Menjumpai Barang Di Masjid (Luqathah)
Soalan: Terdapat beberapa barang yang telah hilang, tertinggal dan tercicir di masjid seperti jam tangan, kaca mata dan lain-lain lagi yang dipunyai oleh orang ramai telah dijumpai, tetapi tidak diketahui pemiliknya. Makluman mengenainya telahpun dibuat, tetapi tidak ada yang menuntut sehingga bertahun-tahun lamanya di dalam simpanan pihak masjid. Soalannya:
(a) Apakah yang harus dilakukan kepada barang-barang tersebut?
(b) Bolehkah barang-barang tersebut ditukar dengan wang ringgit dengan cara membelinya?
(c) Adakah barang-barang tersebut menjadi hak milik masjid dan bolehkah dijual dan wangnya di masukkan ke dalam tabung masjid?
(d) Adakah barang-barang tersebut boleh dijual kepada orang ramai yang ingin memilikinya, sedangkan hak milik yang sebenarnya tidak diketahui?
Jawapan: Barang yang hilang, tertinggal atau tercicir di masjid, di tanah lapang, di jalan raya atau seumpamanya disebut dalam bahasa arab sebagai luqathah (لقطة) (barang yang dijumpai). Menurut istilah ialah: “Barang atau benda yang dijumpai di jalan atau seumpamanya yang tidak diketahui siapa pemiliknya.” (Mu‘jam Lughât Al-Fuqahâ’: 393)
Dalil yang menunjukkan berlakunya hukum luqathah ialah hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, di antaranya hadis Zaid bin Khalid Al-Juhani Radhiallahu ‘anhu, bahawa Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam ditanya tentang luqathah emas dan perak, lalu Baginda bersabda:
Maksudnya: “Umumkanlah tali dan tutup barang temuan itu. Umumkanlah barang itu selama setahun. Jika engkau tidak mengumumkannya, hendaklah engkau simpan dan jadikan ia sebagai barang titipan (wadî‘ah) padamu. Kemudian kalau si empunya datang mencarinya pada suatu masa, hendaklah engkau memberikan barang itu kepadanya!” (Hadis riwayat Muslim)
Orang itu bertanya pula kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang unta yang sesat. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Apa perlunya menanyakan tentang unta. Biarkan unta itu! Unta itu ada bersamanya terompah dan sudah membawa minuman (yakni perutnya). Unta itu dapat mencari air sendiri dan boleh makan tumbuh-tumbuhan sendiri, sehingga ia ditemukan oleh pemiliknya.” (Hadis riwayat Muslim)
Orang itu bertanya lagi mengenai kambing. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Ambillah! kambing itu untuk jadi milikmu atau kepunyaan saudaramu atau untuk bahagian serigala.” (Hadis ini ditakhrîjkan oleh Bukhari dan Muslim)
Para ulama telah sepakat menetapkan bahawa mengambil barang luqathah itu adalah harus dalam semua keadaan.
Oleh kerana barang-barang luqathah itu menurut penanya dijumpai di masjid, dan telah diserahkan kepada pegawai-pegawai masjid serta tindakan memaklumkannya atau mengumumkannya sudahpun dibuat, namun masih tidak ada juga yang menuntut atau mencarinya, sampailah bertahun- tahun lamanya dalam simpanan. Maka berbangkit daripada ini, timbullah pertanyaan: Apakah yang harus dilakukan terhadap barang-barang tersebut?
Barang-barang luqathah tidak boleh menjadi hak milik masjid, kerana luqathah adalah barang amanah atau wadî‘ah, ia serupalah dengan amanah-amanah yang lain. Tetapi pegawai-pegawai masjid yang memegang barang-barang luqathah itu adalah pemegang amanah, mereka boleh menjualnya, dengan wangnya dimasukkan ke dalam tabung masjid, tetapi akan menggantinya seandainya si pemilik barang itu datang menuntutnya.
Sama ada luqathah itu hendak dimiliki atau disimpan, ianya wajiblah diumumkan. Inilah pendapat yang dianggap shahîh oleh Imam Haramain dan lain-lain ulama. Imam an-Nawawi berkata: “Pendapat inilah yang lebih kuat dan dipilih.”
