Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Pertunjukan Magic

Soalan: Dengan hormat sukacita kaola memohon pandangan Yang Dimuliakan Pehin mengenai permohonan Christophe ALEXANDRE bagi mendapatkan kebenaran mengadakan satu pertunjukan ‘Magic’ di negara ini. Kumpulan ahli silap mata itu dikenali sebagai “Foxy and Ruby’s Magic Follies” yang dikatakan mempunyai berbagai keistimewaan dan kepakaran di dalam seni silap mata.

Jawapan: Pengertian ‘Magic’

Di dalam kamus-kamus dan ensiklopedia Melayu, perkataan ‘magic’ diertikan antara lain:

i) Ilmu mengawal kejadian dengan menggunakan kuasa sakti; ilmu sihir, ilmu ghaib, amalan kepercayaan primitif yang berdasarkan kepada kepercayaan kuasa ghaib, guna-guna.

ii) Ilmu mendapatkan hasil yang menakjubkan seolah-olah dengan kuasa ghaib, silap mata (sulapan).

iii) Ilmu ghaib, suatu keyakinan dan cara yang dilakukan seseorang untuk menguasai kekuatan alam dan kekuatan super natural guna memenuhi keinginannya. (Kamus Dwi Bahasa: Inggeris-Melayu h. 752, Kamus Inggeris- Melayu Dewan h. 916, Ensiklopedia Nasional Indonesia 10/27)

Di dalam pandangan orang-orang Eropah, aktiviti magic bermula dengan ahli-ahli silap mata yang mengelirukan orang ramai dengan tipu helah yang pantas, dan dengan ahli-ahli sihir yang mendakwa bahawa jampi-jampi rahsia mereka menguasai keajaiban-keajaiban alam dan undang-undang sains.

Hari ini tipu helah dipersembahkan hanya sebagai hiburan oleh ahli magic itu (ahli silap mata) yang – dengan beberapa pengecualian – menafikan sebarang ilmu ghaib atau kuasa sakti.

Bagi maksud ini pada lazimnya ahli silap mata pula menggunakan tiga jenis peralatan:

i. Alat-alat yang benar-benar nyata sebagaimana yang dilihat penonton.

ii. Alat-alat yang secara rahsia disediakan untuk membantu pertunjukan silap mata itu tanpa mengubah bentuk asalnya secara zahir.

iii. Alat-alat yang tersembunyi atau terlindung daripada penglihatan dan digunakan tanpa pengetahuan penonton.

Manakala persoalan ‘magic’ pada kebiasaannya mengandungi tiga unsur utama:

i. Jampi atau mantera. ii. Upacara itu sendiri. iii. Keadaan amalan orang yang melakukannya.

Khusus mengenai jampinya, ia mempunyai pantang larang tertentu yang perlu dipatuhi oleh ahli silap mata, dan sekiranya dia gagal mematuhinya, jampinya akan gagal dan tidak berkesan.

Apabila ketiga-tiga unsur ini berhimpun, maka ahli silap mata itu ada yang dinamakan ahli sihir dukun dan pawang. (Ensyclopedia Britanica: s. 40 – 672 dan m. 50)

Magic Sama Dengan Sihir

Di dalam kamus-kamus Arab pula magic diertikan سحر-سيمياء-شعوذة ketiga-tiga perkataan ini dapat diertikan dalam bahasa Melayu sebagai sihir dan silap mata (magic). Tetapi sesetengah kamus Arab – Inggeris hanya menjadikan erti ‘magic’ itu sebagai sihir sahaja. Kemudian membuat pengertiannya bahawa ahli silap mata mendakwa berkuasa melakukan kerja-kerja yang tidak dapat dilakukan oleh kuasa manusia biasa. Keupayaan ahli silap mata ini berlaku menerusi bantuan kuasa di luar tabiat semulajadi, atau menerusi penguasaan terhadap kuasa ghaib.

Di antara pengertiannya lagi ialah satu cara meletakkan para penonton pada kedudukan melihat terjadinya sesuatu perkara asal, sedangkan ia tidak betul-betul terjadi. Dan perkara seperti itu boleh terjadi menerusi kuasa yang mereka namakan sebagai ‘sleight of hand’ (kecepatan tangan).

