Di Manakah Dikuburkan Kanak-Kanak Damit Yang Dijumpai Mati?
Soalan: Polis Tutong telah menerima satu aduan daripada orang awam yang mana telah menjumpai seorang bayi lelaki yang tidak dikenali ibu bapanya yang disimpan di kawasan dalam tandas awam, Pekan Tutong.
Sehubungan dengan perkara ini, dapatlah kiranya pihak tuan memberi khidmat nasihat dan fatwa bagaimana cara untuk mengkebumikan mayat bayi tersebut memandangkan tidak diketahui ibu bapa, bangsa dan agamanya dan tidak ada barang-barang yang dijumpai di sisi mayat tersebut. Mayat tersebut hanya dibalut dengan sehelai tuala, dibungkus dan dimasukkan ke dalam beg plastik. Untuk makluman tuan mayat tersebut pada masa ini masih berada di bilik mayat Hospital RIPAS Bandar Seri Begawan.
Jawapan: Balasan Allah Terhadap Pembunuh
Pertama-tama sebelum saya menjawab pertanyaan di atas, saya merasa sangat berdukacita di atas kejadian yang berlaku ke atas kanak-kanak damit yang telah ditemui mati di kawasan dalam tandas awam Pekan Tutong. Kejadian ini bukanlah pertama kali berlaku di negara ini. Ini suatu pertanda atau isyarat betapa tidak berperikemanusiaan dan rendahnya moral orang yang melakukan perkara ini.
Adalah tidak jelas cara kematian kanak-kanak damit itu, sama ada secara tabî‘i seperti mati sebelum atau selepas dilahirkan - lalu diletakkan di kawasan tandas - atau mati dibunuh iaitu dengan cara membiarkannya begitu sahaja sehingga membawa kematiannya. Jika ternyata kematiannya kerana pembunuhan yang disengajakan maka pembunuh itu dihukum qishâsh.
Hendaklah diingat bahawa membunuh seorang mukmin termasuk tujuh dosa yang paling besar, hukumannya pula sangat berat dan keras sebagaimana firman Allah:
Tafsirnya: “Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan senghaja, maka balasannya ialah neraka Jahannam, kekal dia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.” (Surah An-Nisâ’: 93)
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa membunuh dengan senghaja itu akan dikenakan empat macam hukuman:
(i) Berkekalan di dalam neraka Jahannam. (ii) Kemurkaan Allah. (iii) Dilaknat atau dikutuk hidupnya. (iv) Azab yang sangat pedih dan keras yang akan disediakan oleh Allah baginya di akhirat.
Di antara hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang mengancam tentang dosa dan hukum ke atas pembunuh ialah:
Maksudnya: “Aku (Ubaidullah bin Abu Bakar) mendengar Anas bin Malik berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyebut dosa-dosa besar (atau Baginda ditanya mengenai dosa-dosa besar)”, jawab Baginda: “Menyekutukan Allah, membunuh manusia dan derhaka kepada kedua ibu bapa.” (Hadis riwayat Muslim)
Dalam hadis yang lain Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberi peringatan tentang tujuh perkara yang membinasakan yang perlu dijauhi, di antaranya disebutkan:
Maksudnya: “........ Membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan alasan yang benar.” (Hadis riwayat Muslim)
Di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh Mu‘âhad (orang yang telah mengikat persetujuan dengan pemerintah Islam), maka tidaklah si pembunuh itu akan mencium bau syurga. Sesungguhnya bau syurga itu (boleh dicium) sejauh perjalanan 40 tahun.” (Hadis riwayat Bukhari)
Jika seorang Muslim yang membunuh orang yang berlainan agama, yang telah mendapat perlindungan daripada pemerintah Islam, tidak akan mencium bau syurga, yang baunya boleh dicium dari jarak 40 tahun perjalanan, maka betapa halnya jika seseorang itu membunuh seorang Muslim.
Oleh sebab itulah ada di antara sahabat-sahabat Rasulullah yang berpendapat bahawasanya orang yang membunuh manusia dengan senghaja, bukan kerana menjalankan hukum dan bukan pula kerana keizinan membunuh di dalam peperangan, terutama membunuh seseorang Muslim, tidaklah akan diberi taubat oleh Allah.