Jika hendak memiliki luqathah itu ia hendaklah mengumumkan selama setahun di pintu-pintu masjid iaitu tempat di mana luqathah itu dijumpai berdasarkan hadis:
Maksudnya: “Aku (Abu Hurairah sebagai periwayat hadis) pernah menemukan satu kantong berisi seratus dinar, lalu aku membawanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Baginda bersabda: “Siarkan (maklumkan) barang yang engkau temukan itu selama setahun!” Aku pun menyiarkannya selama setahun. Kemudian aku menghadap lagi kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda bersabda: “Umumkanlah selama setahun!” Aku menyiarkannya selama setahun. Lalu aku menghadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda bersabda: “Umumkanlah selama setahun!”. Kembali aku menyiarkannya selama setahun dan sesudah itu aku menghadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk kali yang keempat. Baginda bersabda: “Ketahuilah tentang bilangannya, tali dan wadahnya. Apabila yang empunya datang, berikanlah! Kalau tidak, engkau boleh memanfaatkannya dengan senang.” (Hadis riwayat Bukhari)
Pada masa dahulu pengumuman luqathah itu hendaklah di pintu-pintu masjid ketika orang ramai keluar dari masjid dan juga di pasar-pasar, kerana masjid dan pasar itu merupakan tempat ramai orang berkumpul. Mungkin ada pemilik luqathah di situ. Begitu juga pengumuman hendaklah dibuat di tempat luqathah itu ditemui, sebab pemiliknya tentu akan mencari di tempat itu. Pada masa ini pengumuman mengenai barang-barang yang dijumpai boleh juga dibuat melalui akhbar. Cara ini mungkin lebih berkesan.
Bolehkah Mengumumkan Barang Hilang Di Dalam Masjid?
Khusus mengenai luqathah di masjid, maka cara mengumumkan atau menyiarkannya ialah di pintu-pintu masjid, bukan di dalam masjid.
Imam Rafi‘i berkata: “Luqathah tidak boleh diumumkan di dalam masjid, sama halnya jika ada barang yang hilang tidak boleh dicari (ditanya ke sana ke sini sehingga menggangu orang lain) di dalam masjid. Hanyasanya Syeikh Asy-Syasi berkata: “Qaul yang ashah di antara dua qaul adalah boleh mengumumkan di dalam Masjidil Haram saja, berbeda dengan di masjid-masjid lain, hukumnya tidak boleh. Yang demikian juga telah dituturkan oleh Imam Nawawi dan Ibnu Rif‘ah. Dalam syarah Al-Muhadzdzab, Imam Nawawi menukil kemakruhan menyiarkannya di dalam masjid selain Masjidil Haram.
Ertinya: “Makruh bertengkar-tengkar dalam masjid, mengangkat suara dan melaungkan suara kerana mencari barang yang hilang dalam masjid, demikian juga (makruh) berjual beli, serta membuat kontrek upah mengupah dan lain- lain seumpamanya dalam perkara ‘aqd (kontrek). Inilah qaul (pendapat) yang shahîh lagi masyhur.” (Al-Majmû‘ 2/203)
Adapun dalil makruh berteriak-teriak mencari barang tercicir (yang hilang) dalam masjid, berdasarkan hadis riwayat At-Tirmidzi:
Maksudnya: “Jika kamu melihat ada orang berjual atau membeli dalam masjid, maka kamu katakan kepadanya: “Allah tidak akan memberi untung ke atas perniagaan kamu.” Dan jika kamu melihat ada orang berteriak-teriak mencari barang tercicir (hilang), maka kamu katakan kepadanya: “Allah tidak akan mengembalikan (atau memulangkan) barang kamu yang hilang itu.” (Berkata Tirmidzi, hadis hasan)
Sabda Baginda lagi, daripada ‘Amr bin Syu‘ib daripada bapanya daripada datuknya:
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang berjual dan membeli dalam masjid, berteriak mencari barang tercicir (hilang) dalam masjid dan melagukan syair.” (Hadis riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Nasa’i. Berkata Tirmidzi: Hadis hasan)
Oleh itu, amalan menyiarkan atau mengumumkan barang-barang yang hilang (luqathah) di dalam masjid, adalah tidak selaras dengan arahan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Cara Mengumumkan Luqathah
Adapun cara yang betul mengumumkan barang yang dijumpai itu menurut Imam Haramain ialah dengan hanya menyebutkan sebahagian sifat-sifatnya (barang-barang itu) sahaja, bukanlah semuanya, supaya tidak sampai diakui oleh orang yang berbohong.
Seandainya semua sifat luqathah itu disebutkan sehingga diakui oleh orang yang berbohong, maka apakah orang yang menyiarkannya itu berkewajipan mengganti?
