Papan Tanda, Iklan Atau Logo Berbentuk Patung Manusia
Soalan: Dengan hormat sukacita saya menghadapkan pertanyaan seperti berikut:
Apakah pandangan hukum syara‘ mengenai penggunaan papan tanda, iklan, logo yang dipasang oleh sebuah syarikat yang berbentuk lembaga atau patung yang menyerupai atau bersifat manusia?
Sebagai contoh, perkara ini telah berlaku di salah sebuah syarikat penjual tayar yang terletak di kawasan perniagaan Gadong. Perkara ini saya ajukan dikhuatiri syarikat lain yang bersaing antara satu sama lain membuat papan iklan dan sebagainya yang berbentuk atau menyerupai lembaga manusia akan berleluasa di Negara Brunei Darussalam.
Jawapan: Apa yang dapat difahami daripada pertanyaan dan gambar- gambar yang Awang sertakan jelas menunjukkan bahawa papan tanda, iklan atau logo berkenaan adalah berbentuk lembaga atau patung yang menyerupai manusia. Logo tersebut diletakkan di tempat yang tinggi.
Syariat Islam telahpun menentukan hukum tentang mengukir patung atau melukis objek-objek bernyawa dan hukum menempatkannya. Pembicaraan para ulama mengenainya sering dikaitkan dengan aqidah.
Sejarah telah membuktikan bahawa patung-patung menjadi objek yang disembah sebagai tuhan dari dahulu hinggalah sekarang. Sebagai contohnya nama-nama patung atau berhala: Wadd, Suwâ‘, Yaghûts, Ya‘ûq dan Nasr yang menurut riwayat, pada mulanya adalah nama-nama orang salih daripada kaum Nabi Nuh ‘Alaihissalam. Pada peringkat awalnya diperingati dan dihormati kerana mengenangkan jasa-jasa mereka semasa hidup, tetapi setelah mereka meninggal, ilmu agama telah mulai kabur dan mulailah orang menyembah patung-patung atau berhala itu sendiri, bukan lagi memperingati jasa-jasa mereka. Patung atau berhala-berhala tersebut kemudiannya dipuja dan disembah pula oleh bangsa Arab.
Perkara mengenai berhala-berhala tersebut dirakamkan dalam surah Nuh, ayat 23:
Tafsirnya: “Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: “Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, Suwâ‘, Yaghûts, dan Ya‘ûq serta Nasr.”
Begitu juga ada gambar-gambar yang dimuliakan serta dipuja secara berlebih-lebihan sehingga ke taraf penyembahan atau dijadikan objek peribadatan.
Mengukir patung atau objek bernyawa seperti manusia atau binatang yang lengkap dengan anggota tubuh badannya, berjisim dan mempunyai bayang adalah haram dengan ijmâ‘ seluruh ulama daripada semua mazhab Ahli Sunnah Wal Jama‘ah dan patung yang berbentuk sedemikian itu wajib dimusnah atau dirobohkan, sama ada ia diletakkan di tempat terhormat atau tempat yang menghinakannya.
Mengukir patung adalah merupakan suatu dosa besar iaitu dosa besar yang kedua ratus enam puluh lapan sebagaimana yang disebut oleh Al-Imam Ibnu Hajar di dalam kitabnya Az-Zawâjir. Dalil bagi pengharaman dan yang menunjukkannya sebagai dosa besar ialah berdasarkan beberapa hadis shahîh di mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberi amaran bahawa Allah akan mengazab pada Hari Kiamat mereka yang mengukir patung-patung atau membinanya. Di antaranya, daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu ‘anhuma mengkhabarkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya mereka yang membuat gambar-gambar (berjisim seperti patung atau tidak berjisim seperti lukisan, tenunan, ukiran dan sebagainya) ini akan dikenakan seksa pada Hari Kiamat. Dikatakan kepada mereka (dengan penghinaan): “Hidupkanlah apa yang telah kamu cipta itu.” (Hadis muttafaq ‘alaih)
Daripada Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhuma berkata: “Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Bahawasanya manusia yang paling berat azabnya pada Hari Kiamat ialah para pembuat gambar (pembuat patung atau lukisan bernyawa).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Diriwayatkan daripada Sa‘id bin Abu Al-Hasan yang berkata:
Maksudnya: “Telah datang seorang lelaki kepada Ibnu Abbas seraya berkata: “Sesungguhnya aku adalah seorang lelaki yang membuat gambar-gambar, maka fatwakanlah kepadaku (hukum) mengenainya.” Ibnu Abbas berkata kepadanya: “Dekatlah kepadaku.” Maka dia pun mendekatinya. Kemudian Ibnu Abbas berkata (lagi): “Dekatlah kepadaku.” Maka dia mendekati (lagi) sehingga Ibnu Abbas meletakkan tangannya di atas kepala lelaki itu sambil berkata: “Aku akan beritahu engkau apa yang telah aku dengar daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Setiap pembuat gambar (patung atau lukisan) adalah di dalam neraka, dijadikan baginya setiap gambar yang digambarkannya itu roh yang akan menyeksanya di dalam Neraka Jahannam” Dan Ibnu Abbas pun berkata: “Jika engkau terpaksa juga melakukan pekerjaan itu (membuat gambar), maka buatlah (gambar) pokok dan apa-apa yang tidak mempunyai nyawa.” (Hadis riwayat Muslim)
Menurut Imam An-Nawawi dalam kitabnya Syarh Shahîh Muslim: “Telah berkata sahabat-sahabat kami dan selain mereka daripada kalangan ulama-ulama: “Adapun membuat patung atau melukis haiwan adalah sangat haram dan ia termasuk daripada dosa-dosa besar, kerana pembuatnya diancam dengan ancaman keras (sebagaimana) yang tersebut di dalam hadis-hadis. Sama ada patung atau lukisan itu dihinakan ataupun tidak dihinakan, hukum membuatnya adalah haram sama sekali, kerana si pembuatnya itu seolah-olah menyamai Allah Ta‘ala pada membuat makhluk.
