti para lelaki yang bertanding akan hanya memakai seluar ‘katak’, yang sekira-kira hanya menutup daerah kehormatan dan punggung mereka sahaja. Sementara anggota yang lain terbuka dan terdedah untuk penilaian hakim dan tontonan orang ramai.
Sebenarnya perkara hukum haram dan wajib menutup aurat, baik ia aurat lelaki mahupun aurat perempuan, sudah pun diketahui umum. Ini kerana apabila mereka bersembahyang tidak ada yang tidak menutup aurat, bahkan dalam majlis-majlis juga, bukan hanya setakat menutup aurat, akan tetapi masing-masing itu pandai pula menyesuaikan diri dengan pakaian-pakaian yang senonoh dan elok. Ini menunjukkan betapa naluri manusia terutamanya orang-orang Islam itu telah sedia terikat kepada kesopanan. Cuma maklumat atau pengetahuan mengenai dosa mendedahkan aurat sahaja barangkali yang belum merata kepada mereka, di mana akibatnya masih ramailah yang melanggarnya.
Batas Aurat Lelaki:
(i) Aurat lelaki semasa dalam sembahyang:
Batas aurat lelaki ketika sembahyang atau tawaf ialah antara pusat dan lututnya. Ini berdasarkan riwayat Al-Harits bin Abu Usamah daripada Abu Usamah daripada Abu Sa‘id Al-Khudri Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: “Aurat orang mukmin itu antara pusat dengan lututnya.” (Hadis riwayat Sammawaih)
Banyak lagi hadis-hadis yang diriwayatkan tentang penutupan paha sebagai aurat. Antaranya ialah hadis:
Maksudnya: “Janganlah kamu mendedahkan pahamu dan janganlah kamu melihat paha orang hidup dan orang mati.” (Hadis riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan Al-Hakim daripada Ali)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pula kepada Jarhad Al-Aslami:
Maksudnya: “Tutuplah pahamu, sesungguhnya paha itu aurat.” (Hadis riwayat Al-Hakim)
Menurut pendapat yang shahîh di kalangan ulama Syafi‘e, pusat dan lutut itu sendiri tidak dikira sebagai aurat. Tetapi diwajibkan menutup sebahagian daripada keduanya supaya tertutup juga paha di bahagian bawah pusat, kerana aurat tidak akan sempurna tertutup tanpa menutup sebahagian daripada kedua-duanya. Di samping itu, apabila tidak sempurna suatu kewajipan kecuali dengan sesuatu, maka sesuatu itu juga menjadi wajib sebagaimana yang telah dijelaskan oleh ulama Syafi‘e, Hanbali dan Maliki dalam ushûl al-fiqh.
Maksudnya: “Tidak akan sempurna yang wajib melainkan dengan sesuatu, maka mengadakan sesuatu itu adalah wajib.”
(ii) Aurat lelaki di luar sembahyang:
Adapun aurat lelaki di luar sembahyang akan tertakluk kepada siapa yang memandangnya. Jikalau yang memandangnya itu terdiri daripada perempuan mahram atau lelaki, maka batas auratnya ialah di antara pusat dan lututnya. Jikalau yang memandangnya itu perempuan ajnabiyyah yakni perempuan yang halal nikah, maka aurat lelaki itu ialah seluruh badannya. Inilah pendapat yang ashah menurut Imam Al-Nawawi (Fath Al-‘Allâm 2/177)
Demikianlah batas aurat lelaki dalam sembahyang dan di luar sembahyang termasuk jika yang memandangnya ialah perempuan ajnabiyyah yakni perempuan bukan mahram.
Ketika Pertandingan Bina Badan:
Adalah jelas bahawa para peserta pertandingan bina badan itu tidak menutup aurat. Menurut ukuran kita orang Melayu apabila memakai seluar ‘pontong’ (seluar pendek) sajapun, sudah dianggap tidak sopan. Apatah lagi seluar ‘katak’ dan di hadapan orang pula. Ukuran ini nampaknya berubah jika ianya dihubungkan dengan sukan. Seolah-olah sukan itu mengharuskan segala cara, walaupun cara itu terang-terang terlarang. Ini adalah tidak betul. Pendedahan aurat di khalayak ramai tetap haram, melainkan kerana tujuan berubat yang sangat terhad.
