Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Wang Bunga Bank Digunakan Untuk Kepentingan Masjid

Soalan: Ahli Jawatankuasa Pembinaan Masjid akan membina bangunan tambahan sebuah masjid. Perbelanjaan bagi bangunan tambahan masjid berkenaan adalah hasil daripada derma orang ramai yang berjumlah $227,279.76 dan disimpan di sebuah bank Konvensional dengan simpanan tetap (Fixed Deposit) sejak 31 Disember 1997 sehingga sekarang. Hasil daripada simpanan tetap ini kumpulan wang faedahnya kini berjumlah $20,010.55.

Apakah hukum menggunakan wang faedah (interest) tersebut untuk perkara berikut:

1) Dimasukkan atau dicampur ke dalam jumlah wang kutipan tersebut untuk kegunaan membina tambahan bangunan Masjid.

2) Digunakan untuk membeli peralatan dan perkakas masjid seperti kabinet, meja dan sebagainya.

Jawapan: Bank konvensional itu menjalankan urusniaga berdasarkan riba. Oleh kerana itu

ulama ahli tahq îq menegah daripada menyimpan wang dalam bank konvensional,

jadinya wang bunga yang diberikan oleh bank konvensional kepada penyimpannya adalah wang riba. Riba itu adalah haram.

Wang bunga atau wang riba yang diberikan oleh bank konvensional itu dinamakan harta yang tidak diketahui siapa yang empunya atau wang yang tidak bertuan.

Harta yang tidak diketahui siapa empunyanya atau tidak bertuan itu adalah menjadi harta Baitulmal. Harta Baitulmal dibelanjakan untuk kebajikan atau mashlahat umat Islam.

Jadi sehubungan ini, wang bunga yang diterima oleh jawatankuasa pembinaan masjid daripada bank konvensional tempat jawatankuasa menyimpan itu, bolehlah ianya diterima oleh jawatankuasa berkenaan dan menggunakannya bagi perkara-perkara yang berkaitan dengan mashlahat masjid seperti yang ditanyakan.

Dalam pada itu, wang bunga eloklah jangan dicampur ke dalam jumlah wang kutipan derma bagi kegunaan membina bangunan tambahan masjid atau ia dimasukkan ke dalam tabung kewangan masjid, bagi mengelakkan percampuran di antara wang yang bersih dengan wang riba.

Sepertimana kita sedia maklum bahawa bank konvensional itu menjalankan urusniaga berdasarkan riba. Maka menyimpan wang ke dalamnya bererti menolong bank tersebut menjalankan riba.

Oleh kerana itu, adalah menepati jika institusi-institusi kerajaan seperti masjid-masjid dan Jabatan Hal Ehwal Masjid menyimpan wang masjid itu ke dalam bank yang tidak berurusan dengan riba, di mana bank seperti ini telahpun ada di negara kita. Institusi-institusi dan orang ramai yang berbuat demikian itu, adalah mereka sebenarnya bertindak menolong bank berkenaan ke arah memaju dan memperkukuh lagi kedudukannya. Jika orang ramai dan pegawai kerajaan yang terlibat itu orang Islam, mereka akan mendapat pahala insyâ’ Allah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8270