Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Persoalan Harim (Kawasan) Masjid

Soalan: Dengan penuh hormat dan takzim sukacita kaola memaklumkan bahawa jabatan kaola telah menerima memorandum daripada Pesuruhjaya Tanah mengenai harîm masjid bagi tujuan menambah syarat bagi Tanah Lesen Tumpang Sementara khususnya bagi tanah-tanah yang bersempadan atau berdekatan dengan masjid. Sebelum pihak Kaola memberi jawapan kepada pihak berkenaan maka kaola dengan sukacitanya mengemukakan pertanyaan mengenai apakah yang dikatakan atau ta‘rîf ‘Kawasan Masjid’ menurut hukum syara‘ dan adakah kawasan atau tanah yang bersempadan dan tanah masjid itu masih dikira kawasan masjid? Apakah pandangan syara‘ mengenainya?

Jawapan: Sebelum merumuskan takrif ‘Kawasan Masjid’, elok terlebih dahulu dipastikan erti perkataan ‘kawasan’ dan ‘masjid’ itu sendiri. Pengertian Kawasan Di dalam kamus-kamus bahasa Melayu, perkataan kawasan sama maksudnya dengan: i. Daerah, wilayah, mukim, kampung, seksyen, jajahan, zon, medan, kampus, gelanggang dan arena. ii. Perkarangan, parak, halaman, iii. Tempat terbuka atau lapangan, lingkungan keluasan sesuatu. (Kamus Dewan: 590 dan Tesaurus Bahasa Melayu Dewan, 418)

Pengertian Masjid Manakala perkataan masjid dari sudut bahasa di dalam bahasa Arab ialah: “Nama bagi tempat bersujud dahi”. Dari sudut syara‘ pula ialah: “Setiap tempat daripada permukaan bumi”, dan ini berdasarkan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang berbunyi:

Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud)” (Hadis riwayat Bukhari)

Manakala dari sudut istilah atau ‘urf ialah: “Tempat yang disediakan khas selama-lamanya untuk bersembahyang.” (Mu‘jam Lughat Al-Fuqahâ’: 428 dan I‘lâm As- Sâjid bi Ahkâm Al-Masâjid: 26-27)

Apabila diperhatikan sejarah kewujudan dan kedudukan tanah persekitaran masjid pada masa dahulu berdasarkan definisi masjid dari sudut istilah, di antaranya ada masjid yang hanya berupa tanah lapang yang diberi tanda atau sempadan di sekelilingnya dengan mendirikan tiang-tiang yang dipacakkan tepat pada sempadan berkenaan.

Jika setakat sempadan atau tiang itu saja yang dijadikan masjid atau disebut masjid oleh orang ramai, atau oleh pewaqaf – jika ia masjid waqaf – maka yang berada di luar sempadannya tidak dikira masjid dan tidak berlaku padanya hukum-hakam masjid seperti i‘tikâf.

Sehubungan dengan ini, kalau ada orang yang berkata: “Aku jadikan tempat ini sebagai masjid”, maka jadilah tempat itu sebagai masjid, iaitu setakat mana luas atau besarnya tempat yang dimaksudkannya sebagai masjid, manakala kawasan yang di luarnya tidak turut menjadi masjid.

Imam Az-Zarkasyi berkata:

Ertinya: “Kalau seseorang berkata: “Aku jadikan kawasan tanah ini sebagai masjid, maka menurut kitab Al-Wajîz jadilah ia masjid walaupun dia tidak menyebut lafaz waqaf.” (I‘lâm As-Sâjid bi Ahkâm Al-Masâjid: 396)

Sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Az-Zarkasyi di atas, sekiranya keseluruhan tanah yang diperuntukkan itu telah diwartakan (digazetkan) atau diniatkan sebagai masjid, maka jadilah kesemua tanah yang diniatkan itu masjid, walaupun bangunan masjid belum didirikan.

Tetapi jika yang digazetkan sebagai masjid hanya setakat bangunannya sahaja, maka itulah sahaja yang dianggap sebagai masjid, manakala bakinya adalah sebagai harîm masjid atau tanah simpanan untuk masjid dan lain-lain keperluan masjid.

