Menggali Kubur Lama Di Tapak Tanah Persendirian Kerana Hendak Dibangunkan Rumah
Soalan: Dengan hormat dan sukacita kaola hadapkan suatu kemusykilan iaitu mengenai projek membangunkan rumah di Lot 13202 di Kampong Sungai Kelugos, Mukim Keriam yang masih dalam penangguhan di Jabatan Perancang Bandar dan Desa oleh sebab di tapak pembinaan rumah tersebut terdapat satu kubur lama yang jaraknya lebih kurang satu meter dari tapak pembinaan rumah tersebut. Kaola diarahkan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa Daerah Tutong untuk meminta kebenaran atau ulasan bertulis dari pihak Jabatan Mufti Kerajaan. Memandangkan kaola hanya memiliki sebidang tanah sahaja yang tersebut di atas dan juga kaola tidak dapat menuntut dan tidak mengetahui waris si mati, maka kaola berharap kepada pihak Jabatan Mufti Kerajaan untuk memberi penjelasan di atas kemusykilan yang kaola sertakan di bawah:
1. Adakah kaola dapat meneruskan membangun rumah di tapak pembinaan tersebut yang terletak lebih kurang satu meter sahaja dari kubur lama itu?
2. Tidakkah menjadi perkara berbangkit di masa akan datang, jika sekiranya kaola meneruskan membina rumah di tapak tersebut?
Kaola berharap semoga pihak Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin dapat memberikan ulasan dan pandangan bagi perkara di atas.
Jawapan: Menurut hukum syara‘ kawasan yang ada kubur itu adalah hak mayat yang ditanam di situ. Kawasan tersebut tidak boleh diganggu.
Menurut Al-Imam An-Nawawi dalam kitabnya Raudhah Ath-Thâlibîn, kubur lama yang dipercayai bahawa mayat yang ditanam dalam kubur tersebut telah hancur keseluruhan anggotanya menjadi tanah adalah harus dibongkar. Bahkan kubur tersebut tidak boleh dihidupkan jika ia di perkuburan awam (musabbalah) kerana hal ini menimbulkan sangkaan orang ramai seolah-olah kubur tersebut adalah kubur baru. Hal demikian akan menghalang orang lain ditanam di kawasan tersebut kerana menyangkakan mayat di dalamnya belum hancur. Demikianlah juga yang dijelaskan dalam kitab Fath Al-Wahhab 1/101.
Untuk mengetahui sama ada keseluruhan anggota mayat itu telah hancur atau belum, ia hendaklah dirujukkan kepada para pakar mengenainya.
Adapun kubur yang dipercayai bahawa mayat yang dikuburkan itu belum menjadi tanah keseluruhannya adalah haram membongkarnya kerana menghormati mayat berkenaan kecuali terdapat perkara-perkara yang dharûri (sangat memaksa) seperti mayat ditanam tidak menghadap kiblat, mayat ditanam sebelum dimandikan dan seumpamanya.
Walau bagaimanapun, jika sekiranya kubur berkenaan termasuk di dalam kawasan tanah milik seseorang, maka tidak mengapa kubur itu dipindahkan ke perkuburan awam.
Peristiwa pemindahan kubur dalam konteks seperti ini boleh diqiyâskan dengan peristiwa pemindahan kubur lama yang terdapat di kawasan yang akan dijadikan tapak Masjid Nabi. Peristiwa ini disebut di dalam sebuah hadis panjang yang antara lain berbunyi:
Maksudnya: “Wahai suku Najjar, kamu sebutkanlah kepadaku beberapa harga kebun kamu ini.” Mereka menjawab: “Tidak, demi Allah kami tidak meminta harganya melainkan daripada Allah.” Anas berkata: “Sepengetahuanku di dalam kawasan kebun ini terdapat pohon-pohon kurma, kubur orang-orang musyrikin dan bekas-bekas runtuhan.” Kemudian Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh supaya pohon-pohon itu ditebang dan kubur-kubur itu dibongkar serta bekas runtuhan itu diratakan.... (sehingga akhir hadis.)” (Hadis riwayat Muslim)
Ketika mensyarahkan hadis ini, Imam Muslim menerangkan bahawa peristiwa itu menunjukkan boleh membongkar kubur lama dan kawasan tanah yang terdapat pada kubur itu boleh dijual serta tanah itu tetap menjadi milik persendirian yang boleh diwarisi selama ia tidak diwaqafkan. (Syarah Shahîh Muslim 3/11)
Selain itu ada juga kuburan para sahabat yang dibongkar dipindahkan ke tempat lain, di antaranya ialah:
Ketika mengulas pendapat Abu Abdullah Az-Zubiri yang mengatakan boleh memindah kubur jika dilalui air atau keadaan tanahnya lembab, Imam Nawawi Rahimahullah berkata:
