Menyertai Kuiz Melalui Borang Berbayar
Soalan: Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa Radio televisyen Brunei akan mengadakan Kuiz Perayaan 2000 Sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam bulan Ogos 2000.
Kuiz ini akan mengemukakan 5-6 soalan mengenai sejarah di Negara Brunei Darussalam. Bagi membolehkan dan memudahkan jawapan diberikan pihak penganjur menyediakan borang khas.
Borang khas ini hanya akan diberikan kepada mereka yang ingin menyertai kuiz ini, jika dia membeli satu minuman tin yang berharga $1.00 sama dengan harga pasaran biasa. Jika peserta memerlukan 3 borang jawapan dia perlu membeli 3 tin minuman dan seterusnya.
Tujuan menjual minuman tin ini adalah bagi mengawal edaran borang supaya tidak dibuang begitu sahaja, dan orang ramai tidak akan meminta atau mendapatkannya melainkan mereka benar-benar hendak menyertai kuiz ini. Pada masa yang lepas, borang secara percuma diminta oleh orang ramai sesuka hati mereka dan jika tidak diberikan, menjadi satu kemarahan kepada mereka. Yang menyedihkan borang yang dipinta itu tidak digunakan oleh pemohonnya dan pihak yang tidak mendapat borang tidak dapat menyertai kuiz ni.
Hasil jualan minuman tin ini akan didermakan keseluruhannya kepada tabung amal yang memerlukannya.
Hadiah kuiz ini ialah: Pertama, sebuah kereta Proton Wira dan 9 hadiah lain.
Dengan ini dipohonkan ketetapan hukum bagi menjual minuman dalam tin yang berharga $1.00 bagi satu tin (harga pasaran biasa) dan setiap pembeliannya akan diberikan satu borang penyertaan Kuiz Perayaan 2000. Jika mereka tidak membeli minuman tin mereka tidak akan mendapat borang penyertaan.
Jawapan: Pertandingan kuiz ialah ujian tentang pengetahuan seseorang dengan mengemukakan soalan-soalan untuk dijawab, dalam makna suatu pertandingan untuk menguji pengetahuan seseorang (duga akal). Maka apabila seorang itu menang dan mendapat hadiah, hadiah yang diberikan kepadanya itu harus diterimanya.
Namun apabila penyertaan kuiz itu dengan bayaran, maka kemungkinan seseorang itu telah mempertaruhkan bayarannya, di samping ketepatan jawapannya untuk memenangi hadiah yang ditawarkan itu. Jadilah niat penyertaan dengan bayaran itu ada unsur-unsur perjudian.
Berdasarkan Kamus Dewan perkataan judi itu bererti permainan dengan memakai wang sebagai taruhan.
Dalam konteks Kuiz Perayaan 2000 sebagaimana yang diminta fatwa, peserta hendaklah mengisi borang yang diperolehi setelah membeli minuman tin seperti kata penganjur:
Borang khas ini hanya akan diberikan kepada mereka yang hendak menyertai kuiz ini, jika dia membeli satu minuman tin yang berharga $1.00, sama dengan harga pasaran biasa. Jika peserta memerlukan 3 borang jawapan dia perlu membeli 3 tin minuman dan seterusnya.
Apa jua permainan yang mengandungi unsur taruhan disebutlah ia judi, dengan memakai wang atau lain-lain sebagai taruhannya.
Adakah boleh dikatakan membeli minuman tin yang berharga, sama ada dengan harga pasaran biasa atau kurang daripada kedai yang dikhaskan, sebagai syarat mendapat borang itu dianggap wang taruhan?
Maknanya seseorang itu bukan berhajat kepada minuman tersebut, kerana barang minuman itu hanya boleh didapatinya di suatu tempat yang khas saja, tidak di tempat-tempat yang lain. Kalau benar-benar seseorang itu berhajat kepada minuman itu, dia bolehlah membelinya di mana-mana saja, tanpa bersusah payah mendapatkannya di tempat yang khas itu.
Jadi perbuatan membeli minuman di sini adalah sebagai helah saja. Contohnya: Bersiâsah atau membuat apa jua helah atau menamakan suatu perkara yang pada hakikatnya tidaklah mengubah perkara itu, seperti arak yang dinamakan dengan berbagai nama, namun hakikat arak tetap tidak berubah.
Maka helah dan bersiâsah seperti ini tidaklah akan menghilangkan hakikat sesuatu larangan itu. Inilah sikap kaum Bani Isra’il yang mendapat kemurkaan daripada Allah sebagaimana digambarkan dalam surah Al-A‘râf, ayat 163, apabila mereka membuat helah terhadap larangan menangkap ikan pada hari Sabtu.
Tafsirnya: “Dan bertanyalah kepada mereka (Wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan- ikan (yang menjadi cubaan kepada mereka) yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari yang lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka senantiasa berlaku fâsiq.” (Surah Al-A‘râf: 163)
Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa orang-orang Yahudi yang tinggal di tepi pantai yang terdiri daripada kaum nelayan dilarang menangkap ikan pada hari Sabtu, kerana hari Sabtu adalah hari istirahat bagi mereka. Pada hari Sabtu itu ikan-ikan timbul dipermukaan air dengan banyaknya, sedangkan pada hari-hari yang lain ikan-ikan itu tidak pula banyak seperti itu.
Melihat ikan dengan banyak pada hari Sabtu yang terlarang itu, maka orang-orang Yahudi yang lemah imannya, lalu membuat helah dan bersiyâsah melanggar larangan dengan menggali parit pada hari Jumaat supaya ikan akan masuk ke dalam parit tersebut pada hari Sabtu, dan ikan akan ditangkap pada hari Ahad.
