Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Wang Sumbangan Dana Anak Yatim

Soalan: Sebuah dana untuk anak-anak yatim telah ditubuhkan bagi tujuan membantu anak-anak yatim mendapatkan asuhan, pimpinan dan pendidikan, agar mereka menjadi warga negara yang berguna.

Sekretariat Dana ini telah bermesyuarat dan memutuskan untuk memberi sumbangan pertama sebanyak $500.00 dalam berbentuk akaun simpanan di salah sebuah bank, kod setiap anak yatim yang berdaftar di Sekretariat Dana ini dan berumur 18 tahun ke bawah pada 13 Ramadhan 1419H = 1 Januari 1999M.

Walau bagaimanapun untuk makluman Pehin, di antara tarikh 13 Ramadhan 1419H bersamaan 1 Januari 1999M dan 18 Jamadil Awwal 1420H bersamaan 30 Ogos 1999M, terdapat seorang anak yatim yang termasuk dalam kategori anak yatim yang berhak menerima sumbangan pertama tersebut telah meninggal dunia iaitu pada 18 Mac 1999M sebelum Allahyarham menerima sumbangan yang telah dijanjikan. Di samping itu juga, terdapat beberapa orang anak yatim dalam kategori ini telah berkahwin sebelum mereka menerima sumbangan tersebut.

Sehubungan dengan ini, sukacita kaola pohonkan apa kiranya Pehin akan dapat memberikan nasihat dan ketetapan mengenai kedudukan perkara ini iaitu:

1. Bagi anak yatim yang sudah meninggal itu sebelum sempat menerima sumbangannya, sama ada sumbangan itu diserahkan kepada warisnya atau balik kepada kumpulan wang Dana tersebut.

2. Bagi anak-anak yatim yang sudah berkahwin sebelum mereka menerima sumbangan tersebut, sama ada masih berhak menerima sumbangan mereka atau sebaliknya.

Jawapan: Sedekah itu ialah sesuatu yang di berikan kepada seseorang atau pihak-pihak yang tertentu dengan mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah. Dalam sedekah, mesti ada dua perkara; pemberian dan harapan mendapat pahala. Hadiah pula ialah pemberian yang diberikan kepada seseorang kerana memuliakannya sama ada disertai dengan harapan mendapat ganjaran pahala ataupun tidak. Sedekah dan hadiah itu adalah hibah. Ini dijelaskan oleh Jalaluddin Al-Mahalli ketika mensyarahkan Minhâj Al-Thâlibîn katanya:

Ertinya: “Maka setiap daripada sedekah dan hadiah itu adalah hibah dan tidak sebaliknya (hibah itu tidak mesti sedekah atau hadiah).”

Imam Nawawi telah menjelaskan dalam kitabnya Al-Minhâj katanya:

Ertinya: “Tiadalah benda yang dihibah (diberi) itu menjadi milik kepada orang yang kena beri melainkan dengan menerima serahan itu dengan izin daripada yang memberi itu.”

Berdasarkan perkara di atas, jelas kepada kita bahawa setiap pemberian itu tidak menjadi milik seseorang jika belum sempurna penyerahan dan penerimaannya.

Ini bererti sedekah juga tidak akan menjadi milik seseorang jika belum sempurna penyerahan dan penerimaannya kerana sedekah itu sendiri adalah hibah.

Al-Syeikh Syarbini mengatakan:

Ertinya: “Jika pemberi menarik balik termasuk pemberi hadiah dan pemberi sedekah atau warisnya terhadap izin pada menyerahkan (pemberian) itu atau mati pemberi atau mati orang yang diberi sebelum menerima pemberian, maka dalam kedua-dua keadaan itu (menarik balik atau mati) batallah izin tersebut. Maka tiada kuasa bagi yang diutus untuk menyampaikan/menyerahkan pemberian berkenaan kepada orang yang diberi atau warisnya kecuali dengan izin yang baru.”

Perhatikan pula perkataan pengarang Kifâyah Al-Akhyâr:

Ertinya: “Hibah tidak menjadi lazim dan belum lagi dimiliki melainkan setelah diterima (oleh siapa yang akan diberi). Sebab Sayyidina Abu Bakar Al-Shiddiq Radhiallahu ‘anhu memberikan (hibah) kepada Siti Aisyah sebanyak dua puluh wasaq kurma (dan belum sempat diserahkan kepadanya), dan apabila Sayyidina Abu Bakar sakit, dia berkata: “Hai Aisyah! Aku senang sekali, kalau engkau sudah ambil barang yang aku berikan itu dulu, ataupun engkau sudah menerimanya, tetapi hari ini ia (barang itu sudah menjadi) harta ahli waris”. Jikalah tidak disyaratkan bahawa hibah itu tertakluk pemilikannya berdasarkan penerimaan oleh tangan orang yang dihibahkan, tidaklah Sayyidina Abu Bakar berkata: “Barang itu sekarang sudah menjadi milik (harta) ahli waris.”

