Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Menyewakan Lesen Restoran Kepada Orang Bukan Islam

Soalan: Apa hukum orang Islam menyewakan lesen kepada orang kafir untuk membuka sebuah restoran atau kedai makan, kemudian kedai tersebut diberikan nama-nama Islam yang indah dan melabelkannya halal (mungkin tanpa kebenaran dan pengetahuan pihak berkuasa) sedangkan tuan punya perniagaan itu sebenarnya adalah seorang yang bukan beragama Islam? Orang Islam hanya menyewakan lesen sahaja. Apa hukum orang Islam makan minum di kedai tersebut?

Jawapan: Lesen merupakan sijil atau dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa yang memberikan kebenaran kepada seseorang atau sesuatu pihak melakukan atau menggunakan sesuatu. (Kamus Dewan, Ed ke 3: 802).

Sesuatu lesen itu termasuklah seperti untuk berniaga, mendirikan bangunan, mendapatkan kawasan perindustrian dan sebagainya. Tanpa lesen tersebut, menjadikan perlakuan yang dilaksanakan bersalahan dari segi undang-undang dan boleh didenda.

Biasanya, pengeluaran lesen itu tertentu bagi suatu tempoh, seperti setahun, dan pemegang dikehendaki membaharuinya bagi membolehkannya meneruskan urusan tersebut. (Ensiklopedia Malaysiana 7/471)

Sudah setentunya penama yang tercatat di dalam lesen berkenaan saja yang dibolehkan atau dibenarkan oleh undang-undang untuk melakukan bagi apa lesen itu dikeluarkan, dan sebaliknya orang atau pihak lain yang tidak termaktub namanya pada lesen itu tidak ada hak berbuat demikian, dan jika dia melakukan juga apa yang tidak dibenarkan kepadanya, bererti dia telah menyalahi undang-undang.

Pengeluaran atau pemberian lesen kepada seseorang di atas namanya sendiri adalah berdasarkan persetujuan pihak pemberi/pengeluar lesen dan pihak penama. Lesen itu hanya berlaku menerusi syarat-syarat tertentu, seperti umpamanya lesen itu hanya berlaku dalam tempoh tertentu, hanya sah dan berfungsi bagi penama yang tercatat pada lesen dan sebagainya.

Syarat-syarat seperti ini tidak menyalahi hukum syara‘ dan setiap syarat seperti ini keadaannya wajib dipatuhi dan haram melanggarnya, sebagaimana yang disebutkan dalam hadis:

Maksudnya: “…Dan semua orang Islam di atas syarat mereka, melainkan syarat yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram.” (Hadis hasan shahîh, riwayat At-Tirmidzi)

Penerima atau penama lesen wajiblah mematuhi syarat yang berkaitan dengan hak pemilikan lesen itu, termasuk tidak menyalahgunakannya, seperti menyewakan kepada orang lain atau mempertaruhkannya.

Berdasarkan prinsip Islam, dalam perkara membenarkan pihak berkuasa menentu dan memberikan hak pemilikan tertentu selama ia mempunyai alasan yang kukuh demi untuk mencapai maslahat dan menghalangi daripada terjadi kemudaratan, maka persyaratan juga adalah termasuk dalam hal ini.

Oleh yang demikian, melanggar syarat-syarat yang telah dipersetujui itu adalah dilarang dan haram.

Selain daripada itu, kaedah yang termaklum iaitu mematuhi peraturan yang dikeluarkan oleh raja adalah wajib selama tidak membawa derhaka kepada Allah dan RasulNya.

Firman Allah:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘Ulil Amri’ (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” (Surah An-Nisâ’: 59)

Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Saya berpesan kepada kamu supaya kamu bertaqwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla, dan supaya kamu dengar dan taat kepada pemerintah kamu, sekalipun yang memerintah itu seorang hamba.” (Hadis diriwayatkan daripada Abu Najih bin Sariyah)

Dengan hal yang demikian menyewakan lesen berniaga kepada orang lain, termasuk kepada orang yang bukan Islam adalah salah dan membawa dosa jika perkara itu menyalahi syarat yang telah dipersetujui di antara pemilik lesen dengan pihak kerajaan semasa mula mendapatkan lesen itu, kerana agama Islam mewajibkan supaya mematuhi perjanjian dan syarat yang telah dipersetujui itu.

Ini membawa erti, orang Islam adalah ditegah menyewakan lesen yang dimilikinya kepada orang lain, lebih-lebih lagi orang kafir bagi membuka sebuah restoran.