Perkara aurat adalah perkara besar, bukannya remeh-temeh dan kecil. Bukankah di hadapan Allah ia wajib ditutup, mengapakah di hadapan manusia tidak? Menutup aurat adalah perbuatan orang yang takutkan Allah. Semoga kita semua masuk dalam golongan ini. Janganlah hendaknya kita menjadi orang-orang yang menganggap ringan hukum-hakam Allah sebagaimana gambaran hadis ini:
Maksudnya: “Daripada Anas Radhiallahu ‘anhu katanya: “Sesungguhnya kamu semua pasti melakukan berbagai amalan (di mana) amalan-amalan itu pada anggapan kamu adalah kecil (dosa kecil sahaja), lebih kecil daripada sehelai rambut. Adapun kami semua di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menganggapnya adalah daripada dosa-dosa besar yang merosakkan (menyebabkan kecelakaan dan kesengsaraan).” (Hadis riwayat Bukhari)
Apabila datang permohonan meminta fatwa mengenai dengan pertandingan Bina Badan MR. BRUNEI 99 ini, ia mengingatkan kita tentang tindakan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) yang mengharamkan lelaki Islam masuk pertandingan bina badan. Ekoran daripada pengharaman itu terbitlah sebuah rencana dalam sebuah akhbar luar negeri keluaran Ahad 31 Ogos, 1997 di bawah Tajuk: “Fatwa dari mana pula mengharamkan sukan, apabila Sarawak larang bina badan.”
Penulisnya bernama Wak Cantuk di ruangan “Cambuk”. Tidaklah diketahui adakah Wak Cantuk itu seorang Islam atau bukan. Kalau dia orang bukan Islam tidaklah kita hairan. Tetapi jika dia orang Islam, amatlah menghairankan kerana hukum haram telah dipersendakannya. Seolah-olah haram itu suatu perkara ‘kecil’.
Apakah tandanya Wak Cantuk ini memperkecil-kecilkan hukum Allah itu? Di antaranya ialah berdasarkan kata-katanya sendiri:
(a) “Wak mula naik bingung. Sebab kalau pertandingan bina badan haram, Wak mula fikirkan apa lagi yang haram lepas ini. Fatwa mana pula yang digunakan oleh JAIS dalam hal itu?
(b) Wak betul-betul pening kepala. Nampaknya makin maju kita, makin mengurang kadar toleransi kita, kata orang muda sekarang. Makin berjaya kita, makin hilang arah dan pedoman kita. Makin hebat kita membangun, makin banyak masa kita habis kerana hal-hal kecil dan cabang.
(c) Tapi sekarang lain pula. Semuanya tak kena. Orang nak bersukanpun tak boleh. Kalau perempuan tunjuk badan lainlah. Ini lelaki yang masuk peraduan bina badan. Kalau itu pun haram, apa yang tinggal tak haram, tak tahu Wak.”
Pandangan seperti Wak Cantuk inilah yang diperingatkan oleh Anas Radhiallahu ‘anhu tentang betapa orang-orang sezaman dengannya (Anas) memandang dosa itu sebagai perkara kecil, sedangkan pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menganggapnya besar dan merosakkan.