Walaupun ada yang hanya menjadikan ertinya sebagai sihir sahaja, namun perkataan شعوذة lebih sesuai dan lebih khusus dipakaikan bagi menyebut erti ‘magic’ yang diertikan sebagai silap mata mengikut pengertian bahasa Melayu itu, kerana di dalam kamus-kamus Arab lain ia diertikan sebagai: “Kecepatan tangan bagaikan sihir. Sesuatu itu dilihat oleh mata seakan-akan betul-betul terjadi” atau “kecepatan tangan menimbulkan sesuatu yang menyerupai sihir.” (Mausû‘ah Al-Mawârid 6/169, Lisân Al-‘Arab 3/495, Tâj Al-‘Urûs 2/566. Dâ’irah Ma‘ârif Al-Qarn Al-‘Isyrîn 5/401)

Apabila pengertian ini yang dipakai bererti ‘magic’ ialah sejenis sihir dan mengikut pengertian yang mula-mula disebutkan bukan sejenis sihir, tetapi betul-betul sihir. Dan berdasarkan kamus-kamus Inggeris-Arab, kebanyakannya mencatatkan bahawa ‘magic’ bermakna sihir di dalam bahasa Arab.

Pengertian Sihir

Perkataan sihir dari sudut bahasa bererti menimbulkan apa yang terpendam dan tersembunyi, atau sesuatu yang halus dan tersembunyi.

Dari sudut istilah ia mempunyai banyak pengertian dan ulama berbeza-beza pandangan dalam memberikan definisi sihir yang sebenar sebagaimana yang disebutkan di dalam Al-Mausû‘ah Al-Fiqhiyyah:

Ertinya: “Adapun di dalam istilah, para ulama fiqh dan lain- lain mempunyai perbezaan pendapat yang amat luas tentang definisi sihir.” (24/259)

Di antara definisi berkenaan menyebutkan bahawa sihir ialah suatu perkara aneh daripada perbuatan manusia yang menyerupai seakan-akan menyalahi adat, tetapi ia bukan adat kebiasaan kerana ia terjadi berdasarkan beberapa kaedah dan cara-cara tertentu yang boleh dipelajari. (Abdul Khalik, As-Sihr: 108)

Manakala pengertian sihir sebenar mengikut Imam Al-Baidhawi ialah: “Perkara yang dihasilkan dengan bantuan syaitan daripada perkara-perkara yang tidak dapat dihasilkan sendiri oleh manusia, dan ia tidak terjadi kecuali bagi orang yang serasi dengan kejahatan dan berhati keji.” (Tafsir Al-Baidhawi 1/79)

Kemudian dari sudut tabiat sihir, sesetengah ulama berpendapat ia terbahagi kepada tiga, iaitu:

Pertama: Dari sudut bahasa yang bererti setiap sesuatu yang mempesona atau dasar pengambilannya amat halus dan tersembunyi.

Kedua: Sihir yang disifatkan oleh Al-Qur’an sebagai khayalan yang boleh memperdaya mata, lalu mata melihat sesuatu yang tidak wujud.

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Nabi Musa menjawab: “Bahkan kamulah campak dahulu”. Tiba-tiba tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda itu berjalan, disebabkan sihir mereka.” (Surah Thaha: 66)

Ketiga: Sihir, sama ada ia sebagai helah dan silap mata atau perbuatan berdasarkan kemahiran ilmu secara rahsia yang hanya dikenali sesetengah orang dan boleh jadi ia terjadi kesan daripada jiwa yang berpengaruh.

Jadi mengikut golongan ini, sihir itu tegak di atas dasar satu-satu perbuatan (tindakan) yang boleh dipelajari dan dibiasakan menerusi latihan, dan ia juga mempunyai kaedah-kaedah tertentu, mempunyai asas-asas yang dapat difahami, dan mempunyai ahli dan guru-gurunya yang boleh mengajarkannya kepada orang lain. (Abdul Khalik, As-Sihr: 176)

Imam Ar-Razi di dalam tafsirnya Mafâtîh Al-Ghaib telah mengulas panjang lebar tentang persoalan sihir. Mengikut beliau, sihir itu ada lapan jenis, iaitu:

1. Sihir ciptaan golongan Al-Kazzabin dan Kasydaniyyin yang menyembah bintang-bintang yang tujuh. Golongan ini berfahaman bahawa bintang-bintang inilah yang mentadbir alam dan yang mendatangkan kebaikan dan keburukan. Golongan ini ialah kaum yang dibangkitkan kepadanya Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam untuk menyangkal pendapat mereka dan menolak fahaman mereka.

2. Sihir yang datang daripada orang-orang yang kuat berpegang kepada sangka-sangkaan hati dan jiwa yang kuat, kemudian menjadikan sangka-sangkaan hati dan jiwa itu mempunyai kesan kepada apa yang menjadi punca timbulnya sangka-sangkaan itu.

3. Sihir menerusi bantuan roh-roh yang ada di bumi, seperti jin. Jin pula terbahagi kepada dua golongan, Islam dan kafir (syaitan).