Jika ada juga yang melakukannya (sedangkan menyewakan itu tidak dibenarkan oleh undang-undang), dan kemudian restoran itu pula diberi nama keislaman, serta diberikan label halal, padahal mengikut penanya, pengendali dan yang empunya restoran itu bukan orang Islam, maka di sini sudah terdapat penipuan dan bahkan ada unsur penghinaan terhadap Islam. Orang telahpun menjual agama dengan label-label yang bercorak Islam.

Adalah menghina Islam itu hukumnya wajib dicegah dan ditegah oleh kerajaan Islam. Sementara penipuan pula sangat-sangat dilarang dan hukumnya haram serta berdosa.

Dalil-dalil mengenai perkara ini akan dapat dilihat dalam huraian-huraian berikut ketika memperkatakan tentang etika peniaga Muslim.

Setiap orang Islam itu dikehendaki supaya berlaku jujur dan amanah dalam semua pekerjaan dan perusahaannya.

Ertinya, syara‘ telah melarang sama sekali bercakap dusta, menipu dan mungkir janji, atau menangguh-nangguhkan masa tanpa alasan-alasan yang wajar. Ia menyuruh supaya kita menunai dan menyempurnakan hak orang lain di dalam perkara-perkara muamalat seperti jual beli, sebagaimana etika yang indah itu ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di antaranya sabda Baginda:

Maksudnya: “Celaka bagi peniaga yang sentiasa berucap: “Ya, (kata jawab), dan demi Allah, dan demi Allah Tidak!” Dan binasalah pengusaha yang sering berjanji besok dan lusa.” [Ithâf As-Sâdah Al-Muttaqîn li Az-Zabidi 5/484]

Tugas Seorang Peniaga Adalah wajib atas peniaga untuk meninggalkan semua urusan jual beli (muamalat) yang tidak sah, yang haram atau makruh. Maka ke arah ini, peniaga itu mestilah mempelajari hukum syara‘ dan melengkapkan diri dengan ilmu fiqh, supaya dia dapat mengenal dan mengetahui syarat-syarat jual beli yang dibenar dan ditegah oleh Islam. Ini adalah wajib, tiada boleh diabai atau dicuaikan oleh setiap peniaga Muslim.

Berkata Sayyidina Umar Ibnu Al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu: “Tidak boleh menjual atau membeli di pasar, melainkan orang itu terlebih dahulu mengetahui hukum jual beli yang ditentukan oleh ilmu fiqh. Siapa yang tidak memenuhi syarat ini, dikhuatiri dia akan makan riba sedangkan dia tiada mengetahuinya.” Demikian pesanan Sayyidina Umar Ibnu Al-Khaththab kepada sekalian peniaga Muslim.

Apa yang dikatakan oleh Amirul Mukminin ini memanglah benar, kerana telah biasa berlaku perkara-perkara yang menyalahi syara‘, dilakukan oleh peniaga-peniaga Muslim, termasuklah di dalam perkara makan riba, sama ada ianya disedari ataupun tidak.

Dalam muamalat jual beli, peniaga hendaklah bersifat sempurna, berperilaku baik, tidak menganiaya dan sentiasa bertolak ansur. Jangan sekali-kali lokek atau terlampau berkira dalam serba-serbi. Sebab sifat-sifat yang baik itu akan menambahkan berkat dan melipatgandakan lagi pertumbuhan perniagaan.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Allah menurunkan rahmatNya ke atas hamba yang murah hati apabila menjual, murah hati apabila membeli, dan lunak hati apabila menagih hutang.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Maksudnya: “Kaum mukmin yang utama, ialah seorang yang murah haketika menjual, murah hati apabila membeli, dan lunak hati apabila menagih hutang dan murah hati ketika membayar hutang.” (Hadis riwayat Thabarani)

Jangan menjual atau membeli sesuatu kecuali dengan akad îjâb dan qabûl yang sah, kerana bertukar tangan dalam perkara jual beli tanpa adanya îjâb dan qabûl itu tidaklah memadai. Ianya hanya dibolehkan oleh setengah ulama pada benda-benda yang kecil-kecil yang tiada bernilai tinggi. Imam Ghazali juga dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulûmuddîn telah menghuraikan dengan panjang lebar mengenai hukum tukar tangan dalam perkara jual beli itu, dan dia telah mengharuskannya. Walau bagaimanapun jika jual beli itu dilakukan dengan îjâb dan qabûl, maka itu adalah lebih baik dan lebih terpelihara.

Larangan Menipu Dan Mengelirukan

Hendaklah peniaga itu berhati-hati, jangan sampai dia menipu, mengelirukan orang ataupun menutup dan menyembunyikan barang yang dia perjualbelikan, kerana yang demikian itu adalah sangat berat haramnya di sisi agama.