Orang yang memperlekeh-lekeh dan mengejek-ejek hukum Allah telah disebut oleh Al-Qur’an sebagai syaitan. Ini diceritakan dalam surah Al-Baqarah, ayat 14 & 15:
Tafsirnya: “Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: “Kami telah beriman”, dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula: “Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami (akan orang-orang yang beriman).” Allah (membalas)
dengan memperolok-olok mereka, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu).” (Surah Al-Baqarah: 14-15)
Allah memperingatkan supaya janganlah memperolok-olok atau mengejek-ejek hukum Allah. FirmanNya:
Tafsirnya: “Dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (permainan).” (Surah Al-Baqarah: 231)
Firman Allah lagi:
Tafsirnya: “Dan demi sesungguhnya, telah diperolok-olok beberapa rasul sebelummu, lalu orang-orang yang mengejek-ejek di antara mereka, ditimpakan balasan azab bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu.” (Surah Al-Anbiyâ’: 41)
Apakah balasan orang-orang yang memperolok-olok dan mengejek-ejek hukum Allah? Allah berfirman:
Tafsirnya: “Dan apabila sampai ke pengetahuannya sesuatu daripada ayat-ayat penerangan Kami, ia menjadikannya ejek-ejekan; mereka yang demikian keadaannya akan beroleh azab yang menghina.” (Surah Al-Jâtsiyah: 9)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: “Dan demi sesungguhnya! Jika Kami tangguhkan azab daripada menimpa mereka hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah mereka akan berkata (secara mengejek): “Apakah yang menghalangnya?” Ketahuilah! Pada hari datangnya azab itu kepada mereka, tidak akan dapat ditolak daripada menimpa mereka, dan tentulah mereka akan diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.” (Surah Hud: 8)
Kita merasakan masih relevan untuk menyebut ejekan orang-orang seperti Wak Cantuk ini. Orang-orang seperti ini mungkin ramai. Adalah menjadi kewajipan kita dan juga kewajipan orang-orang beriman seluruhnya untuk turut menunjukkan jalan yang lurus kepada mereka supaya sedar terhadap keceluparan mulut mereka itu.
Memanglah ramai terdapat orang Islam yang tidak taat kepada perintah Allah seperti meninggalkan sembahyang, tidak puasa, tidak mahu mewujudkan negara Islam, tetapi mereka tidaklah mengejek atau memperolok hukum sembahyang atau hukum puasa dan lain-lain kerana memperolok atau mengejek hukum Allah itu merosakkan aqidah seseorang. Ianya wajiblah dijauhi bukan sahaja untuk memelihara aqidah kita bahkan juga diri kita sendiri jika ingin selamat daripada api neraka.
Dosa Mengasaskan Maksiat Yang Menjadi Ikutan
Apabila suatu pertandingan yang berunsur maksiat diadakan atau dianjurkan, maka ada dua pihak yang terkena: Penganjur dan peserta. Kedua-duanya akan menerima balasan di atas perbuatan maksiat mereka itu. Jika anjuran itu menjadi ikutan, maka si penganjur mendapat dosa di samping dosa orang lain yang mengikut anjurannya itu juga sama-sama ditanggungnya. Ini bukanlah setakat pada kali pertama saja pertandingan itu diadakan, malahan juga pada setiap kali sesudah itu. Walaupun bukan dia lagi yang mengadakannya, namun saham dosa yang sama akan tetap diterimanya juga, kerana tindakan awalnya menjadi pelopor dan pengasas kepada maksiat tersebut.
Demikian juga sebaliknya, jika perbuatan itu perkara baik dan berkebajikan, sekiranya ia menjadi ikutan, maka pengasas yang awal atau pelopor perbuatan baik itu akan mendapat pahala daripada dua jurusan: Pertama daripada perbuatannya mengasas atau mempelopori itu sendiri, dan kedua daripada perbuatan orang lain yang mengikutinya. Kedua-duanya (si pengasas atau si pelopor) serta orang yang mengikut itu akan sama-sama menerima pahala masing-masing dengan cara berganda dan timbal balik, sebagaimana keterangan hadis ini:
Maksudnya: “Barangsiapa yang mula-mula melakukan perkara baik dalam Islam maka baginya pahala kebaikan kerana perbuatannya itu dan juga pahala orang-orang yang membuat (meniru) perbuatannya sesudahnya tanpa mengurangi pahala masing-masing sedikitpun. Dan barangsiapa yang mula-mula melakukan perkara jahat dalam Islam maka baginya dosanya dan dosa orang-orang yang membuat (meniru) perbuatannya sesudahnya tanpa mengurangi dosa-dosa mereka itu masing-masing sedikitpun.” (Hadis riwayat Muslim)
Bayangkanlah betapa beratnya dosa yang akan ditanggung oleh penganjur sesuatu maksiat jika perbuatannya itu diikuti pula oleh orang lain selepasnya. Dosa-dosa itu akan sama-sama mereka terima berterusan, selama mana ianya berkaitan dengan maksiat yang dianjurkan itu.
