Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Menyembelih Ayam Bekas Pemujaan

Soalan: Bolehkah dimakan ayam yang disembelih menurut Islam sedangkan ayam tersebut bekas digunakan bagi pemujaan dan kepercayaan satu puak yang tidak beragama Islam?

Misalnya, ayam tersebut sebelum disembelih oleh orang Islam menurut syara‘ telah dipuja melalui asap/kemenyan dan dihidangkan di atas asap pembakaran dan lain-lain.

Jawapan: Ayam adalah termasuk binatang yang halal dimakan, iaitu jika ia disembelih oleh orang Islam dengan mengikut kaedah yang telah ditentukan oleh hukum syara‘. Selain itu, yakni jika ia disembelih bukan mengikut hukum syara‘, maka tidaklah halal dimakan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum mati).” (Surah Al-Mâ’idah: 3)

Adapun pemujaan oleh suatu puak yang bukan beragama Islam, tidaklah akan mempengaruhi keharusan atau kehalalan memakan daging ayam tersebut, sekalipun ayam itu semasa hidupnya telah diasapkemenyankan dan asap kemenyan itu telah merubah rasa dagingnya. Kecuali perubahan daging ayam berkenaan disebabkan oleh kebanyakan makanannya terdiri daripada bahan-bahan najis yang disebut sebagai al-jallâlah (اِلاللة ).

Mana-mana binatang sama ada unta, lembu, kambing, itik atau ayam yang kebanyakan makanannya terdiri daripada bahan-bahan najis dan ia mempengaruhi daging-daging binatang berkenaan, maka hukum memakannya adalah makruh berdasarkan hadis riwayat Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang meminum susu binatang jallâlah.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Termasuk dalam larangan ini ialah memakan telur dan dagingnya sekali. Larangan ini tidak lebih daripada disebabkan oleh perubahan rasa dagingnya itu dan ini (perubahan rasa daging itu) tidaklah sampai membawa kepada haram. Akan tetapi jika binatang jallâllah itu diberi makan dengan makanan yang bersih, kemudian rasa dagingnya menjadi baik semula, maka tidaklah makruh memakannya. (Al-Muhadzdzab 2/873-874)

Demikian itulah juga menurut Imam An-Nawawi dalam Matn Al-Minhâj, bahawa daging seumpama al-jallâlah itu makruh dimakan. Ia hanya akan menjadi harus jika sebelum disembelih diberi makan dengan makanan yang bersih sehingga hilang bau busuk dagingnya itu. Ini bererti jika bau busuk dagingnya dapat dihilangkan dengan cara yang lain selain memberi makan dengan makanan yang bersih, maka pembersihan sedemikian itu masih tidak memadai.

Menurut Syeikh Muhammad Al-Khathib Asy-Syarbini, jika bau busuk daging berkenaan boleh dihilangkan dengan cara membasuhnya selepas disembelih atau dimasak, maka hukum makruh memakan daging tersebut tetap juga berkekalan, kerana cara pembersihan yang dikehendaki ialah binatang itu mesti diberi makan dengan makanan yang bersih sebelum disembelih. (Mughni Al-Muhtâj 4/384)

Mengenai dengan tempoh berapa lama atau berapa hari memberi makan dengan makanan yang bersih kepada binatang al-jallâlah supaya rasa dagingnya tidak berubah atau rasa dagingnya kembali baik adalah tidak sama di antara satu binatang dengan satu binatang yang lain. Asy-Syirazi umpamanya menetapkan tempohnya itu berdasarkan riwayat Ibnu Umar untuk haiwan unta ialah 40 (empat puluh) hari, kambing 7 (tujuh) hari dan ayam jantan atau itik 3 (tiga) hari. Sementara menurut pendapat An-Nawawi pula mengatakan: “Sahabat-sahabat kami berkata tidak ada tempoh tertentu bagi memberi makan dengan makanan yang bersih kepada binatang-binatang itu (al-jallâlah), sebagaimana tidak ada ketentuan masa berdasarkan kaedah-kaedah yang tetap bagi menentukan tempohnya. Ketentuan yang sebenarnya adalah bergantung kepada apa yang diketahui menjadi kebiasaan atau menurut jangkaan sekira-kira bau busuk (najis) itu telah hilang dengan sebab binatang itu makan dengan makanan yang bersih itu. (lihat Al-Muhadzdzab 2/873-874)

Oleh yang demikian, larangan yang timbul ialah apabila ayam itu pada kebanyakan makanannya adalah benda najis sehingga mempengaruhi dagingnya menjadi busuk. Adapun ia digunakan sebagai penyembahan oleh orang bukan Islam semasa hidupnya, tidaklah memberi apa-apa kesan kepada hukum asal binatang itu, yakni selama mana ia disembelih oleh orang Islam dengan cara mengikut hukum syara‘, adalah hukumnya halal dimakan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8430