Di antara yang berpendapat seperti ini ialah Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu. Walaupun pendapat ini dipertikai oleh jumhûr ulama, namun perkara membunuh tanpa alasan yang dibenarkan oleh syara‘ adalah amat besar risikonya, termasuk tidak diterima taubatnya mengikut pendapat di atas. (Tafsir Al-Qurthubi: 332-334)
Ibnu Qayyim berkata di dalam kitabnya Al-Jawâb Al-Kâfi: “Setelah nyata bahawa kezaliman dan sifat permusuhan sangat bertentangan dengan keadilan, yang mana dengan keadilan itulah semua langit dan bumi ini ditegakkan oleh Allah, dan kerana sudah terang pula bahawa Allah Ta‘ala mengutus rasul-rasulNya dengan diberi kitab-kitab suci untuk menegakkan keadilan di antara sesama manusia, maka kezaliman itu nyatalah termasuk yang sebesar-besar dosa besar, dan tingkat besarnya dosa itu ialah menurut besar bahayanya pada dirinya. Lantaran itu manusia yang membunuh anak yang kecil yang tiada berdosa adalah termasuk sekeji-keji kezaliman.” (Al-Jawâb Al- Kâfi h. 150)
Sebab itulah maka tersebut dalam surah Al-Mâ’idah, ayat 32:
Tafsirnya: “Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Isra’il, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.”
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Mas‘ud disebutkan bahawasanya kes perbicaraan yang mula-mula sekali dihakimkan di Hari Kiamat ialah perkara darah (pembunuhan). Pendeknya banyak lagi hadis lain yang mengecam perbuatan membunuh sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Melenyapkan dunia ini lebih ringan bagi Allah daripada membunuh seorang Muslim.” (Hadis Muttafaq ‘alaih)
Dalam riwayat yang dibawa oleh Ibnu Majah disebut:
Maksudnya: “Melenyapkan dunia ini lebih ringan ke atas Allah daripada membunuh seorang mukmin tanpa kebenaran hukum.”
Perbuatan membunuh tidak syak lagi adalah tidak berperikemanusiaan dan tidak bermoral. Dalam waktu yang sama, martabat kanak-kanak damit yang mati itu telah dijadikan lebih hina daripada binatang, kerana binatang yang mempunyai tuan, apabila ianya mati biasanya akan ditanam. Di zaman jahiliah, sebelum kedatangan Islam, kanak-kanak damit dibunuh dalam keadaan mereka ditanam hidup-hidup, ertinya dikubur dan tidak dibiarkan, seperti terbiarnya kanak- kanak damit itu.
Sekarang zaman jahiliyah telah berlalu. Kita hidup bukan di zaman jahiliyah, namun hati perut, otak dan perangai sebahagian masyarakat sekarang lebih jahat dan kejam daripada kelakuan orang zaman jahiliyah. Yang lebih malang lagi, kejadian membuang kanak-kanak damit tadi sehingga terbiar, lalu mati berlaku di negara yang pengajian dan penerangan mengenai hukum-hakam Islam tersebar luas, ditambah lagi dengan suasana keislaman yang wujud. Sepatutnya kejadian membuang kanak-kanak damit itu sukar dipercayai, bahkan tidak boleh terjadi.
Inilah serba sedikit curahan perasaan kita mengenai kejadian yang sangat mendukacitakan itu. Mudah-mudahan ianya menjadi perhatian dan tidak berulang.
Apakah Agama Kanak-Kanak Pungut?
Adapun mengenai agama kanak-kanak damit itu, dia dihukumkan Islam, kerana dia dijumpai di negara Islam. Kanak-kanak yang dijumpai dinamakan laqîth atau manbûdz. Ertinya, kanak-kanak kecil yang dipungut atau dibuang di jalan atau seumpamanya dengan tidak diketahui siapa ibu bapanya.
Perbuatan membuang kanak-kanak itu biasanya bertujuan untuk mengelakkan ketakutan daripada tanggungjawab keluarga, lari daripada tohmah yang menyangsikan atau tohmah zina - sehingga tidak diketahui ibu bapanya, atau ada sebab-sebab lain mengapa kanak-kanak itu dibuang.
