Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Menerima Derma Hasil ‘Perlawanan Golf Amal’

Soalan: Satu perlawanan golf amal akan dianjurkan bersama oleh sebuah kelab dan syarikat tempatan dan hasil kutipan yuran perlawanan tersebut akan disumbangkan kepada Dana Anak-Anak Yatim oleh kelab tersebut.

Sehubungan dengan ini kaola bagi pihak Dana Anak-Anak Yatim memohon pandangan daripada Pehin sama ada hasil kutipan tersebut dapat diterima sebagai sumbangan kepada Dana ini atau tidak.

Jawapan: Berusaha melakukan kebajikan dan tolong menolong adalah perkara yang digalakkan dalam Islam. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah Al-Mâ’idah: 2)

Antara amal kebajikan tersebut termasuklah membantu anak-anak yatim seperti menghulurkan derma berbentuk wang. Perkara yang perlu diambil perhatian dalam pemberian derma ialah niat penderma. Penderma-penderma mestilah menghulurkan derma itu dengan ikhlas kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala agar ia mendapat pahala seperti mana yang dijanjikan dalam firmanNya:

Tafsirnya: “Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka daripada limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya).” (Surah Fâthir: 29-30)

Dalam memenuhi tuntutan amal kebajikan itu pula, semestinya derma yang diberikan itu adalah dihasilkan daripada sumber yang baik, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Ta‘ala itu baik, Dia tidak terima melainkan yang baik.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis di atas jelas menggambarkan kepada kita tentang perlunya berusaha mencari rezeki yang halal bukan sahaja untuk kegunaan diri sendiri bahkan apa juga yang diberikan, disedekahkan atau dihadiahkan kepada orang lain mestilah benda-benda yang baik kerana ia berkaitan dengan ganjaran pahala daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Kerja-kerja yang berkebajikan seperti memungut atau mengumpul derma itu disebut sebagai kerja ‘amal’.

Perkataan ‘amal’ itu berasal daripada perkataan Arab iaitu عَمَل yang bermaksud ‘perbuatan’ atau ‘kerja’. Perkataan ini akhirnya lumrah digunakan dalam bahasa Melayu yang memberi erti kerja-kerja kebajikan. Menurut Kamus Dewan, amal itu diertikan sebagai perbuatan baik yang mendatangkan faedah kepada orang lain. Bersedekah ialah satu daripada amal kebajikan. Amal jâriah pula diertikan sebagai perbuatan yang diredhai Allah untuk kepentingan atau faedah masyarakat seperti berderma, menolong orang dalam kesusahan dan lain-lain.

Daripada pengertian di atas, rata-rata masyarakat berfahaman bahawa apa jua kerja-kerja amal itu tersirat di dalamnya niat untuk mendapatkan ganjaran pahala daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Di akhir-akhir ini, telah timbul kecenderungan dan semangat yang tinggi daripada berbagai pihak yang ingin mengungkayahkan kerja-kerja amal bagi menggalakkan orang ramai terlibat sama melakukannya. Berbagai aktiviti telah dirancang seperti larian amal, pertunjukan amal, nyanyian amal, konsert amal dan sebagainya dengan harapan sumbangan kerja itu mendapat ganjaran pahala daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Menurut Islam ganjaran pahala itu akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada sesiapa sahaja yang melakukan kerja-kerja kebajikan dengan syarat perbuatan tersebut adalah ikhlas semata-mata kerana Allah. Ini ditegaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsrinya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Patutkah kamu (hai kaum Yahudi dan Nasrani) membuat bantahan terhadap kami mengenai pilihan Allah dan pengurniaanNya? Padahal Dialah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami (faedah) amal kami dan bagi kamu pula (faedah) amal kamu (kalau diikhlaskan), dan kami adalah (mengerjakan amal dengan) ikhlas kepadaNya.” (Surah Al-Baqarah: 139)

Selain itu, kerja amal tersebut hendaklah tidak dicampur dengan perkara-perkara yang diharamkan oleh syara‘ atau perkara-perkara yang syubhah. Perkara yang berkebajikan itu apabila dilakukan melalui jalan-jalan yang haram, maka ia akan menjadi haram. Contohnya orang berjudi di mana hasilnya untuk diberikan sebahagiannya kepada masjid, atau kepada badan-badan kebajikan dan lain-lain seumpamanya. Sekalipun tujuannya itu baik iaitu beramal kebajikan, tetapi jalan untuk mencapainya melalui perbuatan yang ditegah oleh syara‘ maka ia menjadi haram.