Ada dua wajh, Imam Nawawi menganggapnya shahîh kewajipan mengganti itu. Oleh itu, beliau berkata dalam kitab Al-Minhâj: “Orang yang mengumumkan luqathah hendaklah menerangkan sebahagian sahaja daripada sifatnya.”
Kekerapan Pengumuman Luqathah
Barang-barang yang dijumpai (luqathah) hendaklah diumumkan selama setahun. Tidak wajib berturut-turut. Seandainya orang menyiarkan selama dua bulan atau kurang atau lebih pada setiap tahun, itu sudah cukup. Inilah yang lebih shahîh menurut pandangan Imam Nawawi.
Sebahagian ulama pula berkata: Wajib berturut-turut, kerana yang dimaksudkan ialah supaya khabar tentang kehilangan itu dapat diterima oleh pemilik luqathah, sedangkan menyelang-nyelangnya tidak akan dapat menghasilkan maksud ini.” Pendapat inilah yang lebih baik, sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Al- Muharrar, dan ianya dianggap shahîh oleh Imam Haramain. Sementara apa yang dianggap shahîh oleh Imam Nawawi, dianggap shahîh pula oleh ulama Iraq.
Adapun meratai masa setahun dengan penyiaran/pengumuman itu tidaklah wajib. Melainkan orang yang memegang atau mendapat luqathah itu, mula-mula menyiarkannya sehari tiga kali, kemudian sehari sekali, kemudian seminggu sekali, kemudian sebulan sekali, sekira-kira tidak dilupakan bahawa penyiaran itu adalah mengulangi apa yang disiarkan pada hari-hari kelmarin.
Memiliki Luqathah Apabila orang menemukan barang itu tidak dapat menukarkannya menjadi wang lantaran terlampau sedikit seperti sebiji anggur kering dan semisal dengannya, maka tidaklah perlu diumumkan, dan orang yang menemukannya itu boleh memilikinya.
Apabila barang yang ditemukan itu dapat ditukar menjadi wang, tetapi hanya sedikit, maka menurut qaul yang ashah juga tidak usah diumumkan selama setahun, dan cukuplah menyiarkannya setakat kadar yang sekira-kira ada persangkaan bahawa orang yang kehilangan itu sudah tidak lagi memperdulikannya menurut kebiasaan.
Batasan yang disebut sedikit, iaitu barang yang sekira-kira orang yang menemukannya mempunyai dugaan kuat bahawa orang yang kehilangan itu tidak terlalu susah disebabkan kehilangan barang itu dan biasanya tidak akan mencarinya terlalu lama.
Apabila orang yang mengambil luqathah itu sudah menyiarkannya menurut yang diperlukan dan dia bermaksud memilikinya, dan telah tidak menemukan orang yang empu barang itu, maka bolehlah dia memilikinya dengan syarat jika yang empunya barang menuntutnya, dia akan mengembalikannya ataupun menggantinya.
Kalau orang yang menemukan itu telah memilikinya, maka luqathah itu menjadi barang hutang baginya. Jika luqathah itu rosak sebelum dimilikinya, maka dia tidak wajib mengganti, kerana luqathah itu dijaga untuk pemiliknya, sedangkan dia tidak cuai dalam menjaganya, sama dengan barang wadî‘ah.
Apabila seorang menjadikan luqathah miliknya, kemudian pemilik yang sebenarnya datang: Jika barangnya itu berupa barang yang ada bandingannya, maka haruslah dia mengganti dengan yang serupa dengannya. Jika tidak ada bandingannya, maka harus dia mengganti dengan harganya yang berlaku pada waku memiliki. Hal ini telah ditetapkan oleh Imam Rafi‘i dan lain-lain ulama. Dalam satu pendapat, harga yang berlaku ialah ketika pemilik barang menuntut barangnya.
Jika orang yang menemukan dan pemilik barang berselisih dalam masalah banyaknya luqathah, maka yang dibenarkan ialah orang yang menemukan, kerana orang yang menemukan itu ialah orang yang mengganti.
Andaikata luqathah itu tidak rosak, tetapi menjadi cacat, maka pemilik barang menerimanya kembali disertai tambahan menurut qaul yang ashah. Ada yang mengatakan bahawa cukup atau memadai menerima luqathah itu tanpa tambahan apa-apa. Ada pula yang mengatakan lain daripada itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8422
