Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Di Mana Hendak Dikuburkan Orang Yang Ucapan Dua Kalimah Syahâdahnya Dipertikaikan?

Soalan: Kaola ingin mendapat kepastian mengenai kedudukan seorang hamba Allah yang dikatakan telah mengucapkan dua kalimah syahâdah sebelum kematiannya. Ada kemungkinan dia dalam keadaan maradh al-maut semasa mengucap itu. Beberapa orang saksi telah kaola panggil dan kes ini telah dilaporkan kepada Penasihat Ugama seperti mana kehendak undang-undang. Sukacita mendapat pandangan hukum mengenainya, serta perkara yang berkaitan.

Jawapan: Mengikut ulama, pensabitan keislaman seseorang ialah menerusi ucapan dua kalimah syahâdah:

Ertinya: “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu Rasulullah (Pesuruh Allah).” Di antara dasar pendapat ini ialah hadis terkenal dan masyhur lagi shahîh yang diriwayatkan daripada Umar bin Al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu. Hadis ini ialah dialog di antara Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan Jibril ‘Alaihissalam di hadapan para sahabat yang antara lain berbunyi:

Maksudnya: “Jibril bertanya: “Wahai Muhammad, khabarkan kepadaku tentang Islam”. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Islam ialah: “Bahawa engkau hendaklah bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah (Pesuruh Allah).....” hingga akhir hadis. (Hadis riwayat Muslim daripada Umar)

Pensabitan ini memerlukan beberapa perkara, di antaranya hendaklah ia (dua kalimah syahâdah) itu dilafazkan oleh lidah orang yang ada upaya bercakap tanpa paksaan.

Pengucapan ini adalah merupakan syarat supaya berlaku kepadanya hukum zahir sebagai seorang yang beriman. Hati sahaja belum cukup sebagai bukti, disebabkan apa yang di hati itu adalah tersembunyi tidak dapat dijadikan sandaran. Inilah pendapat jumhûr ulama.

Adapun jika hati sahaja yang memperakui dan mengikrarkan kalimah syahâdah tanpa melafazkannya, maka dia adalah beriman di sisi Allah tetapi belum beriman pada zahir hukum syara‘. Kemudian jika lidahnya sahaja yang melafazkan tetapi hatinya tidak turut membenarkannya, seperti keadaan orang munâfiq, maka dia tidak beriman di sisi Allah. (Lihat Hâsyiah Jauhar At-Tauhîd h: 49)

Orang yang telah melafazkan dua kalimah syahâdah dengan ikhlas dan mengakuinya dengan sepenuh hati, kemudian dia mati dalam keadaan seperti itu atau di akhir ucapannya sebelum ghargharah ialah kalimah:

Ertinya: “Tiada Tuhan melainkan Allah.”

Maka dia telah dijamin masuk syurga sebagaimana disebut oleh hadis:

Maksudnya: “Sesiapa yang ucapan terakhirnya sebelum mati kalimat

(Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud daripada Mu‘adz)

Mengikut Al-Qurthubi, hadis ini ditakhrîjkan oleh Muslim. (Tafsir Al-Qurthubi 2/191)

Merujuk kepada kes seorang lelaki yang dikatakan sebelum matinya telah melafazkan beberapa kalimat yang biasanya hanya dilafazkan oleh orang Islam, seperti ُ هللا ُ أَكْبَر– هللا ُ رَبِّي–َلإِّلـه َ إِّل َّ هللا dan dua kalimah syahâdah, kemudian anak tirinya memohon pengesahan keislaman bagi lelaki tersebut dan memohon perintah pemindahan pengkebumian (kuburnya), maka tanggapan dan analisis hukum yang telah dibuat oleh pihak Qadhi Daerah Tutong mengenainya adalah bersesuaian dengan hukum syara‘. Namun, saya ingin menambah beberapa perkara lagi sebagai pelengkapnya.

Pengesahan Keislaman

Jika ada kaitan dengan pewarisan harta, yang diperlukan ialah adanya saksi. Ini termasuk dari sudut keislaman.

Dalam kitab Asnâ Al-Mathâlib disebutkan:

Ertinya: “Maka begitulah juga halnya (yakni tidak akan sabit melainkan dengan dua orang saksi lelaki), dan yang demikian itu ialah seperti akad nikah, rujuk, talak, pemerdekaan hamba sahaya, dan masuk Islam...” (4/360)

Kemudian di dalam kitab Mughni Al-Muhtâj disebutkan bahawa mengikut Ash- Shaimari, seorang saksi lelaki dan dua orang saksi perempuan, atau seorang saksi lelaki dan sumpahnya daripada kalangan ahli waris sudah memadai untuk mensabitkan seseorang itu meninggal di dalam Islam sebagaimana nashnya seperti berikut:

Ertinya: “Disebutkan dalam kitab Al-Bahr daripada Ash-Shaimari, adalah diterima seorang saksi lelaki dan dua orang saksi perempuan, dan seorang saksi lelaki dan sumpahnya dari ahli waris, bahawa warisnya itu mati di dalam Islam atau kufur, kerana yang dimaksudkan di dalam pensabitan ini adalah pensabitan harta warisan.” (4/561)