Berkata Umar bin Al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu pula: “Tidak sempura sesuatu pemberian sehingga diterima pemberian itu oleh tangan yang diberikan pemberian itu.” Diriwayatkan pula maksud yang sama juga daripada Sayyidina Utsman Radhiallahu ‘anhu dan daripada Ibnu Umar, Ibnu Abbas, Anas dan Aisyah Radhiallahu ‘anhum ajma‘în. Tidak pernah kedengaran ada orang yang membantah mereka sebab ia merupakan suatu akad belas kasihan yang mesti dikehendaki adanya penerimaan, kerana itulah ia memerlukan timbang terima (qabd), sama seperti hukum qiradh dan semua macam hibah itu. Sehingga kalau misalnya dia mengirimkan suatu hadiah itu kepada seseorang, dia boleh memintanya kembali selama hadiah itu belum diterima oleh orang yang dihadiahkan kepadanya, ataupun jika dia mati sebelum hadiah itu diterima oleh tangan penerima, maka hadiah itu tidak boleh dimiliki oleh orang yang dinamakan atau mendapat hadiah itu.” (Kifâyah Al-Akhyâr fî Halli Ghâyah Al-Ikhtishâr li Al-Imam Al-‘Allâmah Taqiyuddin Abu Bakar bin Muhammad Al-Husaini Al-Hushni Al-Syafi‘e h. 308-309)

Maka dalam hal ini, tidaklah Dana Anak-Anak Yatim itu menyerahkan mana-mana bahagian daripada wang derma tersebut kepada waris anak yatim yang meninggal itu kerana derma tersebut belum dikira miliknya.

Jawapan soalan (2).

Siapakah anak yatim?

Anak yatim bagi anak Adam ialah sesiapa yang kehilangan (kematian) bapanya. Tidaklah termasuk anak yatim itu seorang yang sudah baligh. Ini bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Bukan lagi (tidak dinamakan) anak yatim selepas mimpi (baligh).” (Hadis riwayat Abdul Razzaq)

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Ali Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: “Berkata Ali bin Abu Thalib: “Aku menghafal hadis daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Bukan lagi (tidak dinamakan) anak yatim selepas mimpi (baligh).”

Adakah mereka yang kaya termasuk anak yatim? Ada dua wajah (pendapat): Salah satunya: “Termasuk (anak yatim yang kaya)”, kerana anak yatim itu ialah dengan sebab kehilangan (kematian) bapanya. Pendapat yang kedua: “Tidak termasuk (anak yatim yang kaya)”, kerana tidak dinamakan (anak yatim) pada kebiasaannya (urf) kepada kanak-kanak yang kaya. Pendapat pertama di atas adalah râjih. (Al- Muhadzdzad li Al-Syirazi: Tahqîq li Al-Doktor Muhammad Al-Zuhaili 728, dan Al- Raudhah 6/181)

Berdasarkan apa yang dapat difahami daripada pertanyaan di atas bahawa anak yatim itu menurut tafsiran atau di antara ciri-ciri pentakrifan oleh Dana Anak-Anak Yatim ialah sesiapa yang berumur 18 tahun. Maka berdasarkan tafsiran ini, anak yatim di bawah umur 18 tahun berhak menerima sumbangan itu pada ketika ianya di bawah umur tersebut sama ada sudah kahwin atau belum, melainkan jika dipersyaratkan dengan sebab perkahwinan itu seseorang anak yatim itu tidak lagi termasuk di bawah kategori anak yatim. Adapun anak yatim yang telah meninggal dunia, dan dia belum sempat menerima derma sumbangan itu, maka derma itu belum lagi dikira sebagai miliknya. Persoalan yang mungkin ditimbulkan apakah kewajaran jika anak yatim di bawah umur 18 tahun jika dia berkahwin, sama ada terus dikekalkan statusnya atau hilang kelayakannya sebagai anak yatim?

Pada hemat kita tidaklah perkahwinan itu menjadi halangan kepada anak yatim untuk menerima sumbangan tersebut, lebih-lebih lagi jika dia lelaki yang terpaksa menanggung nafkah isterinya.

Perkahwinan adalah suatu tuntutan agama lebih-lebih lagi jika tujuan perkahwinan itu bagi menjaga kehormatan diri daripada perbuatan haram. Dalam sebuah hadis yang shahîh menyebutkan:

Maksudnya: “Tiga orang yang menjadi kewajipan Allah untuk menolong mereka; orang yang kahwin kerana hendak menjaga kesucian dirinya, hamba mukâtab yang bertujuan membayar ansurannya dan orang yang berjuang di jalan Allah.” (Hadis riwayat Tirmidzi, Nasa’i, Ahmad dan Ibnu Majah)

Pengarang kitab Tuhfah Al-‘Arûs sewaktu menulis hadis:

Maksudnya: “Wahai golongan pemuda! Barangsiapa di antara kamu mampu untuk menikah, hendaklah dia nikah, kerana yang demikian itu amat menundukkan pemandangan dan amat memelihara kehormatan, tetapi barangsiapa tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana (puasa) itu menahan nafsu baginya.” (Hadis riwayat Bukhari)

“Sesiapa yang tidak mampu berkahwin kerana ketidakupayaan menanggung perbelanjaan kahwin itu lalu diperintahkan berpuasa. Perintah ini tidak syak lagi adalah pada zaman permulaan Islam. Adapun ketika negara sudah kaya, sedangkan setiap muslim ada hak berkahwin dan ada hak untuk berhutang untuk menjamin dapat membayar mahr (mas kahwin) dan lain-lain nafkah (perbelanjaan) kahwin, maka negara akan menanggung atau menjamin untuk membayar hutangnya daripada saham al-ghârimîn.” (m.s 34).

