Tempoh Minimum Hamil (Mengandung) Dan Hubungannya Dengan Penasaban Anak
Soalan: Seorang anak damit telah dilahirkan pada 22hb. Ogos, 1999 bersamaan 11hb. Jamadilawal, 1420 di mana ibunya telah bernikah dengan seorang lelaki pada 9hb. Zulkaedah, 1419 bersamaan 26hb. Februari, 1999.
Daripada pengiraan, didapati bahawa pernikahan tersebut kurang daripada 180 hari daripada masa akad. Oleh itu, Jabatan ini memohon nasihat dan pandangan Pehin sama ada anak damit berkenaan boleh dibintikan kepada nama suami ibunya atau sebaliknya dan abis kaola juga memohon tatacara pengiraan jumlah hari pernikahan bagi maksud membin/membintikan anak yang baru lahir.
Jawapan: Menasabkan anak dengan betul adalah perkara wajib menurut syara‘, kerana ia akan berkait dengan wilâyah nikah (perwalian nikah), pempusakaan, hukum pergaulan seperti batas-batas aurat, hukum membatalkan wudhu dan lain-lain.
Anak angkat atau anak di luar nikah adalah haram menasabkannya kepada seseorang yang tidak bersambung nasab dengan anak tersebut.
Larangan menasabkan anak kepada orang yang bukan bapanya yang sebenar dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:
Tafsirnya: “Dan Allah Ta‘ala tidak menjadikan anak-anak angkat kamu sebagai anak kamu sendiri. (Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dialah jua yang memimpin ke jalan yang betul. Panggillah anak-anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai maula-maula kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Ahzâb: 4-5)
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Imam Muslim dan Abu Daud daripada Sa‘ad bin Abu Waqqas Radhiallahu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa mengaku orang lain sebagai bapa dan dia mengetahui bahawa orang itu bukan bapanya, maka syurga adalah haram baginya.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Adu Daud)
Perempuan (isteri) yang mengandung bukan melalui pernikahan yang sah atau bukan dengan suaminya, kemudian perempuan itu menasabkan kanak-kanak yang lahir daripada kandungannya itu kepada suaminya, dia telah membuat dosa yang sangat besar serta melakukan pembohongan.
Adapun dosa-dosa perempuan itu: Pertama dosa kerana melakukan zina. Kedua dosa kerana pembohongan menasabkan kanak-kanak bukan kepada bapanya yang sebenar. Bapa (suami) juga akan turut berdosa kerana menasabkan kanak-kanak itu kepada dirinya, kerana dia bukan bapanya yang sebenar.
Pendeknya menyambung nasab kanak-kanak kepada orang yang bukan bapanya yang sebenar adalah haram hukumnya. Demikian juga mendaftarkannya dengan membinkan atau membintikan kanak-kanak itu kononnya anak itu adalah anaknya, adalah perbuatan dusta terhadap nasab kanak-kanak berkenaan. Sesiapa juga yang bersetuju atau bersekongkol berbuat bohong seperti di atas akan menanggung dosa buat selama-lamanya hingga Hari Kiamat. Bahkan boleh menjadi binasa aqidahnya jika dia menghalalkan perubahan nasab kanak-kanak berkenaan.
Oleh itu kita mestilah mengikut kaedah-kaedah yang telah ditetapkan oleh hukum syara‘ dalam menasabkan kanak-kanak sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Anak itu bagi siapa yang menggauli ibunya (dalam nikah yang sah).” (Diriwayatkan oleh Jamaah melainkan Tirmidzi)
Menurut Imam Nawawi, maksud hadis di atas ialah jika seorang lelaki itu mempunyai isteri atau hamba, maka isterinya itu seolah-olah hamparan tempat tidurnya (فراش). Apabila perempuan berkenaan melahirkan anak, bagi suatu tempoh yang memungkinkan wujudnya kanak-kanak itu, maka anak itu adalah anaknya yakni jadilah kanak-kanak itu hak bagi lelaki itu. Di samping itu berjalanlah antara mereka hukum waris dan lain-lain hukum-hakam.
Menasabkan Anak
Terdapat tiga syarat penting yang perlu dipenuhi dalam menasabkan anak yang lahir daripada hasil pernikahan yang sah iaitu:
1. Ada kemungkinan anak daripada suami berkenaan, maknanya suami adalah orang yang mempunyai faktor-faktor yang boleh menyebabkan kehamilan isterinya seperti tidak lemah syahwat yang menyebabkan dia tidak mampu menyetubuhi isteri atau dia mandul atau sebab-sebab lain yang boleh menafikan anak itu daripada suami berkenaan.
