Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Penasaban Anak

Soalan: Kaola suami isteri telahpun memeluk Islam pada 17hb. Oktober, 1998 dan sebelum itu kami tidak menganut sebarang agama. Sebelum kami memeluk agama Islam kami telah berkahwin mengikut adat orang-orang Iban seperti biasa di mana telah disaksikan oleh kedua-dua belah pihak. Semasa memeluk agama Islam itu, isteri saya telahpun mengandung. Setelah anak kami lahir pada 26hb. Mac, 1999 maka dia telah dibintikan dengan ABDULLAH dengan alasan anak kami itu tidak masuk Islam bersama kami.

Kaola dengan penuh hormat dan takzim sukacita mendapat pandangan dan fatwa daripada Yang Dimuliakan Lagi Dihormati mengenai dengan anak kami ini.

Jawapan: Pernikahan atau perkahwinan orang bukan Islam yang dilakukan mengikut agama, adat atau kebiasaan mereka adalah diiktiraf sebagai pernikahan yang sah. Apabila pasangan yang berkahwin itu memeluk agama Islam, perkahwinan mereka adalah kekal dan tidak perlu diperbaharui menurut pernikahan Islam.

Begitu juga dengan anak-anak yang lahir daripada hasil perkahwinan berkenaan adalah diiktiraf sebagai anak yang sah. Walaupun demikian terdapat sedikit perbezaan dalam hal yang berhubung dengan kedudukan agama antara anak dan kedua ibu bapa berkenaan.

Menurut Imam An-Nawawi dalam kitabnya Minhâj Ath-Thâlibîn yang disyarahkan oleh Asy-Syeikh Asy-Syarbini dalam Al-Mughni 2/423, apabila pasangan suami isteri yang kafir memeluk agama Islam, maka agama anak mereka adalah tertakluk kepada keadaan berikut:

i. Jika persenyawaan benih suami isteri yang menghasilkan anak berkenaan berlaku ketika salah seorang daripada mereka adalah Islam, maka agama anak tersebut adalah agama Islam sekalipun suami atau isteri yang Islam itu kembali kafir setelah persenyawaan benih berlaku.

ii. Jika persenyawaan benih itu berlaku ketika kedua suami isteri masih kafir, kemudian salah seorang antara mereka memeluk agama Islam sebelum anak tersebut baligh, maka anak berkenaan secara automatik adalah beragama Islam mengikut agama bapa atau ibunya yang Islam itu. Jika anak tersebut telah baligh dan memilih agama kafir (dengan menunjukkan sifat-sifat kufur), maka dia di anggap murtad iaitu keluar daripada agama Islam kerana pada asalnya dia adalah Islam zahir dan batin. Dia dihukumkan murtad itu adalah sama kedudukannya dengan orang kafir yang memeluk agama Islam dengan kehendaknya sendiri setelah dia baligh kemudian dia kembali murtad.

Selain daripada itu, jika suami isteri berkenaan memeluk agama Islam setelah anak mereka baligh, maka anak mereka yang baligh itu tidaklah mengikut agama kedua ibu bapanya secara automatik. Anak-anak tersebut kekal dalam kafir kecuali mereka sendiri memeluk agama Islam.

Sehubungan dengan itu, merujuk permasalahan yang dihadapkan iaitu semasa memeluk agama Islam, isteri Awang sedang dalam keadaan mengandung, maka berpandukan kaedah di atas, anak yang dikandung itu adalah beragama Islam.

Walau bagaimanapun dalam perkara membinkan atau membintikan anak ini agama Islam telah menetapkan beberapa kaedah mengenainya yang perlu diambil kira kerana menasabkan anak dengan betul adalah perkara wajib yang dituntut oleh hukum syara‘. Anak angkat atau anak di luar nikah adalah haram menasabkannya kepada seseorang yang tidak bersambung nasab dengan anak tersebut.

Larangan menasabkan anak kepada orang yang bukan bapanya yang sebenar dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: “Dan Allah Ta‘ala juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu sebagai anak kamu sendiri. (Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dialah jua yang memimpin ke jalan yang betul. Panggillah anak-anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai maula-maula kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disenghajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Ahzâb: 4-5)

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, Imam Muslim dan Abu Daud daripada Sa‘ad bin Abu Waqqas Radhiallahu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa mengaku orang lain sebagai bapa dan ia mengetahui bahawa orang itu bukan bapanya, maka syurga adalah haram baginya.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Berdasarkan larangan di atas, adalah jelas bahawa menyambung nasab kanak-kanak kepada orang yang bukan bapanya yang sebenar adalah haram. Begitu juga membinkan atau membintikannya adalah suatu perbuatan dusta terhadap nasab kanak-kanak itu. Sesiapa juga yang bersetuju atau turut bersetuju melakukannya akan berdosa, dan bahkan boleh rosak aqidah kiranya dia menghalalkan perubahan nasab kanak-kanak berkenaan.