Banyak hadis yang menunjukkan menipu itu berdosa dan haram, di antaranya:

Maksudnya: “Sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan daripada golongan kami.” (Hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah)

Pada suatu hari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sedang lalu dekat dengan seorang lelaki yang menjual makanan (bijiran). Baginda memasukkan tangannya ke dalam tempat makanan itu. Apabila dilihat oleh Baginda makanan itu nampak basah, lalu Baginda bertanya: “Apa yang dilakukan oleh yang empunya makanan ini?” Lelaki itu menjawab: “Ianya terkena hujan.” Kemudian Baginda bersabda:

Maksudnya: “Mengapa tidak engkau letakkan yang basah itu di sebelah atas supaya orang lain dapat melihatnya? Sebab sesiapa yang menipu kami, dia bukanlah daripada golongan kami.” (Hadis riwayat Muslim, Ibnu Majah dan Tirmidzi daripada Abu Hurairah)

Riwayat yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sedang lalu dekat seorang yang menjual makanan, lalu Baginda bertanya: “Wahai yang empunya makanan, yang di sebelah bawah ini adakah sama seperti yang di sebelah atas?” Lelaki itu menjawab: “Ya, sama ya Rasulullah”. Kemudian Baginda bersabda: “Sesiapa yang menipu orang-orang Islam, maka dia bukanlah daripada golongan mereka.” (Hadis riwayat Al-Thabarani dalam Al-Kabîr dengan sanad riwayat yang dipercayai)

Sebagaimana yang difahamkan daripada hadis-hadis yang disebutkan, salah satu contoh penipuan yang diharamkan dalam bidang jual beli itu ialah memperlihat atau mempamerkan suatu barangan jualan daripada jenis yang terbaik, tetapi menyembunyikan atau ‘menutup-nutupi’ jenis yang tidak baik daripada jenis barangan yang sama dan dengan harga yang sama pula.

Lain-lain penipuan yang juga sangat ditegah ialah mengurangi sukatan atau timbangan ketika menjual kepada orang lain (pelanggan) tetapi menambah kadar sukatan atau timbangan ketika membeli daripada orang lain.

Perilaku seperti ini adalah dianggap suatu penipuan besar untuk mengaut keuntungan dan merugikan orang lain.

Al-Qur’an Al-Karim menyenaraikannya sebagai wasiat daripada beberapa wasiat (lihat ayat-ayat daripada beberapa surah yang berikut):

Tafsirnya: “Dan cukupkanlah sukatan dan timbangan dengan adil.” (Surah Al-An‘âm: 152)

Firman Allah Ta‘ala lagi:

Tafsirnya: “Dan cukupkanlah sukatan apabila kamu menyukat dan timbanglah dengan jujur lagi lurus.” (Surah Al-Isrâ’: 35)

Firman Allah Ta‘ala selanjutnya:

Tafsirnya: “Celakalah bagi orang-orang yang mengurangi, apabila mereka itu menyukat kepunyaan orang lain (membeli), mereka mencukupkannya, tetapi jika mereka menyukat untuk orang lain (menjual), atau menimbang untuk orang lain, mereka menguranginya. Apakah mereka tidak yakin, bahawa mereka akan dibangkitkan dari kubur pada suatu hari yang sangat besar,iaitu suatu hari manusia akan berdiri mengadap kepada Tuhan seru sekalian alam.” (Surah Al-Muthaffifîn: 1- 6)

Di samping itu Al-Qur’an juga telah menceritakan kisah suatu kaum yang tidak berlaku adil yang selalu berlaku curang ketika menyukat dan menimbang barangan semasa berjual beli.

Apabila kaum berkenaan diperintahkan oleh Allah Ta‘ala melalui lisan NabiNya, Syu‘aib Alaihissalam supaya mencukupkan sukatan ketika menyukat, jangan menjadi orang yang suka mengurangi sukatan, berlaku jujur ketika menimbang serta jangan mengurangi hak orang lain. Akan tetapi mereka masih tetap ingkar, maka Allah Ta‘ala telah menurunkan seksaNya kepada mereka dengan menimpakan bahang panas yang amat menyakitkan, di mana akibatnya merekapun binasa.

Di antara sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lagi mengenai dengan hal ehwal perniagaan itu ialah:

Maksudnya: “Kedua-dua penjual dan pembeli diberi pilihan selagi mereka belum berpisah dari tempat jual beli itu. Kiranya keduanya jujur, masing-masing menerangkan keadaan barang yang diperjualbelikan itu, nescaya diberkati jual beli itu. Kiranya keduanya berdusta dan menyembunyikan keadaan barang itu, nescaya terangkat berkat jual beli itu.” (Hadis riwayat Ahmad dan Mutaffaq ‘alaih)

Pendeknya tidak boleh menjual sesuatu barang yang cacat, kecuali sesudah dijelaskan kecacatan barang itu satu persatu. Kiranya tidak diterangkan kecacatan barang itu, dan ada pula di antara yang menyaksikan jual beli itu seorang yang mengetahui kecacatan barang itu, maka hendaklah dia menjelaskannya. Demikian menurut petunjuk daripada sebuah hadis, dan perkara ini dikira sebagai peringatan yang wajib.

