Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Menghadiri Upacara Pengkebumian Mayat Keluarga Atau Teman Yang Kafir Di Gereja

Soalan: Dengan hormat dan penuh takzim, sukacita dipohonkan Fatwa berhubung dengan menghadiri upacara pengkebumian mayat keluarga atau teman yang kafir di gereja untuk kegunaan dan rujukan Unit Kawalan Akidah dan Syariah, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Brunei Darussalam.

Pandangan dan penjelasan Pehin mengenai perkara tersebut adalah sangat-sangat diharapkan dan tidak lupa diucapkan ribuan terima kasih.

Jawapan: Daripada soalan yang dikemukakan terdapat dua perkara yang perlu dihuraikan terlebih dahulu sebelum memberikan rumusan dan jawapan. Pertama, berkaitan dengan mayat orang kafir dan kedua, berkaitan dengan hukum memasuki gereja.

Bermuamalah Dengan Orang Kafir

Agama Islam sangat tegas dan keras dalam soal mempertahankan akidah Islamiah. Namun, ia juga amat berlembut dan toleran dalam soal sosial dan kemasyarakatan, termasuk hubungan dengan orang yang bukan Islam, iaitu selama hubungan itu tidak menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal, dan tidak pula akan merosakkan aqidah Islamiyyah.

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

(Surah Al-Mumtahanah: 8)

Pengurusan Mayat Kafir Dzimmi

Berbuat baik dan berlaku adil kepada yang bukan Islam tidak dilarang oleh Islam, begitu juga berjual beli, saling berkunjung, menghormati mereka sebagai seorang makhluk dan sebagainya dari sudut pergaulan atau hubungan mengikut sukatan mujâmalah saja, bukan kerana memenuhi tuntutan acara keagamaan mereka.

Dalam hubungan ini jika ada kematian di kalangan mereka yang kafir dzimmi, bagaimanakah sikap orang Islam?

Perlu diketahui bahawa pada dasarnya kafir dzimmi itu dituntut supaya tidak menzahirkan atau mengiklankan penanaman mayat dan kematian mereka secara berterang-terangan.

Imam Nawawi berkata:

Ertinya: “Hendaklah disyaratkan ke atas ahli dzimmah supaya mereka menyembunyikan penanaman mayat mereka, dan tidak membawa mayat mereka secara terang-terangan”(Ar-Raudhah 10/333)

Dari pihak orang Islam pula, ada beberapa perkara yang tidak dibenarkan mereka itu melakukannya ke atas mayat orang kafir, antaranya ialah menyembahyangkannya. Ini adalah larangan secara mutlak, seperti kata As-Sayyid Al-Bakri:

Ertinya: “Haram menyembahyangkan orang kafir secara mutlak, tetapi harus memandikannya. Adapun mengkafan dan menanamnya pula adalah wajib jika dia kafir dzimmi atau mu‘amman atau mu‘âhad, tetapi kafir harbi dan orang murtad tidak wajib.” (I‘ânah Ath-Thâlibîn 2/108)

Begitulah antara perkara yang tidak boleh dan yang boleh dilakukan terhadap mayat kafir dzimmi dari sudut menyembahyangkan, memandikan, mengkafan dan menanamnya.

Mengiringi Mayat Orang Kafir Ke Kubur Adapun perkara takziah dengan menghadiri atau mengikutinya ke tempat penanaman, padanya ada dua keadaan, pertama, jika mayat itu keluarga terdekat, dan kedua, jika bukan keluarga.

Apabila dia keluarga terdekat, seperti isteri, jiran, teman rapat, maulâ dan hambanya, maka hukumnya tidak dilarang yakni harus.

Imam Nawawi sebagaimana dinukil oleh pengarang Al-Qalyubi wa ‘ûmairah berkata:

Ertinya: “Dan tidak mengapa orang Islam mengiringi mayat keluarganya yang kafir, yakni (hukumnya) tidak makruh.”(Qalyubi wa ‘Umairah 1/406)

Pengarang kitab Fath Al-‘Allâm memperjelas lagi pengertian keluarga itu, katanya:

Ertinya: “Dibolehkan bagi orang Islam mengiringi mayat keluarganya yang dekat yang kafir, seperti isterinya, jiran, teman rapat, maulâ dan hambanya.”(Fath Al- ‘Allâm 3/280)