Oleh yang demikian, apa yang dinamakan kawasan atau perkarangan, halaman, lapangan dan lingkungan masjid, tidak termasuk masjid. Ini berdasarkan pengertian masjid dari sudut istilah dan pengertian perkataan kawasan.

Dengan ini dapatlah dikatakan bahawa perkataan ‘kawasan masjid’, di dalam bahasa Melayu samalah dengan perkataan: “Perkarangan, halaman atau lapangan terbuka dan lingkungan masjid”.

Jadi mengikut perkataan Melayu ini, yang dikatakan kawasan masjid itu termasuklah tempat persekitaran yang mengelilingi masjid, sama ada ia sudah dikhaskan sebagai perkarangan atau halamannya ataupun tidak.

Apabila itulah pengertian kawasan, maka jika ditinjau dari sudut istilah Ilmu Fiqh tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan masjid, maka pengertian kawasan ini adalah lebih mirip kepada pengertian harîm, dan jika pengertian inilah yang diambil kira, maka kawasan masjid samalah dengan harîm masjid.

Pengertian Harîm

Harîm dari sudut bahasa ialah sesuatu yang haram diganggu dan diceroboh. Dari sudut istilah pula ialah hak-hak sesuatu yang terdapat di sekitar dan sekelilingnya.

Para ulama Syafi‘e memberikan definisi harîm itu seperti berikut:

Ertinya: “Harîm ialah apa-apa yang sangat diperlukan bagi kesempurnaan manfaat sesuatu, walaupun sesuatu itu dapat dimanfaatkan tanpa harîm itu.” (Nihâyah Al- Muhtâj 5/339)

Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Hj Ismail bin Omar Abdul Aziz, Mufti Kerajaan Brunei berkata:

“Berkata ulama, harîm ialah kawasan atau tempat yang dihajatkan oleh orang ramai pada kesempurnaan menggunakan sesuatu tempat itu.”

Katanya lagi:

“Sebab dinamakan harîm kerana haram mengganggu tempat harim dengan apa jua ganggu atau ceroboh.” (Siri Fatwa: 31/1992, h. 3)

Khusus kepada masjid, maka harîmnya termasuklah jalan atau halaman atau lapangan terbukanya atau persekitarannya yang boleh membawa kepada kesempurnaan penggunaan masjid.

Di dalam kitab At-Tuhfah disebutkan (6/217):

Ertinya: “Dan hukum halaman masjid sama seperti halaman rumah.”

Imam An-Nawawi berkata di dalam kitab Raudhah Ath-Thâlibîn (5/283):

Ertinya: “Segolongan ulama, termasuk Ibnu Kajj, menganggap halaman rumah itu sebagai harîmnya.”

Kemudian di dalam Al-Mausu‘ah Al-Fiqhiyyah (17/212) disebut bahawa di antara makna harîm termasuklah halaman rumah atau masjid.

Merujuk kepada kedudukan bangunan-bangunan masjid di Negara Brunei Darsussalam, pada umumnya ia mempunyai halaman atau sekitaran yang luas dan ini dianggap sebagai harîmnya. Pada lazimnya pula harîm ini telah dipagar.

Persoalan yang berbangkit di sini ada dua perkara, pertama adanya hak milik orang lain di sempadan pagar berkenaan, dan kedua di luar pagar berkenaan masih ada kawasan tanah rizab kerajaan.

Perkara pertama menunjukkan bahawa harîm masjid hanya setakat pagarnya, kerana kawasan di luarnya sudah lebih awal dimiliki orang. Manakala perkara kedua, selain daripada setakat kawasan pagarnya, ia masih boleh diperluaskan, kerana kawasan itu dimiliki oleh kerajaan.

