Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳العقيدة

Model Berbentuk Patung Manusia

Soalan: Dengan penuh hormat memaklumkan Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei dalam usahanya untuk meningkatkan dan mempelbagaikan pengajaran dan pembelajaran kepada pelatih-pelatih pusat ini telah mengadakan satu kursus asas jahitan kepada sebahagian tenaga pengajarnya. Kursus tersebut dihasratkan sebagai persediaan untuk memberikan pengetahuan kepada mereka dan seterusnya menyediakan keperluan tenaga pengajar yang dapat mengajar asas jahitan sebagai salah satu mata pelajaran.

Salah satu keperluan peralatan kursus itu ialah model berbentuk patung manusia. Dengan adanya model ini, ia menjadikan kursus itu lebih praktikalm lagi. Selain daripada itu model itu juga akan dijadikan sebahagian pameran yang memperagakan pakaian tradisi Brunei (tenunan).

Sehubungan itu pihak pusat ini sukacita memohonkan fatwa berhubung penggunaan patung berkenaan.

Jawapan: Membina atau mengukir patung bagi objek yang bernyawa (ada baginya nyawa), sama ada manusia atau binatang secara lengkap dengan segala anggota tubuh badan serta ada baginya jism dan bayang, sekalipun patung itu tidak ada bandingan atau tidak pernah wujud, seperti kuda berkepak atau bersayap atau kuda berwajah manusia, sama ada diletakkan di tempat yang dihormati atau di tempat yang hina atau dihinakan, merupakan suatu dosa besar. Berlainan halnya jika ia dibuat untuk tujuan pendidikan atau sebagai alat pengajaran dan pembelajaran seperti patung sebagai mainan bagi kanak-kanak perempuan bagi tujuan pendidikan dan latihan untuk masa depannya sebagai ibu.

Patung atau mana-mana anggotanya untuk tujuan seperti pendidikan itu adalah harus dibuat, dimiliki dan digunakan, kerana ianya diperlukan (hajat), sama ada ia diperbuat daripada batu, besi, kayu atau plastik. Manakala patung yang lengkap dibina atau diukir bukan untuk tujuan pendidikan, pengajaran dan pembelajaran adalah haram dan merupakan dosa besar dengan ijmâ‘ seluruh ulama daripada mazhab ahli Sunnah Wal Jama‘ah. Imam Ibnu Hajar di dalam kitabnya Az-Zawâjir menyebutkannya sebagai dosa besar yang kedua ratus enam puluh lapan.

Pengharaman dan sebagai dosa besar tersebut adalah berdasarkan beberapa hadis shahîh di mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberi amaran bahawa Allah akan mengazab pada Hari Kiamat mereka yang mengukir patung-patung atau membinanya, antaranya:

(i) Hadis Bukhari daripada Muslim Ibnu Shabih Abu Dhuha berkata:

Maksudnya: “Kami bersama-sama Masruq di rumah Yasar Ibnu Numair, tiba-tiba dia terlihat di ruang rumah itu ada beberapa patung. Lantas dia terus berkata: “Aku telah mendengar daripada Abdullah bin Mas‘ud berkata: “Aku mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bahawasanya manusia yang paling berat azabnya di sisi Allah pada Hari Kiamat ialah para pembuat gambar (patung).”

(ii) Hadis Imam Bukhari dengan sanadnya daripada Nafi‘ bahawasanya Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma menceritakan kepadanya, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: “Bahawasanya mereka yang membuat gambar-gambar (patung) ini akan dikenakan seksa pada Hari Kiamat kelak, dikatakan kepada mereka (dipaksa): “Hidupkanlah patung yang kamu buat itu.”

Adapun patung benda bernyawa yang berjism dan ada bayang, yang tidak lengkap dengan anggota, terutama anggota yang ia tidak dapat hidup tanpanya seperti patung tanpa kepala atau patung tanpa badan hukumnya adalah harus menurut pendapat jumhûr ulama. Menurut apa yang dinaqalkan oleh Imam Rafi’e: “Bahawasanya patung, apabila dipotong kepalanya maka tiadalah sebarang tegahan lagi.”

Daripada keterangan di atas dapat difahami bahawa menggunakan patung sebagai model dalam pembelajaran jahitan seperti digunakan untuk cara mengukur, cara membentuk jahitan dan sebagainya adalah diharuskan kerana ia digunakan semata-mata untuk tujuan pembelajaran itu.

Walaupun demikian adalah lebih baik patung yang dijadikan model itu dicacatkan seperti ditanggalkan kepalanya kerana mengambil kira pendapat jumhûr ulama yang mengharuskan patung yang berkeadaan demikian. Sekiranya bahagian kepala sahaja yang diperlukan seperti mengukur saiz songkok, maka bahagian kepala patung sahaja yang dibuat (tanpa badan).

Adapun menggunakan patung walaupun tanpa anggota yang lengkap bagi tujuan mempamerkan pakaian hasil jahitan itu kita tidak nampak keharusan padanya kerana fungsi penggunaan patung itu telah berubah iaitu bukan lagi untuk tujuan pembelajaran. Bahkan tanpa patung itupun pakaian boleh dipamerkan. Selain itu kita juga perlu mengambil kira pendapat yang melarangnya seperti Al-Imam Al- Mutawalla - salah seorang ulama besar dan pakar rujuk dalam mazhab Asy-Syafi‘e -yang mengatakan: “Tidak ada beza, sama ada dipotong kepalanya atau tidak.” Ini bererti membuat atau membina sebarang patung adalah haram (Al-Fathi 12/512). Maka mempamerkan pakaian dengan menggunakan model itu tidak terdapat padanya suatu sebab yang dianggap sebagai keperluan (hajat) atau mashlahat yang boleh membawa kepada keharusan berbuat demikian.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8442