Tetapi jika dia orang lain, bukan keluarga, maka hukumnya haram sebagaimana yang disebutkan dalam kitab yang sama berbunyi:

Ertinya: “Adapun selain mereka (selain isteri, jiran, teman rapat, maulâ dan hamba) adalah diharamkan sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Al-Qalyubi ‘ala Al-Jalâl.”(Fath Al-‘Allâm 3/380)

Di antara dalil keharusan itu ialah:

Maksudnya: “Diriwayatkan daripada Ali Karramallahu Wajhah, katanya: “Saya mendatangi Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu berkata: “Sesungguhnya bapa saudaramu yang sesat itu telah mati.” Maka Baginda bersabda: “Pergilah segera.”(Fath Al-‘Allâm 3/280)

Adab Ketika Menziarahi Mayat Orang Kafir

Walaupun begitu, etika ketika menghadiri mayat orang kafir tidaklah sama caranya dengan orang kafir sendiri yang turut hadir, sama ada sebelum dibawa ke kubur atau semasa membawanya.

Berikut ini dicatatkan beberapa riwayat yang ada kaitan dengan perkara ini.

Maksudnya: “Muhammad bin Al-Hasan bin Harun berkata: “Abu Abdullah ditanya: “Dan adakah dia boleh menghadiri mayatnya?” Beliau menjawab: “Ya, boleh, sebagaimana yang dilakukan oleh Al-Harith bin Abu Rubai‘ah di mana dia menghadiri mayat ibunya, dan dia hanya berada di tepi dan tidak berada di dekat mayat, kerana mayat itu dilaknat.”

Maksudnya: “Daripada Abdullah bin Ka‘ab bin Malik daripada bapanya: “Qais bin Syammas datang menemui Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, katanya: “Ibunya kebetulan mati sebagai seorang Kristian, dan dia ingin menghadiri mayatnya”, maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya: “Naiki kenderaanmu dan berjalanlah di hadapan mayatnya, kerana apabila engkau menunggang dan engkau berada di hadapannya, maka engkau tidak dikira bersamanya.” (Hadis riwayat Ad-Daraquthni)

Berdasarkan riwayat ini, kehadiran (takziah) di dalam majlis yang ada padanya mayat orang kafir hanya sekadar menunjukkan simpati saja dan tidak terlalu dekat dengan mayat, manakala ketika membawanya ke tempat penanaman pula, maka beradalah di hadapan mayat, bukan di arah belakangnya.

Simpati (takziah) yang ditunjukkan itu hanya sekadar mujâmalah saja dan kehadiran itu pula tidak sekali-kali dikaitkan dengan agama dan akidah, yakni kehadiran itu tidak kerana mengikut acara keagamaan mereka.

Dengan yang demikian bertakziah dengan menghadiri mayat orang kafir daripada kalangan keluarga atau teman rapat dalam batas-batas yang tidak termasuk dalam acara keagamaan mereka, adalah diharuskan.

Memasuki Gereja

Di dalam sesetengah kitab yang menghuraikan hukum-hukum yang berkaitan dengan kafir dzimmi ada disebutkan:

“Gereja-gereja mereka ini adalah tempat-tempat laknat, kemarahan dan kemurkaan turun kepada mereka di dalamnya sebagaimana kata-kata sebahagian sahabat:

Ertinya: “Jauhi oleh kamu akan orang-orang Yahudi dan Nashrani di dalam hari-hari kebesaran mereka, kerana kemurkaan turun kepada mereka.”

Selain daripada itu, gereja itu termasuk di antara rumah (tempat) musuh-musuh Allah dan rumah musuhNya pula adalah tidak layak dijadikan tempat beribadat kepadaNya.”(Lihat Ibn Qayyim Al-Jauziah, Ahkâm Ahl Adz-Dzimmah 3/1230-1231)

Apabila demikian halnya gereja itu, maka tidaklah elok bagi seseorang Muslim memasukinya tanpa sebab-sebab tertentu. Di dalam sejarah pembukaan Baitul Maqdis sebagaimana yang disebutkan oleh Al-Maqrizi, memang ada dicatatkan bahawa Sayyidina Umar Radhiallahu ‘anhu pernah memasuki gereja Al-Qumamah (Al-Qiyamah) dan sempat duduk di dalamnya dan apabila tiba waktu sembahyang, beliau keluar. (Lihat Muhammad Ridha, Al-Faruq: Umar bin Al-Khattab, h. 208). Tindakan Sayyidina Umar ini lebih banyak bermotifkan politik Islamiah yang pada masa itu agama Islam baru mula bertapak di kawasan Baitul Maqdis dan Umar sendiri memasukinya bukan kerana sukakan atau cenderung kepada gereja atau ajaran mereka.