Hukum Menempatkan Patung
Patung manusia atau binatang sama ada lengkap dengan anggota yang tidak boleh ia hidup tanpanya atau tidak lengkap, jika ditempatkan di tempat yang mulia (yang tidak menghinakannya) seperti digantung, diletak di tempat-tempat tinggi, di dinding, di pakaian dan seumpamanya, hukumnya adalah haram.
Diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata:
Maksudnya: “Sewaktu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam (tiba di rumah) daripada suatu pelayaran, pada ketika itu aku telah memasang tabir pada pintuku tabir bulu yang ada padanya gambar kuda yang mempunyai beberapa sayap, maka Baginda memerintahkanku (agar aku menanggalkannya) lalu aku pun menanggalkannya (daripada pintu itu).” (Hadis riwayat Muslim)
Jika gambar lukisan tersebut diletakkan di tempat yang menghinakannya seperti digunakan sebagai hamparan yang dipijak-pijak atau menjadi hina dengan penggunaannya seperti bantal, sandaran (penyandar), matawang yang menjadi pertukaran di dalam jual beli dan yang seumpamanya, hukumnya adalah harus. (Lihat Nihâyah Al-Muhtâj 6/379)
Diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata:
Maksudnya: “Sewaktu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam (tiba di rumah) dari suatu pelayaran, aku telah memasang tabir rak tempat penaruhan barang-barang dengan tabir nipis yang ada padanya gambar-gambar (lukisan-lukisan yang bernyawa). Maka apabila saja Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melihatnya, Baginda menanggalkannya lalu bersabda: “Manusia yang paling berat seksaannya pada Hari Kiamat ialah mereka yang menjadikan sesuatu yang menyamai/menyerupai dengan makhluk Allah”. Aisyah berkata (ekoran daripada peristiwa itu: “Maka kami jadikan (kain tersebut) untuk dijadikan sebiji bantal atau dua biji bantal.” (Hadis riwayat Bukhari)
Patung Yang Diharuskan Membuatnya Adapun patung-patung yang dibuat untuk tujuan pendidikan semata-mata atau sebagai alat pengajaran dan pembelajaran atau patung kanak-kanak sebagai mainan bagi kanak-kanak perempuan bagi tujuan pendidikan dan latihan untuk masa depannya sebagai ibu adalah harus hukumnya.
Keharusan membuat patung permainan kanak-kanak itu adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata:
Maksudnya: “Aku biasa bermain-main dengan patung anak-anak perempuan di sisi Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan aku ada beberapa orang kawan bermain-main bersama-samaku. Apabila Baginda masuk, mereka menyembunyikan (patung-patung tersebut) daripada Baginda, Baginda membiarkan mereka untuk bermain-main bersamaku.” (Hadis riwayat Bukhari)
Daripada hadis ini, para ulama berpendapat bahawa membuat dan memanfaatkan patung permainan bagi kanak-kanak adalah harus berdasarkan tidak ada tegahan daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika melihatnya.
Demikian juga dengan patung manusia atau binatang yang lengkap atau sebahagian sahaja daripada anggota tubuh badan tertentu bagi tujuan kegunaan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah dan di pusat-pusat pengajian tinggi seperti di kolej atau fakulti perubatan. Patung-patung atau sebahagian anggotanya untuk tujuan ini adalah harus dibuat, dimiliki dan digunakan, kerana diperlukan (hajat yang menepati kedudukan darurat), sama ada daripada batu, besi, kayu, plastik atau lain-lainnya. Dalam kaedah fiqhiyyah ada menyatakan:
Ertinya: “Hajat (keperluan) itu menempati kedudukan darurat sama ada hajat yang bersifat umum ataupun khusus.”
Daripada keterangan-keterangan yang telah dinyatakan di atas, jelas bahawa perbuatan memasang papan tanda, iklan atau logo-logo yang berbentuk patung atau lembaga yang menyerupai manusia atau binatang, tiadalah ia termasuk dalam pengertian hajat menempati kedudukan darurat. Jesteru itu ia tetap salah dan menyalahi kehendak hukum syara‘. Dengan demikian tidaklah harus papan-papan tanda iklan atau logo-logo seperti itu wujud di Negara Brunei Darussalam kerana selain bertentangan dengan hukum syara‘ ia juga boleh mencemarkan imej negara ini sebagai sebuah negara Islam. Lebih-lebih lagi patung-patung atau logo-logo patung tersebut diletakkan secara terbuka dan tersergam serta menjadi tontonan berbagai golongan masyarakat. Bagi pihak atau syarikat yang mempamerkan, patung atau logo patung tersebut tidak lain hanyalah bagi tujuan-tujuan promosi untuk menzahirkan kekuatan, kebesaran, kehebatan dan kemegahan sebuah syarikat supaya ia sentiasa dikagumi dan dianggap sebuah syarikat yang ternama, di mana caranya ialah dengan meletakkan patung atau logo itu tinggi-tinggi sehingga melimpasi bumbung kedai syarikat.
Dalam hal ini, adalah menjadi kewajipan bersama terutama pihak-pihak berkenaan dengannya untuk mengetahui ketentuan hukum sebagai sukat-sukat memproses dan menapis permohonan-permohonan yang berkaitan dengan perkara-perkara seperti ini, supaya dengan itu kita dan negara akan sentiasa diberkati dan mendapat redha Allah daripada tindakan-tindakan dan keputusan-keputusan yang kita ambil.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8446