4. Sihir khayalan dan tipuan pandangan mata (hipnotis) serta silap mata. Jenis ini berdasarkan kepada bahawa pandangan mata itu ada kalanya tersilap kerana pada masa yang sama ia tertumpu kepada sesuatu yang tertentu.

Sebagai contoh: Seorang ahli silap mata mempertunjuk atau mempertontonkan sesuatu yang mempesona para penonton dan menumpukan pandangan mereka kepada apa yang dipertontonkan itu sehinggalah perhatian para penonton tidak lagi beralih ke perkara lain, kemudian pada masa itulah dia mempertontonkan sesuatu yang lain pula dengan pantas dan cepat. Maka pada saat itu juga para penonton melihat sesuatu yang lain itu dengan penuh kekaguman.

Mengulas sihir jenis keempat ini, Ibnu Katsir berkata: “Sesetengah ulama tafsir berkata, bahawa sihir yang diperlihatkan para ahli sihir di hadapan Firaun hanyalah daripada jenis silap mata.” (Tafsîr Ibnu Katsir 1/250)

5. Sihir dalam bentuk tindakan-tindakan mengkagumkan yang muncul daripada susunan peralatan-peralatan tertentu.

Jenis ini termasuklah sihir para ahli sihir Firaun – mengikut sesetengah ahli tafsir. Tetapi ada juga yang berpendapat jenis ini tidak termasuk sihir sebenar, kerana ia lebih mengutamakan latihan dan kemahiran.

6. Sihir menerusi bantuan khasiat bahan ubat-ubatan, yakni jenis makanan dan yang berminyak.

7. Sihir menerusi pergantungan kepada hati. Ahlinya berkata dia mengetahui Al-Ism Al-A‘zham, atau jin mematuhinya. Jin akan menakutkan hati mangsa.

8. Sihir menerusi cara mendekati secara ringan dan lembut. Perkara ini telah lumrah dalam masyarakat.

Imam Ar-Razi berkata: “Golongan Ahli Sunnah berpendapat bahawa adalah harus berlaku tukang sihir boleh terbang di udara, menukar manusia jadi keldai dan sebaliknya. Namun mereka tetap berpendapat bahawa hanya Allah Ta‘ala saja yang menjadikan kesemua itu ketika tukang sihir membaca jampi-jampinya.” (At-Tafsîr Al-Kabîr 3/187-193)

Sihir Merangkumi Silap Mata

Setelah mencatatkan pembahagian jenis-jenis sihir, Ibnu Katsir berpendapat bahawa Imam Ar-Razi telah memasukkan banyak jenis yang tergolong dalam sihir kerana sihir mengikut anggapannya adalah suatu perkara yang halus dan lembut. (Tafsîr Ibnu Katsir 1/257)

Menurut pendapat Ahli Sunnah, sihir itu memang sabit dan wujud dan jenisnya banyak, di antaranya ialah apa yang dinamakan silap mata atau asy-sya‘wazah. Imam Al-Qurthubi beranggapan bahawa semua perkara yang tersembunyi daripada pandangan mata kasar manusia, sama ada silap mata atau memukau pandangan adalah termasuk di dalam konteks sihir. (Tafsîr Al-Qurthubi 2/46) Berdasarkan yang dicatatkan di dalam Al-Mausu‘ah Al-Fiqhiyyah (24/260-261) lafaz atau perkataan yang berkaitan dengan sihir itu ialah: 1. Asy-sya‘wazah, yakni kecepatan tangan untuk bertindak bagaikan sihir, sehinggakan sesuatu itu dapat dilihat bukan lagi dalam bentuk asal. 2. An-nusyrah, yakni sejenis jampi penawar orang yang dikatakan diganggu jin. 3. Al-‘azîmah, yakni tangkal yang digolongkan sebagai jampi. 4. Ar-ruqiah, yakni jampi penawar. 5. At-tallasam, yakni sesuatu yang digantungkan pada tubuh badan yang dianggap ada kaitannya dengan bintang-bintang. 6. Al-aufaq, yakni angka atau huruf-huruf yang diletakkan pada sesuatu petak garisan tertentu. 7. At-tanjîm, yakni meramalkan sesuatu berdasarkan bintang-bintang.

