Cara Pengurusan Mayat Yang Tidak Diketahui Identitinya
Soalan: Sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan ini sedang menjalankan penyiasatan terhadap satu kes pembunuhan yang melibatkan seorang wanita yang tidak dikenali.
Wanita ini telah ditemui ditanam separuh badan di kawasan belukar Kampong Tungku Rimba, pada 30hb. Julai, 2000.
Pihak abis kaola belum lagi dapat memastikan identiti mangsa termasuk bangsa dan agamanya sampai ke hari ini.
Untuk makluman Pehin, mayat wanita berkenaan masih tersimpan dalam bilik mayat Hospital R.I.P.A.S, bermula dari tarikh penemuannya sehingga ke hari ini.
Di atas perkara ini abis kaola memohon fatwa daripada Pehin dan juga perkara-perkara yang berhubungkait dengan pengurusan dan penguburan jenazah wanita berkenaan.
Jawapan: Agama Islam itu tinggi, mulia dan tidak ada agama yang mengatasinya.
Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Islam itu tinggi dan tidak ada yang mengatasinya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Dengan sebab kemuliaan dan ketinggian agama Islam, maka orang-orang Islam dan negara-negara Islam juga turut menjadi mulia dan mempunyai kehormatan, kerana mereka dibangsakan kepadanya. Kemuliaan dan kehormatan orang-orang Islam bukan sahaja semasa hidupnya tetapi juga selepas matinya. Hatta mayat yang tidak diketahui identitinya yang dijumpai atau didapati dalam negara Islam hendaklah diurus sebagaimana mestinya berdasarkan agama mayat itu (Islam). Oleh kerana itu para ulama telah meletakkan asas-asas yang kukuh bagaimana menguruskan jenazahnya, di antara dasar-dasarnya itu ialah:
“Sekiranya dijumpai tengkorak, salah satu anggota mayat atau tubuh badan mayat yang lengkap dalam negeri Islam yang tidak mempunyai tanda pengenalan secara pasti adakah anggota atau mayat itu orang Islam atau bukan Islam, maka wajiblah mayat atau anggota yang dijumpai itu disempurnakan sebagaimana menyempurnakan mayat orang Islam iaitu dimandi, dikafan, disembahyang dan di kebumikan di perkuburan orang Islam.”
Di dalam kitab Nihâyah Al-Muhtâj menyebutkan:
Ertinya: “Dan jikalau dijumpai mayat yang tidak diketahui pengenalan dirinya atau sebahagian anggotanya di negeri kita (Islam), ia disembahyangkan, kerana yang lebih ramai di negeri itu orang-orang Islam.” (Nihâyah Al-Muhtâj 2/495)
Manakala di dalam matan kitab Asnâ Al-Mathâlib iaitu kitab Ar-Raudh berbunyi:
Ertinya: “Sesiapa menjumpai mayat yang tidak diketahui pengenalan dirinya atau anggotanya, di dalam negeri Islam, maka hendaklah dia menyembahyangkannya.” (Asnâ Al-Mathâlib 1/313)
Di antara alasan atau ‘illah yang dikemukakan ulama mengenai perkara ini kerana orang Islam lebih ramai dan kerana kehormatan negeri Islam itu sendiri. Imam As-Syubramalissi menyebutkan bahawa tidak ada perbezaan di negeri yang kebanyakannya orang-orang Islam itu - sama ada di situ terdapat tanda-tanda kufur seperti salib atau pun tidak, dan hukum seperti ini berlaku kerana kemuliaan dan kehormatan negeri orang-orang Islam itu. (Nihâyah Al-Muhtâj 2/495)
Manakala Syeikh Ahmad Al-Maghribi menyebutkan bahawa jika yang dijumpai itu tergolong di bawah hukum laqîth (kanak-kanak pungut), yang tidak diketahui identitinya dijumpai di negeri orang kafir, tetapi di negeri itu ada juga orang Islam, hendaklah mayat itu disembahyangkan. Katanya:
Ertinya: “Maka hukum mayat yang tidak dikenali atau anggotanya, adalah sama dengan hukum laqîth, dan permasalahannya ialah: “Apabila ia dijumpai dalam negeri orang kafir dan di situ ada orang Islam, sesungguhnya ia adalah disembahyangkan.” (Nihâyah Al-Muhtâj dan kedua-dua Hawâsyinya 2/495)
Dengan berpandukan keterangan ulama-ulama ini, maka mayat yang dijumpai di kawasan belukar Kampong Tungku Rimba itu hendaklah disempurnakan mengikut pengurusan jenazah orang Islam iaitu dimandi, dikafan, disembahyang dan dikuburkan di perkuburan orang-orang Islam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8324
