Menukar Syarat Khas Tanah Daripada Pokok Getah Kepada Tanah Perkuburan Orang Bukan Islam
Soalan: Dengan hormat dimaklumkan bahawa permohonan telah diterima daripada Awang Lim dan keluarganya untuk menukar syarat tanahnya menjadi tanah perkuburan di Kampong Buang Sakar, Jalan Kasat, Daerah Brunei dan Muara.
Sehubungan dengan itu, Pengelola Kanan Tanah-Tanah Perkuburan Islam Kementerian ini telahpun membuat pemeriksaan ke atas tanah seluas 6.39 ekar yang terletak di atas bukit tinggi iaitu di sebelah kiri jalan Kasat dan di sebelah kanan jalan itu pula adalah Masjid Kampong Bolkiah ‘A’ yang baru siap dibina dan perumahan Kampong Bolkiah (di air).
Oleh yang demikian sebelum perkara tersebut dapat dipertimbangkan sukacita dipohonkan pandangan dan sebarang nasihat dari Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Mufti Kerajaan mengenai perkara yang dipohonkan itu.
Jawapan: Menurut hukum syara‘ - pada dasarnya - adalah harus bagi orang bukan Islam menjadikan tanah kepunyaannya sebagai tanah perkuburan khas bagi diri dan keluarganya, tertakluk kepada syarat bahawa tanah itu untuk tujuan pengkebumian sahaja, tidak kepada hal-hal lain yang bertentangan dengan syara‘. Contohnya seperti membina nisan yang biasanya mempunyai ciri-ciri khas bagi orang bukan Islam atau dibangun juga tok kong atau tempat bagi upacara pengkebumian atau lain-lain yang melambangkan syiar agama bagi orang yang bukan Islam itu.
Sebenarnya persyaratan kegunaan suatu tanah itu adalah perkara biasa bagi negara ini - sepanjang yang kita fahami- seperti jika suatu tanah itu bagi tujuan “khas”, maka tanah itu tidak boleh digunakan untuk yang lain selain yang “khas” itu sahaja, seperti disyaratkan tanah untuk pertanian, tidak boleh diubah sesuka hati oleh tuan punya tanah kepada membangun rumah pangsa, membangun sekolah, masjid atau seumpamanya. Peraturan-peraturan yang dipersyaratkan di dalam geran tanah itu wajiblah diikuti. Inilah hakikat yang difahami oleh pemohon supaya tanahnya yang tersebut di atas ditukar syaratnya kepada tanah perkuburan.
Oleh kerana tiap-tiap kaum atau penganut sesuatu agama itu telah dikhaskan tempat perkuburan mereka seperti tanah perkuburan untuk orang Cina, maka sepatutnya tidak timbul permohonan-permohonan persendirian khas untuk tanah perkuburan mereka. Ini belum lagi mengambil kira pandangan syara‘ terhadap upacara-upacara pengkebumian orang-orang bukan Islam sebagaimana penjelasan berikut ini.
Menurut Pengelola Tanah-Tanah Perkuburan Islam Kementerian Hal Ehwal Ugama bahawa tanah yang dimaksudkan itu terletak di atas bukit tinggi. Sementara mengikut catatan yang ada dalam plan “A” yang disertakan bahawa kedudukan tanah berkenaan bersetentangan dengan masjid. Berdekatan dengan masjid itu pula disediakan pula tapak khas untuk bangunan sekolah rendah. Berhampiran dengan tanah tersebut ialah tanah-tanah persendirian, kemungkinan dimiliki oleh kebanyakan orang Islam, yang tentunya sudah ada rumah atau suatu hari akan dibangunkan rumah-rumah. Tidak jauh daripada tanah itu juga terdapat rumah-rumah kediaman yang dibangunkan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Begitulah gambaran di sekitar tanah yang dipohonkan untuk tujuan perkuburan itu.
Oleh yang demikian alasan pemohon bahawa tanah tersebut jauh daripada rumah kediaman orang ramai atau tidak boleh dimajukan sebagai perumahan, tidak boleh diterima. Semua alasan-alasan pemohon itu hanyalah bersifat sementara. Keadaan masa hadapan akan menentukan. Kesukaran-kesukaran yang dihadapi sekarang akan dapat diatasi dengan berbagai-bagai kemudahan. Tanah-tanah yang dulunya hutan belantara atau seperti mustahil untuk dimajukan, kini boleh berkembang dengan segala macam pembangunan.