Dengan yang demikian kawasan atau tanah yang bersempadan dengan masjid jika ia membawa mashlahat dan kesempurnaan kepada orang ramai khususnya jemaah masjid pada menggunakan masjid dan ia belum dimiliki terlebih dahulu oleh orang lain, jadilah ia harîm masjid. Tetapi jika tanah keliling masjid itu sudah terlebih dahulu dimiliki oleh orang lain dalam bentuk kekal, bukan Tanah Tumpang Sementara (TOL) dan tidak pula ada gangguan pada menggunakan masjid, maka ia tidak termasuk lagi harîm masjid. Namun bagi Tanah Tumpang Sementara (TOL)

apabila kerajaan hendak menggunakan tanah tersebut, kerajaan berhak mengambilnya semula.

Adapun yang ditanyakan tentang ‘adakah tanah masjid itu masih dikira kawasan masjid’, jika yang dimaksudkan dengan halaman atau perkarangan masjid, maka ia adalah kawasan masjid, tetapi bukan masjid dan ia dinamakan harîm masjid. Tetapi jika digazetkan atau diniatkan sebagai masjid, maka kesemua tanah itu menjadilah masjid walaupun belum mempunyai bangunan.

Keluasan Harîm

Perlu diingat bahawa kadar keluasan hârim masjid tidak terhad dan ianya hanya tertakluk kepada adat kebiasaan penggunaannya.

Di dalam kitab Al-Mausû‘ah Al-Fiqhiyyah disebutkan:

Ertinya: “Kadar keluasan harîm itu berbeza-beza sesuai dengan berbeza-bezanya apa-apa yang berkaitan dengan harîm itu.” (h. 214)

Sehubungan dengan ini, dalam memperuntukkan kawasan harîm masjid, yang perlu diambil kira ialah adanya kemudahan dan keselesaan orang ramai pada mempergunakan masjid, sama ada untuk jangka pendek atau jangka panjang, seperti jalan-jalan menuju masjid, tanah simpanan perluasan di masa akan datang dan lain-lain.

Berdasarkan penjelasan di atas bahawa harîm masjid yang lazimnya didapati di negara ini telahpun dipagar, maka kawasan di luarnya itu sama ada dikatakan harîm atau sebaliknya tertakluk kepada keperluan sesuai dengan maksud harîm seperti yang disebutkan di atas iaitu:

“Harîm ialah apa-apa yang sangat diperlukan bagi kesempurnaan manfaat sesuatu, walaupun sesuatu itu dapat dimanfaatkan tanpa harîm itu.” (Nihâyah Al-Muhtâj 5/339)

Kiranya ada permohonan daripada orang ramai supaya dapat menggunakan tanah lapang di luar pagar sesebuah masjid itu hendaklah dilihat keperluan tanah lapang itu kepada masjid tersebut terlebih dahulu pada masa hadapan sama ada untuk jangka pendek atau jangka panjang, di samping melihat apa tujuan permohonan kebenaran itu. Kiranya permohonan itu untuk kediaman rumah orang Islam, maka permohonan tersebut patut dipandang positif atas asas untuk memakmurkan masjid dan pemohon pula akan mendapat manfaat dengan sebab tinggal berdekatan dengan masjid.

Kiranya permohonan itu untuk perusahaan, hendaklah diambil kira bahawa kewujudan perusahaan itu tidak akan mengganggu jemaah masjid dengan bunyi bising atau sebagainya.

Sementara jika permohonan tanah tersebut bagi tujuan menternak binatang seperti ayam, kambing, kerbau atau lembu atau bagi kesemua binatang-binatang itu, hendaklah diambil kira adakah ternakan itu tidak akan mendatangkan ketidakselesaan kepada jemaah masjid seperti bau busuk, najis binatang yang tidak terkawal dengan sebab binatang-binatang itu berkeliaran atau tidak ditambat atau binatang-binatang tersebut akan merosakkan tumbuh-tumbuhan atau tanam-tanaman masjid dan lain-lain.

Semua pertimbangan di atas hendaklah dibuat dengan melihat persekitaran dan jangka masa panjang, kerana apabila kebenaran telah diberikan, adalah susah untuk ditarik balik, walaupun asas permohonan itu bersifat sementara sesuai dengan namanya Tanah Lesen Tumpang Sementara.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8454