Ertinya: “Pandangan Az-Zubiri itu lebih ashah kerana di dalam Shahîh Al-Bukhari telah sabit daripada Jabir bin Abdullah Radhiallahu ‘anhuma bahawa dia mengubur bapanya dalam satu kubur bersama lelaki lain ketika terjadi Perang Uhud. Jabir berkata: “Hati saya tidak senang membiarkan dia dikubur bersama orang lain, maka saya keluarkan dia (ayah) setelah berlalu enam bulan, ternyata keadaannya masih seperti ketika saya menguburnya dahulu kecuali ada kerosakan kecil pada daun telinganya, saya mengeluarkannya dan memindahkannya ke kuburan sendiri.” Di dalam kitab Al-Ma‘ârif Ibnu Qutaibah dan lain-lain menyebutkan bahawa Thalhah bin Ubaidillah (salah seorang daripada sepuluh orang yang dijamin masuk syurga - Radhiallahu ‘anhum) telah dikubur selama tiga puluh tahun. Kemudian puterinya yang bernama ‘Aisyah bermimpi melihat Thalhah mengadu kuburnya ditakungi air, lalu ‘Aisyah menyuruh supaya kubur itu dibongkar semula, dan dia pun dikeluarkan dalam keadaan masih baik lalu dikuburkan di kampungnya di Bashrah.” (Al-Majmû‘ 5/273)
Rumah adalah suatu keperluan hidup kepada manusia lebih-lebih lagi mereka yang telah berkeluarga. Rumah merupakan antara perkara-perkara dharûriyyât dalam kehidupan. Tanpanya manusia tidak akan dapat hidup dengan sempurna. Lebih-lebih lagi jika seseorang itu tidak ada pilihan lain melainkan mesti juga membangunkan rumah di tanah yang ada terdapat kubur lama itu.
Melihat kepada kedudukan hak kubur yang wajib dihormati seperti tidak boleh (haram) dibongkar tanpa sebab syar‘i itu dan hak orang yang masih hidup seperti sangat memerlukan rumah, maka di sini dapat dilihat pertembungan dua hak yang berbeza; hak orang yang sudah mati dan hak orang yang masih hidup. Hak orang yang masih hidup (dalam konteks perkara di atas) hanya akan tercapai dengan memberi keutamaan kepada orang hidup itu lebih daripada orang mati. Jika bertembung dua kepentingan yang sama, maka terpaksa melanggar hak orang yang sudah mati, ertinya rumah mesti didirikan dengan mengenepikan hak kubur (jika ada).
Mengikut kaedah usul fiqh, jika dua perkara bertembung; maka perkara yang diperlukan lebih didahulukan kerana mashlahatnya yang lebih kuat sebagaimana yang disimpulkan dalam kaedah-kaedah berikut:
Ertinya: “Hajat (keperluan) ditempatkan pada kedudukan darurat, sama ada (keperluan) itu benumum atau khusus.”
Maksud darurat di sini ialah keadaan yang membolehkan seseorang melakukan sesuatu yang bertentangan dengan peraturan kerana adanya sesuatu bahaya.
Adapun maksud keperluan itu ialah keadaan yang menghendaki seseorang melakukan sesuatu yang tidak mengikut peraturan yang semestinya bagi menghindari kesukaran tetapi bukan menghindari bahaya. (Pindaan Qaidah Fiqh: 66-67)
Ertinya: “Hukum itu mengikut kemashlahatan yang râjih (kuat).”
Maksud kaedah ini ialah perlaksanaan hukum itu berdasarkan mana yang paling kuat mashlahatnya. (Qaidah-Qaidah Fiqh: 71)
Ertinya: “Apa yang diharamkan kerana menghalang terjadi perkara yang haram, ia adalah diharuskan kerana ada mashlahat yang kuat.” (Al-Qawâ‘id Al-Fiqhiyyah: 155)
Berdasarkan kaedah ini, oleh kerana kubur berkenaan berada di dalam kawasan tanah perseorangan, maka hak kubur itu boleh dilanggar dengan membongkarnya, kemudian memindahkannya ke perkuburan awam dan pelanggaran ini dibuat kerana adanya mashlahat yang lebih kuat dan diperlukan oleh orang yang masih hidup.
Di samping itu mengekalkan kubur berhampiran dengan rumah yang akan didirikan itu ditakuti akan terdedah kepada penghinaan. Jika ini berlaku, maka harus dipindahkan kubur itu ke tempat lain. Menurut fatwa Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Awang Ismail ini ‘Umar Abdul Aziz (Mufti Kerajaan Brunei) ketika diminta fatwa mengenai kubur di tapak projek Lapangan Terbang yang akan dibangunkan (13/68). Allahyarham Pehin mengatakan: “Apakala ditakutkan kubur-kubur akan terhina tiadalah berdosa pada memindahkan kubur-kubur itu ketika itu bahkan wajib jika kubur-kubur itu terhina bagaimana sahabat-sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memindahkan orang syuhadâ’ dari kubur-kuburnya kerana menjauhkan kubur-kubur itu dari kena basah.”
Berdasarkan keterangan-keterangan di atas maka bolehlah kubur berkenaan dibongkar dan dipindahkan ke tanah perkuburan awam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8406