Sebagai contoh jika terjadi pendakwaan:

Ertinya: “Dan jika seseorang mati dengan meninggalkan dua orang anak, seorang Muslim dan seorang Kristian, lalu setiap seorang daripada keduanya berkata: “Dia mati atas agamaku.” Jika dia sebelum mati dikenali sebagai seorang Kristian, maka dibenarkanlah (diterima) dakwaan anaknya yang Kristian. Tetapi jika kedua-duanya saling mengemukakan dua bukti umum, maka didahulukan dakwaan anaknya yang Muslim itu.” Jika anaknya yang Muslim menyebutkan bahawa akhir ucapan bapanya adalah kalimat Islam, dan anaknya yang Kristian pula menyebutkan bahawa akhir ucapan bapanya adalah kalimat kufur maka kedua-dua itu adalah bertentangan (sia-sia). Adapun jika tidak diketahui agama (bapa atau ibunya) yang mati itu, dan kedua-dua anak itu saling mengemukakan bukti yang dia mati di atas agama kedua-duanya, maka dakwaan mereka juga bertentangan (sia-sia).” (Minhâj Al-Thâlibîn h. 356)

Pemahaman daripada nash ini adalah seperti berikut: Jika seseorang mati dengan meninggalkan dua orang anak, seorang Islam dan seorang lagi Kristian, kemudian setiap seorang daripada keduanya mendakwa bapa mereka mati mengikut agama masing-masing, maka apabila bapa mereka dikenali sebagai seorang Kristian sebelum mati, maka bapa mereka dianggap Kristian, tetapi apabila anaknya yang Islam mendakwa bahawa ucapan bapanya yang terakhir sebelum matinya adalah ucapan dua kalimah syahâdah, dan anaknya yang Kristian tidak pula membuat bantahan, maka diterimalah dakwaan anaknya yang Islam itu, yakni bapanya mati di dalam Islam. (Mughni Al-Muhtâj 4/615 dan Nihâyah Al-Muhtâj 7/371)

Perkara ini adalah khas jika berkaitan dengan harta warisan, sama ada yang mati mewariskan atau akan menerima warisan jika dia mati terkemudian.

Walau apapun keputusan yang diambil terhadap keshahîhan atau tidaknya mengenai keislaman lelaki berkenaan dan orang yang sepertinya, maka dari sudut pengkebumian dan perkara-perkara lain, dia hendaklah dikuburkan di tanah perkuburan orang-orang Islam.

Imam Asy-Syarbini berkata:

Ertinya: “Pertentangan dakwaan (sama ada Islam atau tidak) ini adalah nisbah (hubungan) dari sudut pewarisan saja, dan adapun nisbah kepada pengkebumian dan lainnya, maka dia dikebumikan di tanah perkuburan orang-orang Islam dan dia disembahyangkan.” (Mughni Al-Muhtâj 4/616)

Alasan yang disebutkan ulama mengenai perkara ini ialah, kerana orang yang seperti ini, yakni orang yang diragui keislamannya, menjadikannya berada dalam kedudukan perkara bercampur aduk antara mayat orang Islam dengan yang bukan Islam.

Dalam Hawâsyi Asy-Syarwani dan Al-Abadi disebutkan:

Ertinya: “Mayat yang diragui keislamannya ini dikuburkan di tanah perkuburan orang-orang Islam.” (10/343)

Mengikut keterangan dakwaan anak tiri si mati itu, perkara sebenar yang dipohonkannya tidak ada kaitan dengan harta warisan, yang dipohonkannya hanya dua perkara:

Pertama: Pengesahan keislaman bapanya berdasarkan bukti dan saksi-saksi yang melebihi dua orang.

Kedua: Agar dia diberi kuasa memindahkan bapanya yang telah dikuburkan secara adat Dusun.

Kemudian di dalam keterangan pihak Qadhi Daerah Tutong itu tidak disebutkan ada pihak (atau ahli waris) yang mendakwa si mati masih tetap tidak beragama atau ada lain pihak yang mengadu atau menentang dakwaan anaknya itu. Ertinya hanya satu pihak saja yang mendakwa dia sebagai Islam dengan disokong oleh dua orang saksi lelaki dan seorang perempuan yang kesemua mereka adalah beragama Islam. Jadi mengikut zahir keterangan mengenainya dan penjelasan oleh pihak Qadhi itu, si mati adalah seorang Islam sebelum matinya, dan hendaklah dikuburkan di perkuburan Islam.

Walau bagaimanapun telah disebutkan dalam kitab I‘ânah Ath-Thâlibîn bahawa haram menggali kubur sekiranya mayat itu sudah berubah baunya (busuk) sekalipun bagi tujuan memandikannya kerana menjaga kehormatan mayat. Dengan demikian tidaklah perlu kubur berkenaan dialih ke tempat yang lain, kerana kuat sangkaan tentang berubahnya mayat tersebut bahkan besar kemungkinan telah pun putus bahagian-bahagian anggotanya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8329