Inilah helah orang Yahudi untuk menangkap ikan. Helah seperti ini dicela oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan sabdanya:
Maksudnya: “Jangan kamu berbuat (dosa) seperti perbuatan Yahudi, mereka menghalalkan terhadap larangan-larangan Allah dengan helah yang paling kecil.” (Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Abdillah bin Baththah dengan sanad yang baik dan diakui shahih oleh Tirmidzi)
Oleh kerana itu, hendaklah kita berhati-hati dalam melakukan suatu kegiatan yang zahirnya nampak cantik dan indah, tetapi berlawanan dengan hukum syara‘.
Helah-helah seperti ini terus dilakukan oleh orang-orang Yahudi. Contohnya apabila mereka dilarang menggunakan lemak-lemak bangkai binatang kerana najis, mereka masih berhujah iaitu boleh menjualnya dan memakan hasil jualan lemak-lemak berkenaan. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan RasulNya mengharamkan menjual arak, bangkai, babi dan patung.” Kemudian ada orang yang bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana (hukumnya) minyak lemak yang diambil daripada bangkai, kerana ianya dipakai untuk melumuri (mencat) sampan, meminyaki kulit dan dijadikan orang sebagai minyak lampu?” Baginda menjawab: “Tidak” (tidak boleh), ianya tetap haram.” Selepas itu Baginda bersabda: “Moga-moga Allah membunuh orang-orang Yahudi, sesungguhnya ketika Allah mengharamkan minyak lemak (bagi mereka), mereka pun memprosesnya, lalu mereka menjualnya dan memakan harganya.” (Hadis Muttafaq ‘alaih)
Sungguhpun orang-orang Yahudi tidak menggunakan minyak lemak binatang, kerana ianya haram, namun mereka menjualnya dan memakan hasil harganya. Siyâsah atau helah seperti ini tidak akan menghilangkan hakikat pengharaman itu, sama seperti orang berhelah bahawa biarpun dia tidak makan hasil keuntungan daripada judi, tetapi mereka menggunakan wang judi itu untuk membeli barang-barang seperti alat ganti kereta atau seumpamanya. Padahal maksud memakan itu juga termasuk memanfaatkan hasil wang keuntungan daripada perjudian itu, haram juga hukumnya.
Selain itu, persoalan menyertai kuiz ini adalah berkaitan dengan kedudukan niat orang membeli minuman tin itu:
(i) Jika seseorang membeli minuman, di samping itu ada pula tujuan lain untuk mendapatkan hadiah, maka perbuatan membeli yang sedemikian itu tidak digemari oleh ulama.
(ii) Sementara jika seseorang yang bukan tujuan asasinya membeli minuman, bahkan tujuannya yang sebenar semata-mata untuk mendapatkan hadiah yang ditawarkan, maka perbuatan seperti ini lebih jelas menuju kepada cara atau bentuk perjudian atau ada syubhah yang menghampiri perjudian. Walaupun asas kemenangan berdasarkan kepada ketepatan jawapan duga akal itu, namun semuanya ini bergantung kepada borang yang didapati secara bayaran setelah membeli minuman tin itu. Ini bererti dia tidak akan membeli minuman berkenaan jika tidak ditawarkan atau dijanjikan akan mendapat hadiah.
Perkara niat atau tujuan boleh merubah kedudukan hukum, dalam erti kata, dengan niat atau tujuan itu suatu hukum akan terjadi, sebagaimana kaedah fiqh:
Ertinya: “Segala perkara/urusan tergantung kepada niat atau tujuannya.”
Kaedah ini berasal daripada sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Hanya sanya segala amal itu dengan niat dan bagi setiap orang apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa hijrahnya kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa hijrahnya untuk dunia yang dia akan memperolehinya atau untuk perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang dia hijrah kepadanya itu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Apakah niat itu? Niat ialah qashd atau tujuan hati dan irâdah (kehendak hati). Dengan niat, dapat dibezakan antara amal ibadat dengan pekerjaan biasa atau antara jenis-jenis ibadat itu sendiri. Contohnya: Duduk di dalam masjid sama ada bagi tujuan beri‘tikâf atau tanpa tujuan, kedua-dua keadaan duduk itu adalah sama saja, hanya yang membezakannya ialah niat. Demikian juga, mandi merupakan suruhan syara‘, sama ada mandi wajib, mandi sunat atau mandi kerana kebiasaan. Keadaan mandi ini sama saja, tetapi yang membezakannya ialah niat.
Maka dalam perkara di atas, usaha mengadakan kuiz dengan mengisi borang yang berbayar melalui belian minuman tin, dengan cara sedemikian ini boleh mengundang orang ramai kepada perjudian. Melalui cara ini juga boleh mendorong seseorang untuk melakukan perkara syubhah perjudian. Mengelakkan atau menjauhi syubhah itu suatu tuntutan agama. Syubhah diperingatkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam boleh merangsang kepada perbuatan haram, kerana realitinya orang awam kurang faham tentang syubhah. Inilah maksud peringatan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam itu:
Maksudnya: “Orang yang memelihara dirinya daripada perkara-perkara yang syubhah itu, samalah seperti orang yang telah melindungi agamanya dan kehormatannya (daripada kata nista orang lain). Orang yang tergelincir ke dalam perkara syubhah itu akan tergelincir ke dalam perkara haram pula.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Di samping itu, hadiah yang dijanjikan itu sangatlah besar iaitu sebuah kereta, di samping hadiah-hadiah lain yang juga dikatakan istimewa. Sebahagian peserta mungkin lupa bahawa penyertaan kuiz ini adalah dengan mengisi borang berbayar melalui pembelian minuman dalam tin yang disyaratkan. Jadi pembelian minuman itu adalah suatu helah yang sangat halus untuk menyembunyikan tujuan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8435