Contoh Sihir Termasuk Silap Mata: 1. Tukang sihir Fir‘aun: Cerita tentang ahli-ahli atau tukang-tukang sihir Fir‘aun yang mencabar Nabi Musa ‘Alaihissalam terkenal di dalam sejarah dan ia telah dirakamkan di dalam Al-Qur’an, khasnya di dalam surah Al-A‘râf dan surah Thaha. Cabaran dimulakan oleh tukang sihir dengan melemparkan tali-tali dan pelbagai tongkat mereka ke tanah lalu tali-tali dan tongkat-tongkat yang mereka campakkan ke tanah itu terbayang kepada Nabi Musa ‘Alaihissalam dan para penonton - kerana sihir mereka seakan-akan semuanya bergerak dan berjalan. Firman Allah:

Tafsirnya: “Maka apabila mereka mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap mata orang ramai dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan sihir yang besar (keadaan dan caranya).” (Surah Al-A‘râf: 116)

Tabiat semula jadi tongkat dan tali adalah diam dan tidak dapat bergerak sendiri tanpa bantuan pihak kedua. Jika demikian halnya, mengapa tali dan tongkat yang mereka lemparkan kelihatan bergerak dan melata sedangkan tidak kelihatan ada penggeraknya?

Sebagaimana yang disebutkan tadi, tali atau tongkat hanya boleh bergerak dengan bantuan pihak kedua, sedangkan di dalam tali atau tongkat mereka tidak kelihatan ada yang menggerakkannya. Maka sudah tentulah ada rahsianya yang tersembunyi secara halus dan inilah yang dikatakan sihir. Rahsia berkenaanlah yang mencorakkan jenis sihir itu, sama ada ia jenis jampi, bantuan jin, kemahiran dan lain-lain.

Kemudian setelah tali dan tongkat-tongkat mereka yang disihir sehingga kelihatan menjadi ular-ular yang bergerak berjalan itu, ditelan habis oleh tongkat Nabi Musa ‘Alaihissalam yang menjelma sebagai ular besar, akhirnya para tukang sihir bertaubat daripada melakukan sihir dan beriman kepada Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “Campakkanlah tongkatmu!” Maka tiba-tiba tongkat itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka). Maka sabitlah kebenaran (mukjizat Nabi Musa), dan batallah (sihir) yang mereka telah lakukan. Oleh itu, kalahlah Firaun dan ketua-ketua kaumnya di situ dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina. Dan (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri mereka sujud, sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam.” (Surah Al-A‘râf: 117-121)

2. Ahli silap mata zaman Al-Ayyubi:

Semasa Sultan Salahuddin Al-Ayyubi tiba di Syam dari Mesir, beliau dan para tenteranya berkemah di Medan Besar Kota Damsyiq. Lalu beliau menyaksikan pelbagai permainan termasuk bergusti di medan berkenaan.

Di antara yang datang bermain di tempat itu ialah seorang asing yang mempertontonkan permainan silap mata (شعوذة).

Ketika memulakan silap matanya di hadapan beliau dan orang ramai, dia mengeluarkan segulung benang daripada bajunya, hujung benang diikatkan ke jarinya, kemudian dia membalingkan gulungan benang itu dengan kuat ke atas, lalu dia memanjat tali itu sehinggalah dia tidak kelihatan. Tidak berapa lama kemudian sebelah kakinya jatuh dari atas kepada orang ramai dan bergerak masuk ke dalam kemah. Selepas itu jatuh lagi sebelah tangannya dan bergerak masuk ke dalam kemah, begitulah seterusnya satu demi satu anggota tubuh badannya berjatuhan dari atas dan bergerak-gerak masuk ke dalam kemah. Dan akhirnya lelaki berkenaan dengan tubuh badan yang lengkap keluar dari kemahnya berjalan ke hadapan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi dan terus tunduk di hadapan Baginda.

Selepas itu dia masuk semula ke dalam kemah, tetapi apabila dicari di dalamnya, dia tidak ada dan apabila kemah itu dipindahkan ke tempat lain, lelaki itu kelihatan keluar dari dalam.

Melihat ini orang ramai kelihatan terpegun dan terpesona, tetapi tiba-tiba Amir Sanqar Al-Akhlati geram melihat tukang silap mata itu, lalu memenggal lehernya di hadapan orang ramai sambil memberitahu Sultan bahawa orang berkenaan sudah pasti salah seorang mata-mata musuh. (Abdul Khalik, As- Sihr: 121-122)

3. Ahli sihir menyembah patung:

Syeikh Al-Adwi bercerita: “Seorang lelaki yang hidup pada awal abad ini terkenal dengan kesanggupannya mempamerkan pelbagai perkara yang mempesonakan, termasuk mencari cincin yang dibuang ke dasar sungai atau laut.

