Bolehkah Membayar Dam Di Brunei?
Soalan: Seorang jemaah haji telah melakukan kesalahan dalam perkara wajib yang mana damnya ialah seekor kambing (setelah dirujuk kepada beberapa kitab dalam bab haji). Jemaah itu mengaku hendak membayar dam itu, tetapi di Brunei. Adakah dibenarkan oleh hukum syara‘?
Jawapan: Menurut Imam An-Nawawi dalam kitabnya Al-Idhâh, pekerjaan ibadat haji itu ada tiga bahagian, iaitu rukun haji, wajib haji dan sunat haji.
Rukun haji adalah pekerjaan asas yang mesti dibuat dan dilaksanakan oleh setiap orang yang mengerjakan haji. Sekiranya salah satu daripada rukun haji itu tidak dibuat sama ada sengaja atau terlupa, maka ibadat haji itu tidak sah. Misalnya dia telah melakukan semua rukun-rukun haji tetapi dia telah meninggalkan satu pusingan daripada tujuh pusing thawaf haji, maka hajinya tidak sah.
Rukun-rukun haji itu ada enam perkara iaitu ihrâm, wuqûf di ‘Arafah, thawaf ifâdhah, sa‘i, bercukur atau bergunting dan tertib pada kebanyakan rukun-rukunnya.
Wajib haji pula ialah pekerjaan yang wajib dibuat ketika mengerjakan ibadat tersebut. Sebaliknya jika tidak dikerjakan salah satu daripadanya, maka haji itu tetap sah, tetapi wajib ke atasnya membayar dam dan perbuatan meninggalkan wajib haji dengan sengaja adalah berdosa.
Manakala sunat haji pula ialah perkara yang diberi pahala apabila dikerjakan, jika ada yang tertinggal, hajinya sah dan tidak dikenakan dam. Di antara sunat haji itu ialah, mandi sunat ihrâm, sembahyang sunat ihrâm, membaca talbiyah, sembahyang sunat thawaf, mencium atau istilâm Hajar Al-Aswad dan sebagainya. (Kitab Al-خdhâh fî Manâsik Al-Hajj wa Al-‘Umrah: 375-377)
Perkara-perkara wajib haji itu ialah:
1. Niat ihrâm di mîqât: Bagi orang yang menunaikan haji atau umrah sahaja secara muthlak hendaklah melakukan niat ihrâm di mîqât. Jika dia berniat ihrâm selepas melimpasi mîqâtnya, maka wajib ke atasnya dam sekalipun kerana lupa atau tidak mengetahuinya. Jika dia kembali semula ke mîqât, gugurlah kewajipan membayar dam dengan syarat sebelum dia melakukan nusuk (sebarang rukun ibadat haji atau umrah). Bagi orang yang melakukannya dengan sengaja dan mengetahui akan wajibnya dia adalah berdosa.
2. Bermalam di Muzdalifah: Para jemaah haji dikehendaki hadir (berada) di Muzdalifah selepas tengah malam sebelum fajar sekalipun sekejap (lahzhah) setelah wuqûf di ‘Arafah kecuali orang yang mempunyai keuzuran seperti orang yang takut kehilangan hartanya, orang sakit yang memerlukan rawatan, orang yang sibuk mencari hambanya dan sebagainya. Bagi orang yang meninggalkannya tanpa uzur mereka dikenakan dam. Adapun orang yang melintasi Muzdalifah sebelum tengah malam adalah tidak dikenakan dam jika dia kembali semula ke Muzdalifah sebelum terbit fajar. Bermalam itu memadai dengan berhenti sekejap atau lalu (melintasinya) sekalipun tidak berhenti.
Dalil wajibnya bermalam di Muzdalifah itu disebut dalam Al-Qur’an, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman;
Tafsirnya: “Maka apabila kamu bertolak turun dari Arafah (menuju ke Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutNya sebagaimana Dia telah memberikan petunjuk hidayah kepada kamu.” (Surah Al-Baqarah: 198)
3. Melontar Jamrah: Ulama sepakat mengenai kewajipan melontar jamrah sebagaimana yang telah dibuat oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam. Dalam hal ini Jabir radhiallahu ‘anhu berkata:
Maksudnya: “Aku melihat Nabi Sallalllahu ‘alaihi wasallam melontar jamrah di atas tunggangannya pada hari Nahar, Baginda bersabda: “Hendaklah kamu ambil (dariku) akan ibadah haji kamu, sesungguhnya aku mengetahui, barangkali aku tidak akan melakukan haji selepas hajiku ini.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Melontar jamrah Al-‘Aqabah dengan tujuh biji batu, dilakukan pada 10 Zulhijjah (hari Nahar) dan waktu yang paling afdhal ialah selepas terbit matahari.
Manakala melontar jamrah yang tiga pada hari-hari Tasyrîq dilakukan selepas tergelincir matahari pada setiap hari iaitu waktu zuhur dan berakhir waktunya sebelum terbenam matahari pada hari ketiga hari Tasyrîq iaitu 13 haribulan Zulhijjah. Para ulama sepakat mengenai waktu melontar jamrah pada hari Tasyrîq berdasarkan riwayat Ibnu Abbas katanya:
Maksudnya: “Adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melontar jamrah-jamrah itu ketika gelincir matahari” (Hadis riwayat Tirmidzi)
4. Bermalam di Mina: Bermalam di Mina pada hari-hari Tasyrîq adalah wajib ke atas orang yang mengerjakan haji. Meninggalkan bermalam atau tidak hadir di Mina pada keseluruhan malam setiap malam hari-hari Tasyrîq diwajibkan ke atasnya dam jika orang-orang yang meninggalkannya itu tidak mempunyai keuzuran. Orang-orang yang berkeuzuran itu di antaranya ialah orang yang takut akan binasa kepada diri dan hartanya, kesusahan-kesusahan yang tidak dapat ditanggung pada adatnya, atau orang sakit dan orang yang menunggu orang sakit yang memerlukan rawatan dan sebagainya.