Kuasa teknologi dan kekuatan wang boleh merubah sesuatu yang akan datang yang sekarang ini tidak terfikir oleh kita. Dunia sekarang tidak lagi bersifat “mustahil”. Bahkan membina rumah di atas bukit bagi sesetengah orang yang mampu adalah suatu impian yang akan menjadi kenyataan, kerana kedudukan rumah di atas bukit itu akan lebih bertambah cantik dan menarik dengan pandangan di sekelilingnya. Demikian juga halnya dengan membina perkuburan di atas bukit.
Semua keadaan ini perlu diambil perhatian oleh pihak berkenaan dalam membuat keputusan mengenainya. Selain itu, pihak berkuasa mestilah meletakkan syarat-syarat dengan mengambil kira konsep sebuah negara Islam yang menjadi dasar pemerintahan negara ini di mana menurut hukum syara‘ orang-orang bukan Islam yang tinggal di negara Islam tidak boleh menzahirkan lambang-lambang yang berhubungkait dengan peribadatan, perayaan dan kepercayaan mereka.
Asy-Syeikh Muhammad Al-Khathib Asy-Syarbini, dalam kitabnya Mughni Al- Muhtâj mengulas tentang tidak boleh bagi orang bukan Islam menzahirkan upacara pengkebumian mereka terhadap orang Islam, katanya:
Ertinya: “Mereka juga dilarang menzahirkan upacara pengkebumian jenazah-jenazah mereka.” (4/323)
Di antara perkara yang berkaitan dengan suatu pengkebumian itu ialah membina atau meletakkan nisan. Bagi orang Islam, nisan itu sama ada dibuat daripada batu atau kayu, tidak lebih daripada suatu tanda bagi memudahkan orang-orang kemudian, khasnya sanak saudara si mati mengenali kuburnya (si mati) sewaktu menziarahinya. Nisan orang Islam pada dasarnya sangat mudah dan bersahaja, berlainan dengan nisan orang bukan Islam mempunyai perlambangan dan tanda-tanda syiar agama mereka yang jelas menonjol.
Apa yang hendak kita hubungkan dengan perkara nisan atau jirat ini ialah jika orang bukan Islam menzahirkan upacara pengkebumiannya dilarang, padahal upacara itu hanya sekali, sudah tentu jirat atau batu kubur (nisan) yang menunjukkan syiar bagi suatu agama bukan Islam itu adalah lebih-lebih lagi dilarang, kerana syiarnya berpanjangan atau akan kekal untuk masa yang lama.
Berdasarkan keadaan tanah yang dipohonkan itu berbukit, maka membina sesuatu objek seperti perkuburan pasti akan menonjol dan kelihatan megah. Oleh yang demikian, jika permohonan itu diluluskan, hendaklah dipersyaratkan supaya kawasan perkuburan itu didinding atau ditembok sehingga batu nisan atau jirat itu tidak dilihat atau tidak kelihatan. Akan tetapi sejauh mana pensyaratan itu dipatuhi, sukar diramal, lebih-lebih lagi setelah jarak masa yang lama di mana pegawai-pegawai atau pihak-pihak yang berkuasa lupa atau syarat-syaratnya dilupakan atau kuasa agama bertambah lemah.
Menurut Al-Khathib Asy-Syarbini bahawa termasuk perkara-perkara yang dilarang kepada orang kafir dzimmi itu ialah menzahirkan pembacaan mereka mengenai kitab Taurat dan Injil sekalipun dalam gereja-gereja mereka, kerana yang demikian itu daripada perkara-perkara keburukan dan menzahirkan syiar kekufuran. (4/323)
Jika perbuatan memperdengarkan bacaan itu dilarang, maka membina jirat atau nisan kubur yang ada lambang atau syiar bukan Islam itu juga dilarang, kerana ‘illah atau sebabnya sama sahaja iaitu memperlihatkan atau menampakkan syiar kekufuran.
