Hadiah Melalui Undian Bagi Pelanggan Yang Membeli Tiket
Soalan: Dengan hormatnya dipohonkan pandangan Pehin mengenai permohonan sabuah syarikat pelancongan bagi mendapatkan kebenaran mengadakan “Lucky Draw”.
Pihak pengurusan syarikat tersebut telah membuat keputusan mengadakan “Lucky Draw” (Cabutan Nombor Bertuah) di pejabat syarikat itu.
Tujuan utama promosi ialah untuk menarik ramai pelanggan dan meningkatkan jualan. Ianya terbuka kepada semua pelanggan.
Mekanisme (cara pengendalian)nya adalah seperti berikut:
1. Setiap kali pelanggan membeli tiket daripada syarikat tersebut, mereka akan termasuk di dalam undian.
2. Undian akan dilakukan untuk mengenal pasti siapa pemenangnya.
3. 5 hadiah berbentuk wang tunai akan disediakan sebagaimana dinyatakan di bawah:
Hadiah Pertama - BND$1,000.00 Hadiah Kedua - BND$ 500.00 Hadiah Ketiga - BND$ 300.00 Hadiah Keempat - BND$ 100.00 Hadiah Kelima - BND$ 100.00
Jawapan: Mana-mana syarikat atau peniaga yang ingin memberikan hadiah kepada pelanggannya melalui cabutan undi adalah harus, dengan syarat ia (syarikat atau peniaga itu) tidak mengenakan sebarang bayaran kepada peserta atau pelanggannya untuk memasuki cabutan undi tersebut dan hadiah yang akan diberikan kepada pemenang bukanlah hasil daripada kutipan wang pelanggan misalnya, dengan menaikkan harga barang (tanpa disedari oleh pelanggan), bahkan hadiah itu hendaklah semata-mata daripada sumber penganjur sendiri atau pihak yang lain daripada pelanggan.
Kaedah melalui undian untuk menyelesai atau mengatasi suatu perkara memanglah ada dalam Islam. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila hendak bermusafir, Baginda akan mengadakan undian di kalangan isteri-isteri Baginda. Siapa yang keluar undinya dialah yang berhak untuk menemani Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam pemusafirannya itu. Tujuannya adalah untuk mencari keadilan di samping mengelakkan daripada rasa tidak puas hati di kalangan para isteri Baginda (jika ada).
Daripada penjelasan di atas berhubung dengan perkara yang diminta fatwa, maka adalah harus bagi mana-mana agensi pelancongan memberikan hadiah sama ada berbentuk wang tunai, tiket atau sebagainya dengan sebab membeli tiket di agensi atau syarikat berkenaan dan cara untuk memberikan hadiah itu ialah melalui undian, dengan syarat pelanggan tidak dikenakan sebarang bayaran kerananya (kerana hadiah itu), dan tiada terdapat sebarang unsur judi seperti pertaruhan atau seumpamanya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8337