2. Suami tidak menafikan nasab anak itu daripadanya melalui proses li’ân.
3. Isteri melahirkan anak berkenaan dalam tempoh mengandung yang minimum.
Para ulama telah ijmâ‘ bahawa tempoh minimum seseorang wanita itu hamil dan melahirkan anak ialah enam bulan. Penentuan enam bulan itu berdasarkan maksud 2 ayat Al-Qur’an yang menerangkan tentang masa hamil (tempoh mengandung) dan penyusuan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.” (Surah Al-Ahqâf: 15)
Tafsirnya: “Dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun.” (Surah Luqman: 14)
Daripada maksud kedua-dua ayat di atas, jika ditolak tempoh masa penyusuan anak iaitu dua tahun atau 24 bulan daripada tempoh tiga puluh bulan (masa keseluruhan iaitu hamil dan menyusukan anak) bererti masa yang bakinya iaitu tempoh hamil ialah enam bulan.
Al-Syeikh Mohammad Ali Al-Shabuni dalam kitabnya Rawâi‘ Al-Bayân menyebutkan bahawa telah diriwayatkan, bahawa seorang perempuan berkahwin, kemudian melahirkan anak setelah enam bulan daripada perkahwinannya. Dia dihadapkan kepada khalifah Utsman Radhiallahu ‘anhu. Beliau mahu merejam perempuan berkenaan, tetapi Ibnu Abbas berkata kepada Utsman: “Perempuan ini, jika dia menentang kamu dengan kitab Allah, kamu akan kalah. Allah berfirman:
Tafsirnya: “Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.” (Surah Al-Ahqâf: 15)
Tafsirnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.” (Surah Al-Baqarah: 233)
Oleh itu, tempoh hamil itu ialah enam bulan dan penyusuan pula dua puluh empat bulan. Berdasarkan itu, Sayyidina Utsman Radhiallahu ‘anhu pun membebaskan wanita berkenaan daripada hukuman.
Dengan demikian para ulama menetapkan hukum bahawa mana-mana anak yang dilahirkan dalam tempoh enam bulan atau lebih yang dikira daripada masa suami isteri boleh bersatu melalui nikah yang sah, maka sabitlah nasab anak tersebut kepada suami wanita berkenaan pada zahir sahaja dan berjalanlah segala hukum-hakam nasab ke atasnya.
Begitu pula sebaliknya, jikalau anak tersebut lahir kurang daripada enam bulan, maka anak berkenaan tidaklah bersambung nasabnya dengan suami kepada si ibu anak damit atau tidak boleh dinasabkan kepada suami wanita yang melahirkan anak berkenaan. Dia dinasabkan kepada ibunya yang melahirkannya sahaja dan jika hendak dibinkan atau dibintikan bolehlah kepada ibunya atau kepada nama Abdullah atau salah satu daripada Asmâ’ullah Al-Husna.
Tersebut dalam kitab Hâsyiah Al-Baijuri ‘alâ Fath Al-Qarîb dan dalam kitab Al- Tuhfah karangan Al-Imam Ibn Hajr bahawa enam bulan itu dikira tiap-tiap bulan daripadanya 30 hari. Ini bererti enam bulan itu ialah 180 hari dan dua lahzhah ialah tempoh wathi‘ dan tempoh mengeluarkan anak.
Pendapat ulama Syafie, 180 hari itulah juga yang menjadi pendapat jumhûr ulama, kecuali Imam Malik yang menyatakan 175 hari. Bahkan terdapat sebahagian negara seperti Syria telah menetapkan dalam undang-undangnya bahawa tempoh minimum hamil atau mengandung itu ialah 180 hari. (Sila lihat Fiqh Al-Islami wa Adillatuh 7/678)
Pengiraan 180 hari itu adalah bermula dari waktu suami isteri itu boleh bersatu yang memungkinkan anak itu lahir daripada benih suami berkenaan setelah akad nikah yang betul (sah).
Oleh yang demikian mana-mana anak damit yang dilahirkan jika kurang daripada enam bulan dan dua lahzhah atau kurang 180 hari daripada tarikh mereka boleh bersatu setelah akad nikah yang sah, maka anak damit itu tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada suami perempuan yang melahirkannya. Dalam erti kata yang lain anak damit itu tidak bersambung nasabnya kepada lelaki yang menjadi suami kepada perempuan yang melahirkannya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8266
