Cabutan Nombor Bertuah
Soalan: Dengan hormatnya dipohonkan pandangan pehin mengenai permohonan sebuah syarikat untuk mendapatkan kebenaran bagi mengadakan “Lucky Draw” sempena pembukaan sebuah stesen minyak baru syarikat tersebut yang terletak di Jalan Junjongan, Mukim Lumapas.
Di bawah ialah keterangan-keterangan yang lebih terperinci yang berkaitan dengan “Cabutan Undi Bertuah” tersebut:
1. Pihak syarikat bercadang untuk mengadakan “Cabutan Undi Bertuah” di stesen minyak tersebut pada setiap bulan.
2. Pelanggan-pelanggan tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran untuk menyertai “Cabutan Undi Bertuah” ini.
3. Pelanggan dengan mudah akan menerima tiket “Cabutan Undi Bertuah” dengan setiap belian $10.00.
4. Pada setiap hujung bulan, pihak syarikat akan mencabut undi untuk memilih pemenang.
5. Hadiah-hadiah akan bertukar-tukar dari sebulan ke sebulan tetapi hadiah-hadiah tersebut berbentuk “Resit Pembelian”. Dengan erti kata pemenang akan menggunakan “Resit Pembelian” tersebut untuk membeli di setiap cawangan koperasi serbaguna syarikat tersebut sahaja.
6. Cabutan undi akan dilakukan di hadapan Lembaga Pengarah syarikat tersebut dan ianya juga akan disaksikan oleh seorang pegawai polis.
“Cabutan Undi Bertuah” ini adalah strategi untuk mengembangkan atau memajukan stesen minyak berkenaan.
Jawapan: Hadiah-hadiah yang diberikan sama ada dalam bentuk barang atau wang tunai oleh sebuah syarikat kepada pelanggannya yang membeli barangan di syarikat tersebut di mana pelanggan tidak menanggung sebarang kerugian disebabkan pembeliannya itu, maka hadiah itu boleh diterimanya, kerana ia bukanlah keuntungan berasaskan judi. Di antara unsur-unsur suatu perjudian itu, salah satu pihak beroleh keuntungan sementara di pihak yang satu lagi yakni pembeli atau pelanggan akan menanggung kerugian atau terdedah kepada risiko kerugian itu.
Sesebuah syarikat mensyaratkan pembelian barangan sekurang-kurangnya dengan harga $10/= (sepuluh ringgit) umpamanya, iaitu sebagai syarat untuk memperolehi sebarang hadiah yang ditawarkan oleh sesebuah syarikat itu, sekalipun pembeli akan mendapat barang tersebut tanpa sebarang kerugian, namun menetapkan syarat pembelian dengan $10/= itu, ditakuti membawa kepada judi juga, atau sekurang-kurangnya termasuk dalam syubhah. Syubhah yang dimaksudkan ialah pembeli berniat atau bertujuan untuk memperolehi hadiah yang ditawarkan, bukan saja-saja bertujuan untuk membeli barang itu. Yang lebih selamat sesebuah syarikat itu tidak menetapkan harga belian minima atau tidak menetapkan sekurang-kurangnya belian hendaklah ‘sekian-sekian’. Jika seseorang membeli barang, di samping itu ada pula tujuan lain untuk mendapatkan hadiah, maka perbuatan pembeli yang sedemikian ini tidak digemari oleh ulama.
Sementara jika seseorang yang bukan tujuan asasinya membeli barang, bahkan tujuannya yang sebenar ialah semata-mata untuk mendapatkan hadiah yang ditawarkan, maka perbuatan seperti ini adalah menuju kepada cara atau bentuk perjudian atau menghampiri perjudian.
Pembelian yang selamat daripada sebarang syubhah atau selamat daripada bentuk perjudian ialah jika pembeli yang membeli barang berhadiah itu semata-mata bertujuan membeli, bukan membeli kerana hendak mendapatkan hadiah. Apabila berlaku pembelian yang seumpama ini, maka di pihak pembeli tidaklah berbangkit dia akan merasa rugi sekiranya hadiah itu tidak diperolehinya.
Demikian itulah cara agama Islam mengawal kebajikan manusia sehingga kepada soal perasaan atau rohaniah mereka.
Oleh kerana itu sesebuah syarikat apabila menawarkan sebarang hadiah janganlah menetapkan syarat pembelian dengan suatu jumlah tertentu atau had minima sesuatu belian itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8312