Termasuk perbuatan haram itu juga ialah mencampurkan barang yang baik dengan yang tidak baik, serta menjualnya dengan satu harga. Perbuatan seperti ini, lazimnya dilakukan ialah untuk menipu atau mengelirukan si pembeli.

Demikian beberapa peringatan oleh Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam perkara muamalat jual beli yang tidak sunyi daripada tipu-menipu, bersumpah dan bercakap bohong. Ingatlah, bahawa perbuatan seperti ini boleh menghakis berkat.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memberikan peringatan keras kepada peniaga-peniaga dengan sabda Baginda:

Maksudnya: “Sesungguhnya para peniaga adalah orang-orang yang melakukan dosa.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, tidakkah Allah Ta‘ala telah menghalalkan jual beli?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Ya betul! Akan tetapi mereka bersumpah, akibatnya mereka berdosa, dan mereka bercakap, namun mereka juga berbohong.” (Hadis riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: “Sumpah itu menguntungkan perniagaan, tetapi menghapuskan berkat.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Sabdanya lagi:

Maksudnya: “Awas, jangan banyak bersumpah dalam berjual beli, sesungguhnya ia memang melariskan, tetapi kemudian menghilangkan berkat.” (Hadis riwayat Muslim)

Salah satu contoh penipuan dalam perniagaan itu, ialah apabila seorang Islam yang menjadi pemegang lesen restoran atau kedai makan, menyewakan lesennya itu kepada orang bukan Islam untuk menjalankan perniagaan di restoran berkenaan. Ini bererti dia telah menyeleweng dan tidak amanah terhadap suatu perkara yang diberikan kepadanya. Apabila pihak berkuasa pelesenan memberikan lesen restoran itu kepadanya, bermakna pihak berkuasa tersebut telahpun menilai sudut-sudut tertentu, sehingga diberikan lesen berkenaan berdasarkan syarat-syarat yang diperuntukkan.

Kemudian, setelah lesen itu diserah atau disewakan kepada orang bukaIslam, lalu orang bukan Islam itupun menanda atau melabel restoran atau kedai makan itu dengan nama-nama yang menunjukkan ianya seolah-olah dipunyai dan diurus oleh orang Islam. Maka sekali lagi orang Islam itu tiada terlepas daripada dosa, iaitu dosa menipu dan memperdaya orang-orang Islam sendiri. Dosa ini disebut dalam bahasa Arab sebagai al-ghishsh. Al-ghisysy itu menurut Az-Zawâjir adalah salah satu dosa besar. Hadis-hadis mengenainya banyak, antaranya ialah seperti hadis yang disebutkan di atas.

Hukum Penipuan Dengan Menyembunyikan Hakikat

Satu lagi jenis penipuan di dalam jual beli ialah menyembunyikan hakikat sebenar bagi sesuatu benda itu dengan tujuan untuk memperdaya. Ianya dikenali dalam fiqh Islam sebagai at-tadlîs, yakni menyembunyikan kecacatan pada barang yang menjadi tukaran dalam jual beli. Contohnya penjual menyembunyikan kecacatan barang yang hendak dijual seperti menyembunyikan keretakan dinding rumah dengan dicat atau disapu kapur, menyembunyikan kerosakan pada injin kereta dan menjual binatang sakit. Bagi pihak pembeli pula, menyembunyikan kecacatan yang ada pada mata wang, seperti mata wang emas yang tidak boleh dipakai lagi, atau yang telah hilang nombor sirinya.

Hukum penipuan seperti ini juga haram di sisi syara‘, yang telah disepakati oleh semua ahli fiqh, kerana Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Seorang Islam adalah saudara kepada seorang Islam yang lain. Tidak harus bagi seorang Islam menjual sesuatu kepada saudaranya, sedangkan barang itu cacat, kecualilah dia menjelaskan kepada saudaranya itu tentang kecacatannya.” (Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Al-Hakim)

Maka selain hukum berdosa seperti disebutkan terdahulu, juga jika sesebuah restoran itu dimiliki oleh orang Islam, tetapi disewakan untuk dikendalikan oleh orang bukan Islam, maka barang makanan yang dijual di restoran itu juga sudah menjadi syubhah. Makanan-makanan syubhah hendaklah dielakkan dan orang Islam jangan membeli dan makan di restoran itu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8438