Apabila dia mati, anaknya berkeinginan meneruskan pekerjaan bapanya, tetapi ibunya menghalang dan memberi nasihat agar jangan melakukan apa yang pernah dilakukan bapanya itu. Si anak bertanya – mengapa ibunya menghalang, lalu ibunya pun membuka sebuah almari dan mengeluarkan sebuah patung kecil, kemudian berkata: “Bapamu sebenarnya sujud kepada patung ini supaya dia mendapat bantuan syaitan mempamerkan perkara-perkara yang aneh-aneh, oleh itu janganlah engkau kufur seperti bapamu.” (Abdul Khalik, As-Sihr h. 126-127)

Hukum

Secara umumnya, pengamalan sihir adalah diharamkan dan ia termasuk salah satu dosa besar.

Imam Nawawi berkata:

Ertinya: “Dan diharamkan melakukan sihir dengan ijma‘. Dan sesiapa yang berfahaman harus, maka dia kafir.” (Raudhah Ath-Thâlibîn 9/346)

Di antara dalil pengharaman sihir itu berdasarkan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Kamu jauhilah tujuh perbuatan yang merosakkan”, sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah apa dia yang tujuh itu?” Baginda menjawab: “Syirik kepada Allah, sihir … (sehingga akhir hadis).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sesetengah ulama memang ada yang berpendapat adanya perbezaan sihir sebenar yang diharamkan itu dengan sihir tertentu yang hanya dalam bentuk permainan sahaja menerusi kemahiran yang mempesona dan menakjubkan para penonton, tidak menakutkan atau memudaratkan sesiapapun. Ulama yang berpendapat seperti ini termasuklah Imam Al-Baidhawi yang menganggapnya tidak tercela. Beliau berkata di dalam tafsirnya:

“Adapun perkara yang mengkagumkan daripada jenis sihir, sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang yang mahir membuat helah menerusi pelbagai peralatan, atau apa yang dipertunjukkan oleh orang yang mahir melakukannya menerusi kecepatan tangan, tidaklah tercela. Dan ia dinamakan sihir hanya sebagai meminjam perkataan sihir sahaja kerana kehalusan atau ketersembunyian yang ada padanya, di mana sihir sebenar pada asalnya ialah yang halus dan tersembunyi puncanya.” (Tafsîr Al-Baidawi 1/79)

Persoalan Tersembunyi

Yang mengenali jenis magic atau sihir hanyalah ahli tukang sihir sahaja. Para penonton tidak dapat memastikan sama ada ahli magic atau tukang sihir itu membaca mentera, jampi atau mendapat bantuan jin atau sama ada berdasarkan kemahiran semata-mata tanpa memasukkan unsur-unsur lain ketika melakukan aktiviti magic atau sihirnya itu.

Sudah barang tentu mereka yang terlibat dengannya, sama ada di atas nama sihir, magic atau silap mata, tidak sekali-kali akan memberitahu rahsia atau punca asas dalam kerja-kerja mereka itu.

Oleh yang demikian, bagi orang yang bukan ahli sihir, magic atau silap mata, latar belakangnya, khasnya silap mata, adalah tersembunyi, sedangkan secara umum semua jenis sihir adalah diharamkan. Oleh itu magic atau silap mata adalah lebih sesuai digolongkan sebagai sihir yang dilarang itu, kecuali jika ia betul-betul berdasarkan kemahiran atau kepakaran dan kecepatan mempergunakan peralatan tertentu yang tidak membahayakan atau memudaratkan sesiapa, sama ada dari segi aqidah atau perbuatan sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Al-Baidhawi di atas.

Walaupun begitu, sebagaimana yang disebutkan, perkara ini hanyalah diketahui oleh ahli atau tukang sihir itu sendiri, bukan orang lain. Bagi orang-orang yang tidak mengetahuinya, ia tetap digolongkan sebagai sihir jua.

Merujuk kepada perkara ‘magic’ yang dipohonkan pandangan mengenainya, maka saya beranggapan kedudukannya adalah sama seperti yang saya terangkan di atas. Walaupun ia dikatakan sebagai seni silap mata, dan mempunyai juruteknik dan perkakas yang banyak, namun kita tidaklah mengetahui adakah mereka ‘tidak membaca jampi dan mantera’ atau ‘mendapat bantuan jin atau syaitan’, dan perkara ini tentulah akan mereka rahsiakan, dan bahkan mungkin mendakwanya sebagai tidak menggunakan apa-apa selain kemahiran dan peralatan sahaja.

Di samping itu, perkara yang biasa terjadi ialah pertunjukan itu dibantu oleh perempuan-perempuan yang mendedahkan aurat atau gaya pakaian yang tidak sopan. Maka menolong atau memberi kebenaran bagi pendedahan aurat itu adalah menolong terjadinya maksiat. Ini semua tergolong perkara dosa dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat.

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah Al-Mâ’idah: 2)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8458