Harta Sepencarian
Soalan: Kaola ada memohon perumahan negara pada tahun 1985 hasil perkongsian hidup bersama bekas isteri. Permohonan tersebut telah diperkenankan pada tahun 1994. Oleh kerana jodoh kami tidak berpanjangan kami bercerai pada 13/8/1994.
Sehubungan dengan itu saya bernikah dengan isteri kedua pada 20/4/1997. Pada 5/8/1998 saya telah dipanggil untuk mencabut undi bagi penetapan rumah berkenaan. Oleh kerana isteri mempunyai tanah waris yang boleh menjejaskan permohonan perumahan yang baru dapat, maka kaola meminta pandangan dari segi hukum syara‘:
i. Adakah bekas isteri dan anak-anak berhak rumah berkenaan dari segi harta sepencarian selama perkongsian hidup kami, walaupun sudah bercerai?
ii. Memandangkan pernikahan saya dengan isteri kedua baru 1 tahun lebih, adakah isteri ini berhak dari segi harta sepencarian rumah di perumahan negara yang baru diterima pada 5/8/1998 sedangkan segala pembayaran balik rumah itu ditanggung oleh saya sendiri?
iii. Merujuk persoalan no. 2, isteri ketika ini mempunyai tanah waris (tanah sudah berpecah) pemberian ayahnya. Apakah tanah waris itu dikira milik bersama?
Dengan adanya jawapan daripada Pehin dapatlah ianya difahami sebagai satu sandaran bagi kaola bila-bila masa.
Jawapan: Jika dilihat kepada latarbelakang permasalahan ini, difahami bahawa isteri pertama telah diceraikan oleh suaminya pada 13 Ogos 1994. Kemudian suami bernikah dengan isteri kedua pada 20 April 1997. Suami dipanggil bagi tujuan pencabutan undi untuk penetapan rumah pada 5 Ogos 1998.
Maka, pada menjawab permasalahan yang Awang hadapkan adalah seperti berikut:
i. Rumah yang diberi oleh kerajaan atas nama suami pada 5 Ogos 1998 adalah hak suami. Rumah tersebut tidak dianggap sebagai harta sepencarian kerana segala pembayarannya daripada wangnya sendiri ditanggung oleh suami. Harta sepencarian itu ialah harta yang diperolehi atas usaha bersama suami isteri. Walau bagaimanapun jika peraturan perumahan kerajaan yang berkenaan membenarkan suami menyerahkan rumah yang telah ditetapkan baginya itu kepada bekas isteri dan anak-anaknya, maka itu tiadalah halangan pada hukum syara‘. Dalam Islam suami masih bertanggungjawab memberi nafkah kepada anak-anak yang di bawah jagaan bekas isterinya selama mana anak-anak tersebut masih di bawah tanggungan.
ii. Rumah yang didapat atas nama suami dan dibayar olehnya sendiri adalah hak suami. Ia tidak dianggap sebagai harta sepencarian sama ada bersama dengan bekas isteri ataupun dengan isteri yang baru, kerana kedua-duanya tidak terlibat langsung dengan sebarang perbelanjaan dan pembayaran balik rumah itu, melainkan sepenuhnya semata-mata ditanggung oleh suami sendiri seorang dirinya.
iii. Tanah waris yang diperolehi isteri daripada bapanya adalah hak peribadi isteri itu. Tanah tersebut tidak termasuk dalam harta sepencarian. Isteri adalah berhak sepenuhnya ke atas tanah yang diwarisinya itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8341