5. Thawaf Wada‘: Meninggalkan thawaf Wada‘ bagi orang yang berhajat untuk balik ke negerinya sama ada dari Makkah atau Mina, atau ke tempat lain dengan maksud untuk bermukim di sana atau ke suatu tempat yang jauhnya melebihi dua marhalah (jarak yang diharuskan bagi menqasharkan sembahyang), dikenakan ke atasnya dam, kecuali bagi mereka yang kembali semula ke Makkah dan melakukan thawaf Wada‘ sebelum sampai ke tempat yang ditujunya. Orang perempuan yang haidh dan nifas, orang yang takut kepada orang yang zalim, orang yang takut hilang dan terpisah daripada jemaahnya, atau takut daripada si penghutang adalah di antara orang-orang yang diharuskan meninggalkan thawaf Wada‘ dan mereka tidak dikenakan dam kerana meninggalkan thawaf tersebut.
6. Meninggalkan perkara-perkara yang haram ketika dalam ihrâm: Adalah wajib bagi setiap jemaah haji meninggalkan atau menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang haram ketika dalam berihrâm. (Lihat Kitab Mughni Al-Muhtâj: 1/690.
Dam Kerana Meninggalkan Perkara Wajib Haji
Menurut kitab Mughni Al-Muhtâj, bahawa pendapat yang ashah bagi orang yang meninggalkan perkara-perkara seperti niat ihrâm di mîqât, melontar jamrah, bermalam di Muzdalifah, bermalam di Mina pada hari-hari Tasyrîq dan thawaf Wada‘ dikenakan dam tertib iaitu menyembelih seekor kambing. Jika tidak mampu hendaklah berpuasa selama 10 hari, berpuasa 3 hari di Makkah dan 7 hari lagi setelah kembali ke kampung atau negerinya. (Mughni Al-Muhtâj 1/712. Kitab Al-Raudhah: 3/185. Kitab Al-خdhâh fî Manâsik Al-Hajj wa Al-‘Umrah: 473)
Maka soalan yang ditanyakan, salah seorang jemaah tidak melakukan salah satu di antara perkara-perkara wajib haji, dan diwajibkan ke atasnya dam iaitu menyembelih seekor kambing, adakah dia boleh dan dibenarkan oleh hukum syara‘ membayar dam tersebut di Brunei?
Menurut Imam Nawawi adalah wajib bagi orang yang berihrâm (haji atau umrah) menjaga dan menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara dan larangan semasa berihrâm kerana orang yang melakukannya akan berdosa dan diwajibkan ke atasnya membayar fidyah (dam sebagaimana yang ditentukan). Fidyah (dam) itu tidak akan menghapuskan dosa atau perbuatan yang dilakukannya seperti orang yang berzina atau minum khamr, dia tetap berdosa sekalipun telah dihukum hadd ke atasnya. (Fath Al-‘Allâm 4/406)
Pengagihan Dam Wajib Dan Tempat Penyembelihan
Adapun dam wajib kerana melakukan perkara yang diharamkan atau kerana meninggalkan perkara yang diwajibkan, penyembelihan binatang-binatang tersebut hanya khusus dilakukan di tanah haram sahaja menurut qaul yang azhhar.
Hal ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan sesiapa di antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja, maka dendanya (menggantinya) dengan binatang ternak yang sama dengan binatang buruan yang dibunuh itu, yang ditetapkan hukumnya oleh dua orang yang adil di antara kamu, sebagai sembelihan yang disampaikan ke Kaabah (untuk disembelih dan dibahagikan kepada fakir/miskin di Tanah Suci)” (Surah Al-Mâ’idah: 95)
Berdasarkan kepada ayat di atas, menurut Al-Qurthubi bahawa penyembelihan hadyi (dam) itu hendaklah dibuat dan disedekahkan kepada orang-orang fakir di Tanah Haram. (Al-Jâmi‘ li Ahkâm Al-Qur’ân 6/314)
Menurut Ibnu Hajar, penyembelihan dam yang wajib kerana melakukan perkara-perkara yang diharamkan (ketika berihrâm) dan meninggalkan perkara-perkara wajib (dalam haji atau umrah) hanya boleh ditunaikan di Tanah Haram. Wajib daging-daging sembelihan itu disedekahkan kepada orang-orang miskin dan fakir di Tanah Haram sekalipun kepada orang asing (bukan dari penduduk Tanah Haram). (Tuhfah Al-Muhtâj 4/198-199)
Orang-orang yang dikenakan dam seperti menyembelih binatang dan sebagainya, hendaklah melakukan dan menunaikan dam tersebut di Tanah Haram sebagaimana yang dituntut melakukannya. Manakala orang-orang yang dikenakan dam tetapi terluput membayar atau menunaikannya sehingga balik ke tanah airnya, adalah dinasihatkan supaya membayarnya sendiri pada bila-bila masa di kawasan Tanah Haram Makkah atau berwakil kepada orang-orang yang dipercayai untuk menguruskan semua perkara yang berkaitan dengan pembayaran, termasuk penyembelihannya di kawasan Tanah Haram jika dam itu berbentuk penyembelihan. Menurut ulama, penyembelihan binatang itu tidak ditetapkan waktunya. Walau bagaimanapun adalah sunat menyembelihnya pada hari-hari Nahar dan Tasyrîq. (Mughni Al-Muhtâj 1/713)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8308
