Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Pindah Milik Tanah Kepada Yang Berhak

Soalan: Sukacita Jabatan ini memohon kepada pihak Pehin agar dapat memberikan penerangan atau nasihat yang bersesuaian dalam perkara memulangkan hak dari sudut pandangan Islam dan kemungkinan perkara-perkara yang berbangkit khususnya mengenai perkara mengembalikan semula sebidang tanah kepada bekas isteri setelah berlaku perceraian.

Semoga jawapan pihak Pehin akan dapat membantu kelancaran dan penyelesaian yang segera dalam permohonan pindah milik tersebut.

Jawapan: Permasalahan yang dihadapkan di atas adalah mengenai penghapusan nama bekas suami daripada geran tanah kerana tanah berkenaan dikatakan bukan miliknya.

Dari keterangan yang disertakan dapatlah difahami bahawa tanah tersebut asalnya dimiliki oleh bekas isteri. Kemudian dimasukkan nama suaminya untuk membolehkan mereka membina rumah di tanah tersebut secara joint loan (pinjaman bersama atau hutang bersama). Setelah keduanya bercerai, suami ingin mengeluarkan namanya daripada geran tanah tersebut.

Dalam permasalahan ini, jika proses awal dalam memasukkan nama suami ke dalam geran itu hanyalah semata-mata kerana hendak memenuhi syarat joint loan sahaja, dalam erti kata lain bukan untuk turut bersama memiliki tanah berkenaan secara pemilikan yang sebenar, sama ada menerusi cara jual beli atau beri (hibah), maka tanah tersebut menurut hukum syara‘ masih tetap dimiliki sepenuhnya oleh bekas isteri, kerana dalam hal ini tidak terjadi peralihan atau pindah hak pemilikan pada hakikatnya. Ia hanya dijadikan helah, alasan atau sebab bagi membolehkan keduanya (suami isteri pada masa itu) memohon joint loan. Adapun helah atau alasan seperti ini tidak disabitkan oleh syara‘ sebagai pemilikan yang sebenarnya, kerana pemilikan yang sabit mengikut syara‘ dalam kontek pasangan suami isteri itu hanya menerusi pemberian (hibah) atau jual beli.

Jika demikian halnya di mana tanah berkenaan bukan milik suami sedangkan namanya tercatat dalam geran, maka adalah menjadi kewajipan bagi bekas suami mengeluarkan namanya daripada geran tersebut supaya pemilik tanah berkenaan sepenuhnya hanyalah bekas isteri seorang sahaja. Tanpa berbuat demikian – dengan segeranya - akan berbangkit hal-hal yang boleh membawa kepada perkara-perkara haram, seperti jika ditakdirkan bekas suami meninggal dunia (semoga Allah memberkati umurnya) sebelum penyerahan dibuat, sedangkan namanya masih tercatat dalam geran tanah tersebut, maka ia boleh dianggap atau ditafsirkan bahagian tanah berkenaan adalah milik bekas suami dan menjadi harta pusaka kepada ahli warisnya. Sedangkan tanah tersebut pada hakikatnya bukan miliknya, sebaliknya milik orang lain. Dalam hal ini ahli-ahli warispun dengan sendirinya akan menerima harta yang sebenarnya bukan hak mereka.

Begitu juga sebaliknya, jika bekas isteri meninggal dunia (semoga Allah memberkati umurnya), maka tanah berkenaan tidak dapat dibahagi-bahagikan sepenuhnya kepada ahli waris yang berhak menerima kerana wujudnya nama bekas suaminya dalam geran berkenaan. Jadi pemilikan dengan cara helah (hanya sekadar memenuhi syarat joint loan itu) adalah pemilikan yang tidak sah menurut syara‘.

Dalam hal seumpama ini, mengeluarkan nama bekas suami daripada geran berkenaan adalah menepati kehendak hukum syara‘ kerana ia dianggap sebagai memulangkan hak kepada tuannya.

Sekiranya nama bekas suami dimasukkan ke dalam geran berkenaan atas cara pemilikan menurut syara‘ seperti tanah tersebut pemberian (hibah) bekas isteri kepada bekas suami atau atas nama jual beli, maka menurut hukum syara‘ sebahagian daripada tanah berkenaan itu memanglah milik bekas suami. Dalam hal ini, bekas suami berhak sepenuhnya menjual atau memberikan bahagian yang menjadi miliknya itu sama ada semuanya atau sebahagiannya kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya, kerana bahagian tersebut adalah miliknya yang sah. Maka menurut hukum syara‘ tidak ada sesiapapun berhak menghalangi bekas suami daripada memberikan atau menjual tanah tersebut termasuklah menyerahkannya kepada bekas isterinya seperti yang dinyatakan dalam permasalahan ini.

Walaupun begitu hendaklah diingat bahawa penyerahan tanah dalam bentuk pemberian (hibah) hanyalah akan sah menurut syara‘ dengan adanya akad penyerahan dan penerimaan, dalam erti kata yang lain hendaklah dengan îjâb dan qabûl dengan disaksikan oleh dua orang saksi lelaki yang ‘âdil.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8462