Al-Imam An-Nawawi dalam kitabnya Minhâj Ath-Thâlibîn dalam bahagian Al- Laqîth telah menjelaskan kedudukan hal ehwal kanak-kanak yang dijumpai.
Ertinya: “Apabila didapati seorang kanak-kanak yang dibuang dalam negara Islam, dan di negara itu ada juga ahli dzimmi, atau didapati di negara yang dibuka oleh Islam dan orang-orang Islam menyukai negara itu dikuasai oleh orang kafir secara perdamaian, atau orang-orang Islam memiliki negara itu dengan orang-orang zimmi membayar jizyah, di dalam negara itu ada orang Islam, maka kanak-kanak yang dijumpai itu dihukumkan sebagai kanak-kanak Islam.
Adapun jikalau kanak-kanak itu dijumpai di negara kafir, maka dihukumkan kanak-kanak itu kafir, kiranya negara itu tidak didiami oleh orang Islam, akan tetapi jika dalam negara itu ada orang Islam seperti orang tawanan dan peniaga, maka dihukumkan kanak-kanak yang dijumpai itu sebagai kanak-kanak Islam menurut qaul al-ashah.” [Lihat Mughni Al-Muhtâj 3/572-573]
Sebagai maklumat tambahan mengenai agama seorang kanak-kanak, selain kanak-kanak pungut, telah dijelaskan oleh Al-Khathib Asy-Syarbini:
“Selain daripada Islam secara keturunan, kanak-kanak dapat dihukumkan sebagai Islam melalui dua sebab, dan kedua-dua sebab ini tidak dikenakan kepada kanak-kanak pungut:
Pertama: Sebab kelahiran (wilâdah).
Kedua: Kanak-kanak yang ditawan oleh orang Islam jika tidak bersama ibu atau bapanya.
Sehubungan dengan perkara di atas, maka akan dihuraikan apa yang berhubung dengan kelahiran (wilâdah) sahaja:
(a) Apabila salah seorang daripada kedua ibu bapanya beragama Islam semasa kanak-kanak itu masih dalam kandungan lagi, maka dia dihukumkan Islam dengan ijmâ‘ ulama dan ini kerana mengutamakan Islam. Maksud kanak-kanak ini merangkumi kanak-kanak perempuan dan khuntsâ. Jika murtad ibu bapanya selepas berlaku persenyawaan benih mereka dalam kandungan adalah ianya tidak memberi apa-apa kesan terhadap keislaman janin itu.
(b) Kanak-kanak dihukumkan Islam ialah dengan sebab mengikut keislaman salah seorang ibu bapanya, kemudian apabila sesudah baligh dia menunjukkan sifat-sifat kufur, maka dia dihukumkan murtad, kerana pada asalnya dia adalah Islam zahir dan batin.
(c) Jikalau telah berlaku persenyawaan benih ketika kedua ibu bapanya masih dalam keadaan kafir, kemudian salah seorang daripada keduanya masuk Islam sebelum baligh anak itu, maka kanak-kanak itu adalah dihukumkan terus sebagai Islam dengan sendirinya, sama ada salah seorang daripda kedua ibu bapanya itu masuk Islam sebelum atau selepas kelahirannya, atau sama ada sebelum atau selepas mumayyiznya dan sebelum baligh anak tersebut. Ini disebutkan dalam firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka.”
(Surah Ats-Tsûr: 21)
Adapun jikalau salah seorang daripada kedua ibu bapanya itu masuk Islam selepas dia bâligh, maka dia dihukumkan kufur.
Perkataan Imam An-Nawawi: “Kemudian salah seorang daripada kedua ibu bapanya masuk Islam,” (dalam perkara c) adalah membawa kewahaman bahawa ianya hanya terhad kepada kedua ibu bapanya saja, tetapi sebenarnya bukan begitu, bahkan pengertian ibu bapanya di sini termasuklah juga nenek lelaki dan perempuan dan walaupun mereka tidak saling mewarisi.” (Al-Mughni 2/573-574)
Dengan keterangan di atas, jelaslah bahawa mayat anak damit yang dijumpai itu hendaklah diuruskan sebagai mayat orang Islam termasuk dikuburkan di perkuburan Islam, kerana ianya dijumpai atau dipungut di negara ini iaitu negara Islam, maka dia dihukumkan Islam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8333
