Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Mengeluarkan Nama Daripada Geran Tanah

Soalan: Sukacita Jabatan ini memohon kepada pihak Pehin agar dapat memberikan penerangan atau nasihat yang bersesuaian dalam perkara memulangkan hak dari sudut pandangan Islam dan kemungkinan perkara-perkara yang berbangkit khususnya dalam perkara seorang isteri memohon untuk bercerai dan hendak mengembalikan semula sebidang tanah kepada bekas suaminya.

Semoga jawapan daripada pihak Pehin akan dapat membantu kelancaran dan penyelesaian permohonan pindah milik tanah tersebut.

Jawapan: Berdasarkan surat isteri tersebut kepada Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, yang disertakan bersama surat Pesuruhjaya Tanah menjelaskan bahawa tanah yang hendak diserahkan kepada suaminya itu (menurut si isteri) sememangnya bukan miliknya. Ia tanah waris suaminya. Dia terpaksa membubuh namanya di geran itu bagi membolehkan dia memohon ‘joint loan’ untuk membuat rumah loan kewangan kerajaan. Menurut beliau lagi, hakikatnya dia hanyalah memohon supaya namanya dipotong daripada geran tersebut supaya tanah berkenaan balik menjadi milik suaminya seorang sahaja dan bukan permohonan tukar milik kerana bukan tanahnya.

Dari keterangan di atas jelas bahawa nama si isteri yang tercatat pada geran tanah yang dimaksudkan bukanlah atas dasar pemilikan menurut syara‘, akan tetapi melalui helah, semata-mata untuk membolehkan permohonan ‘joint loan’ diluluskan. Maka adalah tepat sekali menurut hukum syara‘ nama yang bukan pemilik sebenarnya itu dikeluarkan daripada geran tanah berkenaan bagi mengelakkan perkara-perkara yang berbangkit di kemudian hari seperti masalah-masalah harta pusaka.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8402