Cara Menyempurnakan Mayat Yang Sudah Menjadi Debu
Soalan: Seorang yang mati dalam kebakaran yang habis seluruh tubuh sudah menjadi debu, bagaimana cara memandikannya?
Jawapan: Apabila seorang Islam telah sabit meninggal dunia, maka orang Islam yang masih hidup wajib melakukan empat perkara terhadap orang Islam yang sudah meninggal itu, iaitu memandi, mengkafan, menyembahyang dan mengkebumikannya. Berkata Imam An-Nawawi:
Maksudnya: “Dan hendaklah disegerakan memandikannya apabila sudah diyakini kematiannya. Memandi, mengkafan, menyembahyang dan mengkebumikannya adalah fardhu kifâyah.” (Minhâj Ath-Thâlibîn: 56)
Kaitan kewajiban empat perkara ini hanyalah mayat orang Islam yang dalam keadaan normal, seperti mayat yang tidak ditegah menyembahyangkannya, mayat itu hadir, mayat itu tidak larut atau hancur luluh jika dimandikan dan sebagainya.
Jika mayat berkenaan tidak berkeadaan normal, seperti orang yang mati syahid di medan perang, yang tenggelam, yang sudah menjadi debu dan sebagainya, maka adakalanya hanya sebahagian saja daripada yang empat perkara itu yang menjadi fardhu kifâyah.
Khusus mengenai mayat yang sudah menjadi debu, maka hukum memandikannya tidak lagi wajib. Ini kerana jika ia terkena air maka ia akan menjadi cair atau hancur luluh. Keadaannya yang seperti ini dianggap sebagai salah satu sebab penghalang atau suatu keuzuran untuk ia dimandikan.
Sekiranya mayat itu tidak dapat dimandikan, maka ia hendaklah ditayammumkan. Pengarang kitab Nihâyah Az-Zain berkata:
Ertinya: “Dan mayat yang uzur memandikannya kerana ketiadaan air atau seumpamanya, seperti mayat yang terbakar jika dimandikan akan hancur, maka ia ditayammumkan.” (Nihâyah Al-Zain: 151)
Berkata Imam An-Nawawi:
Ertinya: “Jikalau seseorang Islam terbakar sekira-kira jika dia dimandikan dia akan hancur lumat, dia tidaklah dimandikan, bahkan cukuplah ditayamumkan.” (Ar-Raudhah 2/108)
Dengan adanya kesan terhalangnya mayat daripada dimandikan, seperti yang jatuh ke dalam lubang dan tidak dapat dikeluarkan dan tidak dapat dimandikannya, maka dia tidaklah lagi disembahyangkan kerana sudah luput syarat. Inilah pendapat yang muktamad. (Fath Al-‘Allâm 3/248)
Akan tetapi Ad-Darami dan lain-lain ulama telah memutuskan bahawa orang mati yang tidak dapat dimandikan oleh kerana sesuatu halangan, maka orang itu disembahyangkan.
Kata Ad-Darami: “Sekiranya orang yang berkeadaan seperti itu tidak disembahyangkan, maka orang yang terbakar sehingga menjadi debu atau yang dimakan binatang buas juga tidaklah disembahyangkan, sedangkan sepengetahuan saya tidak ada ulama-ulama kita yang berpendapat tidak disembahyangkan (orang yang terbakar sehingga menjadi debu dan yang dimakan binatang buas).”
Mengikut pengarang I‘ânah Ath-Thâlibîn, pendapat inilah yang lebih dicenderunginya, akan tetapi mengikut pendapat yang muktamad tidak disembahyangkan mayat-mayat yang terhalang daripada dimandikan, seperti yang jatuh ke dalam lubang atau tenggelam di laut yang tidak dapat dikeluar dan dimandikan sebagaimana yang disebutkan di atas. (I‘ânah Ath-Thâlibîn 2/131 - Fath Al-‘Allâm 3/248 - 249)
Dengan yang demikian, orang Islam yang mati dalam kebakaran yang habis seluruh tubuhnya menjadi debu tidaklah wajib dimandikan, dan mengikut pendapat yang muktamad, tidak juga disembahyangkan. Bagaimanapun segolongan ulama fiqh berpendapat (muqâbil al-mu‘tamad), ia disembahyangkan atas alasan:
(i) Hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Dan apabila aku menyuruh kamu dengan suatu suruhan, maka kamu laksanakan ia mengikut kadar kemampuan kamu.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Ibnu Majah dan lain-lain)
(ii) Kaedah fiqh:
Ertinya: “Suatu perbuatan yang mudah dijalankan tidak dapat digugurkan dengan perbuatan yang sukar dijalankan.”
Ini adalah kerana maksud menyembahyangkan itu ialah mendoa dan memohonkan supaya dikurniakan syafaat bagi mayat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8321
