Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Bolehkah Membawa Masuk Tulisan Ayat Al-Qur’an Ke Tandas?

Soalan: Dengan penuh hormat serta takzim kaola sertakan bersama ini sekeping lencana pangkat Sarjan Mejar Pasukan yang sekarang ini dipakai oleh Pegawai Waran I yang memegang jawatan Sarjan Mejar Pasukan di Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Lencana pangkat yang Kaola maksudkan ini ada mengandungi tulisan Allah di atas Mahkota dan juga ayat permulaan surah Al-Mulk yang tertulis pada bulan Panji-Panji Diraja.

Sehubungan dengan ini, sukacita kaola memohon fatwa Yang Dimuliakan Pehin berkenaan pantang larang pemakaian lencana ini dari segi pandangan Islam misalannya apakah hukumnya jika lencana pangkat ini, yang dilekatkan pada lengan baju sebelah kanan, di bawa masuk ke dalam bilik air. Apakah lencana pangkat ini boleh dipakai oleh anggota yang bukan beragama Islam?

Jawapan: Orang Islam yang ingin masuk ke tandas yang memakai atau bersamanya sesuatu daripada tulisan ayat-ayat Al-Qur’an atau yang seumpamanya seperti tulisan zikir-zikir yang mengandungi nama-nama Allah, nama-nama rasul atau nama-nama malaikat adalah sunat baginya mengkesampingkan atau tidak membawanya masuk bersama-samanya (ayat-ayat Al-Qur’an atau yang seumpamanya itu). Perkara ini disebut oleh Al-Imam Asy-Syirazi dalam kitabnya Al-Muhadzdzab:

Maksudnya: “Jika seseorang hendak masuk ke tandas (mana- mana tempat buang air besar atau kecil) dan bersamanya sesuatu yang ada atasnya perkataan zikir Allah ‘Azza wa Jalla, maka sunat baginya meninggalkannya (tidak membawanya masuk), menurut apa yang diriwayatkan oleh Anas bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila masuk ke tandas Baginda akan meletakkan (di luar) cincin Baginda itu.”

Menurut Asy-Syirazi sebab Baginda tidak membawanya masuk ke tandas kerana

pada cincinnya itu tertulis perkataan ٌ َمَُمَدّرَسُول ُ اللَـه (Al-Muhadzdzab 1/104).

Berdasarkan riwayat Ash-Shahîhain bahawa ukiran yang ada pada cincin Baginda

Shallallahu ‘alaihi wasallam itu adalah tertulis perkataan ّ َمَُمَد ٌ رَسُول ُ اللَـه (Al-Majmû‘

2/86).

Al-Imam An-Nawawi mengulas perkataan Asy-Syirazi di atas, menjelaskan lebih lanjut lagi, katanya:

Ertinya: “Telah ittifâq ulama-ulama Asy-Syafi‘iyyah adalah sunat menjauhkan (mengkesampingkan) sesuatu yang ada (bertulis) zikir Allah Ta‘ala ketika hendak masuk ke tandas dan tiadalah pula wajib ia dijauhkan daripada dirinya.” (Al-Majmû‘ 2/86)

Menurut An-Nawawi dengan membawakan pendapat Al-Mutawwali, Ar-Rafa‘i dan lain-lain ulama, adalah tiada bezanya sama ada ayat atau zikir atau nama-nama yang mulia ditulis pada dirham (wang perak) dan dinar (wang emas) atau cincin atau selainnya, dan demikian juga jika ada bersamanya azimat (tangkal), adalah sunat menanggalkannya daripada badannya (tidak membawanya masuk ke tandas)”. (Ibid 2/87)

Menurut Al-Imam An-Nawawi lagi: “Jika ada bersamanya cincin (yang bertulis perkataan zikir Allah), sebagaimana yang kami (An-Nawawi) telah katakan terdahulu, sunat ditanggalkannya sebelum masuk ke tandas itu. Jika ia tidak menanggalkannya kerana lupa atau senghaja, maka menurut satu pendapat (qîl) hendaklah digenggam cincin yang ada di tangannya itu supaya tidak nampak tulisan zikir Allah itu.”

Inilah juga pendapat Ibnu Al-Munzir, katanya: “Jika tidak ditanggalkannya, maka hendaklah dia jadikan (memutar) kepala cincin itu ke tapak tangan. Ibnu Al-Munzir meriwayatkan pendapat ini daripada sekumpulan ulama at-tâbi‘în, Ibnu Al- Musayyab, Al-Hasan dan Ibnu Sirin (Al-Majmû‘ 2/88).

Demikian pendapat ulama-ulama Asy-Syafi‘e mengenai hukum membawa masuk cincin atau yang seumpamanya yang tertulis padanya perkataan zikir-zikir Allah ke tandas.

Berdasarkan pendapat ulama-ulama tersebut dan untuk menjawab persoalan yang diminta fatwa di atas, maka adalah ia sunat tidak membawa lencana yang bertulis ayat َ تَبـَرَكالَذّىّبّــيَـدّهُاملُلك ke tandas, namun tidaklah pula wajib menanggalkannya dari badannya.

Sekadar pemikiran - bukan fatwa - hendaklah mengambil kira status pemakai lambang Diraja ini serta kesesuaiannya dengan tempat.

Jika sekiranya pihak Angkatan Bersenjata Diraja Brunei masih ingin mengekalkan pemakaian lencana tersebut dengan melibatkan juga orang yang bukan Islam, maka hendaklah diperingatkan kepada pemakai-pemakainya (termasuk orang yang bukan Islam itu) supaya sentiasa menghormatinya dengan tidak meletakkannya di sebarang tempat yang boleh menjejaskan kehormatan dan kemuliaan ayat Al-Qur’an.

Menyentuh mengenai tulisan ayat ُ تَـ ْبََك َ الَذّى بّيَدّه ّ املُلك, nampaknya terdapat kesilapan

yang ketara dari segi baris, rumah huruf dan titik, di mana semua ini boleh menimbulkan kekeliruan adalah ia benar ayat Al-Qur’an dari surah Al-Mulk? Oleh itu hendaklah ia ditulis dengan bercontoh kepada Al-Qur’an, rasm ‘Uthmani.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8304