Contoh lain tentang suatu larangan yang asal, namun ada lagi larangan-larangan lain yang tersirat di dalamnya, akan tetapi larangan yang lain itu tidak disebut sebagaimana firman Allah dalam perkara kedua ibu bapa:
Tafsirnya: “Maka janganlah engkau berkata kepada keduanya (ibu bapa) perkataan ٍ (Surah Al-Isrâ’: 23)
Ibarat nash ini menunjukkan tentang larangan supaya seorang anak jangan mengatakan ucapan yang kasar kepada kedua ibu bapanya sekalipun perkataan ٍ (ah!). ‘Illah (sebab) tegahan atau larangan ini, kerana perkataan ini mengandungi ucapan menyakiti dan memedihkan hati keduanya. Di sana sebenarnya bermacam-macam lagi perbuatan yang sangat menyakiti dan memedihkan hati selain perkataan atau ucapan ٍ أُف (ah!) itu, seperti memukul dan memaki tetapi tidak disebut oleh nash. Secara spontan dapat difahami bahawa apa jua perbuatan atau perkataan yang lebih menyakiti lebih berat kesannya daripada ucapan ‘ah’ tadi adalah haram. Ini kerana secara mudah difahami bahawa suatu larangan yang bersifat seperti ‘ah’ itu dihukumkan haram, maka lebih-lebih lagi haram hukumnya jika perbuatan atau perkataan itu lebih menyakiti hati kedua ibu bapa tadi. Inilah yang disebut dalam Ushûl Fiqh:
Ertinya: “Hukum secara mafhûm (sesuatu ketentuan yang difaham daripada manthûq) yang secocok yang tidak disebut, lebih utama daripada hukum secara manthûq (yang diucapkan).”
Maka dalam kes permohonan tukar syarat tanah itu hanya menyebut bagi tujuan perkuburan, sedang hakikat lainnya boleh sahaja menzahirkan upacara pengkebumian sebagaimana yang larangannya disebut oleh Al-Khatib Asy-Syarbini dalam kitab Al- Mughni di atas.
Perkara yang berkaitan dengan pengkebumian itu antaranya ialah meletakkan atau membina jirat yang walaupun tidak disebut oleh Al-Khatib Asy-Syarbini, namun ianya lebih haram lagi daripada upacara pengkebumian itu sendiri berdasarkan syiar kekufurannya yang lebih nyata dan lebih kekal berbanding dengan hanya setakat urusan pengkebumian sahaja.
Sekalipun dasarnya tanah berkenaan harus dijadikan tanah perkuburan khas, namun setelah disediakan tanah perkuburan untuk orang-orang Cina, maka permohonan khas seperti ini sepatutnya tidak lagi timbul. Di samping itu yang menjadi kerungsingan, keraguan, bahkan membimbangkan, ialah adakah munasabah keseluruhan tanah (6.39 ekar) itu hendak dijadikan tanah perkuburan? Sedangkan yang hendak dikubur hanya beberapa orang sahaja. Hatta setelah beberapa generasi sekalipun, keluasan 6.39 ekar itu adalah terlalu besar dan luas untuk hanya sebuah keluarga.
Tambah merungsingkan, kedudukan tanah berkenaan di atas bukit, bersempadan pula dengan tanah persendirian yang bergeran dan bersetentangan dengan kedudukan masjid yang menjadi tempat tumpuan peribadatan orang-orang Islam.
Mengambil sedikit peluang menegaskan kewajipan kita berkenaan dengan pengurusan tanah perkuburan bagi orang-orang bukan Islam itu, hendaklah ianya benar-benar dipastikan menjadi peraturan, bahawa tanah tersebut hanyalah bagi perkuburan semata-mata, tidak terdapat atau didirikan di dalamnya sebarang binaan seperti tok kong, rumah ibadat atau lambang-lambang yang mendokong dan menjadi tanda kemegahan agama anutan mereka.
Selain itu kawasan berkenaan didinding atau dipagar sekira-kira dapat menghalangi atau melindungi penglihatan orang ramai daripadanya.
Tindakan menghalang perbuatan menzahirkan perkara-perkara kufur seumpama ini bukanlah bererti agama Islam itu tidak bersifat toleran, tetapi ia adalah merupakan peraturan lazim yang mesti dipatuhi oleh orang bukan Islam yang bernaung di bawah pemerintahan Islam. Dengan pengkebumian secara biasa adalah sudah cukup menyelesaikan permasalahan kematian mereka sekalipun tanpa binaan-binaan yang menzahirkan syiar agama mereka.
Inilah ketetapan hukum Islam yang mesti diketahui dan dipatuhi oleh para pentadbir negara ini. Ketentuan hukum syara‘ perlu diambil perhatian yang sewajarnya selain mengikut peraturan-peraturan biasa. Bahkan ketentuan syara‘ itu sepatutnya menjadi dasar utama pertimbangan dalam apa-apa juga tindakan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8426