Memberikan wang daripada hasil maksiat kepada orang-orang buta dan cacat, dikhuatiri akan menambahkan lagi kecacatan dan gelap-gelita dunia mereka. Ini kerana natîjah harta yang demikian itu akan membinasakan hati.
Orang Islam Terikut-Ikut Jejak Orang Lain
Zaman berubah kerana kemajuan yang dialami oleh manusia, dan serentak dengan perubahan itu dunia ini seolah-olah semakin kecil seperti sebuah perkampungan saja layaknya. Dengan banyak perubahan itu banyak pula faedah yang didapati, tetapi bagi orang Islam kadang-kadang ianya membawa padah kepada mereka. Mereka akan hilang pertimbangan dan suka meniru-niru. Tidak kira yang ditiru itu apa atau siapa, asalkan ia atas nama kemajuan atau perkara baru, maka sukalah mereka meniru dan mengikut-ikut. Sebagai contohnya perkara ‘ratu-ratuan’: Ratu cantik, ratu pakaian dan lain-lain, semuanya itu mahu ditiru dan diikut. Padahal dalam budaya sendiri tidak ada, dan apatah lagi dalam agama terang-terang ianya bertentangan atau sangat-sangat menyalahi. Tetapi orang Islam tetap ikut juga kerana seronok, walaupun sudah difahami perbuatan itu adalah berdosa.
Maka benarlah apa yang telah dikhabarkan oleh Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam seperti dalam hadis ini:
Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wassallam Baginda bersabda: “Kiamat tidak akan terjadi sehingga umatku mengikut jejak generasi-generasi sebelumnya sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta.” Ditanyakan: “Wahai Rasulullah, seperti Parsi dan Rom?”. Baginda menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka itu?” (Hadis riwayat Bukhari)
Maksudnya: “Daripada Abu Sa’id Al-Khudri, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wassallam, Baginda bersabda: “Sesungguhnya kamu sekalian akan mengikut jejak orang-orang yang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sehinggalah kalau mereka itu memasuki lubang biawak tentu saja kamu sekalian tetap mengikutnya”. Kami berkata: “Wahai Rasulullah, tentu orang itu Yahudi dan Nashrani” Baginda bersabda: “Siapa lagi (kalau bukan mereka)?” (Hadis riwayat Muslim)
Diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bazzar dan Al-Hakim dari hadis Ibnu Abbas bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Demi sesungguhnya kamu akan menunggang perjalanan umat-umat yang terdahulu daripada kamu sejangkal demi sejangkal, sehasta demi sehasta dan sedepa demi sedepa, sehinggalah jika seorang daripada mereka masuk lubang biawak nescaya kamu juga masuk sebagaimana mereka masuk, dan sehingga jika seorang daripada mereka menyetubuhi ibunya, nescaya kamu juga akan melakukan seperti perbuatan mereka itu.”
Diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Thabarani daripada hadis Ibnu Mas’ud, katanya: “Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Kamu adalah suatu umat yang lebih mirip dengan umat Bani Israil, sesungguhnya kamu akan menunggang jalan mereka sama betul-betul dengan cara mereka, sehingga tiada sesuatu yang ada pada mereka melainkan ada pula pada kamu, sehingga ada satu kumpulan, apabila melintas seorang perempuan di hadapan mereka, maka bangun seorang daripada mereka itu, lalu menyetubuhi perempuan itu, kemudian dia balik kepada kawan-kawannya dalam kumpulan itu dengan ketawa dan merekapun ketawa juga bersama-samanya.”
Diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Hakim dalam Shahîh dan Ibnu Waddah dalam Al- Bidâ‘ daripada hadis Huzaifah bin Al-Yaman telah berkata:
Maksudnya: “Demi sesungguhnya kamu akan mengorak (membatalkan) ikatan Islam (hukum-hukumnya) satu demi satu, dan demi sesungguhnya kamu akan menunggang (mengikut betul-betul) jalan umat-umat yang dahulu daripada kamu, sebagaimana sebelah sepatu dengan sebelah sepatu (sama ukuran dan sama rupanya), kamu tidak akan salah sedikitpun pada mengikut jalan mereka, dan merekapun tidak akan salah untuk menunjukkan jalan yang salah itu kepada kamu sehingga jikalau ada seorang daripada mereka makan tahi kering atau basah, nescaya kamu akan memakannya pula. Demi Allah, ini bukan daripada fikiran, bahkan ini suatu perkara yang benar-benar akan berlaku.” (Lafaz hadis ini daripada jalan Ibnu Waddah di dalam kitab Al-Bidâ‘ yang tergolong sebaik-baik kitab salaf al-shâlih yang pernah dicetak).
Jika kita perhatikan dengan mendalam keadaan orang-orang Islam hari ini, nyatalah mereka itu sudah terikut-ikut jejak langkah orang lain. Ini adalah merupakan bukti kukuh yang membenarkan lagi perkhabaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam seperti di dalam hadis-hadis Baginda di atas.
Perkara ini sepatutnya membimbangkan kita dan sekaligus menambahkan lagi azam kita untuk bersama-sama dengan Islam: Berdiri dan duduk dengan Islam, berfikir dengan Islam, bekerja dengan Islam, bertindak dengan Islam, merancang dengan Islam dan lain-lain seumpamanya. Janganlah dilepaskan Islam itu, jangan dilanggar hukum-hakamnya, pantang larangnya, suruhan dan tegahannya. Jika tidak, Islam akan pudar di hati dan diri kita, dan apabila Islam itu pudar, maka bermakna ia pudar kerana dosa-dosa kita. Oleh itu kembalilah kepada Islam, kepada ajaran-ajarannya yang tulen, insya Allah kita akan selamat, akan berbahagia serta dipeliharakan oleh Allah Ta‘ala. Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam - aw kamâ qâl -
Ertinya: “Peliharalah Allah (pelihara agamaNya, ajaran-ajaranNya dan hukum-hakamNya) nescaya Allah memelihara dan melindungi awak......” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Serentak dengan itu, kita banyakkan memohon ampun kepada Allah, bertaubat daripada segala dosa-dosa kita, sama ada yang telah terlanjur kita lakukan dengan secara sedar dan sengaja, ataupun tidak. Mari, marilah kita ke arah itu, insya Allah kita akan selamat. Apabila kita menjauhi maksiat, ertinya kita sihat, hati rohani kita sihat. Apabila hati rohani sihat, semua anggota menjadi baik dan sihat. Oleh itu, kehidupan ini, mestilah dipandu oleh hati yang sihat. Hati yang sihat juga ertinya celek, tidak buta. Jika hati buta, bagaimana ia dapat berfungsi memimpin tuan, memandu tuan kepada kehidupan yang sempurna?
Mari, marilah kita layangkan pandangan sejauh-jauhnya. Kita lihat dan perhatikan dengan mata hati yang celek, betapa kebinasaan-kebinasaan yang terjadi di muka bumi di mana-mana saja, termasuklah juga di bumi-bumi umat Islam sendiri. Apakah gerangan sebab-sebabnya maka tragedi-tragedi itu berlaku? Al-Qur’an telah menjelaskan, bahawa sebabnya itu tidak lain ialah ‘kezaliman’ yang telah dilakukan oleh penduduk-penduduknya.
Apakah ‘zalim’ itu? Zalim ertinya aniaya, berbuat aniaya kepada sesama makhluk dan juga kepada diri sendiri. Adapun menzalimi diri sendiri, ialah dengan membuat dosa dan maksiat, melakukan pelanggaran-pelanggaran terhadap hukum-hakam Allah, lari dan menyimpang daripada jalanNya, daripada suruhan-suruhan dan larangan-laranganNya. Dalam bahasa Arab ada diungkapkan: َ قحظَلَم َ الطهرَي (ertinya: “Dia menyimpang atau melencong daripada jalan......”).