Pendapat di atas juga menjadi pendapat kepada Dr. Yusuf Al-Qardhawi tentang perkahwinan yang merupakan daripada perkara kesempurnaan yang perlu dipenuhi, katanya:

“Kami ingin menambah tentang pengertian cukup yang dituntut untuk dilaksanakan dan disempurnakan terhadap kaum fakir miskin sebagaimana yang digambarkan dalam fiqh Islam. Sebenarnya suatu yang sangat mengkagumkan bahawa pandangan para ulama Islam, tentang keperluan manusia itu bukan hanya makan, minum dan pakaian sahaja, tetapi juga ada dorongan lain yang dituntutnya. Di antara dorongan tersebut ialah dorongan kelamin. Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjadikan dorongan kelamin ini sebagai cambuk untuk mengiring manusia melaksanakan kehendak Ilahi dalam memakmurkan bumi ini dan mengekalkan keturunan manusia di bumi sebagaimana yang dikehendaki Allah. Islam tidak menyita pembawaan dan dorongan ini, bahkan memberikan aturan-aturan untuk melaksanakannya sesuai dengan perintah Allah. Disebutkan dalam hadis:

Maksudnya: “Barangsiapa di antara kamu ada kesanggupan hendaklah dia kahwin, kerana kahwin itu akan menundukkan mata dan memelihara faraj.” (Hadis riwayat Bukhari)

Apabila Islam melarang membujang, pengasian dan segala jenis yang boleh membunuh perasaan seksual, di samping ia juga menyuruh agar berkahwin bagi sesiapa yang berupaya melakukannya, maka tidak hairanlah jika Islam mensyariatkan agar menghulurkan bantuan kepada mereka yang ingin berkahwin tetapi tidak mampu dari sudut perbelanjaannya.

Dengan demikian bukan aneh apabila Islam mengatur pemberian bantuan kepada orang-orang yang ingin berkahwin yang tidak mampu mengadakan mas kahwin dan lain-lain. Juga tidak aneh kalau para ulama menyatakan, bahawa jika dia orang miskin dia boleh menerima zakat untuk kahwin sekiranya dia tidak punya isteri, sedangkan dia ingin kahwin. Khalifah Umar bin Abdul Aziz menyuruh petugas bahagian penerangan agar setiap hari memanggil: “Di mana orang-orang miskin?”, “di mana orang-orang berhutang?”, dan “di mana orang-orang yang ingin kahwin?” Beliau lakukan itu agar setiap kumpulan yang berhak menerima bantuan dapat memenuhi keperluan mereka daripada Baitulmal. Masalah tersebut didasarkan atas suatu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Beliau mengatakan:

Maksudnya: “Seorang lelaki datang menghadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu berkata: “Saya bernikah dengan seorang perempuan Anshar.” Nabi berkata: “Berapa biaya mas kahwin perkahwinanmu?” Lelaki itu berkata: “Empat awâq (seratus enam puluh dirham).” Nabi berkata: “Dengan empat awâq? Seakan-akan kamu menggali perak dari lembah gunung ini? Kami tidak mempunyai sesuatu yang dapat diberikan kepadamu, tetapi mudah-mudahan saja kami dapat mengirimkan wang itu kepadamu sehingga engkau mendapatkannya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Hadis tersebut menunjukkan, bahawa pemberian Nabi kepada mereka dalam kes seperti ini adalah suatu sumbangan kebajikan Baginda kepada mereka. Oleh kerana itu Nabi berkata: “Kami tidak mempunyai sesuatu yang dapat diberikan kepadamu.” Namun di samping itu Nabi berusaha untuk memenuhi keperluan atau hajat orang itu dengan cara lain”. (Yusuf Al-Qardhawi, Fiqh Al-Zakâh 2/568-569)

Perkahwinan itu ialah sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, iaitu suatu tuntutan dalam Islam sehingga dalam keadaan tertentu di mana jika perkahwinan itu merupakan kecukupan daripada keperluan hidup seseorang, maka berhaklah dia menerima bantuan Baitulmal. Oleh kerana itu anak yatim lebih-lebih lagi jika dia lelaki yang akan menanggung nafkah isterinya adalah munasabah supaya mereka tidak terhalang daripada menerima sumbangan Dana Anak-Anak Yatim semata-mata dengan sebab perkahwinan ketika mereka masih lagi di bawah umur 18 tahun itu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8274