Syarat-Syarat Memasuki Gereja

Hukum memasuki gereja dari sudut fiqh, mengikut ulama-ulama Syafi‘e adalah dibolehkan dengan beberapa syarat.

Antara syarat-syarat itu ialah ada kebenaran daripada pihak gereja dan di dalam gereja itu pula tidak terdapat gambar atau patung-patung yang dimuliakan seperti gambar atau patung yang disangkakan orang Nashrani sebagai gambar atau patung Nabi Isa ‘Alaihishshalatu wassalam, atau Sayyidatina Maryam dan lain-lain.

Jika syarat-syarat ini tidak terpenuhi, maka tidaklah harus memasukinya yakni haram masuk gereja dengan ada gambar-gambar atau patung-patung yang dihormati, yang diletakkan dalam gereja itu.

Ibn Hajar Rahimahullah berkata:

Ertinya: “Dan tidak harus memasuki gereja-gereja mereka yang boleh dikekalkan, kecualilah dengan ada izin kebenaran daripada mereka, iaitu selama di dalam gereja-gereja itu tidak terdapat gambar yang dimuliakan.” (Tuhfah Al-Muhtâj 9/295)

Imam Ali Asy-Syibramalissi Rahimahullah lebih tegas mengatakan hukumnya, katanya:

Ertinya: “Tidak harus bagi kita memasukinya, kecuali dengan izin kebenaran mereka, dan jika ada di dalamnya gambar-gambar, maka diharamkan sama sekali” (Hâsyiah Nihâyah Al-Muhtâj 8/99)

Termasuk juga syarat itu hendaklah masuknya itu tidak membawa kesan cenderung atau mengiktiraf kepada ajaran gereja atau akan membawa dia mempersenda Islam bersama-sama orang kafir sehingga boleh merosakkan akidahnya. (Lihat FatwaAbdul Halim Mahmud, h. 198)

Rumusan

Dengan memandang sepintas lalu huraian yang di atas, adalah dibolehkan ikut serta mengiringi jenazah orang kafir dari tempat kediaman asalnya sehingga sampai ke tempat penanaman, termasuk ke gereja yang sunyi daripada gambar dan patung-patung yang disebutkan. Akan tetapi perlu diingat bahawa orang Islam adalah haram menghadiri atau menyertai mana-mana acara peribadatan atau acara ajaran khas keagamaan agama lain, sama ada ia dilakukan di gereja, kuil, rumah atau di mana-mana tempat sekalipun.

Pengarang Iqtidâ Ash-Shirâth Al-Mustaqîm berkata:

Ertinya: “Apabila perkara itu termasuk daripada jenis amalan yang tergolong daripada agama mereka, atau syi‘ar (lambang) agama mereka yang bâthil itu, kesemua ini adalah diharamkan (menyertai atau menyerupainya). Kecuali jika amalan berkenaan bukan khusus daripada ajaran atau syi‘ar agama mereka.” (h. 167)

Mayat orang kafir (Kristian) yang dibawa ke dalam gereja bagi menjalankan upacara khas keagamaan adalah satu upacara yang hanya terdapat di dalam agama mereka saja dan ia menjadi salah satu syi‘ar atau tanda khusus bagi agama mereka, kerana mengikut hukum Islam, kematian di kalangan kafir dzimmi hendaklah mereka sembunyikan. Cara seperti ini tidak ada di dalam Islam dan bagi orang Islam sendiri tidak dibenarkan turut bersama mengikuti atau menyertai acara keagamaan mereka ini.

Dengan yang demikian, di dalam soal orang Islam datang ke gereja untuk hanya sekadar memberi takziah dan simpati kepada keluarga terdekat atau teman rapat adalah harus, iaitu selama tidak menyertai acara khusus keagamaan mereka dan di tempat itu tidak ada gambar atau patung yang dimuliakan sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Hajar dan Ali Asy-Syibramalissi itu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8414