Jadi orang zalim itu ertinya ialah orang yang tidak selamat, sama sekali tidak akan selamat. Jikapun tidak segera, tetapi lambat laun pasti juga binasa. Ini adalah isyarat Allah, firmanNya:
Tafsirnya: “Maka bukanlah sedikit negeri yang Kami binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah bangunan-bangunannya; dan bukan sedikit juga telaga yang telah terbiar, dan istana yang tersergam (telah kosong hanya menjadi sisa sejarah).” (Surah Al-Hajj: 45)
Atas asas inilah, Allah dengan segala kemurahan dan belas kasihanNya, telah membimbing kita bagaimana mencari jalan selamat daripada ditimpa oleh bencana-bencana itu, iaitu dengan membuka mata dengan seluas-luasnya dan membersihkan hati dengan mengambil iktibar daripada kejadian-kejadian buruk yang selalu menimpa umat-umat di dunia ini. Lihat dan terus lihat! Perhati dan fikirkan dengan keimanan, bukan melihat dengan mata hati kosong, tetapi ialah dengan mata hati penuh bertaqwa. Hati orang bertaqwa dan beriman itu adalah celek, lunak dan terbuka, bukan tertutup dan menolak nasihat.
Inilah yang didorong dan digalakkan oleh Allah, sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: “Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi ini (untuk melihat kesan-kesan umat-umat yang telah binasa itu) supaya dengan itu mereka menjadi orang-orang yang ada hati, dan dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaupun mereka mengembara tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala (mereka) yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.” (Surah Al-Hajj: 46)
Demikian gambaran Al-Qur’an tentang orang-orang yang buta mata hati, tiada berkesan segala usaha untuk keluar daripada kegelapan. Barang diselisihkan oleh Allah daripada kita.
Marilah kita beringat-ingat, bahawa adapun kehidupan di dunia ini terlalu bercelaru untuk dibuat ukuran mencari kesenangan dan hiburan, berbanding dengan kesenangan dan kebahagiaan di akhirat. Umur manusia juga tidak menentu. Orang-orang yang ‘ârif sangatlah takut ajal datang menjemput, sedang mereka belum cukup dengan persediaan. Lebih-lebih lagi yang mereka takutkan ialah kematian dengan kesudahan yang buruk (sû’ al-khâtimah). Sebab itulah, orang-orang arif itu sentiasa berpandu dan berpegang kuat dengan peringatan Rasulullah Shallallahu ‘awasallam ini:
Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya, telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Daripada keelokan Islam seseorang itu ialah meninggalkan barang yang tidak berguna kepadanya. Hadis hasan. (Hadis riwayat Tirmidzi dan lain-lain seperti lafaz ini)
Di antara pengajaran hadis ini ialah supaya orang-orang Islam sentiasa berusaha dan bekerja memperbaiki amalannya demi dunia dan akhiratnya iaitu dengan cara berpaling daripada perkara-perkara yang tidak perlu atau yang tidak mendatangkan manfaat baginya, sebaliknya memudaratkannya.
Sebagai rumusan, lelaki yang hanya memakai seluar ‘katak’ di hadapan orang lain atau ditontonkan kepada orang ramai, adalah haram. Ianya juga tidak sopan menurut timbangan budi pekerti yang mulia, khasnya sangat cacat bagi budaya orang-orang Brunei.
Persatuan Bina Badan akan turut menanggung dosa kerana menganjurkan pertandingan tersebut. Beban dosa itu akan terus dipikul dan diterimanya sampai bila-bila andainya amalan pertandingan itu menjadi ikutan pula kepada orang lain selepasnya.
Tujuan yang baik seperti untuk menderma tidaklah menghalalkan cara yang haram. Dalam erti kata lain, yang haram itu tetap haram walaupun tujuannya baik dan murni.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8262
