Meninggal Dunia Sebelum Menerima Sumbangan
Soalan: Dengan penuh hormat dan takzim sukacita kaola memaklumkan bahawa Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah menyumbangkan pembinaan sebuah rumah di bawah Rancangan Bantuan Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada seorang perempuan.
Untuk makluman Pehin, perempuan berkenaan telahpun meninggal dunia pada 12 Oktober, 1999 dan Allahyarham tidak sempat mendiami rumah tersebut kerana ianya siap dibina sepenuhnya setelah Allahyarham meninggal dunia. Rumah tersebut didirikan di atas tanah bergeran yang dimiliki oleh Allahyarham sendiri. Tanah tersebut terletak di Kampong Labu Estate, Daerah Temburong dan ianya merupakan kurnia Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada Allahyarham di bawah Skim Penggeranan yang dikendalikan oleh Jabatan Tanah, Kementerian Pembangunan.
Untuk makluman Pehin jua, sebagaimana maklumat yang diterima daripada Ketua Kampong Labu Estate, Temburong bahawa Allahyarham tidak mempunyai waris yang berhak ke atas tanah dan rumah tersebut. Beliau hanya mempunyai anak-anak angkat yang tidak berdaftar. Allahyarham juga tidak pernah membuat sebarang wasiat secara bertulis semasa hidupnya mengenai dengan kedudukan tanah yang telah dikurniakan dan juga rumah yang akan dikurniakan.
Sehubungan dengan itu, sukacita kaola pohonkan jasa baik dan kerjasama Pehin kiranya akan dapat memberikan pandangan mengenai kedudukan tanah milik Allahyarham dan rumah bantuan Skim perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang diperuntukan kepada Allahyarham itu.
Jawapan: Apabila Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyumbangkan pembinaan rumah di bawah Rancangan Bantuan Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kepada perempuan tersebut, sama ada perempuan itu memohon rumah tersebut terlebih dahulu, kemudian dipersetujui secara rasmi oleh Yayasan, maka kecondorongan kita, skim seperti itu termasuk dalam kategori bantuan (tabarru‘). Tabarru‘ itu ialah seorang mukallaf membelanjakan harta atau wangnya atau memberikan suatu benda yang memberi manfaat kepada orang lain sama ada sekarang atau pada masa hadapan tanpa imbalan dengan tujuan kebajikan dan perkara-perkara baik (ma‘rûf) pada kebiasaannya. (Al-Mausû‘ah Al-Fiqhiyyah 10/65)
Walaupun rumah itu belum sempat didiami oleh tersebut, namun jika Yayasan telah berjanji, lebih-lebih lagi secara bertulis rasmi untuk memberikan rumah itu kepadanya, ini adalah satu tanda penyerahan kepadanya. Persetujuan perempuan tersebut untuk membenarkan rumah tersebut dibina di atas tanahnya juga merupakan penerimaan bantuan berkenaan. Qarînah-qarînah cara pemberian dan penerimaan seperti ini adalah memadai sekalipun tanpa lafaz.
Ibnu Qudamah menyebutkan dalam kitabnya Al-Mughni:
Ertinya: “Menurut qaul ash-shahîh: Muamalah secara al-mu‘âthâh ( perbuatan-perbuatan yang menunjukkan kepada îjâb dan qabûl itu adalah memadai atau mencukupi dan tidak memerlukan lafaz. Inilah qaul (pendapat) yang dipilih oleh Ibnu ‘Aqil, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menghadiahkan dan diberi hadiah, dan Baginda pernah memberi dan diberi. Baginda juga membahagi-bahagi dan mengagih-agihkan sedekah (zakat) dan memerintahkan para sa‘ie (pekerja atau petugas dalam perkara zakat) supaya membahagi-bahagi dan mengagih-agihkannya. Baginda ada menerima zakat. Para sahabat Baginda juga berbuat demikian. Tidak ada riwayat daripada mereka tentang wajib îjâb dan qabûl. Nabi tidak pernah memerintah sahabat Baginda dan mengajarkannya tentang wajib îjâb dan qabûl. Jika ini (îjâb dan qabûl) merupakan syarat, tentu ada riwayat secara periwayatan yang masyhûr daripada mereka. Ketika Ibnu Umar (Abdullah bin ‘Umar) menunggang unta kepunyaan ‘Umar, lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada ‘Umar: “Juallah unta itu kepadaku.” ‘Umar berkata (menjawab): “Dia (unta itu) untukmu wahai Rasulullah.” Rasulullah bersabda: “Dia (unta itu) untukmu wahai Abdullah bin ‘Umar. Buatlah dengannya sebagaimana yang engkau suka.” Tidak ada riwayat bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengucapkan lafaz qabûl daripada ‘Umar, demikian juga tidak ada lafaz qabûl daripada Ibnu ‘Umar (Abdullah bin ‘Umar) yang dia menerima daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Kalaulah ini (îjâb dan qabûl) menjadi syarat, sudah pasti Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam akan melakukannya dan Baginda akan mengajarkannya kepada Ibnu ‘Umar. Di samping itu Nabi tidak akan memerintahkannya (Abdullah bin ‘Umar) untuk membuat apa sahaja terhadap unta itu sebelum ada lafaz qabûl (penerimaannya) oleh Ibnu ‘Umar.” (Al-Mughni li Ibn Al-Qudamah 6/283).
Berpandukan pendapat di atas, maka dengan sempurnanya penyerahan dan penerimaan itu, rumah tersebut adalah milik perempuan tersebut. Oleh kerana perempuan itu telah meninggal dunia, rumah tersebut akan menjadi milik ahli-ahli waris kepada Allahyarham.
Jikalau Allahyarham telah diyakini tidak mempunyai ahli waris, maka segala hartanya termasuk tanah dan rumah sumbangan Yayasan itu, sekalipun belum sempat didiami akan berpindah menjadi milik Baitulmal. Dalam perkara ini ulama berkata:
Ertinya: “Mazhab yang empat telah sepakat bahawa harta yang ditinggalkan orang mati dan ia tidak mempunyai waris yang berhak menerimanya atau tidak ada wasiatnya, maka harta peninggalan itu diletakkan di Baitulmal.” (Al-Fiqh Al-Islâm wa Adillatuh 8/407)
Maka terserahlah kepada Baitulmal untuk mentadbir rumah tersebut, termasuk memberikannya kepada sesiapa yang difikirkan layak menerimanya, seperti anak-anak angkat kepada Allahyarham jika mereka (anak-anak angkat tersebut) adalah orang-orang yang layak itu. Dalam hal ini, Baitulmal juga boleh menjual rumah dan tanah berkenaan kepada sesiapa sahaja termasuk Yayasan sendiri.
Walaubagaimanapun, demi menghormati pendapat semua ulama fiqh, jika seorang atau mana-mana yayasan atau agensi hendak menyumbangkan hadiah atau memberi sesuatu kepada seseorang, maka hendaklah dilakukan dengan akad, dalam makna yang lain ada îjâb dan qabûl iaitu ucapan memberi dan ucapan menerima terhadap barang hadiah yang disumbangkan atau diberikan itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8418