Begitu juga halnya dengan derma seperti derma kepada anak yatim. Wang yang akan didermakan hendaklah wang yang halal kerana tujuan berderma itu ialah membuat amal kebajikan dengan mengharapkan amal tersebut diterima oleh Allah dan mendapat ganjaran pahala. Firman Allah:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu senghaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.” (Surah Al-Baqarah: 267)

Berderma juga perlu kepada pengorbanan yang tinggi kerana kadang-kadang ketika diminta berderma kita terasa sayang terhadap barang atau wang yang kita dermakan. Tetapi itulah kebajikan yang sebenarnya kerana sifat sedemikian menunjukkan kita tidak mementingkan diri sendiri. Firman Allah:

Tafsirnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Surah Ali ‘Imran: 92)

Derma yang sebenar itu ialah dikeluarkan semata-mata mengharapkan keredaan Allah bukan kerana lain-lain atau perkara-perkara sampingan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatmelainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan daripada harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.” (Surah Al-Baqarah: 272)

Inilah konsep derma yang sebenar mengikut Islam. Adapun istilah-istilah seperti larian amal, persembahan amal, permainan amal dan sebagainya itu hendaklah dilihat sejauh mana yang dikatakan amal-amal itu selaras dengan syara‘. Jika tidak, ia lebih meniru kepada konsep yang direka-reka oleh orang bukan Islam seperti berhibur sambil beramal, berbelanja sambil beramal, bersukan sambil beramal dan sebagainya.

Inilah beza antara konsep Islam dengan bukan Islam dalam perkara derma, kerana derma itu adalah sebahagian daripada ibadat. Perkara ibadat mesti dilakukan dengan tulus ikhlas. Hal ini digambarkan dalam firman Allah:

Tafsirnya: “Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Baqarah: 265)

Menyentuh tentang yuran perlawanan golf amal yang akan didermakan kelab itu adalah tertakluk kepada keadaan bagaimana perlawanan itu diadakan. Jika ia bercampur perkara-perkara yang diharamkan seperti adanya unsur perjudian:

Contohnya: A telah bertindak menjadi penganjur permainan. Selaku penganjur, A ingin mencari penaja yang boleh menyumbangkan hadiah untuk pemenang hole-in-one. Penaja ini kita sebut sebagai B. Maka B pun dapat diperolehi berupa sebuah syarikat penjual kereta yang telah menyatakan kesanggupannya untuk menyumbangkan sebuah kereta yang berharga $100,000/= sebagai hadiah kepada pemenang hole-in-one itu nanti.

B selaku penaja tidak mahu menanggung risiko kerugian sebanyak $100,000/= itu secara bersendirian. Oleh itu iapun mencari pihak ketiga (C) untuk membantunya mengurangkan beban kerugian tersebut, sehingga tidaklah akan sampai $100,000/= ditanggungnya sendiri jika berlaku ada pemenang hole-in-one. C ini sebuah syarikat insurans.

Maka perundingan tawar menawar di antara B dan C pun dibuat, di mana C telah bersetuju menerima bayaran daripada B sebanyak $30,000/= sebagai insurans, dengan pengertian, sekiranya terdapat pemenang hole-in-one itu, maka di atas C lah yang akan menanggung pembelian kereta berharga $100,000/= untuk dihadiahkan kepada pemenang, dalam makna C tidak untung apa-apa malahan akan rugi sebanyak $70,000/= lagi. Sementara B pula hanya rugi sebanyak $30,000/= (harga insurans yang telah dibayarnya kepada C tadi). Sebaliknya jika tiada terdapat pemenang hole-in-one itu, maka C lah yang akan untung cuma-cuma sebanyak $30,000/= sementara B sebagai penaja cuma rugi $30,000/= sahaja sebagai pertaruhannya membayar harga insurans kepada C.

Dalam kedudukan seperti ini sekiranya berlaku, maka tidaklah diragukan bahawa permainan itu telah dilibatkan dengan judi atau menjadi judi.

Maka hasil permainan seperti ini adalah haram. Jika tidak, ianya halal dan bersih seperti jika hadiah itu diperolehi daripada seseorang, yang dengan hartanya sendiri suka memberikan hadiah itu kepada pemenang secara hole-in one itu. Maka adalah ini harus sebagai hadiah biasa kerana berjaya dalam ujian kepandaian atau kebolehan, dengan syarat ianya tidak dicampur atau dilibatkan dengan maksiat.

Manakala pihak Dana Anak-Anak Yatim selaku badan yang menyelanggarakan kebajikan anak-anak yatim harus baginya menerima mana-mana juga derma yang diberikan kepadanya seperti kedudukan Baitulmal yang berfungsi menerima mana-mana harta yang diserahkan kepadanya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8393