Dari itu kita mestilah mengikut kaedah-kaedah yang telah ditetapkan oleh syara‘ dalam menasabkan kanak-kanak sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Anak itu bagi siapa yang menggauli ibunya (dalam nikah yang sah).” (Diriwayatkan oleh Jamaah melainkan Tirmidzi)

Menurut Imam An-Nawawi, maksud hadis ini ialah jika seorang lelaki itu mempunyai isteri atau hamba, maka isterinya itu seolah-olah hamparan tempat

tidurnya (فراش). Apabila perempuan berkenaan melahirkan anak bagi suatu tempoh

yang memungkinkan wujudnya kanak-kanak itu, maka anak itu adalah anak bagi lelaki itu.

Para ulama telah ijmâ‘ bahawa tempoh minima seseorang wanita hamil dan melahirkan anak ialah enam bulan. Penentuan enam bulan itu ialah berdasarkan maksud 2 ayat Al-Qur’an yang menerangkan tentang masa hamil (tempoh mengandung) dan penyusuan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.” (Surah Al-Ahqâf: 15)

Tafsirnya: “Dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun.” (Surah Luqman: 14)

Dengan demikian para ulama menetapkan hukum bahawa mana-mana anak yang dilahirkan dalam tempoh enam bulan atau lebih yang dikira daripada masa suami isteri boleh bersatu melalui nikah yang sah, maka sabitlah nasab anak tersebut kepada suami wanita berkenaan pada zahir sahaja dan berjalanlah segala hukum-hakam nasab ke atasnya. Begitu pula sebaliknya, jikalau anak tersebut lahir kurang daripada enam bulan, maka anak berkenaan tidaklah bersambung nasabnya dengan suami kepada si ibu anak damit atau tidak boleh dinasabkan kepada suami wanita yang melahirkan anak berkenaan. Ia dinasabkan kepada ibunya yang melahirkannya sahaja dan jika hendak dibinkan atau dibintikan bolehlah kepada ibunya atau kepada nama Abdullah atau salah satu daripada Asmâ’ullâh Al-Husnâ.

Tersebut dalam kitab Hâsyiah Al-Baijuri ‘ala Fath Al-Qarîb dan dalam kitab At- Tuhfah karangan Al-Imam Ibnu Hajar bahawa enam bulan itu dikira tiap-tiap bulan daripadanya 30 hari. Ini bererti enam bulan itu ialah 180 hari dan dua lahzhah iaitu tempoh wath’i dan tempoh mengeluarkan anak.

Pendapat ulama Syafi‘e 180 hari itu, ialah juga menjadi pendapat jumhûr ulama, kecuali Imam Malik yang menyatakan 175 hari. Bahkan terdapat sebahagian negara seperti Syria telah menetapkan dalam undang-undangnya tempoh minima hamil atau mengandung itu ialah 180 hari. (Sila lihat Fiqh Al-Islâmi wa Adillatuh 7/678)

Bermula pengiraan 180 hari itu dikira dari waktu suami isteri itu boleh bersatu yang memungkinkan anak itu ialah daripada suami setelah akad nikah yang betul (sah).

Oleh yang demikian mana-mana anak damit yang dilahirkan kurang daripada enam bulan dan dua lahzhah, atau kurang 180 hari dari tarikh mereka boleh bersatu setelah akad nikah yang sah, anak damit itu tidak boleh dibin atau dibintikan kepada suami perempuan yang melahirkan anak damit itu. Dalam erti kata yang lain anak damit itu tidak bersambung nasabnya kepada lelaki yang menjadi suami kepada perempuan yang melahirkan anak damit itu.

Adapun yang dimaksudkan dengan akad nikah yang sah di sini ialah pernikahan yang mengikut kehendak hukum syara‘ jika pasangan tersebut adalah orang Islam. Jika mereka bukan Islam, maka perkahwinan yang dikira sah adalah perkahwinan yang dilakukan mengikut agama, adat atau kebiasaan mereka.

Berbalik kepada permasalahan Awang di atas, jika dilihat kepada keterangan-keterangan yang telah diberikan terbukti bahawa tarikh perkahwinan ialah 4 Oktober, 1998. Manakala tarikh lahir anak yang dibintikan Abdullah itu ialah 26 Mac, 1999. Ini bererti tempoh masa kahwin dengan waktu kelahiran anak berkenaan adalah kurang daripada 180 hari. Maka membintikan anak tersebut kepada Abdullah adalah menepati kehendak hukum syara‘ iaitu dengan perkiraan masa suami isteri itu boleh bersatu dan waktu kelahiran anak adalah kurang daripada 180 hari. Ini dengan sendirinya menafikan pensabitan persambungan nasab, dan bukannya kerana anak itu tidak memeluk agama Islam.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8450