Menggunakan Alat-Alat Kepunyaan Masjid Dan Memindah Surah Yasin Yang Diwaqafkan Ke Masjid Lain
Soalan: Terdapat mesin ‘Photocopy’ di dalam masjid yang digunakan untuk mashlahat jemaah masjid dan hal-hal yang berhubung dengan ta‘mîr masjid dan beberapa unit komputer yang telah diwaqafkan oleh orang ramai untuk masjid. Permasalahannya:
1. Bolehkah mesin photocopy masjid tersebut digunakan untuk membuat salinan (copy) yang bukan untuk kegunaan masjid itu tetapi untuk Pejabat Hal Ehwal Ugama atau pejabat-pejabat lain yang tidak ada hubungan dengan masjid dan menggunakan kertas yang dimiliki oleh pejabat itu sendiri?
2. Bolehkah mesin photocopy masjid tersebut digunakan dengan cara membayar balik harga kertas dan penggunaannya seperti harga satu keping salinan 10 sen atau 5 sen?
3. Bolehkah komputer tersebut dimanfaatkan untuk yang lain seperti digunakan untuk urusan peribadi atau lain-lain yang tidak ada hubungan dengan masjid?
4. Jika komputer tersebut bukan atas niat waqaf tetapi untuk niat memberi sumbangan, adakah komputer tersebut boleh dipindahkan ke tempat lain?
5. Bolehkah memindahkan waqaf ke tempat lain, sebagai contoh orang berwaqaf buku Yâsîn untuk masjid Kampong Pandan, Kuala Belait tetapi dipindahkan waqaf buku Yâsîn tersebut untuk masjid Kampong Labi, Daerah Belait atau Daerah Tutong atas sebab-sebab kekurangan buku Yâsîn?
Jawapan: Jika mesin photocopy dan komputer berkenaan merupakan barangan waqaf, maka tidak ada halangan pada hukum syara‘ menggunakan mesin photocopy atau komputer berkenaan selain kegunaan masjid seperti pejabat-pejabat selama mana ia tidak disyaratkan oleh pewaqaf dalam lafaz waqafnya hanya untuk masjid semata-mata. Pegawai-pegawai masjid pula sebagai nazhîr dan penerima waqaf bolehlah mengambil manfaat daripada barangan tersebut, tetapi tidak boleh memilikinya, kerana pemilik sebenar telah beralih kepada hak Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Oleh yang demikian barangan yang diwaqafkan itu tidak lagi boleh dijual atau diwarisi atau diberikan kepada pihak lain. Walau bagaimanapun, pihak masjid sebagai nazhîr boleh mengambil manfaat dan mentadbirkannya dengan bijaksana pada perkara-perkara yang difikirkan mendatangkan kebajikan seperti menyewakannya di mana hasilnya ialah untuk tujuan pemeliharaan bukan perniagaan.
Pegawai-pegawai masjid perlulah menjaga dan menggunakan photocopy dan komputer itu dengan baik, cermat dan penuh amanah supaya manfaatnya bertahan lama dan dapat berpanjangan.
Sekiranya mesin photocopy atau komputer itu bukan barang waqaf seperti ia semata-mata sumbangan atau pemberian biasa, maka masjid berhak mempergunakannya sekalipun menjual atau memberikannya kepada pihak lain.
Adapun mengenai surah-surah Yâsîn yang diwaqafkan kepada masjid itu tidaklah boleh dipindahkan ke tempat yang lain seperti juga hukum barang-barang waqaf yang lain. Sebagai jalan penyelesaian, jika pihak masjid ingin membantu masjid lain yang memerlukan surah-surah Yâsîn, maka bolehlah ia (pihak masjid itu) memberikan atau menyumbangkan surah-surah Yâsîn yang biasanya diagihkan oleh pihak kerajaan semasa sambutan hari-hari kebesaran di masjid-masjid, kerana ia bukan merupakan barangan waqaf.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8410
